Thursday, August 19, 2004

KEMATIAN 11
TAHUN
ini sahaja saya sudah kehilangan lima orang kenalan rapat. Lumrahnya kematian orang lain selalu mengingatkan kita pada hari mati kita pula. Tak tahu bila tapi detiknya pasti tiba. Macam daun yang gugur dari pohon, tunggu sahajalah giliran kita. Mungkin cepat, mungkin lambat lagi.

Bapa saya seorang tukang mandi jenazah. Di rumah keluarga selalu ada dua set kain kapan yang lengkap dengan segala aneka keperluan (kapur barus, air mawar, sabun dll) dan diikat ponjot. Abah menyimpannya bawah katil. Selalunya tak kira siang atau malam, bila saja ada berita kematian dia akan terus membawa keperluan itu ke rumah si mati. Kemudian esoknya dia akan ganti semula set yang dia dah guna itu dengan set yang baru. Jadi set itu selalunya sentiasa ada dua. Dia juga selalunya tak sampai hati menghadiri majlis kenduri kematian. Dia selalu mengelak, ada sahaja alasannya. Apalagi jika yang meninggal itu pangkat bapa dan ada ramai anak yang ditinggalkan. Katanya buat apalah buat kenduri bagi orang makan, simpan saja duit tu buat belanja anak-anak si mati...

Saya ingin tahu - kebiasaannya apabila membuka buku alamat dan nombor telefon lalu terjumpa nama mereka yang telah tiada, apa yang anda lakukan?

- potong/liquid nama dan no. telefon itu
- buat tanda merah di hujung atau pangkalnya
- tulis "dah meninggal" "kembali ke rahmatullah" "innalillah..."
- bulatkan nama dan no. telefon itu
- tulis - dah arwah
- biarkan saja terus tercatat sebagai kenangan

Wednesday, August 18, 2004

KEMATIAN
MENTOR
saya dalam penulisan puisi Tengku Alias Taib, telah meninggal dunia malam tadi, selepas Maghrib. Rasanya baru saja berjumpa dengannya bulan lalu... Kebetulan kami bertembung di laluan pejalan kaki antara Sogo dan Pertama Kompleks.

Dari dahulu sampai sekarang susuk badannya tidak banyak berubah. Dia tinggi lampai dan ramai kawan-kawan mendongak untuk bercakap-cakap dengannya jika mereka lagi berdiri. Ciri khasnya terletak pada misainya yang lebat. Tidak pasti apakah akhir-akhir ini dia sudah mencukur misainya. Maklum apa sahaja boleh berubah, tidak terkecuali kedudukan misai di atas bibir.

Baca catatan seorang sahabat, AF YASSIN mengenai arwah.

Tuesday, August 17, 2004



DEMAM DAH KEBAH
BUKU Koleksi 12 Finalis AF ini dihasilkan menerusi jabatan Media Hiburan iaitu majalah khusus tentang dunia hiburan. Majalah-majalah lain juga turut menghasilkan majalah sampingan. Antaranya Koleksi Hantaran oleh Majalah Pesona Pengantin. Koleksi Resipi oleh Majalah Rasa dan beberapa lagi koleksi majalah lain. Majalah sampingan dihasilkan oleh team yang sama yang mengendalikan majalah bulanan. Tiada staf tambahan.

Monday, August 16, 2004

KUASA MASA
ALHAMDULILLAH
semuanya mengikut jadual. Semuanya on time. Semuanya komited. Di hadapan mata sendiri saya saksikan section akhir majalah berkenaan masuk mesen printing tepat pukul 3.00 pagi. Dan majalah yang complete binding sudah ada dalam tangan tepat pukull 3.30 pagi. Di masa yang sama lori-lori sudah menanti di luar pagar... thanks God!

Misi kami berjaya mengikut jadual. Thanks to Haji Hishamuddin dan wife serta Fir yang sanggup sama-sama turun padang bagi support (tak sangka you all datang). Thanks kepada jurugambar, dua reporter saya dan designer. Juga pada team production di Ultimate Print dan team pengedaran di Media Network.

Masa paling kritikal ialah dua jam selepas konsert selesai. Bayangkan kalau kereta jurugambar lambat keluar parking? Bayangkan kalau terbabit accident. Bayangkan kalau digital camera dan laptop tu buat hal... Bayangkan kalau kerja 6 hari sebelum itu menimbulkan masalah hanya kerana dua jam terakhir itu. Ya, kepulangan dua jurugambar dari Bukit Jalil ke Shah Alam tepat pukul 2 pagi disambut sorakan...!

Ya, sekarang semua dah tahu. Buku konsert itu berada di pasaran sebelum pukul 8 pagi Ahad 15 Ogos 2004.

Friday, August 13, 2004

SAYA YANG MENURUT PERINTAH
APABILA
cadangan saya kepada MD diterima, saya terus diarah membuat sebuah buku dengan ketebalan 132 mukasurat + 4 keping cover dalam masa 7 hari. Mulanya saya tersengih serba salah. Akhirnya, Yes! Saya ambil ini sebagai tanggungjawab. Saya segera meminjam dua wartawan daripada majalah lain. Saya terus menyusun schedule. Buat susunan mukasurat dan juga melakukan perbincangan dengan jurufoto. Kemudian memilih jenis kertas dan finishing bersama Production Manager. Dua orang designer bekerja bersama team saya ini. Semuanya bermula serentak.

Malam esok saya akan bekerja semalaman di pejabat. Mungkin juga tidur di pejabat. Tempahan printing ialah pukul 2.30 pagi (bermulanya shift malam bagi pekerja operasi). Habis print dijadualkan dalam pukul 3.30 pagi dan terus dengan proses binding (perfect bind). Mungkin proses binding akan tamat pada pukul 5.00 pagi. Pengedar/agen (driver lori) akan sampai pukul 6.00 pagi. Naskhah berkenaan akan segera diupload ke lori. Agen akan terus mengedarkan buku berkenaan di pasaran (KL akan dapat dulu). Outstation akan mula dapat hari Isnin.

* Hal inilah yang membuatkan blog saya sepi empat hari. Maafkan saya...

Sunday, August 8, 2004

IDEA BEST ANAK BERANAK....!
GAMBAR
kami anak beranak memakai pakaian yang diperbuat daripada bendera Malaysia di sideblog menjadi koleksi keluarga yang amat bermakna. Saya frame besar dan gantung di dinding rumah. Ketika itu tahun 2002 dan sambutan Kemerdekaan berlangsung di Dataran Merdeka. Mulai tahun 2003 barulah sambutan berubah ke Putrajaya. Saya siapkan pakaian ini semalaman, esoknya kami anak beranak ke Dataran Merdeka memakai pakaian ini. Pergi balik naik Star LRT. Gambar kami anak beranak ini antara lain tersiar di NST, Malay Mail dan Harian Metro. It's fun...!

Saturday, August 7, 2004

NEGARA KITA JIWA KITA
MENURUT
cerita orang lama, semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu rakyat menderita bagaikan tiada hari esok. Makan ubi kayu dah jadi ruji. Hari-hari kena tunduk pada bendera Jepun. Wanita dirogol. Kena tampar dan terajang jadi perkara biasa. Penderaan pula bukan calang-calang - minum buih sabun, lelaki perempuan disula, diheret sepanjang jalan dan sebagainya.

Itu dulu. Kini kita saling sedar dan memaafkan. Kita bina negara dengan jati diri yang teguh. Malaysia bangkit dengan semangat Merdeka. Jepun bangkit dengan kemodenan, melupakan semua kisah pahit. Hari ini kita nikmati segala yang telah ditinggalkan oleh pejuang. Ditangan kita telah diwariskan satu amanah. Tanggungjawab ini demi masa depan anak-anak, cucu cicit kita pula.

Kita tak boleh kompromi dengan semangat cintakan negara. Hati kita sakit bila membaca kenyataan rakyat Malaysia yang memburukkan negara sendiri di luar negara. Mereka buat perbandingan negara luar bagus, negara sendiri tak bagus. Mengapa? Bukankah lebih elok dia perbaiki apa yang tak bagus itu? Bayangkan, di luar negara dia boleh tidur lena dengan perut kenyang setelah kita suap dia dengan hasil bumi Malaysia. Kemudian esok dia bangun pagi dan terus mengutuk negaranya lagi...

Maaflah, emosi sikit hari ni.

Friday, August 6, 2004

HIROSHIMA, JEPUN
PADA
hari ini 6hb. Ogos 1945 sebutir bom telah digugurkan di Hiroshima oleh kapalterbang B-29 Amerika Syarikat bernama Enola Gay. Dua hari selepas itu, bom atom kedua telah diledakkan di bandar Nagasaki. Ini membawa kepada rentetan tertakluknya Peking dan Tientsin. Kemdudian Shanghai telah dibom dan Nanking pula ditawan. Kini sudah 59 tahun tragedi ini berlalu.

Seorang anak Malaysia, Cikgu Razak berada di tempat kejadian ketika bom berkenaan digugurkan. Baca cerita Cikgu Razak tentang kejadian ini. Bersamanya ketika itu ialah Syed Omar dan seorang lagi rakan. Syed Omar terkorban angkara pengeboman ini. Allahyarham Syed Omar ialah abang kepada Puan Azah Aziz, isteri Prof. Diraja Ungku Aziz. Ketika mula-mula berkenalan dengan Halela Abdul Razak saya fikir bapanya Abdul Razak ialah Cikgu Razak. Silap rupanya.

Thursday, August 5, 2004

JAWAB DENGAN JUJUR
SUDAH
5 hari berada dalam bulan merdeka ini saya teringat pada perbualan kami suami isteri tentang gantung bendera, pacak bendera, tampal bendera, pasang bendera dan seumpamanya yang membawa konotasi serupa - bersemangat di bulan merdeka. "Tak ramai yang pasang bendera di kereta. Depa malu kot? Tulah, mengaku saja anak Malaysia tapi tak ada semangat cintakan negara." Tapi saya tak suka dengan kenyataan itu. Tak gantung bendera bukan bermakna kita tidak patriotik. Dan satu lagi si tukang komen tu pun tak pasang bendera kat kereta dia! Jika anda berjiwa patriotikm jawab soalan-soalan ini dengan jujur. MERDEKA!

Wednesday, August 4, 2004

SABOTAJ
SESUATU
kejayaan itu dapat dicapai bukan berdasarkan kepada nasib semata. Malah kejayaan merupakan satu SIKAP. Orang yang berjaya ialah individu yang sering mencapai matlamatnya. Natijahnya individu itu akan sentiasa berjaya mencapai apa yang dihajati dan akhirnya kejayaan menjadi satu tabiat.

Orang yang gagal sentiasa mempunyai alasan mengenai kegagalannya. Ia merasai dirinya menjadi mangsa kepada keadaan, situasi dan tindak tanduk orang lain. Mengikut kajian, 75 - 80 % pemikiran kita adalah dalam bentuk negatif. Pemikiran yang negatif akan menghasilkan perasaan takut, cemas dan patah semangat. Apabila kita izinkan pemikiran negatif menguasai fikiran kita, segala perancangan kita akan tergugat dan kegagalan mudah berlaku. Akhirnya kita mensabotaj keupayaan kita sendiri untuk berjaya.

Tuesday, August 3, 2004

Mengenai Cikgu XXX

HAMPIR dua bulan saya simpan cerita ini iaitu sejak kami pulang daripada bercuti di Langkawi, Mei lalu. Di Langkawi anak bongsu meminta saya membelikan key-chain untuk diberikan pada cikgu-cikgunya.

Saya beli 10 untuk dia agih-agihkan - sama bentuk semuanya. Dia minta satu yang special - saya belikan pelekat di peti sejuk bentuk burung helang. Dia happy. Isnin masuk sekolah, dia berikan yang special itu untuk guru BM. Cikgu XXX - lelaki berusia, digelar guru panggilan (guru yang dah pencen tapi dipanggil bertugas kontrak). Saya kenal cikgu tu.

Hari Selasa dia mengadu dia dah tak suka pada cikgu itu. Benci sangat-sangat. Dia dah tak sayang pada cikgu itu. Kenapa?

"Sebab cikgu tu cubit perut Amie."

Kenapa? "Sebab Amie borak dengan Jojo pasal Langkawi."

"Masa tu cikgu tengah mengajar?"

 "Haah..." Ok, saya dah dapat jawapan kenapa perut Amie kena cubit.

Saya terperanjat bila Amie kata, "menyesal Amie bagi hadiah mahal tu kat Cikgu XXX. Dia tak ingat ke semalam Amie bagi dia hadiah tu!"

Jika diselami lebih jauh lagi jelas; Amie mahu cikgunya menghargai pemberiannya. Dia nak cikgu itu sayangkan dia sebab pemberian istimewa itu. Dia berikan yang paling mahal, yang special hanya untuk cikgu itu dan tak sangka dia kena cubit oleh cikgu itu!

Ada yang tak betul di sini. Puaslah kami suami isteri terangkan tujuan beri hadiah bukan untuk diri kita disayangi, dilindungi. Salah tetap salah.

Monday, August 2, 2004

HATI KERING
RAKAN
sepejabat tiba-tiba mengambil cuti kecemasan sehari minggu lalu. Dia bergegas ke sebuah sekolah berasrama penuh di negeri Pahang kerana ingin menguruskan hal anak perempuannya berumur 16 tahun. Ceritanya begini; pada pukul 10 malam sebelumnya anak gadisnya itu mengadu sesak nafas (dia menghidap athma) di asrama. Kawan-kawan sebilik memanggil warden. Warden sampai agak lewat dan berkata tidak serius, sekejap lagi oklah.

Tetapi si empunya badan tahu tahap kesihatannya. Dia meminta dibawa ke hospital. Biasanya setelah bantuan pernafasan diberi, dia akan okey dan bolehlah balik ke asrama semula.

Setelah didesak berkali-kali oleh rakan-rakan pelajar warden dengan muka masam bersetuju membawa mangsa ke hospital berdekatan. Mereka pergi berdua menaiki kereta warden berkenaan. Proses di hospital agak lembab, jam menunjuk ke pukul 12 tengah malam. Warden ambil keputusan balik ke asrama.

Sepanjang malam si pelajar menanti warden datang mengambilnya semula. Sampailah ke pagi. Warden tak datang! Pukul lapan pagi dengan meminjam duit nurse si pelajar menelefon ibunya. Dia nak ke sekolah, tapi macamana? Hati ibu mana yang tak risau, lebih sedih lagi kawan saya itu ibu tunggal. Rasionalnya: Mengapa warden ambil mudah hal penyakit pelajar jagaannya? Bukankah itu amanah yang diletak di bahunya?

Hasil siasatan kawan saya mendapati:
- itu bukan kejadian pertama.
- warden diakui garang oleh pelajar lain
- guru besar tidak diberitahu hal ini kerana pelajar diugut
- warden tidak mempunyai perasaan kasih pada pelajar (mungkin kerana warden belum berkahwin walaupun usia sudah lanjut).

Apa tindakan yang wajar diambil terhadap warden?

Saturday, July 31, 2004

DARI HALAMAN
KATA orang menanam bunga mempunyai seni yang tersendiri. Saya tidaklah mahir dalam hal ini. Asalkan bunga yang saya tanam subur, berbunga cantik itu sudah memadai. Saya akan senyum dan bangga melihatnya. Kata orang-orang tua jika tangan kita `panas' apa saja yang ditanam tak menjadi. Layu dan mati. Sebaliknya jika tangan kita `sejuk' campak saja benih pasti akan hidup subur. Ya, saya dalam golongan kedua itu. Tak banyak yang saya tanam, ini antaranya.

Friday, July 30, 2004

MUDA LAGI?
SAYA
masih lagi ingin menyentuh mengenai entri 27hb Julai lalu mengenai anak-anak yang menjadi buah cinta kita. Kawan-kawan bertanya mengapa digelar buah cinta? Jawapannya biasa saja, kalau masa bercinta kita selitkan dengan bunga-bunga cinta, lalu hasilnya setelah berkahwin sudah pasti - buah cinta. Dari buah cinta inilah nanti akan lahir lagi benih cinta, akan membesar dan membiak hingga generasi seterusnya.

Kak Mah, kakak ipar saya di kampung mempunyai 14 orang anak. Mereka hanya bekerja bendang. Sewaktu mula berkahwin dan mulai mengenali keluarga belah suami, saya selalu terlupa nama anak-anaknya. Ini juga membuatkan saya terlupa susunan adik beradik itu. Yang mana Ateh, yang mana Angah, yang mana Alang, Acik dan banyak lagi gelaran lain. Bak kata suami, `meremut' anak Kak Mah dengan Abang Sahak tu...

Apa yang ingin dikemukakan di sini ialah sedikit pun mereka tidak pernah merungut tentang RM. Semua anak-anak mereka bersekolah. Malah cerdik-cerdik pulak tu. Kata abang ipar, setiap anak adalah rezekinya... Kita pulak? Anak tiga pun rasanya macam nyawa-nyawa ikan bila tiba bab RM. Di sekolah bandar, macam-macam nak difikirkan - Yuran Kelab Komputer, yuran Kelab Silat & Tae Kwan Do, yuran Sekolah Agama, yuran Ko Korikulum dengan uniformnya, yuran Tuisyen, insurans pendidikan & hayat, tambang bas sekolah biasa, tambang bas sekolah agama, bayaran dinner PIBG, macam-macam kategori derma, duit lawatan musim cuti sekolah, kasut baru & uniform baru (setelah setengah tahun berlalu) dan macam-macamlah lagi...

Itulah yang membuatkan ramai orang bandar berfikir banyak kali apabila ada orang bertanya, "eh, mana cukup tu, awak masih muda... boleh beranak lagi!"

Thursday, July 29, 2004

NYAH OH... NYAH!
OPS
Nyah selalu membuatkan saya senyum panjang. Ops Nyah itu lebih kurang bermaksud `berambuslah' atau 'pergi kamu dari sini' ataupun 'kami tak perlukan kamu' dan pelbagai lagi andaian yang boleh ditokok tambah kepada mereka yang datang tanpa diundang. Tetapi Nyah dalam erti kata lain pula membawa kepada watak seorang yang lemah gemalai, yang aww..awww... yang geleknya mengalahkan ratu cantik, yang tubuh badannya halus mulus mengalahkan penyanyi popular Camelia. Nyah....

Golongan Nyah kini bukan seperti Nyah yang dulu. Sekarang mereka sudah boleh hidup mewah dengan kebolehan yang ada. Ada yang beli apartment sana dan sini. Malah jika berurusan, mereka ini selalunya teliti, tekun, ralit kita mandangnya. Yang pastinya mengalahkan perempuan. Kebiasaannya di Karangkraf mereka datang sebagai jurumekap setelah dihubungi oleh Editor atau wartawan. Jadi `dia datang.. dengan lenggang lenggoknya... jeng jeng jeng. Sana panggil "Nyah", sini pun pangil "Nyah". Kesudahnya Salleh pun bertukarlah menjadi Sally. Kamaruddin jadi Kelly. Roslan jadi Rose dan pelbagai lagi.

Setelah beberapa lama mengenali golongan ini, saya dapat beberapa kesimpulan; mereka ini sensitif, suka dipuji, gembira kalau org menghargai mereka. Mereka juga mudah diajak berbicara, mudah mesra jadi kita amat selesa bersama dengan mereka. Tetapi yang tak baiknya tetap ada; mereka kuat cemburu, suka cover diri sendiri tapi salahkan orang lain. Mereka juga suka dengki mendengki, cucuk mencucuk (tapi bukan semua).

Mengapa ini terjadi? Rasa saya ini kerana mereka bukan diri mereka sendiri. Mereka cuba menjadi seperti orang lain. Jadi tindakan luar kawalan itu banyak menyumbang pada pembentukan karektor mereka. Okey, cuba geletek mereka. Wah... automatik keluar suara garau parau itu!

Wednesday, July 28, 2004



KEPADA rakan-rakan bloggers, silalah dapatkan Majalah MINDA
Edisi Ogos 2004 yang telahpun beredar di pasaran. Lihat mukasurat 86 - 87 untuk mengikuti tulisan Encik Ghazali Bunari - Majalah MINDA diterbitkan setiap bulan oleh Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd.

Tuesday, July 27, 2004

BUAH CINTA
BERSYUKUR
kepadaNYA kerana kami suami isteri telah dikurniakan tiga orang anak sebagai penyambung zuriat. Alhamdulillah. Harap-harap, buah cinta kami akan membesar dengan penuh iman di dada dan dengan kejayaan dalam tangan masing-masing. Saya percaya bukan saya saja berharap begitu. Semua ibu dan bapa juga berharap perkara yang serupa. Tidak kiralah hanya ada anak tunggal, dialah jantung, dialah permata. Atau ada anak perempuan semuanya - anak dara berderet-deret! Atau ada enam orang anak lelaki! Hero-hero semuanya! Syukurlah.

Tetapi bayangkan pasangan yang tidak atau belum lagi dikurniakan buah cinta. Puas menunggu bertahun-tahun, puas berusaha pelbagai ikhtiar tetapi masih belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahayamata. Seorang kawan saya baru sahaja keguguran. Ini adalah untuk kali yang ke 10 dalam masa lima tahun. Paling lama baby hanya empat bulan saja dalam perut. Paling akhir bulan lalu. Bayinya hanya dua bulan sahaja dalam perut. Hari pertama masuk kerja setelah bercuti dua bulan, dia keguguran lagi... "Susahnya nak dapat baby... suami dah warning," katanya.
Alangkah tak adilnya, kenapa perlu warning isteri yang sedang bersedih? Mesej saya jelas: Trauma yang dilalui mesti dikongsi. Bukan diletak semuanya ke bahu isteri.

* Dedikasi buat Laila & Zeera Abadi (tambahan)

Monday, July 26, 2004

RILEK MINDA

TULISAN Muring:
Ini iklan di Vienna. Ada kat MuseumQuartier iaitu pusat seni moden di sini. Musim panas dulu ada kempen berbunyi INI BULAN BELI BELAH. JIKA BUKAN UNTUK DUIT ANDA FAEDAH APA (APA FAEDAH?)KAMI MENJUAL (terjemahan)... ha ha
muring-wien | 07.25.04 - 6:04 pm | #

SAYA Jawab: Wah, amat jelas, begitu terus terang sekali slogan menyuruh orang membeli atau menghabiskan duit di Vienna. Ha ha ha. Kalau kat M'sia mungkin slogan sebegini boleh kot: "Keluarlah mebeli belah... abiskan duit anda. Apa kejadahnya simpan duit, bukan boleh bawak mati." Eh, dah hilang dah kesopanan kita
Sri Diah | Email | Homepage | 07.26.04 - 2:38 pm | #


Penerbit:
Oscar Book International


Inilah novel pertama yang saya hasilkan. Ketika itu usia saya 19 tahun. Novel ini berkisar tentang murid-murid darjah enam Sekolah Sri Melur. Mereka mempunyai dua kumpulan. Kumpulan pertama diketuai oleh Zarul, yang merupakan seorang murid yang paling nakal. Kumpulan yang kedua dianggotai oleh Shila, Zuria, Salmi, Siti dan lain-lain. Kumpulan kedua telah dilantik menjadi pengawas sekolah. Perlantikan mereka menimbulkan iri hati di kalangan kumpulan Zarul. Zarul pula dalam diam-diam menaruh hati pada Shila yang menjadi pasangannya dalam drama Mahsuri. Apakah yang berlaku pada Zarul dan geng-gengnya. Dan apa pula yang terjadi pada Shila ketika pementasan drama dijalankan?

Saturday, July 24, 2004

TERIMA KASIH DAUN KELADI
SAYA
amat gembira malam tadi apabila suara saya di RMKL berjaya mendapat respon daripada rakan bloggers dan pendengar lain. Malam yang menginjak dinihari tak terasa langsung, mata segar bugar apalagi diiringi dengan lagu-lagu yang dipilih - Ameng Spring, Broery & Dewi Yull (Jangan Ada Dusta Antara Kita) serta Desy Ratnasari.

Bagaimanapun biasalah, kita tetamu jadi kenalah ikut aturan dan syarat yang telah ditetapkan oleh tuan rumah. Contohnya tak boleh sebut tentang perkara `itu' jangan cakap hal `ini' tetapi boleh cakap pasal `apa-apa'. Saya akur dan alhamdulillah rancangan yang memang ideanya datang bulat-bulat daripada DJ bertugas, Irwan Shahril berjalan dengan lancar.

Yes. Suara Zareda dan Ros berjaya menembusi talian sambil line call berkelip-kelip tak henti-henti petanda banyak call masuk. Memang saya nak cakap banyak pasal blog dan tentang rakan-rakan blogers di luar negara yang mendengar menerusi internet tapi... tak cukup waktu.

Friday, July 23, 2004



TELEFONLAH SAYA
MALAM
ini tepat pukul 12 tengah malam, sila telefon saya menggunakan nombor ini: 03-22825445. InsyaAllah saya akan cuba menjawab panggilan anda semua. Sebenarnya malam ini saya akan on-air di Radio Malaysia Kuala Lumpur (RMKL) iaitu dalam slot kerjasama antara Alaf 21 Sdn Bhd dan RTM. Saya akan bercerita tentang novel-novel saya. So, tune radio anda ke RMKL. Nanti saya dapatkan no frekuensinya (Okey siarannya di 97.2.) Begitu juga nama slotnya (Novelis & Anda). Baru petang semalam saya diberitahu tentang hal ini. So mendadak...

* MAAF. Saya tidak dapat menjawab sahutan tetamu-tetamu sekelian di ruangan komen semalam. Begitu juga tentang page yang tak sempurna, setting berterabur. Sekarang nampaknya dah okey dengan bantuan sifu saya. Thanks so much. Nanti saya belanja dia nasi dagang, lauk ikan aya.

Thursday, July 22, 2004

JUALAN MURAH
DEMAM
Karnival Beli Belah sudah bermula di Kuala Lumpur dan di seluruh Malaysia. Karnival ini bertujuan untuk memberi kesempatan pembeli berbelanja murah dan berpatutan. Ada diskaun pada harga barangan dan ada banyak pilihan. Pembeli juga dengan ini boleh bersiap sedia untuk musim perayaan yang bakal tiba.

Pembeli memang mahu berbelanja terutama menjelang Ramadan ini dan mengharapkan kempen ini akan memberi peluang mereka membeli dengan harga murah. Bagaimanapun ironinya peniaga memanipulasi kesempatan ini untuk melambakkan barangan yang dah tak bermutu, stok lama atau yang dah dikira jual longgok. Mana taknya, yang dalam tong/bakul itu dilonggokkan pakaian yang bertaraf `mangsa banjir kilat'. Berkedut, bau hapak, ada bekas lipatan bahkan ada yang terjumpa telur lipas... Kepada yang suka nak menjenguk-jenguk karnival beli belah (saya fokuskan pada pakaian), ingatlah kempen ini sebenarnya hanyalah salah satu diari dalam kalendar; jangan mudah tergoda kala berbelanja.

Slogan biasa yang kita jumpa ketika karnival ini:
- Tawaran Istimewa
- Jualan Habis-Habisan
- Jualan Penghabisan Stok
- Jualan Hebat
- Beli Satu Percuma Satu
- ... lagi?

Wednesday, July 21, 2004

NO. NO. NO NASI.
TERKEJUT
seketika melihat tenaga pengajar baru AF, Mahani Awang. Beliau teman sebilik semasa kami di USM Pulau Pinang. Kemudian setelah balik bekerja di KL dalam bidang yang sama - kewartawanan, hubungan kami terus kekal sampai hari ini. Semua ini dah berlangsung hampir 22 tahun. Still sweet as sweet as honey - manis - Anis, panggilan mesra untuk Mahani. Itu juga nama panggilan anak sulung saya.

Oh ya, apa yang saya nak kata hari ini ialah tentang etika pergaulan terutama di majlis. Itu juga yang Mahani didik kepada pelajar AF, itu juga termasuk dalam salah satu silibus untuk para wartawan. Etika ini penting, supaya kehadiran kita disenangi, terutama bagi wartawan. Apalagi jika berhadapan dengan golongan VIP, etika amat dititikberat.

Biasanya bila dapat jemputan, para wartawan akan pastikan dulu sama ia majlis santai atau formal? Membabitkan VIP, anak raja, korporat atau orang biasa-biasa? Bila? Apakah ia breakfast, `brunch', lunch, hi tea, cocktail, dinner atau supper? Lain kategori lain etikanya, lain cara pakaian, lain cara perbualan dan lain gaya pergaulannya. Tapi ada juga orang yang main belasah je. Eh tak sopan buat kelaku macam tu. Tuan rumah memandang sipi saja.

Saya selalu mengelak kalau dijemput ke majlis koktel. Bayangkan dari pukul 4 petang hingga 7 malam, dok berdiri mengelilingi meja yang disusun tapi berterabur, tak ada kerusi. Lenguh. Kalau terdesak kena pergi jugak saya pastikan tak berkasut tumit tinggi. Hidangannya simple, seciput, comel saja tatnya, biskut, mufin cute, sandwic yang dipotong empat, potongan lobak, timun, batang saleri dicicah tousand island. No heavy food, no nasi, no mi hoon, no kueteow, no no no.

Alamak, dah dinihari ni. Stop dulu ya.

Tuesday, July 20, 2004

IJAZAH KEHORMAT Universiti Blogger:-

The University of Blogging

Presents to
Sri Diah

An Honorary
Bachelor of
Anonymous Commenting

Majoring in
Comment Spam
Signed
Dr. GoQuiz.com
®

Username:


Blogging Degree
From Go-Quiz.com

DEMAM HAIKU
HAIKU
ialah puisi Jepun yang terdiri daripada 17 sukukata dan biasanya ditulis 3 baris dalam bentuk 5-7-5 sukukata. Haiku tradisional akan menceritakan tentang musim dan alam sekitar. Haiku moden telah ditulis dalam pelbagai bahasa dan masih menggunakan paten 5-7-5. Sungguhpun haiku ditulis dalam 3 baris, perlu diingat yang haiku mempunyai 2 bahagian memancarkan sedikit kaitan dan menambah makna kepada bahagian yang lain. Bahagian kedua haiku biasanya ialah pada baris terakhirnya. Namun begitu, garis pemisah antara bahagian pertama dan kedua tidak begitu jelas dan tidak terhad kepada akhir baris kedua.

Bagimanapun haiku moden telah ditulis melampaui sempadan musim dan alam sekitar dan menceritakan tentang hubungan kita dalam dunia moden. Sepertimana pantun yang boleh dikelaskan kepada pantun kanak-kanak, pantun nasihat, pantun jenaka dan sebagainya, haiku juga boleh dikelaskan begitu.

Selain HAIKU, antara puisi Jepun lain ialah SENYRU dan RENSAKU (5/7/5) serta TANKA (5/7/5/7/7/. Sementara HAIGA ialah haiku dalam gambar. HAIJIN ialah gelaran kepada si penulis haiku.

* Okey, saya bayangkan ramai bloggers sedang dok terketik-ketik tangan mengira 5/7/5. Didahului oleh MBA, diikuti oleh EP, Halela dan lain-lain. Suami saya pernah tegur, "Kenapa tangan tu? Kira apa? Berzikir ya?" Saya tersengih dan kemudian ketawa panjang!

* Saya memang meminati Haiku sejak akhir 80-an apabila membaca Haiku tulisan Kak Azah Aziz, isteri Prof. Diraja Ungku Aziz tentang kebunnya di Morib. Waktu itu haikunya tersiar setiap minggu di akhbar Berita Minggu. Minat itu kembali subur apabila mengenali MBA.

Saturday, July 17, 2004

SOALAN CEPUMAS!
SOALAN
No.8. Khabarnya saudara berkawan rapat dengan Sri Diah yang juga salah seorang ahli esastera dan peminat Haiku. Boleh saudara ceritakan sedikit mengenai dirinya?. Ikutilah apa jawapan MBA mengenai soalan ini.

Friday, July 16, 2004

ANDAIAN
KITA
selalu membuat interpretasi yang kurang tepat mengenai seseorang. Andaian kita selalunya tak sama dengan kenyataannya. Pernahkah anda menghadapi situasi begini:

- eh, saya ingatkan you tinggi, rupanya rendah
- saya ingatkan awak suka berborak, rupanya pendiam
- you lebih cerah, tak macam dalam gambar, gelap
- suara you keanakkan, tapi air muka nampak dewasa
- gempal rupanya, ingatkan you kurus tinggi
- ingatkan suka, ok lain kali saya tak belikan you bunga
- payahnya berurusan dengan you, ingatkan mudah
- dan banyak lagi.

Haruskah kita berkecil hati?

Thursday, July 15, 2004

DALAM PROSES
AGAK
payah untuk menerangkan kepada Kak Zati tentang sikap emak sejak akhir-akhir ini. Walaupun Kak Zati turut berasa kecewa dengan sikap emak, namun aku terlebih lagi berasa duka kerana segala kecurangan emak berlaku dihadapan mataku.

Ini kerana yang melihat emak bergaya muda ialah mataku sendiri. Yang menghidu bau minyak wangi emak ialah hidung aku sendiri. Yang mengambilkan majalah-majalah fesyen dan pop pesanan emak ialah tanganku sendiri.

Selain daripada itu, yang kerap menerima panggilan telefon dari entah mana-mana lelaki adalah telingaku sendiri. Dan yang kerap mengemaskan meja sarapan emak adalah aku sendiri bila dia selalu tak punya waktu nak mengemas rumah, hatta bilik tidurnya sendiri!

Akulah yang paling derita sekali.
Ini yang Kak Zati tak tahu.
Ini juga yang Abang Zainol dan Adik Amri tak tahu.

Kami masih menanti kepulangan emak. Sehingga jam besar yang tersangkut di dinding ruang tamu berdenting tiga kali, emak belum juga balik. Memandangkan jarak antara Melaka dengan Kuala Lumpur bukanlah jauh sangat, kami menjangkakan tentu emak akan kembali ke rumah menjelang pagi itu.

Tetapi sehingga ke pagi, emak tidak juga muncul-muncul. Dan dia juga langsung tidak menelefon ke rumah memberitahu sama ada akan balik ke Kuala Lumpur ataupun tidak. Kami berasa bosan menunggu. Kak Zati sudah lebih sepuluh kali menguap. Aku pun sudah sakit-sakit kepala menanti kepulangan emak.

* Fragmen novel baru... belum ada judul.

Wednesday, July 14, 2004

KERJA BARU
KITA
selalu berasa sedih apabila hendak berpisah dengan rakan-rakan sekerja yang ditakdirkan berjaya mendapat pekerjaan lain. Selepas ini tak akan lagi makan bersama, berbual bersama, berbincang, berhujah bersama. Pergilah, kalau sudah rezeki di tempat lain. Mungkin juga ada kenaikan gaji dan kenaikan pangkat, memang itu dah rezeki baik namanya, tak harus ditolak.

Bagaimanapun setelah beralih angin, sesekali tolehlah ke tempat lama. Ingat semula bahawa kalau tak kerana prestasi bagus di tempat lama, kita tidak akan dilamar oleh pejabat lain. Maka oleh kerana prestasi bagus di tempat lama itu, jadi pinggan mangkuk yang selama ini diisi dengan makanan lazat berzat, tak usahlah dilempar dengan pasir.

Pergilah secara baik.
Kita bersaing dengan sihat.

Tuesday, July 13, 2004

KECEPAK KECEPUK
ALHAMDULILAH
syukur kepadaNYA atas rasa gembira ini tatkala membaca komen rakan-rakan bloggers dari serata dunia tentang hari lahir saya. Semoga ALLAH memberkati kita semua. Thanks. Hari kelahiran ini mengingatkan saya pada hari mati. Sehari usia berganjak, selangkah kita dekat padaNYA.

Oh ya, semalam saya tak sempat nak updated akibat keletihan setelah Ahadnya seharian di Wet World Shah Alam. Kumpulan Karangkraf mengadakan Hari Keluarga dengan tema KECEPAK KECEPUK di sana, disertai semua pekerja dan keluarga mereka. Banyak acara diatur. Saya jeling-jeling melihat reaksi tauke. Ternyata dia happy. Wajahnya ceria melihat pekerja dan keluarga semua bergembira.



Anak-anak saya memang pantang jumpa air. Rasanya anak-anak orang lain macam anak-anak saya jugak. Ataupun mungkin kebetulan ketiga-tiganya dilahirkan (di'operate') ketika hujan lebat di luar klinik! Si bongsu Amie yang baru baik demam kerana tonsil di tekak pun terjun sama, kecepak kecepuk tak payah disuruh-suruh. Semua dicuba. Paling seronok di gelungsur air katanya.

Cerita sedih - semalam waktu nak ke sekolah muka Amie monyok semacam. Saya agak mungkin tektik mengantuk dan letih kes sakan bermain air di Wet World. Keras jugalah suara saya menyuruh dia dan si abang segera masuk ke kereta untuk ke sekolah. Setiap hari memang saya menghantar mereka bertiga ke sekolah dulu sebelum saya ke pejabat. Kak Long pulak tak ke sekolah hari ini kerana hari Sabtu lepas ada Larian Tasik Permaisuri, jadi dia dapat cuti sehari.

Dalam pukul 10.30 pagi sedang saya leka membuat kerja h/p berdering dan terdengar suara Amie di telefon. "Mama... Amie demam, Mak Su (adik saya yang mengajar di sekolah itu) suruh mama ambik Amie balik, berehat..." Suaranya perlahan.

"Hah? Demam? Habis Amie kat mana ni? Kat public phone depan sekolah tu ke?"

"Tak. Amie kat bilik guru. Tadi Amie dah telefon abah, kejap lagi abah datang ambik," katanya perlahan.

Selepas bercakap sepatah dua lagi dengan Amie kami letak telefon. Saya cepat-cepat menelefon suami. Memang dia dalam perjalanan ke sekolah mengambil si bongsu. Saya tak sedap hati kalau anak sakit, jadi saya pun memohon pada bos untuk balik awal, membawa si Amie ke klinik semula.

* Gambar-gambar lain Kecepak Kecepuk di Koleksi Foto.


Saturday, July 10, 2004

DETIK KELAHIRAN
PAGI
tadi batuk emak semakin menjadi-jadi. Dia tak berani makan ubat batuk. Dia pun dah tak larat untuk bangun mengemas rumah. Dia dah tak larat memasak. Dia dah tak larat hendak menyiram bunga. Dia cuma ke hulu ke hilir berjalan-jalan dalam rumah. Dia menahan-nahan dada yang perit dan pinggang yang sakit. Perutnya memulas-mulas selang sepuluh minit.

Abah tiada di rumah ketika kemuncak batuk emak melantun dari kerongkongnya. Seperti selalu perlahan-lahan emak ke longkang batu di beranda rumah. Setelah puas berdiri, dia duduk mencangkung pula sambil terus melayan batuk-batuk kasarnya. Hampir lima minit dia begitu. Kemudian kata mak, tiba-tiba dia terasa ada sesuatu keluar di celah kelengkangnya. Tiba-tiba kain batiknya basah dengan darah. MasyaAllah, mak terberanak di tepi longkang di beranda!

Dan yang lahir itu adalah SAYA!
Ya, hari ini adalah hari lahir saya.

* Di sini saya nak meminta berbanyak maaf pada semua yang membaca entri saya dalam dua hari ini. Maafkan Saya... Sebenarnya saya cuba melontarkan imbasan atas apa yang emak ceritakan pada saya mengenai detik-detik kelahiran saya. Ya, saya dilahirkan di tepi longkang di kuaters pekerja kilang air batu (Atlas Ice Limited) di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. Selang dua puluh minit kemudian ambulan datang dan membawa kami ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

Saya lahir tak cukup bulan. Saya bayi prematur. Usia saya dalam kandungan mak hanyalah 26 minggu. Mungkin sebab emak menghidap batuk yang teruk, rahimnya mudah ke bawah dan membuatkan dia bersalin lebih awal. Selama 3 bulan saya berada dalam inkubator dan diberi rawatan secukupnya. Begitulah ceritanya. Cuma hari, bulan dan tahunnya saja yang berbeza. Waktunya lebih kurang beginilah...

Kepada Ros, Angah, EP, Sis Yan, Semut, Lan, Mely, Wawa, Nadahas, Rajiah, Iansuryani dan Dr. Shah, maafkan saya kerana mempengaruhi anda semua memberi komen. Jauh di sudut hati sifat prihatin anda semua amat saya hargai. Thanks juga kepada semua pembaca.

Friday, July 9, 2004

ABAH
SEBELUM
solat Jumaat abah ke hujung kampung, menunaikan fardu kifayahnya. Ada kematian. Berat juga hatinya hendak tinggalkan emak. Abah pun risau dengan batuk-batuk emak yang makin kasar, kokolnya bertali arus. Penyakit semput emak macam berulang semula.

Selepas berjemaah Maghrib, abah di rumah saja. Dia Isyak di rumah. Memang dia tak berani nak tinggalkan emak. Tapi emak macam tak faham dia sakit... Siang tadi dia masih bangun berkemas rumah, memasak, membasuh pakaian dan menyiram bunga.

Biasanya bila batuk, ke longkang di tepi rumah itulah ditujunya. Dia batuk dan buang kahak di situ.

EMAK
DIA
kata perutnya memulas hari ini.
Pinggang dia agak kebas. Tak selesa.
Batuknya makin menjadi-jadi
Kadang-kadang tengah tidur
Kadang-kadang tengah makan
Apabila nak sembahyang, dia terpaksa menukar kain batik...

Thursday, July 8, 2004

HARI INI, SAAT INI
SAYA
tidak ke pejabat hari ini. Sakit. Gusi sakit. Gigi pun sakit. Jadi bengkaklah pipi sebelah kanan. Doktor yang dikunjungi pagi tadi bagi mc. Kebetulan juga si bongsu saya demam sejak malam tadi, tekaknya perit. Malam tadi pelan-pelan saya tanya demam apa agaknya ya? Dia jawab, "Ami dah demam, mama... demam Akademi Fantasia!" Pagi tadi doktor tengok tekaknya ada tonsil, biji-biji putih. Wah sukalah dia, cuti sekolah hari ini dan esok. Jadi hari ini menu kami anak beranak ialah bubur nasi. Lauknya telur masin, ikan masak kicap dan sayur campur. Semoga cepat surut bengkak ni, sebab esok banyak urusan di pejabat.

Tuesday, July 6, 2004

KL OH KL
BARU-BARU
ini saya telah menerima lapan keping gambar yang betul-betul mengembalikan nostalgia. Saya telah print gambar ini dan menunjukkan kepada emak dan bapa yang memang orang Kuala Lumpur. Di wajah mereka tergambar pelbagai rasa, ada suka dan duka. Masing-masing mengangguk perlahan, mengesahkan kesahihan sebahagian daripada gambar-gambar berkenaan. Ya, mereka mengakui betul itu gambar General Hospital, Bangunan Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek dan Muzium Negara (jangan-jangan mereka pernah dating kat situ?). Yang lain-lain mereka tak pasti.



Sebagai anak jati Kuala Lumpur, dulu lagi saya sudahpun tanamkan dalam hati, sini tanah tumpah darah saya, kepunyaan saya, kampong saya dan hak saya. Hari ini saya berbangga dengan pencapaian dan kepesatan pembangunan Kuala Lumpur. Semua itu tidak diperolehi dengan mudah. Rasa sensitiviti, perkauman, rasa kepunyaan, sikap bahawa tanah Melayu, Melayulah yang punya - banyak yang perlu dikorbankan. Oleh itu apabila berlaku kebejatan, keruntuhan moral, korupsi, maksiat dan segala yang tidak baik di Kuala Lumpur ini, saya amat tersentuh hati.



Bagaimanapun orang Kuala Lumpur bukan semuanya jenis baik-baik - dalam sekampit beras mesti ada sebutir dua padi. Orang luar pun bukan semuanya jahat - dalam sekampit tepung mesti ada seekor dua kutu. Sebenarnya adunan kejahatan dan kebaikan inilah yang telah mewarnai tanah tumpah darah saya. Eh, emosi pula saya tengahari Selasa ini. oklah kita nyanyi lagu Biduanita Saloma; Kuala Lumpur... ibu negri...

Sila tengok gambar selebihnya DI SINI.

Monday, July 5, 2004


bola ditendang
sorak bergema lagi
kenangan manis

LEMPENG KELAPA & SAMBAL SARDIN
SEWAKTU
entri ini ditulis, perlawanan akhir Portugal - Greece untuk menentukan juara bola sepak Euro 2004 belum lagi bermula. Di televisyen tengah hangat dengan iklan dan tayangan semula gol-gol yang disumbat dan yang tak tersumbat sepanjang Euro 2004 ini di Lisbon (teringat sejarah Pelabuhan Lisbon dalam subjek Sejarah). Sorry, agaknya memang betullah saya tak berapa minat bola, sikit pun tak hairan dengan keghairahan cik abang, mengadaplah dia depan televisyen sendirian.

Bagaimanapun untuk bekal cik abang menonton bola saya sudah siapkan lima keping lempeng kelapa (lemak-lemak masin dan garing tepinya) dan juga sambal sardin untuk pencicahnya. Ada air kopi dalam flask. Ada air kosong satu botol. Ada jam loceng tepi tilam.

Sebenarnya first date saya dengan cik abang ialah di Stadium Merdeka iaitu ketika final Piala Malaysia sekitar tahun 1988 lalu. Waktu itu perlawanan antara Kedah dan Kuala Lumpur (jangan lupa, saya orang Kuala Lumpur!). Punyalah nak jaga hati dia, saya ikut dia tengok bola. Kami pergi bercouple 5 pasang. Antaranya Intan Zabidin (kini Editor Dara.com), Huzz (wartawan Hiburan di Utusan Malaysia), Emma Hussin (kini di Berita Publishing, Azmi (kini di Beijing, China). Jadi semuanya sepuluh orang. Untuk memastikan sokongan pada Kedah padu, cik abang siap belanja tiket untuk kami semua supaya sokong Kedah.

Okey, sebab kena belanja kami pun duduk di kawasan penyokong Kedah. Siap dengan topi, mafla dan bendera Kedah, hijau kuning. Huzz dan Azmi (kedua-duanya orang Kedah) menjerit "Mat Sobri! Mat Sobri! Hang gelecek baguih...!" (penjaga gol Kedah). Saya tergoda juga nak menjerit "Rashid Hasan! Rashid Hassan!" Tapi sebab nak jaga hati cik abang, saya cool saja. Tetapi apabila Kuala Lumpur mendahului Kedah 1 - 0 dan game Kedah pun tak tentu arah, kami mula belot. Habis semua sokong Kuala Lumpur. Cik abang masam memoncong - malam tu Kedah kalah. Kuala Lumpur menang 2 - 1.

Saturday, July 3, 2004

SABTU YANG BUKAN CUTI
KALAU
bukan kerana minggu pertama atau kedua, atau ketiga atau keempat pun, hari ini adalah hari cuti bagi kami, pekerja di Kumpulan Karangkraf Sdnb. Bhd. Nama sahaja hari cuti tetapi sebenarnya banyak aktiviti luar pejabat diadakan kebiasaannya pada Sabtu atau Ahad. Contohnya bengkel-bengkel, seminar, forum, pertandingan dan sebagainya diadakan pada hari ini.

Seperti minggu-minggu lalu ada Bengkel Santai Bersama Fadzley anjuran Majalah Fokus SPM, ada bengkel Gubahan Pengantin anjuran Majalah Pengantin, ada Bengkel Kerjatangan anjuran Mingguan Wanita, ada seminar tentang Islam anjuran Majalah I dan Dewan Agama & Falsafah, ada Bengekal Memasak anjuran Majalah Rasa, Anugerah Ibu Anggun Majalah Nona, ada Anugerah Pesona Ibu dan Anak anjuran Majalah Keluarga dan macam-macam lagi. Semuanya dilakukan di hujung minggu, mengikut giliran. Hampir setiap minggu.

Minggu ini free! Tapi tidak juga.

- Ada pertandingan Futsal anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi Pekerja KKSB!
- Tengahari tadi ke Kompleks Campbell - Cik Abang ambil baju tempahannya.
- Selepas itu ke Leisure Mall, beli buku untuk kami anak beranak.
- Malam ada Akademi Fantasia. Siapa yang akan terkeluar?

Friday, July 2, 2004

MOOD TAK BEST!
MEMANG
saya dah agak... Memang betul apa yang saya dan suami jangkakan. Malam sebelum 30hb itu kami memikir-mikir apakah yang akan berlaku sepanjang laluan saya ke pejabat nanti. Jadi semalam, 1 hb Julai, semuanya betul seperti yang kami fikirkan.

`Kefrusatan bersangatan!' Kata-kata ini menggambarkan kecewanya saya dengan syarikat konsensi lebuhraya yang diarah supaya menghentikan semua jenis kutipan tol melainkan Touch & Go dan laluan tunai sahaja. Dan kesudahannya semalam, jalan sesak teruk menuju ke pintu tol. Kita yang dah ada kad Touch & Go (setelah mengucapkan selamat jalan pada kad Fastrak) tetap tersenguk-senguk menuju ke pintu tol. Padahal kita dah bayar in advance! Mana dia laluan Smart Tag yang dijanjikan? Takkanlah jangka masa setahun yang diberi masih tak cukup untuk pihak lebuhraya menyediakan kemudahan untuk pengguna?

Saya pandang kiri dan kanan. Pemandu-pemandu lain pun buat muka moncong juga. Mengomel jugak macam saya. Menggeleng kepala jugak seperti saya. Habis nak kata apa lagi?

Thursday, July 1, 2004

KERJA KOSONG
BINA KERJAYA ANDA BERSAMA KUMPULAN KARANGKRAF
1. PENOLONG AKAUNTAN / AKAUNTAN
2. EKSEKUTIF PEMASARAN
3. EKSEKUTIF JUALAN IKLAN
4. PEMBANTU KAWALAN MUTU
5. PEMANDU PERIBADI
6. JURUFOTO
7. PEREKA GRAFIK

Calon yang berminat dikehendaki menghantar permohonan berserta resume lengkap, gaji sekarang dan gaji dipohon, nombor telefon, gambar berukuran passport (tidak dikembalikan) dan salinan sijil-sijil akademik ke alamat seperti di bawah sebelum 13 Ogos 2004.


PENGURUS BESAR JABATAN SUMBER MANUSIA
KUMPULAN KARANGKRAF SDN BHD (Co No:54179-V)
Lot 2, Jalan Sepana 15/3, Off Persiaran Selangor,
Seksyen 15, 40200 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan


Sila tulis jawatan dipohon di sebelah kiri atas sampul surat. Calon yang disenaraipendek sahaja akan dihubungi. Mereka yang tidak dihubungi 3 bulan dari tarikh tutup iklan dianggap tidak berjaya.

Wednesday, June 30, 2004

URUT MENGURUT
SAYA
tertarik membaca artikel mengenai Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia, Prof Dr. Zulkifli Ismail yang mengesahkan mengurut dengan teknik tertentu banyak kelebihannya dalam proses pembesaran si comel.

Dengan minatnya yang mendalam tentang hal ini dan keberkesanan urutan, beliau meneliti dan mentelaah pelbagai bahan bacaan dan kajian berkaitan teknik mengurut yang dilakukan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Filipina. Dalam persidangan khusus tentang kardilogi di Miami beliau mendalami ilmu urutan ini dengan Dr. Tiffany Field, pakar psikologi dari Touch Research Institute. Tidak keterlaluan jika beliau dinobatkan sebagai pelopor teknik urutan bayi dan kanak-kanak di Malaysia.

Sebenarnya bukan kanak-kanak sahaja, kita yang dewasa ini juga akan mendapat nikmat dan kepuasan apabila diurut perlahan dengan teknik yang betul dan disertai dengan sapuan minyak yang sesuai. Jangan anggap lain ya, urut untuk seksual (cakar harimau) tu lain... ini urutan untuk santai, menikmati wanginya aroma minyak serai wangi contohnya, sambil relak, tenangkan fikiran...

Tuesday, June 29, 2004

KECAPLAH NIKMAT BAHAGIA

angan kini sah
Rudy jadi suami
isteri cantik


PERKAHWINAN
adalah peta masalah. Saya suka kata-kata itu. Dah banyak kali saya guna ayat keramat itu samada dalam sajak, dalam cerpen dan juga dalam novel-novel saya. Ada orang yang peta perkahwinannya elok terjaga rapi, di simpan baik-baik. Sedikitpun tidak mahu dibiarkan tercalar. Mereka juga tidak segan silu menunjukkan peta perkahwinan itu kepada orang lain, mahu berkongsi bahagia. Bagaimanapun ada juga yang terpaksa mengoyak peta perkahwinan mereka apabila peta berkenaan itu, tidak membawa mereka ke destinasi bahagia. Balada hilang arah tujuan ini membuatkan mereka mencari peta yang lain dan mencari haluan baru. Ya, perkahwinan sememangnya satu perjudian.

Monday, June 28, 2004

JADIKAN DIA IDOLA
SABTU
lalu telah diadakan Bengkel Motivasi Santai Bersama Fazley di Dewan Kuliah 2 Fakulti Teknologi Maklumat, Universiti Malaya yang dihadiri lebih kurang 200 orang pelajar. Apa yang hendak dikatakan di sini ialah mengenai penceramah hari berkenaan iaitu si kacak penyanyi dan pelakon Fazley.

kacaknya dia
Fazley jadi idola
gadis tersenyum

Saya hadir mewakili syarikat kerana dekan fakulti berkenaan turut hadir. Majlis anjuran Majalah Fokus SPM ini membawakan Fazley berdasarkan latar belakang berikut:
* Memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Master Of Business Administration, MBA), International Irish University, United Kingdom.
* Memiliki Sarjana Muda Perdagangan dan Pentadbiran, Pengkhususan dalam Pengurusan dan Perakaunan,(Bachelor Of Commerce and Administration, majoring in Management and Accounting)University of Wellington, New Zealand.
* Cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM): 8A1, Pelajar Terbaik SMK St. John 1995.
* Berpengalaman mengadakan hampir 50 program motivasi untuk pelajar sekolah, kolej dan universiti.
* Menggunakan majalah Fokus SPM dalam proses pembelajaran.

Saya nak tambah lagi - beliau seorang anak muda yang sopan, yang hormat pada mereka yang lebih dewasa, suka tersenyum, merendah diri dan merupakan `anak mak' yang apa-apa pun mesti rujuk mak dulu.

Sunday, June 27, 2004

SSquare
RResponsible
IIdeal
DDainty
IInsane
AAltruistic
HHuge

Name / Username:

Kenali diri daripada blog Cikgu Midad

Friday, June 25, 2004

ISO 9001:2000
ESOK,
Pengarah Urusan KKSB, Haji Hishamuddin Haji Yaacub akan melancarkan program 'Ke arah Pensijilan ISO 9001:2000 -Standard Piawaian Kualiti Antarabangsa Menjelang Januari 2005' bagi Ultimate Print Sdn Bhd. Pengiktirafan ini amat penting kerana selain melonjak imej syarikat ke tahap dunia, ia diharap dapat meningkatkan produktiviti pekerja dan kualiti produk yang dihasilkan.

Antara sebab mengapa ISO diperlukan ialah:
- menjadikan syarikat lebih berdaya saing
- membantu pemasaran dan jualan
- meningkatkan imej korporat
- meningkat kualilti produk dan perkhidmatan
- membantu operasi dalaman
- pengiktirafan antarabangsa
- memenuhi keperluan undang-undang.

ISO 9001:2000 bertunjang pada lapan prinsip:
- fokus terhadap pelanggan
- kepimpinan
- penglibatan semua peringkat pekerja
- pendekatan melalui proses
- pendekatan melalui sistem
- peningkatan yang berterusan
- pendekatan secara fakta untuk membuat keputusan
- berteraskan hubungan baik dengan pembekal

Semoga KKSB berjaya mencapai standard yang diharapkan dan kemungkinan besar untuk disenaraikan di Bursa Saham Malaysia semakin cerah. InsyaAllah.

Thursday, June 24, 2004

KELMARIN terdengar kata-kata ini di studio KKSB:

Rosyam Nor kata:
Aku yakin filem ni meletup. (Berlari ke Langit)
Mak Nani kata:
Penonton tak adil pada saya. (Bicara Hati)
Peguam Azean kata:
Lakonan adalah mata pencarian anak guam saya (Kes RM360,000)
Shuhaimi Baba kata:
Saya tak buat filem kosong. (Puntianak Harum Sundal Malam)
Penjual VCD kata:
Belum ada. Minggu depan sampai...
Kita kata: ?

Wednesday, June 23, 2004

STRES... BERAMBUSLAH
SEMALAM
berbicara tentang pengurusan masa. Stres juga banyak kaitannya. Sebenarnya ia rangsangan. Jika pandai mengurusnya kita akan cemerlang. Pati pada pengurusan stres ialah kesimbangan antara kerja dan rehat. Antara pergaulan dan bersendirian. Antara sibuk dan lapang dan antara jasmani dan rohani.

Pagi ni teringat kata-kata ini:
Dia adalah dia yang semalam
Aku adalah aku yang hari ini
Kecintaan bukan satu kebetulan.
Di mulutnya tiada hati, lelaki
Hatinya di mulut, perempuan...

Tuesday, June 22, 2004

MENGURUS MASA
JIKA
ada persamaan dikalangan penyelia, persamaan itu ialah kekurangan masa. Kita merasakan jika ada lebih masa tentunya kita akan melakukan banyak perkara dengan lebih baik. Pokok, pangkal, (daunnya?)ialah:
- Adakah saya telah menggunakan masa yang secukupnya untuk melakukan segala kerja-kerja yang penting?
- Bolehkah saya kurangkan masa yang diperlukan bagi membuat segala kerja-kerja yang kurang penting?
- Bolehkah saya menyerahkan sesetengah daripada kerja saya yang tidak penting kepada orang lain?
-Adakah semua kerja saya ini relevan atau bolehkah kerja-kerja saya ini diketepikan saja?
- Masihkah ada masa untuk saya "tidak membuat apa-apa"?
Pembahagian masa - Ada kerja yang perlu dibuat hari-hari (deadline?), ada yang perlu dibereskan secara mingguan (tulis novel?), secara bulanan (claim mileage?) dan tahunan (borang 360 darjah?).
- Notes for Managers, terbitan The Industrial Society, London. Dibeli semasa Pesta Buku KL 2004.

Monday, June 21, 2004

SELAMAT HARI BAPA & ULTAH
Semalam -
anak-anak mengucapkan Abah, Selamat Hari Bapa. Saya pun mengucapkan hal yang sama dengan ucapan; terima kasih kerana menjadi seorang bapa yang baik, pengasih dan bertanggungjawab pada anak-anak.

Hari ini - Anak-anak mengucapkan Abah, Selamat Hari Lahir. Saya pun mengucapkan hal yang sama dengan ucapan; tahniah, umur makin bertambah, semoga sihat, semoga sukses dan terus bertanggungjawab pada kami semua.

Dia anak bongsu dalam keluarga. Dia anak bongsu yang tipikal. Dibesarkan dengan sungai dan lumpur bendang. Dia yang sudah kematian ibu dan bapa. Anak yatim piatu ini amat sensitif. Bayangkan... dia bertemu dengan saya anak ketiga yang sarat kasih sayang. Saya yang mewah tawa emak bapa. Saya yang dibesarkan di kota yang kurang ajar.

Sunday, June 20, 2004

Thursday, June 17, 2004

MARI MAIN KUTU

"MAMA
main kutu? Kutu atas kepala tu?"
Semasa anak sulung masih kecil, saya sudah beritahu dia pasal permainan kutu. Itulah soalan pertama dia. Tetapi setelah diterangkan barulah dia faham dan sekarang mereka pun main kutu sesama adik beradik, iaitu RM2 seminggu, hasil daripada lebihan wang saku sekolah. Di sekolah pun si sulung selalu jadi ibu kutu sesama rakan sekolahnya.

Tak perlulah diterang lebih lanjut pasal main kutu kerana saya anggap semua dah tahu konsepnya bagaimana. Saya memang sudah mengetahui permainan kutu ini sejak kecil kerana mak saya selalu jadi `ibu/induk kutu. Kelakar! Bilal dah ada pendapatan sendiri saya terikut, turut join emak dan kawan-kawannya main kutu, sampai sekarang. Antara permainan kutu kami ialah kutu untuk emas, kain batik, barang elektrik, peralatan dapur, barang kemas, untuk pergi melancong dan umrah.

Tapi awas; jangan mudah percaya bila nak cari geng main kutu. Bagitu juga bagi ibu kutu/induk, kepercayaan dan tanggungjawab terletak di bahunya apabila mahu menerima orang baru dalam list. Saya sedang mencari dalil tentang sistem kutu ini dalam Islam. Siapa boleh bantu?

Ini kerana dalam permainan kutu; konsep saling percaya mempercayai, berpegang pada janji, hormat menghormati, bersikap mendahulukan yang dulu, bantu membantu (kalau ada yang nak giliran kita) amat diambil kira kerana urusan kutu ni tak ada black white melainkan buku tiga lima (555) dan seumpamanya yang dipegang oleh ibu kutu.

Antara risiko main kutu:
- lesap bila si polan dah dapat habuannya.
- ibu kutu hilangkan diri

SORRY, BARU NAK SUSUN KERUSI

* Saya memang datang awal hari ini kerana hendak menyiapkan kerja-kerja tertangguh sebelum ke tempat kursus. Antara lain nak posting entri untuk hari ini. Tapi niat nak buka kedai awal pagi tak tercapai, internet line tak restu.... sorry! Datang lepas lunch ya, nikmati hidangan minum petang.

Wednesday, June 16, 2004

KERUT DAHI

SEMAKIN
sesuatu perkara itu dapat difahami, semakin mudahlah ia disimpan dalam ingatan dan sebaliknya semakin sesuatu perkara itu kurang difahami, semakin mudahlah kita melupakannya.
- Benedict Spinoza

DAYA ingatan sentiasa ada; bersedia dan ingin sekali membantu - kalaulah kita meminta ia berbuat begitu dengan lebih kerap.
- Roger Broille

INGATAN seseorang ialah harta baginya, tidak kita dia kaya atau miskin. Ramai teman wanita saya merungut dan mengakui daya ingatan mereka agak berkurangan seiring dengan peningkatan usia. Saya ambil masa agak lama juga sama ada hendak angguk mengiyakan atau pun hanya diam, mungkin betul mungkin silap kenyataan itu.

Datuk Dr. Fadzilah Kamsah pernah mengatakan jika kita suka memakan kepala ikan, daya ingatan kita akan lebih cepat berkurangan - kita akan jadi pelupa. (Saya tengah kerut dahi nih sambil membayangkan enaknya kari kepala ikan makan dengan papadom dan nasi putih atas daun pisang di Restoran Amal!)

Seorang lagi teman wanita mengatakan; sejak dia bersalin secara pembedahan (4 kali) daya ingatannya menjadi agak lemah. Payah untuk flashback, susah untuk menggerakkan daya ingatan. Katanya mungkin kerana kesan bius yang lama semasa pembedahan dan dirinya sudah banyak kali dibius (4 kali). Kali ini pun saya masih lagi kerut dahi!

Tuesday, June 15, 2004

SETAJAM MANA PEMERHATIAN KITA?

LAMPU
apakah yang terletak di atas sekali pada lampu isyarat? Merah atau hijau? Mungkin kita menganggap pertanyaan ini mudah. Tapi bayangkan kita sedang menyertai satu kuiz dan soalan ini tiba-tiba menerpa? Tergagap juga hendak menjawabnya. Okey saya tanya lagi, lampu warna apakah yang terletak di atas sekali pada lampu isyarat? Jawab dalam masa tiga saat!

Kalau anda pasti jawapannya merah, anda merupakan sebilangan kecil orang yang telah memerhatikan apa-apa yang kebanyakan orang hanya melihat. Melihat dan memerhati jauh bezanya. Apabila saya ajukan soalan ini kepada kebanyakan orang, sama ada mereka memberi jawapan yang salah, lambat untuk menjawabnya atau tidak pasti walaupun mereka melihat lampu isyarat beberapa kali setiap hari. Sebenarnya ada banyak lagi ujian-ujian yang boleh digunakan untuk mengukur ketajaman daya ingatan seseorang.

- Saya sedang mentelaah buku berjudul Cara Membina Daya Ingatan Yang Tajam - Cepat dan Mudah tulisan Harry Lorayne terbitan Golden Books Centre yang dibeli semasa Pesta Buku KL baru-baru ini.

Monday, June 14, 2004

SOALAN & JAWAPAN YANG SELAMBA

PENGGAL
persekolahan sudahpun bermula. Wanita-wanita yang bersatus emak bekerjaya mulalah kembali sibuk. Sejak Jumaat lagi semuanya sudah diuruskan, gunting rambut anak, repair kuku, periksa kasut sekolah, beg sekolah, pakaian sekolah kebangsaan dan agama dan macam-macam lagilah. Bagi kami sekeluarga, waktu ini timbullah pelbagai cerita jenaka antara kami anak beranak. Antara lawak popular kami;

Anak sulung; mama, baju sekolah kak long yang ada tanda biru tu kat mana?
Mama; ntahlah, dalam peti sejuk kot.
Anak kedua; mama, abang punya tali kasut adidas yang baru beli tu kat mana ya?
Mama; agaknya dalam almari pinggan mangkuk kot abang...
Anak bongsu; mama, Ami punya pencil box yang gambar power rangers kat mana ya?
Mama; ntahlah Ami, agaknya kat dalam almari baju...

- semua sengih! -

Memang semua dah tahu apa jawapan saya kalau mereka bertanya soalan-soalan selamba macam tu sebabnya saya pun akan menjawab dengan selamba. Mereka bukan tak tau, tapi sengaja nak menguji tahap kesabaran emak mereka ni!

Anak-anak, merekalah penawar hidup kita. Mereka amat diperlukan dalam meniti hidup ini. Sekiranya mereka sakit, kita juga turut sama sakit, ketika mereka ketawa ria, kita pun turut sama menumpang bahagianya. Semoga mereka tidak menjadi racun dalam hidup kita.

Friday, June 11, 2004

JANGAN TU JANGAN NI...

PAGI
semalam saya dan seorang rakan bersarapan di warung. Setiap seorang daripada kami makan sekeping roti canai dan secawan nescafe panas. Rakan sarapan saya, slim dan cantik bodynya. Saya pun risik-risik rahsia dia mengekalkan bentuk badannya. Banyaklah juga tips yang dia berikan. Antaranya;
- Selesai makan, jangan terus minum air. Biar dulu dalam setengah jam baru minum.
- Jangan suka sangat makan mi, nanti lengan jadi besar
- Jangan makan berdiri nanti perut buncit
- Makan buah dulu baru makan nasi
- Jangan minum air banyak sangat nanti perut boroi
- jangan tu jangan ni... banyaklah pantang...
- (tapi tak aci jugak sebab dia masih solo, berbeza dengan saya yang dah ada anak tiga dan tiga-tiga anak tu keluar kot `tingkap'! Lagipun dia baru awal 30-an sedangkan saya dah 40 karat!) Oh ya, lihatlah gambar kami bercuti di Langkawi di sini. Nampaknya saya dan anak-anak tak boleh makan mi dan minum air dengan banyak. Suami okey saja. Sob sob sob :-(

Thursday, June 10, 2004

PERISTIWA 26 APRIL & 9 JUN

RAMAI bloggers yang komen tentang six sence atau telepati yang saya paparkan semalam. Terima kasih. Tapi telepati saya tidaklah sampai kepada melihat benda-benda halus, perkara ghaib, hanya setakat biasa-biasa saja. Terima kasih atas nasihat EP. Sebenarnya beliau juga seperti sudah dapat mengagak apa yang saya rasa pada suatu hari bertarikh 26 April 2004 yang lalu. Sorry EP. InsyaAllah saya tak akan jadi riak, saya takut. Pokoknya ALLAH memberi, kita sama sama merasainya.

SEMALAM 9 Jun merupakan Hari Weblog Antarabangsa. Semua bloggers menyambutnya dengan pengertian tersendiri. Saya juga. Namun, saya baru sahaja mengenali dunia weblog - rasa masih canggung. Berbeza dengan menulis di media cetak yang sudah saya ceburi berpuluh tahun - dah rasa manis, pahit dan maungnya. Berapa peratus manis, pahit dan maung? Kira-kiranya 70% manis, 20% maung dan 10% pahit. Gitulah lebih kurangnya.

Wednesday, June 9, 2004

NALURI

MAHA SUCI ALLAH,
saya berkali-kali mengucap panjang ketika ini. Waktu sekarang hampir 1.40 dinihari, mata saya sudah mahu lena. Namun hati saya kuat mengatakan jangan tidur dulu, ada sesuatu akan berlaku...

Lalu setelah selesai membuat tambahan plot untuk novel terbaru (Hitam Putih Cinta - Judul Sementara) saya kembali melihat blog ini. Dan apa yang saya jangka terjadi... Khatijah Shukor, kawan semasa kami berusia 17 tahun muncul di tagboard! (Kami bertemu semula di Langkawi masa musim cuti lalu. Dulu kami solo dan kini masing-masing sudah beranak tiga).

Yes. Inilah antara telepati yang pernah saya tulis pada blog Pak Wattan dan saya berhutang topik ini dengan beliau, baru kali ini ditunaikan (harap-harap Pak Wattan selamat bertemu supervisor di Belgium).

Bukan kali ini saja. Sudah banyak kali seusia hidup saya perkara sebegini terjadi. Contohnya kalau saya kehilangan barang seperti kerongsang, beg duit, subang, jam tangan, kunci kereta dan sebagainya, saya jarang menggelabah tak tentu hala kerana naluri saya mengatakan barang tu ada, nanti akan jumpa juga akhirnya. Dan tak lama selepas itu saya dapat semula barang yang hilang itu.

Atau jika dijalanraya, sambil memandu hati saya berbisik sendiri seperti ada yang tak kena. Lalu saya memperlahankan kenderaan, masuk ke laluan perlahan dan tup tup di depan sana ada road block! Contoh kejadian lain; bila suami outstation saya jarang menelefon, cukup sekadar menyebut perlahan nama dia dan tak lama selepas itu dia mesti menelefon saya.

Berbalik pada kisah Khatijah, semasa menurunkan barang-barang dari kereta sewa di airport saya dan suami membahagi tugas. Saya menghantar kereta ke tempat kereta sewa dan dia menguruskan bagasi. Tetapi hati saya tergerak untuk bertukar tugas kerana mula terasa sesuatu bakal berlaku. Kami kompromi semula, biar saya yang bereskan urusan tiket dan bagasi, dia yang menghantar kereta sewa. Dan tatkala urusan bagasi itulah saya bertemu semula dengan Khatijah!

Saya berterima kasih dengan naluri yang ALLAH beri ini dan saya sama sekali tak menyalah-gunakannya. Ramai rakan yang tahu `kelebihan' telepati saya dan banyak kali mahu menggunakan `khidmat ini' tapi sebenarnya ia tak boleh dipaksa, tak boleh disuruh-suruh. Dalam apa jua keadaan ia akan hadir dengan sendiri.

Rasanya bukan saya seorang mendapat anugerah ini. Saya tahu ramai lagi yang lain, marilah kita kongsi pengalaman menarik ini.

Tuesday, June 8, 2004

MASALAH DATANG... JANGAN LARI!

MASIH
lagi tentang Langkawi, kali ini saya nak berikan beberapa senarai RM yang diperlukan sepanjang di sana seperti yang ditanya Nadahas. Antaranya:
- Tambang Air Asia sehala, dewasa RM160
- Executive Room City Bayview RM120 semalam
- Kereta sewa RM110 sehari (Wira/Iswara/Nissan Sentra)
- Ke Pulau Payar RM100 dewasa RM80 kanak-kanak termasuk lunch
- Underwater World RM18 dewasa RM10 kanak-kanak
- Galeria Perdana RM3 dewasa kanak-kanak free
- Taman Burung RM15 dewasa RM8 kanak-kanak
- Makam Mahsuri - free
- Beras Terbakar - free
- Dataran Lang - free
- Cable Car Mat Chincang (tak tau, tak pergi pun ke sana)
- ... RM lagi untuk shopping, duit minyak dan makan-makan.

SAYA dah tengok dah gambar persandingan Rudy dan Insyirah di blog Nadahas. Sungguh segak si raja sehari dan ratu sehari pun apa kurangnya, come lote. Agaknya ramai ke yang nak ke Banting hujung bulan ni bagi majlis sambut menantu?



rindu bak hujan

kasih angin selatan

cinta berkahwin

Memang ralit tengok gambar orang bersanding, teringat zaman kita bersanding dulu. Ya, bak kata ahli falsafah; perkahwinan adalah peta masalah, hanya mereka yang bijak, yang sabar dan yang berperasaan sahaja yang akan menikmati manisnya berumah tangga. Segala masalah ada jalan keluarnya. Pokoknya jika orang lain boleh bahagia mengapa kita memilih untuk bersengketa? Jika orang lain berhak ketawa ria kenapa kita hendak bermuram durja?

Inilah sebahagian daripada berjuta falsafah tentang perkahwinan. Semoga JANGAN ADA DUSTA dan tiada masalah hendak menyampaikan surat dari Mahkamah Rendah Syariah seperti judul KUALA LUMPUR DI MANA SUAMIKU. Saya ke blog Kak G tadi. Rasa seram sejuk membacanya. Hari ini bergaduh sakan, esok lusa laki bini boleh berpeluk mesra...

Monday, June 7, 2004

KENAPA LANGKAWI?

15 TAHUN
dulu tanpa anak... 15 tahun kemudian datang bawak anak-anak. Kawan-kawan ketawa besar apabila saya kata mahu honeymoon ke Langkawi dengan anak-anak. Ya dulu first honeymoon ke sana kami berdua tanpa zuriat dan Rabu lepas anak-anak pertama kali menjejak kaki ke Langkawi.

Sebenarnya bila Cuti Cuti Malaysia bersama anak-anak, kemesraan semakin rapat. Anak-anak pulak dah besar, mereka tidak mengganggu. Masing-masing dah pandai bawak diri dan jaga diri. Ini bukan bermakna kami lepas tangan tapi seronok melihat anak-anak lepas bebas bertindak dan berfikir (dengan pegawasan dari jauh). Membimbing mereka melihat peta, membantu kita tunjuk arah, belajar tentang sejarah, tentang pemuliharaan kesan silam dan memikirkan apa yang best dan tak best tentang Langkawi.

Bagi saya banyak tempat lawatan yang dah tak sebagus dulu. Kebanyakannya dah usang, dah tak dijaga. Mana silapnya? Kerajaan Negeri Kedah atau Kementerian Pelancongan? Banyak resort kecil terbengkalai tak dijaga. Makam Mahsuri nampak macam dah tak real, Beras Terbakar dah tak semeriah dulu, Galeria Perdana agak sunyi, Kampung Buku cuma tinggal kenangan. Kalau yang best sikit hanyalah Cabel Car, Underwater World dan Pulau Payar selain membeli belah sakan di Pekan Kuah. Itu saja.

Bila disuruh undi, anak-anak memberi markah lebih pada Pulau Payar. Memang pun, kami seronok gila di sana. Tambang feri dan pakej makan RM100 untuk dewasa dan RM80 untuk kanak-kanak. Feri luas dan boleh memuatkan hampir 100 orang. Set snorkling dipinjamkan untuk setiap orang. Seharian berkawan dengan tiger fish, berenang bersama anak paus, mengacah anak nemo, memberi mereka makan serta menunjal-nunjal perut buncit si gamat amat melekakan. Ya, kami sunburn di pulau ini.

Selain itu mengunyah coklat import, pistashio nuts dan hazel nuts dah jadi rutin selama 4 hari di Langkawi (ah... jerawat saya muncul kembali!) Laksa Penara di Dataran Lang diulang setiap hari. Best. Sedap. Hanya berjalan kaki dari City Bayview Hotel ke deretan kedai membeli belah yang dipenuhi ramai pelancong, saya sibuk membelek pinggan mangkuk dan kain batik Jawa. Tapi bila fikir balik... semua tu dah ada, tak beli pun tak apa. Jadi dengan insaf diri saya letak balik semuanya. Akhirnya saya hanya membeli satu set memanggang dan mengukus ikan! Suami pula sibuk mencuba pelbagai tembakau import untuk paipnya. Minyak gamat RM10 untuk 12 botol. Saya borong dua dozen saja sebab emak memesannya.

Rasanya cukup setakat ni dulu. Nanti saya tambah lagi.
(Sorry tak sempat nak masukkan gambar-gambar...)

Wednesday, June 2, 2004

Tarikh: 2 - 6 Jun 2004
Flight: AK 500 KLIA
Time: 11.am
Destinasi: Langkawi
Lokasi: City Bayview, Pekan Kuah
Tema: Honeymoon
Konsep: Free & Easy (Cuti Cuti Malaysia)


Tuesday, June 1, 2004

TEKANAN ATAU TERTEKAN

MUSIM
sekolah datang lagi. Bagi yang bekerja, mood di pejabat ada masam ada manis - staf bercuti bersilih ganti ikut giliran. A ambik cuti tiga hari, lepas tu giliran B pulak. Memang ramai yang memanfaatkan musim Cuti-cuti Malaysia ini. Bagaimanapun tension tetap ada pada yang tak dapat cuti. Kerja menimbun nak dibereskan. Nak buka fail, tutup fail, buka fail lagi. Sini saya berikan sikit tips;

- Apabila kita berada dalam keadaan tertekan, kita cenderung bernafas dengan cepat. Hal ini akan meningkatkan tekanan darah kita. Jesteru itu, apabila kita berasa tertekan cuba tarik nafas dalam-dalam, perlahan-lahan dan lepaskan selama 6 saat. Lakukan aktiviti ini selama lebih kurang 5 minit. Sambil tu mengucaplah dalam hati. Cubalah...

Monday, May 31, 2004

SEMOGA BUKAN PERTEMUAN AKHIR...

ALHAMDULILLAH
tamatlah sudah Pesta Buku Kuala Lumpur 2004 yang berlangsung dari 21 - 30 Jun lalu. Letih, lenguh & puas rasanya. Acara besar ini yang menghimpunkan ulat-ulat buku juga menjadi medan pertemuan rakan sekolah, rakan kolej, bekas rakan kerja dan kawan-kawan baru. Saya sempat jugak berbual dengan Datuk Dr. Mashitah Ibrahim & anak-anak. Di sini saya listkan geju yang saya jumpa sepanjang pesta buku. Thanks semua, saya gembira amat sangat!

1. Seri Adriani (mana Azlan?)
2. Walilnongsari (tak pakai baju silat)
3. Idham (teringat miss saki)
4. Liza (awok! & Aishah)
5. Baiti (thanks for the notes)
6. Zar (sure dtg dgn kereta baru!)
7. EP (thanks for coffee, sandwich & sweet muffin)
8. OP & Mulan (cerita ttg apartment tepi kesas highway!)
9. Wkdin (win-win situations)
10. MBA (dari semejid terus ke pwtc)
11. Sayangzzzz & hubby (rushing nak balik KT)
12. Mushroomcute & bodyguard
13. Riz (berapa RM habis?)
14. Mely & geng (gila sakan dgn zed zaidi)
15. Abrar (kecik molek orangnya)
16. Nida (first time jumpa)
17. Basrie & wife (ingatkan anak dia lelaki!)
18. Cnma & Shuth (darah manis woii...)
19. Donna Jollie(with JR, anak-anak dan adik Jollie)
20. Azah (Hanya Sayang)
21. Zino & mem (mem dia leka belek buku masak)
22. ... nama siapa lagi yang tertinggal?

Tak sempat jumpa:
1. Nazmi & Zaid Akhtar (suara Nazmi di hujung telefon. nanti jumpa ya!)
2. Tipah Vouge (dtg masa rehat la pulak...)

Booth Alaf 21 sakan dengan penulis novel manakala booth Karangkraf sesak dengan peminat Roshyam, Maya Karin, Zed Zaidi, Amy Mastura dan ramai lagi. Thanks semua, juga kepada yang beli novel saya. Saya amat hargai susah payah kalian utk ke PWTC walaupun keadaan amat kelam-kabut di luar PWTC dgn hujan selebatnya dan banjir kilat melanda Kuala Lumpur. Luv you all :-)

Friday, May 28, 2004

KERANA KITA
___________________________________________________

Kerana dia telah kupanggil suami;
Masa lalu tenggelam bersama bulan bersama matahari
Masa depan adalah hidangan kasih nan luas tak terperi
Entah hiba, entah ceria, entah tak ada, ia misteri

Kerana aku telah dipanggil isteri;
Nescaya kusongsong hari dengan erti
Kentalnya semangat, mimpi bukan ilusi
Mercu cinta ini tidak lunyai menemani hari

Perkahwinan adalah kota maaf gerbangnya setia
Simpanlah aib kerana ia adalah rahsia
Sanggulkan wangi jujur pada hati
Kutiplah bunga damai di sisi hari

Dalam belentara cinta yang menyala
Perkahwinan ini anugerah dari tepukan bahagia
Kita terus melangkah tanpa curiga malah siaga
Menyandang restuMu Illahi, Rabbul Izzati

Kerana kita;
Suami adalah nafas hidup
Isteri adalah nadi jiwa

Sri Diah
Kuala Lumpur
28 Mei 2004
* Sempena 15 tahun bersuami isteri


Thursday, May 27, 2004

BERCERITALAH, JANGAN MEMBEBEL

BERCERITA
dengan baik mememerlukan skil. Namun di antara kita, tidak ramai yang boleh menjadi seorang pencerita yang baik kerana kebanyakan kita hanya menjadi pendengar yang baik. (Kebetulan masih dalam musim Pesta Buku Kuala Lumpur, jadi entri ini masih lagi menyentuh tentang dunia buku dan pembacaan.)

Sejak kita masih kecil emak atau bapa selalu bercerita sebelum kita tidur. Jika mereka boleh membaca dan ada buku yang hendak dibaca biasanya mereka akan merujuk pada buku-buku. Sambil tangan kanan memegang buku, tangan kirinya mengusap kepala kita perlahan-lahan. Kalau tak faham emak akan cerita semula, hinggalah kita terlena sendiri. (Alhamdulillah saya dapat merasai nikmat itu semasa masih kecil.) Sebenarnya teori kebersamaan sebelum anak tidur itulah yang ingin ditekankan. Cerita sambil nasihat.

Tetapi itu dulu, suasana amat berbeza dengan masakini. Sekarang anak-anak dah lebih awal boleh membaca, anak-anak juga sudah menerima bermacam bentuk cerita (sin shan, doremon, komik dll) tidak lagi cerita tentang Anak Raja dan Harta Tergantung, Si Kancil yang Cerdik, Sang Ular dan Sang Arnab. Ini menjadikan mak bapa dah tak enjoy nak bercerita. Ditambah dengan keletihan kerana seharian bekerja.

Kata seorang ahli psikologi, masa yang berkualiti itu amat penting (masa sebelum anak tidur). Beliau cadangkan, selain daripada emak bapa bercerita, mereka juga mesti menyoal anak. Ada situasi interaktif. Ada soal jawab. Ada pro dan kontra untuk menguji mereka. Contoh:

Emak: ... Setelah penat berjalan, Salmi berhenti di bawah pokok. Dahan pokok itu besar, panjang dan mempunyai daun yang panjang serta lurus. Agaknya pokok apa tu?
Anak: Pokok kelapa
Emak: Ok betul. Apa guna daun pokok kelapa?
Anak: Buat lidi penyapu.
Emak: Lagi?
Anak: Cucuk sate!
Emak: Lagi?
Anak: Buat penunjuk mengaji
Emak: Lagi? Tempurungnya pulak? Batangnya?

So teknik bercerita tadi telah menjadi satu sesi soal jawab. Di masa yang sama kita telah mengerah si anak berfikir dan tidak hanya menerima saja apa yang kita beri. Sekianlah pendapat saya. Mohon mencadangkan....

Wednesday, May 26, 2004

DULU LAIN SEKARANG LAIN - DULU MALAS SEKARANG RAJIN

SAYA
amat tak bersetuju dengan statment yang kononnya masyarakat Malaysia malas membaca. Orang kita juga dikatakan hanya membaca beberapa baris ayat dalam setahun. Rasanya itu dulu... dulu pun rasanya kurang tepat sangat. Kita lihat sekeliling dan mendapati aktiviti membaca sudah menjadi satu budaya kini. Jika dulu payah nak lihat orang kita membaca sambil tunggu bas, sekarang dah ada. Dalam teksi, dalam lrt, komuter, dalam kereta (bukan si pemandulah) pun kita boleh lihat keadaan ini. Bahkan anak-anak muda, sambil tunggu seseorang, pun dah mula suka membaca.

Kebetulan musim Pesta Buku, saya suka nak menyentuh hal ini dan membawa anda ke booth Karangkraf. Tahun ini Karangkraf mengambil 30 lot. Tauke meluluskan pertambahan lot ini berbanding tahun lalu demi menyedari peri pentingnya kami memenuhi kehendak pembeli. Semua 29 penerbitan boleh diperolehi di sini. Antara yang turut menjadi tumpuan ialah majalah-majalah francais Dewan Bahasa & Pustaka. Mungkin selama ini pasaran tidak sampai ke tangan pembeli, mereka datang ke booth Karangkraf dan mencari yang backdated issue.Ada.

Mengenai novel Alaf 21 lagilah membanggakan. Naskah ulang cetak memang dinanti-nantikan. Ada judul yang sudah lima kali ulang cetak dan mencapai jualan keseluruhan sebanyak 50 ribu naskhah. Bukankah ini menunjukkan peratus orang membaca sudah makin bertambah? Strategi membawa penulis bertemu peminat juga amat bermakna. Banyak yang positif boleh dikutip hasil pertemuan itu. Percayalah, sudah ramai yang kembali membaca... terima kasih!

Tuesday, May 25, 2004

TROLI PASAR DI PESTA BUKU

DI KARANGKRAF,
sesiapa yang terbabit mengikuti kursus pada hari Ahad berhak mendapat cuti gantian. So saya pun mengambil cuti gantian yang diperuntukkan itu semalam. Boleh tahan jugalah sibuknya sebelah pagi maklum tiada di rumah dua hari. Menjelang petang pula saya angkut anak-anak ke PWTC (mereka juga bercuti kerana Sabtu ada mesyuarat PIBG sekolah). Taktik saya, supaya mereka tidak kacau saya Sabtu dan Ahad ini sebab saya nak jumpa ramai GEJU.

Tadi saya sempat melihat satu perubahan ketara dalam senario membeli belah buku di Kuala Lumpur. Oleh kerana hari ini hari bekerja, maka suasana tak begitu sibuk di PWTC. Saya perhati ramai yang membeli-belah sakan (orang gomen dah gaji!. Mereka membeli buku-buku serius (akademik) di booth lain dan singgah di Alaf 21 membelek-belek, membeli novel untuk relak minda kata mereka.

Ya, saya bangga melihat mereka menyorong TROLI! Troli tu macam troli yang biasa di usung ke pasar. Kalau dulu kita melihat pengunjung menjinjit beg plastik dari satu booth ke satu booth, tapi sekarang tak lagi. Dalam troli tu penuh dengan buku-buku. Bukan pembeli berusia saja, yang muda-muda pun begitu jugak. Ya, trend positif tu membanggakan.

Satu lagi saya lihat ramai orang lelaki beli buku resipi. "Nak belajar memasak ke?" Soal saya. "Tak lah... nak bagi isteri." Eloklah tu... jangan asyik nak komplen saja isteri tak pandai masak atau isteri masak tak sedap. Eloklah beli buku resipi dan suruh isteri belajar masak supaya dapat memasak yang sedap-sedap untuk suami.

* Lihat jadual bertugas penulis Alaf 21 di laman CIK ADIK NI

Monday, May 24, 2004

BELANG SIAPA LEBIH HEBAT?

A'kum;
I'm back! Dari hutan banat di Broga, Semenyih, Negeri Sembilan, kini saya sudah kembali ke Kuala Lumpur. Dua hari satu malam tanpa suratkhabar, tanpa telefon/h.phone, tanpa elektrik, sure tanpa televisyen, radio dan tanpa aircond, kami bersungguh-sungguh menetapkan hati bahawa yes we can survive! Bukan sahaja harimau malah kalau ular datang menggigit kami akan menggigit ular itu semula kerana kami lebih ular daripada ular itu!

Sebut tentang ular dan harimau (haiwan)saya teringat tentang pelbagai bidalan tentang haiwan. Begitu jugalah ramai yang mengatakan - Ada banyak haiwan dalam kelompok manusia tetapi tidak ada manusia dalam kelompok haiwan. Sampai ada bidalan haiwan yang merujuk pada manusia. Contohnya; mati katak; haruan makan anak; macam kerbau dicucuk hidungnya dan banyak lagi. Semua itu menunjukkan betapa hebatnya manusia dibandingkan dengan haiwan!

Cuba perhati pepatah ini pula : HARIMAU MATI MENINGGALKAN BELANG, BILA MANUSIA MATI, BARULAH NAMPAK BELANGNYA! Silalah rujuk pepatah ini dengan beberapa laporan akhbar akhir-akhir ini dan silalah buat intrepetasi sendiri. (Bagi saya sepatutnya dibicarakan di mahkamah tertutup saja)

Friday, May 21, 2004

8 JAM DALAM PERANG

HARI
ini saya ingin menulis sedikit tentang minat dan tanggungjawab. Analogi paling ringkas begini; saya minat menulis tapi saya ada tanggungjawab kerja. Macamlah seorang tukang masak, dia minat memasak tapi dia diberi tanggungjawab mengira jumlah kalori setiap masakan dengan detail. Ataupun seorang tukang cat yang minat mengecat tetapi dia hanya dibolehkan mengecat hanya satu kerusi saja sehari. Padahal kalau diikutkan dia boleh mengecat 50 kerusi sehari.

Apa yang saya alami kini samalah dengan apa yang telah dilalui oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said lebih 12 tahun lalu apabila diarahkan menjadi seorang pentadbir di NST. Awal-awal lagi beliau sedar tanggungjawabnya sehariannya itu nanti akan mematikan minatnya pada sastera. Lalu beliau nekad resign. Beliau enggan jadi pentadbir. Beliau tidak mahu masanya dihabiskan dengan kerja-kerja rutin - meeting, deadline, printing, promotions, circulations, advertising, karenah staf, karenah bos, soal out-station, headline, caption, blurb, cover, fokus magazine, konsep foto dan sebagainya.

Keputusan meletak jawatan adalah kekuatan luar biasa Pak Samad. Setahun selepas itu, kami berjumpa. Saya tanya soalan yang dijawabnya dengan ketawa panjang. "Tak mengapalah Sri, saya sudah terlalu tua untuk kerja pejabat. Saya rindukan bas mini, driver teksi, Pasar Seni, Petaling Street, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan masa senggang membaca puisi di DBP."

Ya, saya juga selalu rindukan HITAM PUTIH CINTA (judul sementara) apabila setiap masa diburu kesibukan pejabat. Uuuhhh...!

Thursday, May 20, 2004







 PESTA BUKU KUALA LUMPUR

Tarikh: 21 - 30 Mei 2004

Masa: 10 pagi - 9 malam

Tempat: Dewan Tun Razak 3, Aras 3, Pusat Dagangan Dunia Putra

Lokasi Alaf 21 & Kump. Karangkraf No: 3220 - 3251 (30 lot)

Tarikh saya bertugas: 28hb - 30hb Mei 2004 (11 pagi - 6 petang)

JUMPA DI SANA....!

 


Wednesday, May 19, 2004

TERUNA EMAS VS WANITA EMAS

FAKTA
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan bilangan lelaki yang tidak berkahwin melebihi bilangan wanita yang tidak berkahwin. Sudah semestinya perangkaan itu diberi setelah piha LPPKN menjalankan pelbagai kajiselidik.

Saya ingin anda merujuk fakta ini pula:
1. Wanita terpelajar antara faktor kenapa mereka lambat kahwin. Betulkah?
2. Wanita lambat kahwin kerana lelaki kolot. Betulkah?
3. Wanita malas berkahwin kerana lebih percayakan kaum sejenis. Betulkah?
4. Semakin ramai lelaki lembut antara punca statistik lelaki lambat kahwin meningkat. Betulkah?
5. Bertambahnya lelaki homoseksual menyumbang kepada statistik lelaki lambat kahwin. Betulkah?
6. Seks bebas semakin berleluasa menjadi faktor lelaki enggan berkahwin.

Cuba-cubalah anda renungkan pendapat rambang ini.

Sunday, May 16, 2004

GURU BERKUALITI PEMANGKIN KEGEMILANGAN

SAYA
ingin mengucapkan Happy Teacher's Day kepada semua guru di seluruh Malaysia. Tidak kira guru tadika, guru sekolah rendah, sekolah menengah, tutor, pensyarah, ustazah, tok guru, tok imam, guru bersara, ibu bapa yang tak kering idea mendidik anak-anak dan anda semua yang menjadi guru dalam hidup masing-masing.

Kepada semua guru-guru yang mendidik anak-anak saya, kepada semua bekas guru, saya ingat anda semua. Terima kasih kerana mendidik kami. Saya sayang anda! Kepada rakan blog; Cikgu Yazmeen , Cikgu Nectar, Cikgu Midad, Cikgu Rajiah di UK yang tengah bercuti mengajar, Angah di UK - bekas guru, Muring, Crimsonsky dan ramai lagi, Selamat Hari Guru saya ucapkan. Keikhlasan guru-guru dalam menunaikan tanggungjawab amat disanjung tinggi!

Friday, May 14, 2004

ENJOY... JANGAN TAK ENJOY

SAYA
dapat merasakan kegembiraan dan semangat tak sabar-sabar sebahagian ahli GEJU yang hendak berkumpul di lokasi kepunyaan Kak G dan famili di KLD. Apa nak kata... saya tak boleh turut serta kali ini kerana ada beberapa perkara yang perlukan komitmen saya. Memang hati nak pergi tapi kaki tak boleh melangkah pergi. Ewah, indahnya bahasa Melayu kita kan!

Kepada semua saya ucapkan selamat bergembira dan selamat mengenali alam yang penuh dengan rahsia, mengenal bahasa pokok, memesrai indahnya mentari pagi dan redup petang. Melihat indahnya awam gemawan yang akan berkahwin di tengah tasik jika hari terang. Melihat bulan mengundur diri kala syuruk. Mendengar bunyi unggas. Melihat nikmatnya pacat menyedut darah. Melihat kepak beburung yang bangga dapat terbang bebas. Segala-galanya....

Sebelum pergi pastikan semua yang penting dibawa bersama. Kepada yang sakit jangan lupa ubat-ubatan. Yang tak sakit pun kena ready jugak. Jangan tertinggal cermin mata, pakaian sukan, h/p, rm, baju, kasut, stokin dan asam boi...(visa tak payah!) Ok happy holiday, semoga selamat pergi dan selamat balik. Sampaikan salam saya untuk semua.

Thursday, May 13, 2004

DARIHAL BULAN MEI

MAAF,
hari ini lambat sedikit menulis entri. Sorrylah bila datang tak ada apa yang saya hidangkan. Oh ya, terima kasih dengan ucapan anniversary in advance. InsyaAllah, semoga semua yang mendoakan kebahagiaan untuk saya akan mendapat juga kebahagiaan bersama.

Memang Mei atau bulan 5 merupakan bulan istimewa bagi saya dan keluarga. Cuba perhatikan - Tarikh 2 Mei 1985 merupakan hari pertama saya melapor diri bertugas di Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. kerana 1 Mei adalah cuti umum yang dipanggil Hari Buruh waktu itu. Tarikh 2 Mei 1987 pula saya dilantik ke jawatan Editor Bacaria. Manakala bermula 2002, 1 Mei telah diisytiharkan sebagai malam ulangtahun Karangkraf serentak dengan jamuan makan malam untuk semua staf dan spouse. Kami akan meraikannya setiap tahun pada tarikh ini.

13 Mei 1969 telah mencatat tragedi berdarah di negara kita dengan persengketaan antara kaum hingga berlakunya huru-hara. Tetapi 13 Mei 2004 (hari ini) merupakan hari gembira kepada suami saya. Pukul 9 - 12 tengah hari ini dia bersama beberapa orang rakannya mengadap Kebawah Duli Sultan dan Sultanah Kedah di Istana Anak Bukit dalam satu upacara penuh istiadat. (Okay dear, you deserve it!).

Eh, cerita tentang Mei tak habis lagi - pada 13 Mei 2003 (2+3=5!), 5 novel saya bersama Alaf 21 telah dilancarkan di Hotel Singgahsana Petaling Jaya oleh Datuk Azalina Othman Said. Dan tak lama lagi 28 Mei akan tiba. Bilangannya pun ada nombor 5 - 15 tahun! Oh, semua ini hanya kebetulan bagi saya.

Wednesday, May 12, 2004

ANTARA KITA

Kerana sumpah telah kita lafazkan
Perkahwinan yang berdiri dengan cinta
Bukan alasan tiada curiga menerpa

Mari bersama kita bunuh prejudis
Kerana anganan bahagia adalah serapuh awan
Dan sengketa akan merebak bagaikan kudis
Menaburkan marah dan rasa pesimis

Ini dunia lama yang masih baru
Jika malam ini datang wahyu
Bangkitlah, jangan tak tahu
Aku adalah cermin yang tak pandai menipu

Menyandang kesabaran dengan tali kesetiaan
ia menduga rasa gundah, bagai menadah
bilakah dunia akan sempurna
hilang ego lelaki, hilang segala
dan wanita bangkit dengan kecapinya
menerobos sekawan bimbang dan secangkir rendah diri
bahawa ini adalah dunia, bukan ilusi

Diriku adalah api uji
Dirimu ada setia dalam diri

Bandar Tun Razak
28 Mei 2003


Sajak ini saya sumbangkan kepada pasangan bakal pengantin - Rudy dan Insyirah sempena perkahwinan mereka tidak lama lagi. Sajak ini pertama kali tersiar di laman penyair di communityzero pada tahun lalu. Mengapa tahun lalu? Sebenarnya sajak ini adalah sajak sempena ulangtahun perkahwinan saya dan suami yang ke 14 tahun pada tahun lalu. Dan tahun ini 28 Mei akan tiba tak lama saja lagi...

Monday, May 10, 2004

ADA KERJA ADA GAJI

SEBAGAI
seorang isteri, ibu kepada tiga anak, anak kepada seorang emak, pekerja dan komuniti dalam masyarakat, cuti dua hari pada Sabtu dan Ahad lepas bukanlah rehat sepenuhnya. Kebetulan dua hari itu jatuh pada sambutan hari ibu yang diraikan oleh kebanyakan orang. Jadi antara membereskan hal dalam rumah, hal luar rumah pun kena dibereskan juga. Antara jemputan kenduri kahwin, jemputan jiran dan kenalan kerana mendoakan kesejahteraan ibu dan sambutan hari ibu majalah Seri Dewi dan Keluarga di PJ Hilton, saya terpaksa memenuhi semuanya.

Mujur juga dua hari itu saya tak naik `hangin' bila tagboard blogspot buat hal. Mulanya saya repair sendiri dan akhirnya mentor datang hulurkan tangan, bolehlah bernyawa sikit tagboard tu. Thanks. Tapi tak lengkap lagi... kena letak mekap lagi!

Seperti pekerja biasa, awal bulan agak memenatkan. Banyak urusan pejabat antaranya urusan claim mileage, claim luar daerah dan urusan deadline majalah bulanan serta pemantauan disiplin bulan lalu.

Pokoknya KERJA. KERJA. KERJA. Boleh tak kalau kita tak pergi kerja tapi RM masuk saja? Kata kawan saya boleh kalau jadi isteri Pengiran Sufri Bolkiah. Tapi... kita ni sekadar di pinggiran saja!


Friday, May 7, 2004

DEMI RASA KASIH DAN KASIHAN

DIA bukan anak kita. Tapi dia saudara kita. Sebanyak RM260 ribu masih diperlukan bagi membolehkan penghidap penyakit bengkak hati (biliary atresia), Safiyyah Khadijah Iskandar, 26 bulan, menjalani pembedahan pemindahan hati yang dijangka pada akhir bulan depan. Ibunya, Nurulhaida Rabu, 27 sesuai untuk menderma sebahagian hatinya untuk menyelamatkan Safiyyah Khadijah.

Antara idea untuk menambah tabung kewangan:
- Pertandingan golf amal
- Kutipan derma di surau dan masjid
- Kempen `Nesa Team Charity'
- Kutipan derma pintu ke pintu

Lebih mengharukan ialah apabila Mohd. Ezani Yaakob iaitu bapa Allahyarham Nur Nesa Uzma, kanak-kanak bengkak hati yang meninggal dunia setelah menjalani pemindahan hati, menawarkan bantuan untuk menyebarkan risalah `Rayuan Tabung Misi RM300,000 Safiyyah Khadijah' di plaza tol. Beliau dan rakan-rakan dalam `Nesa Team Charity' yang menjayakan misi kutipan itu dahulu, kembali untuk membantu Safiyyah pula walaupun anaknya sendiri telah meninggal dunia.

Hulurkan sumbangan kepada Adik Safiyyah Khadijah melalui akaun: EON Bank 0539-11-000161-9 atau hubungi Bilik Gerakan 03-61575592


Thursday, May 6, 2004

SAYA YANG BUKAN SAYA... SEMALAM

TENGAH
hari semalam saya `angin'! Sebenarnya saya jarang naik angin. Kawan-kawan rapat tau sikap saya ni. Kalau boleh saya cuba elak daripada naik angin dengan orang lain tak tentu pasal. Tapi semalam dah terover sikit. Ceritanya macam ni... bukankah kita cuti panjang bertindan-tindan seminggu lepas, jadi banyaklah bil yang tertunggak. Mana yang boleh online dengan Maybank2u dah dibereskan. Tapi bil rumah dengan kereta, kenalah selesaikan cara manual. Bank pulak kalau setakat bawah RM3 ribu kena urus sendiri pengeluarannya dengan ATM (teringat entri mba pasal ni).

So saya pun beraturlah di ATM. Depan saya ada empat orang. Belakang saya ada seorang perempuan dan di belakang dia ada lagi lima orang. Masing-masing dengan wajah `dahagakan' RM. Macam saya jugak. Tiba gilliran saya, saya pun teruslah tukar menu untuk pengeluaran melebih RM1 ribu. Kakak belakang saya dah berdecit. Saya teruskan hajat saya dan RM1 ribu sudah ada dalam tangan. Kemudian saya masukkan kad lagi untuk pengeluaran RM1 ribu lagi. Dia berdecit lagi... (sure dia bukan cencorot!). Saya teruskan lagi aktiviti untuk pengeluaran akhir RM1 ribu lagi. Kali ni dia kata `ya Allah....!'

Hati saya berdesup. Eh apa pasal pulak dia macam tu? Saya dah buat dosa ke? Bagi saya berat sungguh ucapan dia tu... tak kena mengena dengan aktiviti saya yang sedang mengeluarkan duit. Sebaik saja habis proses pengeluaran dan duit dah ada dalam tangan, saya menoleh memandang tepat ke mata dia.

"Hey...! Saya keluarkan duit saya tau!"
"Ini duit saya! Bukan duit awak!"
"Saya ambik duit saya! Kenapa awak nak marah saya hah?"
"Saya beratur depan awak. Sayalah dulu. Awak tunggu saja giliran awak!"

Lepas tu saya terus blah...! Ketika saya menoleh semula, dua tiga orang di belakang kakak tadi tersengih pada saya. Bila sampai dalam kereta saya terfikir balik. Eh, gilanya aku hari ni. Tak pernah aku macam ni... Ya Allah, maafkan aku kalau tadi aku `angin' sikit. Mungkin kakak tu urgent dan mustahak perlukan duit. Tapi aku pun urgent dan perlukan duit.

Tuesday, May 4, 2004

SIBUK SAKAN - KARANGKRAF 24 TAHUN!

SAYA
di pejabat hari ini memandangkan hari ini adalah hari bekerja di Karangkraf. Kami bekerja pada tarikh ini kerana tiada staf yang menyambut perayaan Wesak. Tapi bekerja di saat orang lain cuti, tak banyak yang boleh kami `kerjakan'. Telefon ke pejabat-pejabat tidak berangkat, segala urusan jadi tergendala. Bagaimanapun seperti yang sudah dirancang dan kebiasaan, banyak aktviti dalam pejabat seperti shooting, temubual di pejabat, mesyuarat, perbincangan jabatan dan sesi kursus sahaja yang boleh dilakukan.

Sebenarnya minggu lalu saya benar-benar sibuk. Sebab itulah entri pun tersangkut lama di hari Khamis. Sorry semua... Saya terbabit dalam komiti Annual Dinner Karangkraf dengan temanya Hot & Spicy Nite di Perdana Ballroom Balai Felda pada malam 1 Mei. Saya menjaga bahagian Anugerah Pekerja. Semuanya ada 11 kategori membabitkan pekerja Ultimate Print Sdn Bhd dan Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. Jenuh jugalah untuk membuat pemilihan yang dilakukan secara manual (untuk pekerja kolar biru) dan online (untuk pekerja kolar putih). Malam itu bab anugerah dimeriahkan dengan multimedia presentation dengan bantuan unit IT.

Malam dinner itu masing-masing bergaya sakan. Semua datang awal untuk lucky draw. Tapi nasib tak menyebelahi... saya ni dah banyak kali tak ada luck. Grand prizes malam itu ada lima;

Grand Lucky Prize - Barang kemas Poh Kong bernilai RM30 ribu
Kedua- Barang kemas Poh Kong bernilai RM10 ribu
Ketiga - Barang kemas Poh Kong bernilai RM10 ribu
Keempat - Barang kemas Poh Kong bernilai RM10 ribu
Kelima - Barang kemas Habib Jewel bernilai RM4,500
Keenam - Barang kemas Habib Jewel bernilai RM3,500
... dan lebih 300 barangan berharga lagi seperti TV 29 inci, peti sejuk, vacum, microwave, vcd player dll.

Tak mengapalah, bukan rezeki saya dan komiti (komiti lain pun tak dapat hadiah - sabar je lah!) Tapi kami dah berusaha bersungguh agar majlis berjalan lancar. Nampak gayanya semua pekerja dan suami puas hati termasuk soal makanan, show, pertandingan, artis jemputan, hadiah dan lain-lain.

Yang pastinya komiti semua dah berusaha melipat-ganda kerja. Di masa sama kerja pejabat semua beres, tak ada majalah atau akhbar yang tersangkut, semua on time. Deadline okey. Disiplin pun saya puas hati, okey. Senyum jugaklah dalam sibuk-sibuk dengan meeting Annual Dinner... Nak tengok gambar-gambar? Tengoklah....