Saturday, November 22, 2003

DUGAAN RAMADAN

HARI ini Sabtu yang pasti memenatkan. Ketika ini jam sudah satu setengah tengahari, letihnya semacam saja. Kenapa? Banyak sebab kerana banyak kerja... maklumlah tak berapa hari sahaja lagi nak hari raya. Tentulah kerja makin berganda. Semuanya kerja orang perempuan. Suami kata boleh tolong? Eh nak suruh hubby buat apa ya... oh ya, tolonglah apa saja yang patut.

Antara kerja-kerja separuh akhir menjelang Syawal ini ialah menjahit langsir. Dah dua hari, tak habis-habis jahit lagi. Langsir di rumah ni bukanlah langsir baru, rasanya dah empat tahun mengguna langsir yang sama. Oleh itu tak mengapalah, tahun ini keluar duit sikit menjahit langsir baru. Jahit sendiri - jimat banyak! Bukan yang mahal, beli yang murah tapi nampak macam mahal...

Sebelum tutup mesen jahit telefon emak dulu... dan tak lama kemudian emak hantar tiga helai kain batiknya dan tiga helai kain pelekat abah untuk dijahit. Slack dan jeans anak-anak yang baru dibeli pun kena repair kakinya. Labuh teramat.

Menukar cadar dan sarung bantal pun meletihkan. Berpeluh jugaklah. Mujur anak tak ramai, tiga orang. Jadi tiga set cadar dan bantal anak-anak dicampur dengan satu set kami suami isteri... aduh!

Kemudian menukar hamparan pula. Ini lagilah membuatkan puasa makin memenatkan. Alamak... bila fikir semula, kenapalah tak buat sikit-sikit sebelum puasa? Jadi bulan puasa ni taklah semuanya kena buat serentak. Tapi fikir-fikir semula, sebelum puasa sibuk hal yang lainlah pulak.

Berhenti seketika selepas Zohor inilah masa untuk rehat sekejap.
Alhamdulillah...


Friday, November 21, 2003

PANTUN: AIDILFITRI SETAHUN SEKALI


Ramai-ramai pergi bersembahyang,

sambil berjalan sambil bercerita.

Dari jauh ucapan kulayang,

semoga Aidilfitri bertambah ceria.


Malam Lailatulqadar kunanti setia,

tasbih digenggam doa kubaca.

Aidilfitri hari mulia,

tangan kuhulur maaf kupinta.


Aidilfitri setahun sekali,

bangkit dan dodol terhidang di meja.

Balik kampung setahun sekali

berpeluk mesra, berpisah tiada


Bergurau senda sesama saudara

jangan lupa mereka yang tiada

Doa dibaca di pagi raya

mohon restuNya, ALLAH yang Esa


- Sri Diah

Thursday, November 20, 2003

TANGAN DIHULUR, MAAF DIPOHON

ESOK adalah hari akhir bekerja. Kebanyakannya sudah pun mula berkemas. Di pejabat, berkemas meja dan save semua artikel dan juga imej dalam CD dan disimpan di tempat selamat. Di rumah, mana yang hendak pulang ke kampung halaman tentu sudah berkemas barang yang ingin di bawa balik kampung.

Hati masing-masing sudahpun sampai ke kampung walaupun jasad masih lagi di tempat kerja. Biasanya mood bekerja pun agak berkurangan ketika ini. Di atas meja sudah terlonggok beraneka balang kuih muih yang akan dibawa balik. Memang suasana bekerja sudah berganti dengan seronoknya akan berhari raya.

Di sini ramai yang sudahpun menghulurkan tangan memohon ampun dan maaf jika ada salah silap. Ini dilakukan lebih awal kerana ada yang tidak akan masuk ke pejabat esok kerana kebetulan ada assignment last minute, ada temujanji dengan client ataupun sejak dua hari kelmarin bertugas outstation.

Di saat ini hati selalu tersentuh. Hiba dan sayu. Kami akan bermaafan, berpelukan, memohon diampunkan salah silap selama ini jika ada. Lengkaplah dengan pesan memesan, berkirim salam pada sanak saudara di kampung dan tak lupa kepada emak dan bapa masing-masing. Hubungan akrab ini sudah terjalin lama. Ada yang sudah bekerja bersama-sama sejak 20 tahun lalu, malah saya sendiri pun sudah bekerja di sini lebih 18 tahun.

Antara kami saling kenal mengenal. Mereka kenal mak saya dan adik beradik saya, begitu juga saya kenal emak bapa mereka dan adik beradik mereka. Tentulah perasaan kekeluargaan itu amat erat, sakit pening semua tahu. Suka duka, semua merasai bersama.

Big bos pula akan datang ke setiap meja menghulur tangan. Inilah yang paling saya hargai. Sungguhpun dia majikan, dia tauke, dia yang membayar gaji kami, tapi bila bab begini jurang itu seperti tiada langsung. Tangannya dihulur kepada semua orang dari satu meja ke satu meja. Tak kiralah dia itu kerani, makcik tukang bersihkan pejabat, wartawan, editor, jurugambar, designer, pekerja di bahagian operasi percetakan, pemandu - semuanya!

Sikap inilah juga yang membuatkan saya kekal di sini sampai hari ini. Tidak hairanlah, pada hari raya petama, kebiasannya kediamannya akan penuh dengan staf, datang berhari raya. Bagi yang lebih muda dia umpama abang. Dia juga umpama bapa kepapda mereka yang sudah tidak mempunyai bapa.

Terima kasih Haji Hishamuddin, Haji Fickry, Encik Nasir serta seisi warga Karangkraf.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.

Wednesday, November 19, 2003

JANGAN PERANGKAP ANAK-ANAK

MINGGU terakhir menjelang cuti lebaran, kesibukan terasa berganda. Mengikut perancangan semuanya mesti beres sebelum 21 November. Mana-mana jabatan editorial yang belum melengkapkan edisi Januari mesti stay back. Begitu juga dengan jabatan grafik. Designer juga mesti stay back. Dikala begini semangat berpasukan begitu teruji. Semuanya tiada masalah dan itulah yang kami lalui sejak bertahun-tahun lalu.

Apabila mula bertugas pada 1 Disember nanti edisi Februari pula disentuh. Lumrahnya selepas hari raya, waktu itulah juga bab rendang hangit, biskut hangus, lontong basi atau hal ketupat rentung dan insiden bermasam muka pagi raya sudah semestinya mengisi agenda. Biasanya ketika ini produktviti menurun. Sebab itulah persiapan pada November amat penting.

Bermasam muka kerana giliran balik kampung? Seorang kawan saya berasal dari Johor, suami pula dari Kelantan dan mereka bekerja di Kuala Lumpur. Isteri ada sebab hendak beraya di Johor, begitu juga suami ada alasan kukuh hendak beraya di Kelantan. Akibat tidak mahu mengalah mereka berhariraya berasingan, mengikut rancangan sendiri-sendiri. Anak-anak? Mereka terperangkap dalam dilema mak bapa.

Puncanya - tidak mahu mengalah.

Sifat tidak mahu mengalah inilah juga yang mengakibatkan berlakunya kemalangan di musim perayaan. Masing-masing mementingkan diri sendiri. Rasanya tidaklah jatuh martabat seseorang jika kita bersedia mengalah. Malah kita akan disanjung tinggi pula.Tapi ingat, mengalah hari ini untuk kita bangkit di hari esok...!

Tuesday, November 18, 2003

SEDONDON DI AIDILFITRI

SAYA dan suami bercuti sehari semalam. Kami mengambil kesempatan itu membawa anak-anak membeli belah keperluan mereka untuk menyambut Aidilfitri. Saya sengaja memilih hari Isnin dengan teori bahawa hari Isnin agak lengang, orang ramai tidak berasak-asak dan mudahlah mencari pakaian dan kasut untuk anak saya bertiga itu. Teori itu betul. Kami bershopping dengan selesanya...

Ikutkan pilihan anak-anak semuanya nak yang berjenama, nak BUM, NIKE, KIKO dan entah apa-apa lagi. Fikir punya fikir kesian pulak kalau tak ikutkan. Sebab bila tiba bahagian raya ini, anak-anaklah yang meriahnya. Jadi, ambillah sehelai dua yang berjenama. Selebihnya yang tak berjenama. Kata saya, janji ada baju baru. Ingat sikit pada kawan-kawan yang malang, yang tak ada mak bapa, yang miskin.

Teringat semasa kami adik beradik masih kecil dulu, untuk anak-anak perempuan emak akan membeli satu jenis saja rekaan kain (kain kapas). Semua adik beradik perempuan akan pakai baju kurung dengan corak yang sama. Yang lelakipun dengan jenis kain dan warna yang serupa. Sedondon. Beraraklah kami seluruh kampung dengan baju raya itu.

Sekarang ini pun saya masih kekalkan tradisi itu. Contohnya saya dan anak perempuan bercorak bunga warna biru, yang lelaki akan berbaju Melayu warna biru kosong. Sudah beberapa kali raya, saya, suami dan anak-anak berpakaian sedondon di Aidilfitri. Mujur mereka semua sporting. Seronok bila banyak mata memadang dan ada kelainan jika berjalan-jalan ke rumah saudara mara. Paling bangga bila saya kata baju-baju itu saya jahit sendiri!

Ada yang teringin mencuba?

Sunday, November 16, 2003

HAIKU: SYAWAL DI ALOR SETAR

(Haiku ialah puisi Jepun dgn sukukata yang terikat iaitu 5 (sukukata baris pertama), 7 (sukukata baris kedua) dan 5 (sukukata baris ketiga). Layari http://www.communityzero.com/haiku utk lebih mengenali Haiku, Tanka, Senyru dan lain-lain lagi.)


rindu kampungku

sayup terdengar takbir

sawah menguning


lebaran ini

padi membunting lagi

tunduk ke bumi


maaf kumohon

bersih jiwa dan raga

suara hati


embun di kaki

bulan Syawal nan berkat

mataku basah


kurindu kota

ingin segera pulang

mendakap bonda


- Sri Diah

Saturday, November 15, 2003

... DAN MEREKA PUN PERGI

* KEMATIAN Norhananim Zainol, 21 dan Teh Nannie Rashema Roslan, 21, yang terbunuh selepas dilanggar sebuah pikap ketika melintas jalan selepas berbuka puasa dan solat di Masjid Ann Arbor dekat Michigan masih memilukan kebanyakan kita.

Kita tidak ralat jika yang meninggal itu perompak, perogol, pembunuh, penghidap Aids kerana aktiviti luar batasan dan norma kemanusiaan atau sebagainya... tetapi yang pergi itu adalah pelajar pintar - harapan negara dan keluarga. Dua orang anak yang baik, patuh dan salih.

Di samping itu kita juga berduka dengan kematian ramai juruterbang, polis dan tentera - al Fatihah untuk mereka semua.

Kepada rakan-rakan blog yang kini di perantauan (ramai... tak tersebut di sini tapi saya ingat anda semua!) berhati-hatilah sentiasa. Saudara mara, sahabat handai di tanahair sentiasa menantikan kepulangan anda semua dengan selamat dan ceria. Jangan hadiahkan mereka dengan air mata.
_____________________________________________________________

.... DAN SYAWAL KIAN MENJELANG

* "Lagi 10 hari nak raya, bila mama nak start buat kuih?" Soalan anak-anak menerpa. "Okey hari ini dan esok kita buat kuih raya!"

* "Lagi 10 hari nak raya, bila mama nak start jahit langsir?" Jahit langsir? Kain langsir pun mama belum beli!

* "Lagi 10 hari nak raya, bila mama nak start kemas rumah?" Kemas rumah? Hari-hari berkemas, masih tak terkemas lagi...

Anak-anak, apa yang mereka fikir mereka akan cakap...
Ya, lebih kurang 10 hari lagi nak Aidilfitri.

Friday, November 14, 2003

SAYA TAK SURUH, BOS PUN TAK SURUH

DALAM media cetak atau elektronik kita selalu disogok dengan pelbagai kisah masyarakat yang kurang bernasib baik. Mereka menderita kecacatan, hidup melarat dan miskin, dicengkam penyakit kronik dan sebagainya.

Tidak dinafikan masyarakat Malaysia memang tergolong prihatin. Jika ada yang memohon simpati, hati cepat benar tersentuh dan ramailah yang menderma. Wartawan kami juga ada yang jadi pegawai kebajikan masyarakat yang tak bertauliah. Uruskan hal anak-anak terbiar, wanita miskin lagi melarat yang bingung ditinggal suami, urusan rumah kebajikan dan macam-macam lagi.

Apabila terdengar ada saja wartawan yang mahu bertugas out-station, sesiapa yang ingin menyumbang akan segera menghulurkan beg plastik atau kotak bersisi pakaian terpakai dan sebagainya. Ini nak hari raya, lagilah ramai yang menderma. Wartawan yang terbabit buat kerja sukarela. Saya tak suruh, bos pun tak suruh.

Teori wartawan saya mudah saja - Terlanjur nak berjumpa untuk temubual, daripada datang berlenggang, hulurkanlah sumbangan. Semoga semua usaha kita akan mendapat berkat. Apalagi dibulan Ramadan dan Syawal ini.

Thursday, November 13, 2003

MENGAPA MEMILIH BERAYA DI MEKAH?

MINGGU ini saya terdengar cerita daripada seorang anak buah tentang kisah seorang selebriti yang keliru sama ada hendak berhari raya di kediamannya atau ke mana? Kenapa? Sudah semestinya selebriti ini bukan calang-calang orang. Dia popular, tidak tertanding. Jadi kekeliruannya itu cuba dikongsi dengan anak buah saya yang kebetulan amat rapat dengan beliau.

"Susah kak, saya tak tahu nak berhari raya di mana."
"Di rumah sajalah, tunggu kedatangan peminat."
"Ya. itulah yang saya lakukan sejak bertahun-tahun dulu. Tapi saya betul-betul tak larat. Penat, letih, lapar, semua ada. Saya tahan, saya sabar. Rumah saya jadi tak tentu arah, mak bapak jadi lesu... kesian mereka."
"Baguslah gitu, awak popular..."
"Tapi masa rayalah saya inginkan privacy dengan mak dan bapa, nak bersembahyang raya, nak menziarah rumah saudara, nak menerima kedatangan saudara mara...."

Menurut ceritanya, orang ramai yang datang ke rumahnya memang tak boleh dijangka. Beratur panjang berderet lebih 4 km. Ada polis mengawal lalu lintas. Sudahlah penduduk sekampung datang, penduduk kampung sebelah pun datang, peminat dari jauh pun datang, ada yang buat rombongan, naik bas datang ke rumahnya.

"Tangan saya sakit-sakit. Mereka bukan setakat bersalam, siap picit-picit, ramas-ramas... *"
"Awak popular, kena hadapi semua ini. Awak dah pilih ini sebagai karier, tanpa peminat siapalah awak..."
"Tapi kak, tolonglah bagi saya sedikit privacy... so hari raya tahun ini rasanya saya ingin ke Mekah, buat umrah. Saya pernah kata nak duduk hotel saja hari raya ni, tak nak duduk rumah. Tapi mak dengan bapa marah..."
"Eloklah pergi umrah, jangan duduk hotel. Nanti awak kena kutuk..."

Sekarang apa kata pembaca, setuju tak dengan idea selebriti ini?

* Saya teringat cerita Tun Hasmah yang mengatakan Tun Dr. Mahatihir selalu sakit-sakit tangan kerana bersalaman dengan orang ramai. Kebiasannya dia akan mengurut tangan Tun selepas sesuatu persidangan atau majlis besar.

Wednesday, November 12, 2003

8 ALASAN

ADA banyak sebab mengapa arahan kita hasilnya kurang menepati kehendak. Katakanlah jika saya mahu sesebuah majalah itu siap tepat pada waktunya. Tetapi ada beberapa halangan datang dan biasanya saya minta sebab kenapa lambat. 3 alasan logik dan 5 alasan tak logik.

Ada yang menjawab 3 alasan logik majalah lambat:
-kerana server down
- isteri bersalin/suami sakit - saya cuti
- appointment batal last minute

Manakala 5 alasan tak logik:
- saya sampai, function dah habis
- recorder rosak, tak boleh pusing
- lupa ada assignment
- tak ada transport
- saya sesat

Lumrahnya lima alasan yang tak konkrit ini telah menghapuskan kualiti tiga alasan logik. Sedangkan alasan logik tu boleh diterima pakai dan relevan. Kebiasannya yang dibesar-besarkan itulah yang menjadikan kita makin ke belakang dan asyik mengulangi kesilapan serupa.

Sekarang cuba fikir sendiri 3 alasan logik dan 5 alasan tak logik kenapa setiap hari kita seronok nak baca blog kawan-kawan...


Monday, November 10, 2003

KISAH DIK RA & DIK RI

MESYUARAT wajib setiap Isnin habis agak awal. Bos pun nampak macam tak sihat. Bila bos nampak tak sihat, anak-anak buat pun makinlah tak sihat jadinya. Tidak ada sesuatu yang baru, cuma review minit mesyuarat lalu dan beberapa cadangan untuk upgrade mutu majalah dan percetakan.

Selain itu hal deadline masih lagi dipentingkan. Ada sebab mengapa saya panggil `dead' dan bukannya `date'. Rasanya bila mendengar deadline, kesannya lain sikit berbanding dateline. Biasanya apabila saya round dari satu editor ke satu editor dengan membawa senarai progres majalah, masing-masing akan sibuk melihat schedule. Begitulah. Saya tak boleh kompromi dengan deadline. Mana yang berjaya mencapai tarikh yang ditetapkan akan mendapat surat tahniah, mana yang gagal akan diberi surat `dukacita' dan sila jawab.

Hari ini saya gembira sangat apabila mendapat buah tangan daripada Dik Ra dan Dik Ri.

Siapa mereka ni? Tak lain tak bukan si Erra dan Yusrylah. Mereka bagi satu bekas tupperware (bukan tipuware) yang didalamnya mengandungi kurma. Terima kasih Dik Ra dan Dik Ri. Semoga puasa diberkati, semoga panjang jodoh, panjang umur dan sihat.

Dan... jeng jeng jeng... soalan cepumas - bila Dik Ra nak mengandung? Bila Dik Ri boleh jadi papa?

Jualan buku perkahwinan mereka yang diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf sold out! Dan mereka pun sudah mendapat royaltinya daripada bos kami baru-baru ini. Berapa RM? Rahsia... tapi lumayanlah. Kiralah sendiri kalau satu naskhah dijual RM10 dengan jumlah cetakan lebih 140,000 naskah. Lumayan...!

Seorang rakan e-sastera dari Brunei kini berada di Kuala Lumpur.
Dan kami berjanji akan berbuka puasa bersama. Insya-Allah.

Saturday, November 8, 2003

HIKMAH CUTI SABTU

HARI ini bukan hari bekerja bagi anggota karyawan di Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. Setiap Sabtu adalah hari cuti. Jadi taklah tercongak-congak minggu ni Sabtu ke berapa....

Biasanya hari ini banyak masa dihabiskan untuk kerja-kerja kreatif. Mengedit novel, membuat rangka untuk plot, watak dan perwatakan untuk novel baru. Saya juga sedang menyiapkan dua tugasan penting untuk majalah Dewan Sastera dan Tunas Cipta, kedua-duanya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Harapan saya kedua-dua editor majalah berkenaan bersabar menanti e-mail saya.

Petang ini diadakan majlis berbuka puasa di pejabat. Semua karyawan dan keluarga dijemput. Kami sekeluarga akan pergi. Oklah juga, jadi saya tak sibuk-sibuk ke dapur untuk memasak hidangan berbuka hari ini. Cuma memikir hidangan sahur sahaja.

Okey, nanti saya akan sambung lagi siri novel Jangan Ada Dendam . Misteri Suraya sudah bertukar menjadi Misteri Irwan pulak... siapa Irwan? Silalah ke http://novel2u.blogspot.com. Semoga pembaca enjoy.

Friday, November 7, 2003

BAK BERJUANG DENGAN MAUT

SEMENJAK Kumpulan Karangkraf berpindah ke Shah Alam saya merupakan pengguna tetap lebuh raya KESAS. Hampir setiap pagi dan petang saya menggunakan laluan ini untuk ke pejabat dan balik ke rumah.

Lebuhraya luas, jalan bagus dan selesa. Berbaloilah membayar tol RM1.50 di Plaza Tol Awan Besar (Seri Petaling) dan satu lagi di Plaza Tol Sunway. Juga RM1.50. Ini bermakna untuk pergi dan balik kerja, saya membayar RM6.00 sehari hanya untuk tol.

Saya enjoy memerhatikan karenah pengguna lebuh raya. Lelaki dan perempuan sama saja. Ada yang kaki pecut, ada yang memandu macam jalan itu bapak dia punya dan ada yang macam tak ada mood nak bawa kenderaan, terhegeh-hegeh. Saya?

Perjalanan balik kerja siang tadi amat mencabar. Jarak penglihatan tidak begitu jelas. Kereta berderet-deret, bagaikan nak mencium bontot kereta. Suasana sekeliling gelap pekat dengan hujan lebat. Kilat sabung menyabung. Padahal jam baru pukul lima petang. Alhamdulillah, saya berjaya sampai ke rumah dengan selamatnya.

Kawan saya yang baru dapat lesen memandu ada falsafahnya tersendiri; macam berjuang dengan maut! Simbol P di cermin keretanya membuatkan dia semakin dibuli. Kesian dia. Minggu pertama bawa kereta di Kuala Lumpur, dia ditimpa demam panas setelah terbabit kemalangan. Keretanya disondol. Si kawan menelefon suami mengatakan dia kemalangan. Dia fikir suami akan mententeramkannya.

Tetapi soalan pertama suami bukan begini... "habis awak macamana? ada luka-luka? Kepala ada kena stereng tak? Ada rasa pening atau nak muntah tak?"

Sebaliknya suami tanya begini... "kereta ok? banyak ke kena ketuk? cermin pecah tak? bumper senget ke jatuh? lampu signal pecah sebelah ke dua-dua sekali?" Si kawan tak menjawab pun. Dia terus mematikan talian telefon.

Thursday, November 6, 2003

RUTIN HARIAN DI SEBUAH SYARIKAT PENERBITAN

KESIBUKAN setiap hari semakin bertambah apabila tiba awal bulan. Kesibukan ini kebiasaannya mengambil masa dua minggu - antaranya saya mesti segera memproses tuntutan (claim) perbatuan, menandatangani slip honorarium untuk penulis, memproses bayaran untuk jurumekap, model dan lain-lain.

Menjelang akhir bulan sebelumnya, masa banyak diambil untuk koordinate deadline majalah-majalah. Pengagihan kerja - untuk dibuat semakan A4, menyemak pdf dan pastikan filem siap dicetak untuk dihantar ke pihak printing. Kemudian ke percetakan pula untuk melihat majalah-majalah dicetak - membetulkan warna, bekerjasama dengan operator mesen cetak untuk mendapat kualiti cetakan. Bukan setakat itu saja... macamana dengan Circulation? Promotion? Advertising? Meeting? Melayan tetamu & client?

Jika hanya satu dua majalah saja tidaklah memenatkan, tetapi bila lebih daripada sepuluh majalah (14 majalah dibawah pengawasan saya). Ke hulu ke hilir dari satu editor ke satu editor... Wah! Saya makin kurus sekarang! Eh, itu perli ke betul? Bulan puasa ini letih sudah jadi alasan lumrah. Bukan malas, tapi tak larat.



Wednesday, November 5, 2003

MISTERI SURAYA
JANGAN ADA DENDAM - SIRI 19
Baca siri 18 di http://www.mba2u.blogspot.com

DEMI suami dan anak-anak aku lupakan segala bengkak di hati. Kebiasannya beginilah. Bengkak-bengkak yang sudah membengkak sekian lama ini kudiamkan, akhirnya akan surut sendiri. Begitulah yang terjadi sejak bertahun-tahun lalu.

Tetapi terfikir juga apakah balasan atas segala kebaikanku selama ini... aku yang kerap memaafkan orang, aku yang dengan mudah boleh melupakan silap orang lain, aku yang sesenangnya memekakkan telinga pada sindiran suami dan aku yang boleh membutakan mata pada segala perlakuan yang menyakitkan hati...

Mungkin balasannya tak dapat dari segi lahirah agaknya. Alhamdulillah jika ada juga pahala untukku akhirnya.

Semasa Sutiah masih bersama kami, (bukan Saerah - nama orang gaji sendiri pun dia lupa!) dia pernah hulurkan sepucuk surat untuk suamiku kiriman dari luar negara. Kuperhatikan cop setemnya. Leeds! Aku tak akan membukanya. Itu pantang suamiku. Sebegitu juga pantang padaku jika surat-suratku dibuka terlebih dahulu oleh orang lain.

Bermula sejak suamiku balik kerja dan diperhatinya ada surat untuknya di atas meja di ruang tamu, mataku tak beralih arah. Kuperhatikan sahaja ke mana dia meletakkan surat itu setelah membacanya. Dan akhirnya apa yang ingin kuketahui, semuanya berada di hadapan mata apabila dia masuk ke bilik air. Dadaku berdebar. Surat kiriman dari Leed itu begitu peribadi isinya.

Kukutip segala nostalgia. Kuulang semula segala memori tentang Leeds, tentang bumi UK seluruhnya. Waktu itu kami berdikari. Awal pagi kami sudah keluar rumah. Suami pula meredah kesejukan pagi ke Tesco menghayun mop dan penyapu selama dua jam. Kemudian dia bergegas pula ke kampus Beckett Park untuk menyambung lagi tugas sebagai `floor manager'. Sebelum jam 9am dia mesti sampai semula ke rumah di Harehills untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

Sementara menanti petang dia menghabiskan masa di kedai al-halal Mahboob untuk menolongn membersih dan menjual ayam Atau jika ada pelajar yang meminta untuk membaiki pc dia mengambil upah. Petang tiada apa yang dia lakukan dan malamnya pula dia bergegas ke Burton untuk bertugas hinggalah jam 9 malam.

Waktu itu aku terfikir apakah antara masa senggang itu dia berbuat sesuatu hingga datangnya surat dari Leeds itu sekembalinya kami ke Kuala Lumpur semula? Okey, itu dulu. Sudahpun kulupakan meski tiada jawapan yang kuperolehi.

Tetapi kini episod itu berulang lagi. Sepucuk lagi surat dia terima tiga bulan lalu. Dan kuulangi tektik serupa. Membaca surat itu tatkala dia dibilik mandi. Dari orang yang sama dan dari isi kandungannya seolah mereka saling berbalas surat. Rindu. Sepi. Dua kata-kata ini mengisi hampir lima puluh peratus isi kandungannya.

Kenapa surat? Kenapa tidak e-mail? Itu juga menjadi persoalanku. Sejak itu hingga hari ini seluruh tumpuanku pada dia mula goyah. Suraya - nama itu berkali-kali kuulang. Siapa Suraya?


Tuesday, November 4, 2003

DAM DAM DUM ... BUNYI KEYBOARD

MOOD hari raya sudah mulai dirasai di pejabat ini sejak dua bulan lalu. Bermula bulan September, masing-masing sibuk menyiapkan majalah-majalah untuk pra Ramadan (Edisi November). Kemudian masuk bulan Oktober masing-masing sibuk pula menyiapkan edisi Syawal (Edisi Disember). Kini masuk November, lagilah dirasai mood berhari raya itu lantaran berpuasa sepanjang Ramadan.

Lagi-lagu hari raya sudah tiga bulan berkumandang. Dari pc-pc wartawan dan editor, lagu hari raya nyanyian Allahyarham Saloma dan P. Ramle berselang-selli dengan nyanyian Fazidah Joned, Sanisah Huri dan L Ramlee. Kesinambungan lagu-lagu hari raya diteruskan dengan nyanyian Ella, M Nasir, Hattan, Jamal Abdillah dan lain-lain. Bahkan hiasan lemang, lampu panjut, kad-kad hari raya masih lagi bergantungan di studio.

Masing-masing nampak relak, tapi saya tahu mereka bekerja dalam tekanan. Arahan sudah dikeluarkan bahawa majalah untuk keluaran Januari 2004 mesti disiapkan sebelum masing-masing balik kampung bercuti hari raya.

Dalam bulan puasa ini sikap komited wartawan dan editor saya nampaknya terus dikekalkan. Mereka menempuh kesukaran, keletihan dan kepanasan di luar pejabat, kemudian sampai sahaja di pejabat kena mengerah otak pula untuk menyusun ayat. Itulah adalah tugas dasar, tidak kira bulan puasa atau tidak.

Rasanya komitmen merekalah yang telah membawa kejayaan majalah-majalah kami. Terutamanya Mingguan Wanita yang terbit setiap Jumaat, telah mencecah 160,000 naskhah seminggu. Dalam mengurus kejayaan ini saya selalu beringat-ingat. Bahawa kegagalan adalah musuh kejayaan. Melawan musuh ini, amat besar cabarannya.

Monday, November 3, 2003

BAGAIKAN KAPAL GARAM TERBALIK...!
JANGAN ADA DENDAM - Siri 17
Sila baca siri 16 di http://mba2u.blogspot.com

DENDAM? Sahlah dia masih dendam pada rasa kasih anak-anak yang agak berlebih padaku berbanding pada dia. Dengan wajah serius dan peribadinya yang agak tidak banyak bercakap, suka menyendiri mengadap pc atau palm, anak-anak jadi jaki padanya.

"Mak, malam ni mak bangkitlah masak sahur. Lauk abah tak sedap..." Kata anak sulung.
"Saya makan sikit saja. Esoknya mesti perut lapar berkeroncong!" Tokok anak kedua.
"Syhhh, nanti abah kamu dengar. Mesti dia kecik hati," kataku perlahan, meletakkan jari telunjuk ke bibir.
"Mak, ini realiti. Perut ni tak boleh terima, masin! Sayur kangkung lembik..." sambung anak ketiga, wajahnya masam.
"Dia lupa agaknya, dia ada darah tinggi..."
"Mak, abah sabotaj kita tak?" Sahut anak keempat pula.

Aku tersenyum. Bukan anak-anak, aku juga banyak berlakon di meja makan. Walaupun lauknya masin seolah-olah kapal garam terbalik ke dalam periuk aku buat-buat makan dengan penuh selera. Sedangkan dia sendiri kulihat terkulat-kulat nak menghabiskan kari ikan temenung yang dimasaknya itu.

Budak-budak memang tak pandai menipu. Apa yang ingin dikata, akan dilafazkan tanpa memikirkan perasaan orang lain. Demi anak-anak aku rela ke dapur semula masa sahur malam nanti. Tak sampai hati rasanya melihat dia terpisat-pisat memasak. Lebih tak sampai hati... melihat anak-anak terkelip-kelip memandang hidangan di meja makan.

Tiba-tiba terkenang pada mentuaku, apakah dia sihat sekarang? Selama berpuasa ini sekalipun kami belum menjenguknya sedangkan dia sudah dua kali menelefon, mengajak berterawih di surau. Jika di kampung, tradisi bertukar-tukar juadah masih diamalkan. Kita buat cekodok pisang sahaja... tapi bila menjelang azan kuih bertambah... ada lepat ubi, ada karipap, ada talam ubi kayu! Gulai ayam masak lemak cili padi kita pun dah ada kawan... ada gulai rebung, ada rendang tok...

Tapi suamiku selalu tak betah di kampung. Paling lama sehari. Lepas itu dia sibuk nak balik KL semula!

Sunday, November 2, 2003

BILA SERVER DOWN, MUJUR ADA YANG PUJUK

* Maaflah kerana tidak dapat menulis apa-apa semalam. Mungkin ramai ke sini dan mendapati tiada tulisan baru lalu berasa kecewa... sorry! Sebenarnya sepanjang pagi semalam saya sibuk dengan Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Seri Tasik, Bandar Sri Permaisuri.

Dua orang anak saya bersekolah di situ. Anas Iqbal di Tahun 4 manakala anak bongsu, Anas Suhaimi di Tahun 1. Semalam ialah hari paling bermakna bagi Anas Iqbal. Dia berjaya membolot empat anugerah peribadi.

1. Dia mendapat Kedudukan Terbaik Dalam Kelas 4 Zamrud (Tempat Pertama).
2. Anugerah Akademik Terbaik Darjah 4 (Keseluruhan Kelas)
3. Anugerah markah tertinggi Bahasa Malaysia
4. Sijil Pengawas 2003

Rasanya semalam adalah detik gembira saya sebagai seorang emak apabila menyaksikan beberapa kali dia turun naik pentas menerima hadiah. Memang sejak dari darjah satu hingga darjah empat dia sentiasa mendapat tempat pertama setiap kali peperiksaan penggal diadakan. Alhamdulillah.

* Oleh kerana dah dua hari server pejabat rosak (semalam dan hari ini). Semua sistem down. Saya juga tertekan kerana gagal menyiapkan bahan-bahan untuk mesyuarat esok. Macamana? Sekarang ialah masa `kritikal' kerana semua majalah Januari mesti disiapkan seminggu sebelum hari raya. Di masa yang sama bahan untuk Februari kena ready, so bila lepas raya terus start design. Sabarnya saya!

Kerana saya masam memuncung sejak semalam, suami pujuk berbuka puasa di Restoran Ismail di Taman Tun Dr. Ismail hari ini. Ada nasi beryani, ayam madu, kurma daging, acar timur, papadom dan murtabak istimewa. Alhamdulillah...