Thursday, August 11, 2011

MASA SILAM YANG TIDAK AKAN KEMBALI LAGI
SAYA tidak pasti orang lain, namun saya mempunyai banyak nama dalam senarai telefon yang sudah tiada lagi di dunia fana ini. Sebelum itu, maafkan saya kerana sudah dua minggu asyik menulis tentang isu ini. Sebenarnya saya selalu teringat ayat ini;

“Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Dan sesungguhnya pahala kamu akan disempurnakan pada hari kiamat. Sesiapa yang dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka dia sesungguhnya telah beruntung. Kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdayakan” (Ali Imran : 185)

Ustaz dalam kelas agama selalu mengibaratkan nyawa ini seperti daun pokok yang rendang. Daun-daun ini akan gugur apabila tiba masanya; tidak kira hijau atau kuning, tua atau muda, ke bumi juga akan jatuhnya dan bersemadi dengan tanah.

Kemudian apabila kita mengalih pandangan kepada sepohon pokok, kebetulan ketika sehelai daun sedang gugur, alangkah tersentapnya hati… Adakah kita telah bersedia untuk menerima masa tersebut?

Ingatlah apabila tiba saat dicabutkan roh dari badan, pintu taubat telah tertutup. Jika kita dalam kalangan orang yang taat kepada Allah, maka kita adalah orang beruntung. Begitulah sebaliknya…

Berbalik kepada senarai rakan-rakan yang sudah meninggal dunia tetapi masih ada dalam senarai telefon, kini kita menghadapi satu lagi situasi apabila nama rakan-rakan yang sudah meninggal dunia masih lagi ada dalam akaun Facebook. Subhanallah. Gambar di sebelah adalah antara sahabat yang sudah arwah: Allahyarham Abdullah Tahir, Universiti Malaya.


Anda bagaimana? Apakah semua nama yang sudah arwah dalam telefon bimbit dipadamkan? Mengikut logik mestilah dipadamkan kerana jika kita menelefon sekali pun bukan orang berkenaan menjawabnya. Telefon itu mungkin sudah menjadi kegunaan anak beranak, isteri, suami atau orang lain.

Begitu juga yang sudah arwah tetapi namanya masih ada lagi dalam akaun Facebook kita. Mungkinkah anda sekat nama itu? Atau masih nostalgik dan terus membaca semua nota tulisannya, melihat gambar-gambarnya dan tersenyum-senyum dengan komen dan statusnya?

Masya-Allah, semoga roh mereka yang sedang terbayang-bayang dalam benak kita sepanjang isu ini kita fikirkan berada damai tenteram dalam kalangan mereka yang beriman di negara abadi. Sedekahkan Al-Fatihah untuk mereka dengan ingatan bahawa kita juga akan menemuinya di sana juga suatu hari nanti.

Saya sendiri tidak tergamak hendak memadam nama semua arwah dalam telefon bimbit. Selama bertahun-tahun saya menyimpan nama mereka dengan diedit sedikit menambah perkataan `Arwah’ pada pangkal nama mereka. Hakikatnya saya tidak sanggup atau seperti tidak mahu melupakan mereka.

Saya juga tidak sanggup menyekat nama semua arwah di dalam akaun Facebook. Seminggu dua selepas kematian mereka, saya masih lagi mengunjungi wall itu. Melihat banyaknya ucapan belasungkawa dan ucapan-ucapan doa kepada arwah.

Kemudian setelah berhari-hari berlalu dan apabila nama itu muncul pada sidebar supaya terus berhubung dengan arwah, saya juga akan klik untuk melihat wall itu, nota tulisannya dan gambar-gambarnya. Sekali lagi.

Sekitar dua minggu berlalu, seperti akaun lain juga, akaun kawan saya itu kerap muncul di wall Facebook di sebelah kanan yang menyarankan saya untuk tetap berhubung dengannya menerusi facebook, seperti menulis di wallnya atau mengirimnya pesanan.

Terus terang, kemunculan kawan yang sudah meninggal ini membuat perasaan sedih. Saya terfikir, seandainya saya menulis di wallnya, mungkin untuk satu dua minggu “dia” tidak akan muncul lagi di sidebar, bagaimana dengan minggu-minggu selanjutnya? Semua itu amat mengganggu emosi saya!

Saya sedar, masa silam tidak akan kembali semula. Masa silam sudah jadi sejarah. Masa silam jika diingat akan menjadikan jiwa kita semakin kacau. Nostalgia tidak kiralah yang manis atau pahit, akan hanya membuatkan kita karam dalam emosi.

Oleh kerana tidak mahu diburu masa silam, saya mengambil keputusan drastik. Kini semua nama dia yang sudah arwah di dalam telefon bimbit saya padam. Begitu juga nama dia yang sudah arwah di dalam akaun Facebook. Saya padam juga.

Lebih daripada itu, saya tidak mahu melihat gambar-gambar lama dia semasa dia belum menutup aurat. Walau itu dosa dia tetapi dosa saya juga kerana melihatnya. Semoga Allah SWT memaafkan arwah.

Baiklah, saya tidak akan menulis tentang isu yang telah dua minggu saya tulis ini pada minggu hadapan. Rasa seperti berdosa pula… oleh itu sempena Ramadan yang mulia ini, maafkan saya....

Tuesday, August 2, 2011

REZEKI RAMADAN & SYAWAL
MENJELANG Ramadan dan Syawal, bukan hanya tukang jahit atau pengusaha kuih-muih tidak menang tangan memenuhi tempahan, tetapi juga permintaan untuk buku mengenai agama dan kuih-muih serta lauk-pauk juga turut meningkat.

Pengurus Besar Penerbitan, Grup Buku Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin, mengakui bahawa meskipun sesetengah buku adalah kompilasi resipi kuih-muih tradisional yang sudah dikenali sejak zaman berzaman, tetapi ia masih mendapat sambutan.

“Walaupun umumnya resipi itu masih sama, tetapi permintaan terhadap buku berkenaan masih ada. Biasanya menjelang Ramadan kami akan bekerja keras memenuhi permintaan terhadap resipi biskut dan kuih muih tradisional, selain buku resipi kek dan biskut moden. Namun menjelang dua minggu sebelum Aidilfitri, pembaca akan cari buku hidangan lauk-pauk untuk rumah terbuka,” katanya.


Trend yang sama turut dipamerkan buku agama yang meskipun relevan sepanjang tahun, namun apabila menjelang Ramadan permintaan terhadapnya meningkat berkali ganda dan tidak terhad kepada isu puasa saja, sebaliknya persoalan seperti zakat dan motivasi juga meningkat jualannya.

“Sebenarnya Karangkraf sudah lama menerbitkan buku agama dan umum atas jenama Karya Bistari, namun jualannya tidak memberangsangkan. Hanya kebelakangan ini Karya Bistari adalah antara jenama dalam kumpulan media Karangkraf yang menyumbang 70 peratus keuntungan,” katanya.

Antaranya berpunca daripada penstrukturan semula jenama berkenaan, selain mengundang penulis yang bertepatan dengan konsep Karya Bistari dan disokong dengan minat membaca yang semakin meningkat di kalangan penduduk Malaysia.

“Senario ini rasanya bukan hanya berlaku di Karangkraf, sebaliknya hampir semua penerbit di Malaysia pun menyedari trend begini. Biasanya apabila menjelang Rejab, kami sudah tidak menang tangan memenuhi permintaan pembekal,” katanya.

Sri Diah turut mengakui bahawa bukan buku saja menerima tempias rezeki Ramadan, sebaliknya majalah terbitan Karangkraf juga demikian dan paling ketara ialah majalah berkaitan resipi, misalnya Rasa yang sejak Julai hingga September diterbitkan sebagai isu berganda.

“Mengendalikan majalah dan buku banyak bezanya. Majalah apabila sudah siap perlu merancang isu berikutnya, tetapi buku memiliki jangka hayat yang lama kerana buku orang simpan. Justeru pengisiannya perlu relevan sepanjang zaman,” katanya.

Monday, August 1, 2011

MADRASAH 1 RAMADAN
 TERASA sayunya hati. - Makam Bonda

 Terdetik sunyinya rasa... Makam Nenda

Akan ke mari lagi mengutip wangi kembojanya...

Menghimpun rindu yang masih bersisa
Damai abadilah kalian di sana