Sunday, December 25, 2005

SALAM INGATAN
KERJA-KERJA membasuh rumah memanglah memenatkan. Sebelum itu nak mencari kotak untuk diisi barang-barang pun satu hal. Puas kedai runcit dirayau, itu tak termasuk kerja packing yang meletihkan. Kemudian nak mengangkut ke lori pun memerlukan tenaga `badang'. Nanti apabila sampai ke rumah di Shah Alam, nak menyusunnya semula, lagilah satu hal.

Tak mengapalah, en.abg kata buatlah pelan-pelan. Mujur anak dah besar, boleh diarah itu ini. InsyaAllah kerja-kerja berpindah akan beres dalam minggu ini. Sayangnya rasa hati ini nak tinggalkan Bandar Tun Razak, maklumlah saya sudah mendiami kawasan ini sejak 40 tahun lalu. Rumah emak bapa saya, rumah nenek, rumah adik keempat, adik keenam dan adik bongsu di sini. Aleh-aleh saya pula nak keluar dari sini. Harap-harap bila saya keluar dari Bandar Tun Razak, adik-adik lain akan terus tengok-tengokkan mak dan bapa.

Minggu depan pula akan sibuk dengan persekolahan anak-anak di sekolah baru. Anas dengan Anis hanya berjalan kaki sahaja ke sekolah. Saya pula akan menghantar si bongsu Amie ke sekolah kerana sehala dengan perjalanan saya nak ke pejabat. Balik sahaja dia akan naik bas sekolah ke rumah, yang jaraknya 2 kilometer sahaja. Minta-minta dengan x factor yang mereka ada, anak-anak semua akan dapat menyesuaikan diri di sekolah baru.

Rasanya blog ini tak dapatlah diupdated atas kesibukan-kesibukan ini. Kepada semua pengunjung saya ucapkan selamat menyambut tahun baru 2006 semoga tahun mendatang akan membawa gemilang dan kebahagiaan berkekalan untuk semua.

Wednesday, December 21, 2005

TAK PERLULAH MATA BERTENTANG KATA...
BERBANYAK terima kasih ditujukan kepada Bro. Ronn atas beberapa perbualan telefon yang kerap terutama di hujung-hujung minggu dan dalam kesibukan hari berlari. Kebanyakan panggilan dari Singapura dan barangkali pernah juga datang dari Jogjakarta. Hubungan jauh ini terasa erat kerana pelbagai sebab. Mungkin jiwa puitis kami serupa... ya, Haron Abdul Majid - penulis lirik, pencipta lagu perakam peristiwa dalam gambar dan kata-kata yang amat saya kagumi sejak berpuluh tahun dulu!

... bahagia itu bagaikan sebutir berlian
terjatuh ke laut
dan laut itu pula penuh tipu muslihat
ke dasar mana hendak digapai?

Monday, December 19, 2005

APABILA SIKECIL BERPARTI
SABTU, acara Celebrity Xplorace Media Hiburan berlangsung dengan jayanya. Acara melibatkan TV3 dan Harian Metro ini sudahpun menemui pasangan juara sebenar gandingan seorang artis dan seorang pembaca Media Hiburan. Pemenang tidak boleh diumumkan kerana TV3 akan menyiarkan siaran ini tidak lama lagi.

Hari itu khabarnya sehingga pukul 8 malam mereka masih menunggu sepasang peserta yang tidak kunjung tiba ke titik akhir di Seri Pentas. Pasangan artis dan peminat ini paling akhir tiba kerana beberapa sebab yang tidak boleh dielakkan. Bagaimanapun bagi kami sebagai penganjur, kami amat tabik dengan sikap mereka berdua. Perlawanan tetap diteruskan walaupun sudah melebihi waktu sebenar, semangat inilah yang kita mahu.

Semalam, diadakan pula Majlis Pencarian Duta Bintang Kecil di South City Plaza. Dalam bingit-bingit tu phone saya menerima sms. Baca dan kemudian dok toleh ke kanan. Haaa... Mak Andeh ada sama menghantar si kakak! Geli-geli hati pun ada tengok anak-anak perempuan berusia antara 7 - 14 tahun yang kebanyakannya dalam pink color bergaul sesama mereka. Mereka tidak mengenali sesama mereka tetapi nampak enjoy bergaul, bertukar no telefon, berbual dan bergelak sakan. Parti setahun sekali ini benar-bernar merapatkan mereka sesuailah dengan tema Bintang Kecil iaitu `Untuk Kita-Kita Je..!'

p/s: Oh ya...Majalah MIDI akan terbit Januari 2006 nanti. Wanita 40++ tunggu ya dengan penuh debar kemunculan majalah istimewa ini...

Friday, December 16, 2005

DATANG, JANGAN TAK DATANG. FREE!
Media Hiburan Cordially Invites You To The final Race of
"Celebrity Explorace 2005"

Date: 17th December 2005
Day: Saturday
Time: 2.00 pm
Venue : Seri Pentas TV3

Tentative itinerary of the event as follows:
02:30pm - Arrival of VIPs
03:00pm - Artist performance
04:00pm - Celebrity Race 3 ends
04:30pm - Artist performance
06:30pm - Result announcement & prize giving ceremony

* While waiting for the participants, the crowd will be entertain by a mini concert at Seri Pentas TV3 with Nash, Jatt, Elyana, Shamrin, Rahmad, Siti Nordiana, Achik, Sharifah Zarina, Nija, Amy Mastura, D-Va, Saiful, Dia Fadila, Azam (Malaysian Idol), Ferhad, M.Nasir, Tria(Audition), Eera Fazira, Nassir Wahab, Barongan, Mus, May, Shahila, Deja Moss, Misha Omar and many more, along with MC’s Sharifah Shahira and Lan Pet Pet.

Wednesday, December 14, 2005

Kongsi Pengalaman

INI merupakan pengalaman pertama saya membuat ubahsuai rumah. Sebelum ini membeli rumah yang sudah siap diduduki (beli dgn orang/owner terdahulu) jadi tidak ada major renovation. Bagaimanapun membuat ubahsuai rumah yang akan kami duduki tidak lama lagi, memberi saya banyak pengalaman.

Rasanya elok saya berkongsi serba sedikit di sini. Mana tahu kalau anda sedang dalam perancangan mengubah suai rumah, eloklah jadikan pengalaman saya sebagai panduan. Antaranya ialah beberapa perkara di bawah ini:-

1. Dapatkan seberapa banyak sebutharga daripada kontraktor. Paling minimum - 4/5 kontraktor.

2. Lebih elok daripada pelbagai kategori kontraktor, bangsa dan pengalaman. Jika kontraktor ada membuat ubahsuai di sekitar rumah kita, pergi tengok hasil kerja mereka.

3. Jangan buat janji dulu, just survey.

4. Antara yang perlu disoal jawab secara detail ialah kos tersembunyi.

5. Contohnya kos tambah ruang dapur - adakah kos itu termasuk dgn harga cat atau upah mengecat? Adakah termasuk dengan kos tebuk lubang utk hos? Adakah termasuk dengan concrete table? Adakah termasuk kos jubin? Kos jubin itu adakah termasuk kos upah pasang jubin? Meninggikan lubang pembentungan pun perlu disoal jawab.

6. Soalan yang sama untuk wireing. Satu plug berapa harganya? Memasang lampu/kipas -adakah termasuk upah? Jika memasang downlight, adakah kos tebuk lubang siling masuk sekali dengan kos upah pasang?

7. Soalan serupa jika memasang aircond/wayar astro/wayar untuk heater - wireing ini lain harganya. Ada kontraktor masukkan sekali kos ini dalam kos wireing lampu supaya kos keseluruhan jadi rendah dan kita setuju melantik dia menjadi kontraktor kita. Tapi sebenarnya mereka akan tuntut kos ini diperingkat akhir nanti.

8. Atas persetujuan bersama tetapkan tarikh target siap. Jika tidak siap mengikut target, tuan rumah boleh tuntut harga diskaun.

9. Jangan lupa urusan permit ubah suai.

10. Majlis perbandaran biasanya akan meminta cagaran untuk tong sampah/bahan buangan dsbnya (wang cagaran ini akan dapat semula. Tong besar ini akan diletakkan di hadapan rumah kita. Ini bagi memastikan kerja ubah suai kita tidak menyusahkan jiran-jiran.

11. Jika kontraktor tidak menjaga kebersihan, yang akan disaman ialah kontraktor, bukan tuan punya rumah.

12. Peringkat ini tetapkan cara pembayaran (3 atau 4 step pembayaran? Cash? Masuk akaun?)

13. Jangan serah semua pembayaran - Tinggalkan dalam RM2 ribu untuk tempoh 3 bulan kemudian. Mana tahu jika siling bocor, paip tersumbat, dinding merekah dan sebagainya.

14. Jika sudah setuju, lengkapkan dengan dokumen b/white confimation.

... ada soalan lain?

p/s Tips: Jangan garang/mengarah itu ini. Ya dia bekerja dengan kita, maknanya kita majikan dia dalam tempoh tertentu. Tapi budi bahasa jangan lupa... mereka (pekerja kontrak) buruh kasar tapi mereka juga ada hati dan perasaan.

Tiap kali visit tu jangan berlenggang saja, bawalah air kotak/goreng pisang. Saya selalu kata gini; bung, tolong buat cantik dan kemas ya, anggap ini macam awak buat rumah untuk awak sendiri...

Sunday, December 11, 2005

DIRGAHAYU TUANKU
UCAPAN selamat hari lahir ditujukan kepada Sultan Selangorku dengan ucapan bilakah Tuanku hendak berumahtangga...rakyat jelata sekelian teringin melihat Permaisuri & Tuanku bersemayam di atas takhta, aman damai sentiasa.

Esok cuti - namun masih berulang alik Cheras - Shah Alam.

Thursday, December 8, 2005

PROGRAM AKHIR TAHUN
BANYAK perkara dah selesai minggu lalu. Antaranya Celebrity Xplorace Media Hiburan, penampilan istimewa Grup Gen Y (komik dan kartun) dan prapersembahan Duta Bintang Kecil. Sebelum itu Jom Beraya di Kampung Libur dan beberapa workshop/bengkel anjuran majalah-majalah (Mingguan Wanita, NUR, Dara.Com & RASA) juga telah berlangsung dengan jayanya. Lebih dari itu pilihanraya Pengkalan Pasir pun dah selesai. Enabg dah kembali ke KL...

Minggu ini banyak lagi program menanti. Antaranya di Tingkat 14 Manhattan Room, Berjaya Times Square ada pertandingan Memasak RASA & Knorr. Ada juga persembahan artis - free, open kepada semua, boleh datang ramai-ramai. Pengacaranya Adibah Nor. Manakala yang sedang berlangsung sekarang hingga 10hb ialah Program Belia Benci dadah di Dewan Sri Jugra Banting. Ini pun free, ada Mawi & Siti Nurhaliza. Majalah KKSB pun joint program ni.

17hb pula ialah Final Xplorace Media Hiburan. Stesen penyiar rasmi ialah TV3 dan akhbar rasmi Harian Metro. Ini lagi lasak berbanding minggu lepas. Jangan ada yang pengsan sudahlah. Inilah antara aktiviti saya di bahagian majalah, anda bagaimana?

Monday, December 5, 2005

BZ VS MOOD CUTI
WADUH... lama sungguh tidak menjenguk ke sini. Minta maaf kalau banyak sapaan tidak berjawab. Akhir-akhir tahun ini memang kerja semakin bertambah terutama untuk menyiapkan Performance Plan anak-anak buah bagi tahun 2006. Banyak skim baru diperkenalkan dan beberapa cara kerja lebih sistematik akan dilaksanakan. Dalam hal ini memang banyak terima kasih pada Jabatan IT KKSB. Semua sistem yang akan dilaksanakan menuntut lebih masa, lebih ketelitian untuk 2006 yang lebih cemerlang.

Kini saya memangku banyak tugas-tugas Ketua Pengarang yang telahpun berangkat ke Tanah Suci. Tidak lama lagi tauke pun akan berangkat ke Mekah. Oleh itu banyak urusan pentadbiran perlu dilaksanakan - terletak di atas batu jemala patik ini. InsyaAllah saya akan buat yang terbaik untuk syarikat.

Kami anak beranak tidak ke mana-mana cuti sekolah yang panjang ini (ada sebulan lagi!). Mereka pun faham tentang beberapa persiapan yang perlu mama dan abah buat untuk persediaan berpindah ke Shah Alam - pertukaran sekolah, urusan angkut barang dsbnya. Fuyoo.. memang tak menang tangan dibuatnya.

p/s: Pengkalan Pasir... di Mana Suamiku?
Habis pilihanraya ni, cepatlah balik KL ya....

Wednesday, November 23, 2005

JANJI & PERTEMUAN




JANJI Maestro pada KKSB tertunai pada 22hb lalu. Keempat-empat pemenang diraikan dalam satu majlis ringkas tapi bermakna. Menu biasa saja, tapi tak tinggal kerepek kegemaran Mawi. Lebih bermakna ialah agenda pertemuan Mawi dengan tauke. Harap pembaca fahamlah maksud pertemuan ini. Antara soalan semasa pc ialah:

1. Mawi - Semua orang tahu pasal perletawakan jawatan dalam MawiFC, orang pun dah tau pasal pertunangan dan perkahwinan yang mungkin tertangguh. Adakah kerana mengejar status jutawan, Mawi terpaksa redha dengan semua ini?

2. Amylea - Komen Ahad lepas tentang Duta Mahsuri amat pedas. Apa komen Amylea?

3. Felix & Marsha - Anda berdua memainkan peranan besar untuk meningkatkan intergrasi kaum antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Agaknya apakah antara peranan yang akan anda berdua jalankan ke arah perhubungan ini agar lebih berkesan?

p/s : Saya tak boleh bagi jawapan mereka di sini, dapatkan majalah-majalah KKSB di pasaran nanti.

Monday, November 21, 2005

YOU LAP ME, I LAP YOU...
BUDAYA gay dan lesbian sememangnya jelas haram di sisi semua agama di Malaysia. Namun ada negara jiran dalam rantau Asean ini yang menghalalkan budaya berkenaan. Kini undang-undang di Malaysia tercabar lagi... perkahwinan sejenis antara Jessie dan Joshua telah membuatkan persatuan agama Islam, Hindu, Sikh, Buddha dan Kristian kembali bersatu hati untuk menentangnya.

Kata mereka mulai sekarang kerajaan perlu bertindak tegas (patutnya dulu lagi!) apalagi menerusi sistem demokrasi dan liberalisasi yang Malaysia amalkan. Patutnya dulu lagi kita sudah menyediakan peruntukan undang-undang mengenai ini, jangan sudah terjadi baru nak ambil tindakan - orang ramai lapor kepada polis, ditangkap, bicarakan dan jika sah bersalah dipenjarakan.

Dalam kes terkini Jessie dan Joshua telah melangsungkan perkahwinan mereka di sebuah hotel terkemuka di Kuching dengan dihadiri oleh kira-kira 800 rakan dan saudara-mara. Tiga paderi dari Bountiful Harvest, Shepherd's Centre dan Assembly of Love telah menyempurnakan majlis perkahwinan mereka. (Maknanya gereja di Kuching membenarkannya!)

Krisis identiti ini berlaku dalam dunia sekitar saya sejak bertahun-tahun lamanya hinggalah ke hari ini. Saya sudah masak dengan perilaku, gaya hidup, sikap dan pendirian mereka. Ada yang ok, kenal diri tapi banyaknya yang tak ok, terikut-ikut dengan budaya barat. Kaedah mereka mudah saja, "Kami tak kacau you all, you all janganlah kacau kami. Kubur masing-masing, masing-masing jaga..." Tapi bolehkah kita hanya memandang sahaja sedangkan dalam hati kita sebenarnya ada barah yang menanah?

Antara yang memberi komen hal ini ialah:
- Naib Presiden Belia Xien Liang Wilayah Persekutuan,
Kelvin Ang Keh Den.
- Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),
Yusri Mohamad.
- Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM),
Norizan Shariff.
- Setiausaha Agung Persatuan Gereja Evangelical Malaysia,
Reverend Wong Kim Kong
- Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul di Akademi Pengajian
Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid.
- Presiden Persatuan Kebajikan Sikh Malaysia, Harbans Singh Gill.
- Presiden Hindu Sangam Malaysia, Datuk A. Vaithilingam.

p/s: Simpan nama-nama ini untuk rujukan. Lebih detail klik SINI

Thursday, November 17, 2005

TIDUR PUN LENA; MAKAN PUN KENYANG

Anas dibantu Guru Besar, Haji Misman meneliti keputusan yang diterima.

ADA dua kegembiraan yang ingin dikongsi bersama pembaca; pertama tentang keputusan UPSR anak kedua saya, Anas Iqbal. Alhamdulillah dia berjaya mendapat 4A dan 1B (Sains). Sains tu pun rasanya tidaklah B teruk, mungkin B+ sahaja. Walaupun dia mungkin berpeluang untuk ke sekolah berasrama penuh tetapi saya rasa susahlah kami hendak melepaskan dia pergi. Dan dia sendiri pun agak kurang berminat untuk ke sekolah berasrama. Tak mengapalah, ada PMR pulak selepas ini. Mungkin setelah PMR agaknya barulah lapang dada melepaskan dia ke sekolah berasrama.


Guru Besar, Anas dan kawan baiknya Izat (4A 1B jugak) bersama Guru Kelas, Cikgu Yusliza.

Perkara kedua ialah tentang keputusan Mahkamah Rayuan yang diputuskan hari ini - kes Mingguan Wanita vs Datin Seri Normala Samsudin. Ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan pihak Mingguan Wanita tidak bersalah dalam menerbitkan artikel yang tersiar kira-kira 10 tahun lalu.

Untuk makluman, saya telah hadir ke Mahkamah Sivil di Wisma Denmark dalam keseluruhan prosiding selama ini. Berhadapan dengan karenah Hakim Mahkamah Tinggi (Datuk RK Nathan), peguam kedua-dua pihak, bersemuka dengan Normala (waktu itu belum Datin Seri)dan emaknya serta bekas suaminya adalah suatu insiden yang amat bermakna. Plaintif dan defendan, masing-masing ada kepentingan dalam perbicaraan ini.

Cuma dua hari di Mahkamah Rayuan di Putrajaya saya tidak menghadirkan diri. Sesungguhnya apa yang saya lalui dalam kamar perbicaraan dan tanggungjawab turun naik mahkamah bertahun-tahun lamanya amat mahal untuk dikongsi bersama. Semua itu akan terpahat kukuh dalam kitab pengalaman.

Terima kasih kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Abdul Aziz Mohamed yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Mohamad Ghazali Yusoff dan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin. Tidak lupa kepada tauke Hj Hishamuddin, kepada Encik Haris Mohamed Ibrahim dari Tetuan Haris & Co, rakan-rakan dan semua pihak yang memberikan support. Thanks so much!

p/s: Laporan Akhbar

Saturday, November 12, 2005

10 SYAWAL BERSAMAAN 28 Mei
MASIH baru saja rasanya bergelar seorang isteri. Masih terhidu harum bunga rampai dalam bilik pengantin. Teringat, malunya duduk bersanding apabila banyak mata memandang. Terbayang, wanginya inai di jari tangan dan cantiknya inai di jari kaki. Masih terdengar lagi hiruk pikuk suara anak-anak kecil, jiran-jiran, saudara mara, kawan-kawan dan tetamu-tetamu lain... rupanya kini sudah 16 tahun! Alhamdulillah.

16 tahun lalu kad hari raya saya adalah juga kad jemputan kahwin, saya buat dua dalam satu. Jadi di samping kirim kad raya saya juga menjemput datang ke majlis perkahwinan. Jimat belanja. Gift untuk tetamu ialah sudu kaca yang diisi telur rebus dan dibalut dengan saputangan lalu diikat riben. Kenapa macam tu? Agaknya sebab saya suka memasak dan suka makan (sebab tu bagi sudu), suka telur rebus dan riben yang cantik-cantik, berwarna warni. Eh itu dulu. Pengantin 16 tahun dulu, sekarang ini dah pun ada anak 3, dah besar malah lebih besar dan lebih tinggi daripada mama mereka.

p/s; Harap bahagia hingga akhir nyawa. Rasanya en.abg tak ingat pun tarikh ni, sbb itulah saya tengok dia make donno saja.. ish, memanglah lelaki ni!

Wednesday, November 9, 2005

SYAWAL YANG BERKAT
1 SYAWAL sudah lama pergi. Yang tinggal ialah kemanisan berhari raya, berkumpul dengan adik beradik dan sanak saudara. Saya merayakan 1 Syawal di KL dengan adik beradik, emak, bapa dan jiran-jiran. Ketupat palas dan rendang istimewa orang kampung suami memang wajib saya masak. Dua Syawal, tepat pukul 2 pagi kami anak beranak meredah lebuh raya PLUS berkereta balik ke Alor Seta dan selamat tiba di kampung suami pukul 7 pagi. Dua hari di kampung suami, sempatlah menziarah kenalan dan saudara mara seluruh Kampung Hujung 30 Tokai. Kemudian ke Kg Pulai ke rumah dua anak buah di KKSB. Selepas itu ke Kodiang dan malamnya ke Taman Orkid. Esoknya kami balik semula ke KL dan saya memulakan kerja pada Selasa 8hb.

Tak sangka, dalam berziarah itu ramai peminat novel-novel Sri Diah ditemui. Tau saja saya nak ke tempat-tempat yang dimaksudkan, mereka sudah sedia menanti dengan kamera dan novel-novel terdahulu yang mereka beli. (JANJI KASIH belum sampai Alor Setar lagi waktu itu). Puaslah bergambar dan menandatangani novel-novel sambil menjamah dodol, ketupat dan rendang. Manis sungguh kenangan itu! Waktu itu terlupa sekejap kat en.abg dan anak-anak! Tau-tau mereka dah jeling-jeling...

Oh ya saya nak juga tahu respon pembaca JANJI KASIH. Tentang Saliwati yang nekad meredah kecewa dan rendah diri. Tentang Huzairi yang keras dengan perasaan. Tentang Zahim yang setia pada janji. Tentang Pn Junaidah Johar yang sengsara kerana menopos. Tentang Ayumi yang naif. Tentang Zuraida yang kaya budi tapi miskin harta dan lain-lain lagi.

Boleh juga kalau nak panjangkan serba serbi tentang JANJI KASIH. Silalah klik: 1. Sinopsis Janji Kasih dan juga 2. Tanya Sri Diah

Thursday, November 3, 2005

SALAM AIDILFITRI


SEMPENA Syawal yang mulia, saya sekeluarga memohon maaf jika ada tersilap bicara, terkasar kelakuan yang berlaku tanpa sedar selama kita saling mengenali. Kepada sahabat jauh di rantauan semoga Aidilfitri ini menjadi janji, InsyaAllah jika ada rezeki kita akan bersua jua akhirnya nanti. Berhati-hatilah sepanjang berkenderaan, berjimat cermatlah ketika berbelanja dan saling ingat mengingatlah sepanjang menjamah hidangan. Kenang-kenangkan mereka yang serba kekurangan.

Famili saya bersama Tok Din & Nek Jah.

Monday, October 31, 2005

SETAKAT NI CONFIRM RAYA DI KL
MENJELANG esok, bermakna lagi dua hari sahaja umat Islam akan menyambut Aidilfitri. Sudahkah anda membayar zakat fitrah? Pada en.abg sudah beberapa kali saya ingatkan supaya segera membayar zakat fitrah untuk saya dan anak-anak, jangan tunggu sampai pagi hari raya. Walaupun besar berkatnya di pagi Syawal tapi itu akan menyusahkan abah saya. Time orang tua tu tengah sibuk nak bersiap ke masjid, masa tulah en.abg sibuk nak bayar fitrah pada abah, salah seorang amil di Bandar Tun Razak ini. Bila patut bayar fitrah? Klik SINI

Dua pasang baju kurung Kak Long belum habis saya jahit. Badan dah cantum, tinggal nak jahit sembat leher, tangan dan kaki baju. Pencangkuk kain pun belum pi beli... si polan dok masam muka kalau-kalau baju dia tak sempat siap menjelang raya. Alhamdulillah baju Melayu si Anas dan Amie, masih boleh gunakan yang tahun lepas punya. Mama dan abahnya? Hahahah, tak ada pun baju baru!

Bisnes en.abg menjadi-jadi pulak menjelang Syawal nih. Lagilah tak menang tangan dia, mujur ada empat anak bujang membantu. So dia jadi pengarah sahaja nampak gayanya. Khabarnya di pagi raya nanti dia kena hantar tempahan ke PWTC pada pukul 3 pagi untuk hidangan open house yang akan bermula pada pukul 11 pagi. Kalau dah macam tu jadualnya sahlah kami tak berhari raya di Tokai tahun ini. So saya dan anak-anak sengih saja, gembira berhari raya di KL menanti sanak saudara dari Kelantan, Pahang & Johor balik beraya di rumah nenek mereka di KL ini.

Sedih juga mengingatkan Ramadan yang kian ke penghujung dan entah kita dapat merasa lagi atau tidak Ramadan akan datang. Alhamdulillah Ramadan tahun ini kita lalui dengan penuh kesenangan, cuaca baik, redup sentiasa dan negara aman damai dengan rezeki yang melimpah-ruah.

* Salam Takziah untuk keluarga Pengarah Urusan kami yang kehilangan bonda tercinta Allahyarham Hajah Che Moh, 82 tahun pada pagi Ahad lalu. Semoga Allah merahmati dan menempatkan Allahyarham di sisi mereka yang beriman. Al-Fatihah.

Thursday, October 27, 2005

MANA BANGKIT SANTANKU YANG DULU?


MOOD raya sudahpun sampai dekat dengan diri. Ada dalam hati dan sudah terbayang di mata. Anak-anak kian sibuk dengan persiapan raya masing-masing. Check list tentang baju, jeans, kasut, aksesori pakaian dengan tali pinggang, stokin, topi/cap/songkok dan sebagainya setiap hari ada di tangan. Mama dengan abahnya sahaja yang masih make dono.

Masa kecil dulu kami tak merasa pergi shopping. Semuanya emak dengan abah yang uruskan. Mak beli kain satu gulung (sekodi?) itulah baju kakak, baju saya dan adik-adik. Sama je coraknya. Sampaikan seluar katok pun sama design! Kasut pulak, abah akan ukur kaki kami dengan tali rafia/tali guni. Masa adik beradik tak ramai, abah jengkal saja dengan jari, tapi bila adik beradik dah ramai, dah tak boleh jengkal, takut tak ingat. Dapat yang terkecil atau terbesar, nasiblah!

Kuih raya hanyalah kerepek pisang, kerepek ubi - pedas dengan manis. Kuih goyang, kuih siput, kuih bahulu, kuih gunting, lidah buaya, penderam, lengkong merah, maruku, rempeyek, tumpi dan sebagainya. Itulah yang kami kunyah, sampai seredaknya! Tak ada biskut.

Nostalgia ini kalau diceritakan pada anak-anak, mereka akan tersengih dan gelak-gelak panjang. "Dulu lain, sekarang lain". Ya, memang dulu lain. Yang dulu itulah yang selalunya menerbitkan emosi betapa syoknya hari raya. Sakit-sakit jari, menghiris ubi/pisang. Melecur jari kena kuali panas. Berparut tangan kena acuan bahulu yang panas. Lenguhnya menggunting tepung. Sakitnya kena minyak panas menggoreng rempeyek/tumpi/maruku.

Kini, sedapnya london almond, rangupnya biskut nestum, lazatnya mama carries dan aneka kuih moden tak sama dengan harum dan lembutnya bangkit santan yang mak buat. Masuk dalam mulut, tunggu sekejap, kemam pelan-pelan dan hilang masuk tekak!

Thursday, October 20, 2005

TAKZIAH DARI HATI
Sampaikan Takziah Untuk PM



SAYA tidak pernah menjangka pertemuan pada 24 April 2004 di kediaman rasmi Perdana Menteri telah arwah simpan dalam fikirannya dan apabila bertemu lagi dua kali selepas itu arwah masih mengenali saya. Mungkin juga kerana Puan Leela Ali, daripada Yayasan Budi Penyayang yang juga merangkap pembantu peribadinya membisik perlahan ke telinga arwah tentang pertemuan-pertemuan sebelum ini. Atau memang arwah pengingat orangnya.

Takdirnya hari ini arwah telah kembali menghadap penciptanya. Janji mereka sudah sampai ke titik akhir dan tiada apa yang boleh dilakukan lagi bagi melewatkan segala janji Allah.

Hujan renyai bumi Kuala Lumpur mengiringi kesedihan seluruh rakyat Malaysia. Hujan air mata juga tumpah perlahan-lahan, basah di mata, basah di hati. Alunan merdu ayat suci Al-Quran menyinggah ke telinga dari semua stesen radio dan televisyen, sungguh meruntun hati saya... sungguh!

"Kak Endon tak sihat, bolehlah bergerak sikit-sikit. Tak boleh aktif. Pak Lah selalu cakap, kalau tak larat buat cara tak larat. Pasal negara biar dia uruskan. Jangan risau. Dia suruh Kak Endon jaga kesihatan..." Itulah antara perbualan kami di meja makan petang hari itu di Seri Perdana.

Kemudian di majlis anjuran Majalah Seri Dewi dan Keluarga sempena Sambutan Hari IBu 2005 di Hotel Nikko, kami duduk semeja lagi. Petang itu saya amat malu nak menjamah makanan yang lazat-lazat di atas meja termasuklah nak meneguk minuman. Di saat pelayan menghidangkan makanan di piring kami, Kak Endon menolak pelawaan itu dengan sopan.

Kemudian arwah segera mengeluarkan dari beg tangannya satu kampit kecil plastik yang berisi hampir 15 pil/kapsul ubat, bermacam saiz dan warna. Ubat itu dicurahkan di atas piring kuih, piring yang sama seperti piring kami yang sudah diisi roti jala, puff dan murtabak. Dia hanya meminta air suam daripada pelayan. Kemudian satu demi satu pil/kapsul berkenaan masuk ke mulutnya. Oh My God... Saya menarik nafas panjang. Sudu dan garfu segera saya letakkan semula!

Banyak yang ingin saya tulis tentang arwah, tapi cukuplah setakat ini dulu. Sesungguhnya kematian itu pedih. Ianya amat sakit bagi yang merasainya. Ianya amat sedih bagi yang kehilangannya. Salam Takziah untuk Pak Lah, ahli keluarganya dan seluruh rakyat Malaysia yang pagi ini telah kehilangan wanita pertama negara.

Setulus AlFatihah untuk Allahyarhamah Datin Seri Endon bte Mariam.
- Kemoterapi Abraxene
- Endon, 64
- Ingin Ramadan & Syawal di Malaysia

Wednesday, October 19, 2005

TUHAN TAK MARAH KITA BERJIMAT...
RAYA kian hampir. Di Shah Alam ini Tesco, Makro, Giant, Plaza Alam Sentral, Plaza PKNS, Plaza Masalam, Shah Alam Convention Center, Kompleks Muhibah dan lain-lain lokasi mula sibuk. Parking susah. Manusia punyalah ramai terutama time lunch. (Eeee... laratnya depa! Letih, panas, berhimpit-himpit, malas cari parking - itulah yang selalu jadi alasan saya tak keluar). Tambah happening kali ini, raya berganda antara Deepavali dan Aidilfitri!

Ya, kenalah berjimat. Selalu saya ingatkan kawan-kawan, jangan main beli saja. Fikir dulu, perlu ke tak? Kalau tak ada benda alah tu raya jugak... tak payahlah tukar langsir, tukar sofa, beli carpet baru, tukar cadar, pinggan mangkuk baru kalau semuanya masih elok. Lagi tak perlu tukar baru, bekas isi kuih. Guna yang sama pun apa salahnya. Baju dan kasut tu lainlah, yang dulu mungkin dah lusuh, atau dah tak muat.

Lepas ni banyak nak pakai duit. Sekolah penggal baru nak buka, mungkin anak kena duduk asrama, nak bayar yuran, beli buku, baju sekolah, kasut dan beg. Tambang bas, tusyen, duit mengaji dan macam-macam lagi yang lebih penting daripada persiapan raya. Raya ni, semangat yang penting. Fizikal ni biasa saja, jiwa dan raga tentang Aidilfitri itulah yang paling bermakna selepas sebulan mengharungi cabaran Ramadan.

Sorry berleter sikit pagi-pagi ni. Selain urusan kerja mungkin saya tambah sibuk dengan persiapan untuk berhijrah sepenuhnya ke Shah Alam Disember nanti. Senang, dekat sikit dengan pejabat, sepelaung dah sampai, sepenanak nasi dah pun punch in, ataupun tak habis sepuntung rokok en.abg saya dah sampai rumah.

Monday, October 17, 2005

"JOM KITA PONTENG NAK?"
SEMALAM terdengar bisik-bisik antara dua beradik lelaki mengenai isu ini. Mereka memang dah tak ada hati nak pergi sekolah sebab katanya dah tak belajar sangat. Lagipun periksa dah tamat. Mereka hanya disuruh bermain, membaca buku cerita (komik?), pergi bilik multimedia, pergi perpustakaan dan selebihnya borak-borak serta main sahaja. Letihlah, nanti terbatal puasa!

"Buat kotorkan baju, nanti penat mama nak basuh baju..." kata si adik. (Eh, selama ni bukan mama yang basuh baju... mesen baju yang tolong basuh dan bilaskan.) Tapi si abang kena pergi jugak. Dia Ketua Pengawas kena tunjukan tauladan yang baik. Lagipun kata-kata aluan/prakata daripada dia untuk buku/majalah sekolah belum siap lagi. Dia dah janji minggu lepasa nak serahkan minggu ini.

Betulkah cikgu-cikgu dah tak mengajar lagi dalam minggu-minggu akhir menjelang cuti sekolah hujung tahun ini? Kalau tak mengajar cikgu buat apa? Kalau cikgu tak mengajar sebab silibus dah tamat dan habis pulak menyemak kertas periksa akhir tahun, saya rasa cikgu kenalah bantu murid-murid yang lembab. Adakan kelas khusus untuk kelas-kelas yang tercorot dan hampir corot.

Daripada tidak buat apa tu (kalau tak ada buat apalah...) cikgu-cikgu boleh bantu anak-anak murid dengan kelas-kelas motivasi tentang kerjaya, tentang cita-cita, tak lah dok tengok cd filem-filem tak menentu di pusat sumber. (Kak Long kata kena bayar seorang seringgit kalau nak tengok cd). Kalau diatur awal, kami boleh bantu dengan mambawa team Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Fokus SPM, e-baca ataupun Bintang Kecil untuk tolong memanfatkan kesempatan. FOC beb...

* Kesudahan ceritanya hari ini maka tercatatlah dalam lipatan sejarah yang akan diabadikan dalam rekod buku kedatangan sekolah, bahawa dua beradik lelaki itupun pontenglah, sedang tidur baring tengok tv dan main games di rumah...

Friday, October 14, 2005

REZEKI RAMADAN
AWAL pagi semalam sahabat blogger MBA mengumumkan yang beliau ada berita gembira di blognya, saya tumpang tersenyum dan mengucapkan Alhamdulillah dalam hati (tapi tak tau lagi berita gembira apa tu?). Takdirnya juga awal petang semalam, saya dan seluruh karyawan KKSB pula mendapat berita gembira. Yes, bangunan sebelah sudah menjadi milik kami!

Sudah berbulan-bulan kami mengharapkan bangunan berkenaan menjadi milik KKSB dan Alhamdulillah setelah melalui satu proses lelongan yang amat mendebarkan pagi semalam, akhirnya bangunan itu menjadi hak KKSB. Sesiapa yang pernah ke Kompleks KKSB di Shah Alam pasti perasan dengan bangunan yang terdapat di tepi simpang selepas jambatan kecil tu. Betul-betul di belakang Balai Bomba Seksyen 15, Shah Alam.

Dalam satu taklimat mengenai arah tuju syarikat menempuh 2006 dan tahun mendatang tauke menjanjikan prasarana yang lebih kondusif untuk semua karyawan termasuk tempat letak kereta yang cukup, ada nurseri, ada studio yang lengkap dan sebagainya (ada gym jugaklah...). Dan rasanya itu semua tidak mustahil untuk diadakan di tempat baru berkenaan. Tapi not just wait and see. Kenalah kami berusaha mencapainya dan membantu tauke membayar balik pinjaman bank.

Hari ini juga diharapkan satu lagi berita gembira akan menyusul. Pukul 9.30 - 10.30 pagi ini saya dan team Jabatan Pengarang akan mengadap Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Hj Ahmad Sipon untuk satu presentation di pejabat beliau di Putrajaya. Jika berjaya kami percaya usaha ini pasti akan dapat membantu kerajaan membina sahsiah pelajar yang komited dengan bidang pendidikan dan di masa yang sama dapat membina siasah diri para pelajar.

Oklah saya dah nak berangkat pergi. Doakan kami berjaya ya.

Wednesday, October 12, 2005

"KUALA LUMPUR... I'M COMING!"
SELEPAS Isyak malam tadi kami menerima tetamu dari Alor Setar secara tiba-tiba. Mereka ialah abang ipar saya, anak lelakinya dan menantunya. Jadi apa yang ada sahaja dihidangkan, iaitu lebihan daripada berbuka puasa - roti john, popia... Tapi belum sempat air diteguk, tetamu wanita sudah tak senang duduk, dok tergeliat-geliat. Kenapa?

Memang nampak dia dah hamil sarat. Dah cukup bulan katanya. Rupanya sebaik turun dari teksi dan melangkah masuk ke rumah saya, air ketubannya dah pecah. Aduhai, macamana? Nak ke HUKM yang 5 minit saja dari rumah atau nak ke HKL yang 30 minit dari rumah? Saya tanya, ok lagi ke? Boleh tahan tak agak-agak lagi setengah jam? Dia yang sudah ada anak satu, kata okey. So saya kata dengan en.abg bawa ke HKL sajalah. Sebab kalau di HUKM nanti bayarannya tinggi, itu kalau normal. Kalau operate lagilah bilnya melambung. En.abg pun memandulah membawa si perempuan itu dan suaminya ke HKL

Alhamdulillah sampai di HKL dalam pukul 10 malam dan selamat bersalin pukul 12 malam. Pagi tadi en.abg cerita; yang dia tak pernah langsung alami dub dup dub dap macam malam tadi. Kebetulan jalan sesak di Loke Yew menghala ke Jalan Tun Razak, dia rasa jantungnya macam nak gugur. Dia takut kalau terberanak dalam kereta. Sebabnya dengan isteri sendiri pun dia tak pernah mengalami semua itu. Wad bersalin HKL pun dia tak tau kat mana... nak daftar kat mana. (Errr.. kat tepi padang tu kan?)

Pengalaman menyambut tiga anak kami begitu teratur. Ianya tersusun satu persatu. Contohnya datang buat last checkup, doktor buat pemeriksaan, tengok kalendar dan pilih tarikh. Esoknya di pejabat, saya bereskan semua kerja. Kemas meja. Tinggal pesan itu ini, sebab dah tau bila nak bersalin. So pada tarikh yang ditentukan, bawak segala keperluan, daftar, rehat sekejap di bilik dan tak lama lepas tu masuk dewan bedah.

Itulah kan, perjalanan hidup setiap orang tak sama. Macamlah cik kak malam tadi, datang jauh-jauh dari Alor Setar, terhentak-hentak naik bas, rupanya baby nak keluar di Kuala Lumpur.

Tuesday, October 11, 2005

"SEMALAM EMAK AKU TAK PUASA...!"
SUDAH 7 hari kita dalam Ramadan tahun ini. Pejam celik, tak lama sahaja lagi Ramadan akan berakhir dan kita pasti akan merindui lagi Ramadan tahun-tahun akan datang. Bak tulisan di sebuah pemidang di tepi jalan yang mencatatkan... "Ramadan, datangmu dinanti, pergimu ditangisi." Si bongsu memang tak faham ayat ni jadi sambil tunggu lampu hijau menyala, puaslah menerangkan makna ayat ini pada dia.

Tapi katanya, semalam kawan dia di sekolah cakap yang emak dia tak puasa. Emak dia makan sama-sama dengan si anak. Bila si anak tanya mengapa emak tak puasa, si emak kata "emak laparlah... kita makan senyap-senyap kat dapur, bukan siapa tau. Tak ada orang nampak." Begitulah cerita si Amie, 9 tahun.

Alamak spoillah... Saya kata memang orang tak nampak tapi Tuhan nampak! Si makcik tu pun kalau iya tak boleh puasa janganlah bagi alasan b*nga*g! Kan dah keliru si anak. Malah bukan anak dia saja, anak saya pun jadi keliru! Budak-budak memang tak reti menipu. Dia cakap apa saja yang orang dewasa cakap. Si Amie tu kalau kata tak boleh puasa sebab `datang bulan' dia faham. Dia memang dah tau sebab sudah dijelaskan, tak main selindung-selindung.

Hari ini berbuka puasa di mana? Atas meja ni ada dua tiga jemputan dalam sehari. Nak pergi dengan tak nak pergi saja. Biasanya saya suruh staf-staf solo saja yang pergi. Akak-akak ni sejak dulu lagi dah jenuh bertandang dari satu hotel ke satu hotel, memenuhi jemputan. Sekarang rasanya lebih bermakna berbuka puasa di rumah bersama anak-anak biarpun hidangannya hanyalah sambal goreng ikan bilis dengan ubi kentang sahaja.

Sunday, October 9, 2005

BERAPA DAPAT?
JARI-JARIKU sakit semua, kerna bekerja sehari-hari... Memang kena dera sungguhlah pada hari Sabtu dan Ahad nih! Letih memanglah letih. Kerja di dapur bermula dari jam 9 pagi hingga 2 petang. Lepas tu boleh rest kejap sebelum ke dapur semula untuk hidangan berbuka puasa.

Tapi keletihan itu hilang bila en.abang balik lepas berbuka puasa. Lepas Maghrib, soalan pertama yang diajukan (macam wajib pulak soalan ini) berapa dapat hari ni? Sehari dua ini senyum en.abang lebar sikit so saya pun tambah bersemangat membantu dia bisnes. Esok, emak dan adik ipar akan ambil alih tugas. Harap-harap rasa dan kualiti dapat dipertahankan. Kalau tidak sure kena komplen.

Oh ya, nak cerita sikit tentang bisnes KKSB terkini. Sedar tak sedar, produk Jabatan Majalah sekarang ini sudah menjangkau 33 judul dengan terbitnya Edisi Pengenalan Majalah Laman Impiana. Edisi ini terbit tiga bulan sekali khusus tentang laman. Tentang bunga-bungaan, lanskap, jenis tanah, membaja, menyusun atur pasu, air pancut di taman, menanam sayuran dan segala titik bengik tentang laman. Sememangnya majalah ini menepati kehendak mereka yang suka gardening. Harganya RM10 dengan kemasan perfect binding, cover uv, full color, latest design layout dan merupakan spin-off daripada Majalah Impiana.

Sebenarnya bukan `dah' 33 judul majalah, tapi `baru' sahaja 33 judul majalah. Sebabnya tauke nak 50 judul majalah!

Friday, October 7, 2005

TAK BOLEH! TAK BOLEH! TAK BOLEH!
ENTAH apa mood en.abg tahun ni, dia teringin nak berniaga pulak. Kebetulan dia ada dua pekerja yang sama-sama minat berniaga. So depa plan lepas waktu pejabat nak berniaga di bazar Ramadan. Hari ini dia mulakan bisnes tu. Siapa jadi mangsa memasak? Sayalah! Kebetulan hari ini ambik cuti tahunan, sebab nak uruskan beberapa urusan rumah di Shah Alam, hal api air, hal jumpa kontraktor dan sebagainya.

Plan A saya dah jadi Plan B. So operasi bermula awal pagi. Ke pasar dan balik memasak. Petang tepat pukul 3 dah mula angkat barang-barang ke bazar Ramadan. Saya tak yakin mulanya, boleh ke dia berniaga? Kalau keluarga saya memang dari nenek, sampai pada mak dan kami adik beradik memang kaki berniaga. Apa saja - kain baju, barang kemas, barang makanan, barang elektrik semua pernah kami adik beradik bisneskan. Yes kami pegang kata-kata Nabi Muhammad saw bahawa 90 peratus daripada rezeki datang daripada perniagaan. Sekarang nilah saya dah tak berapa aktif lagi, melainkan berniaga rumah sewa saja. Hahahha.... Tapi kakak di Kuantan masih lagi on bisnesnya dengan aneka barangan hatta dari Vietnam dsbnya.

Ok berbalik pada hal en.abg saya tu, habis berbuka puasa dia dah sampai rumah dan letak depan mata saya berapa yang dia dapat hari ini. Wah, terkejut sungguh! Hampir RM390! Tolak modal, dapat lebih kurang RM200. Kalau macam ni hari-hari, bestlah. Tapi kebetulan hari ni saya cuti. Kalau hari yang saya tak cuti nampaknya mak sayalah yang kena bantu en.abg. Kejap tadi telefon mak, tanya bolehkah? Mak kata ok, no problem. Tapi saya teruja le pulak... kalau saya ambik cuti tahunan sepanjang Ramadan ni boleh tak agaknya? Ah, belum tanya bos, tapi jawapannya saya dah tau. TAK BOLEH! TAK BOLEH! TAK BOLEH!

Thursday, October 6, 2005

REZEKI DUA MANGKUK
ALHAMDULILLAH hari ini sudah masuk Ramadan kedua setelah pengalaman semalam dilalui dengan pelbagai rasa. Sempena Ramadan ini waktu bekerja telah disesuaikan supaya semua staf sempat balik berbuka puasa di rumah. Waktu bekerja bermula 8.15 am - 1.00pm. Kemudian sebelah petang dari 1.45pm - 5.00pm.

Laluan dari Shah Alam ke Federal Highway clear, so dapatlah sampai ke pangkal NPE dekat Sungai Way dalam pukul 5.25pm. Tak apalah bayar tol lebih sikit janji cepat sampai. Dari NPE sampai ke Desa Waterpark 5.35pm. Tapi yang malangnya dari tol Bandar Tun Razak nak sampai ke rumah yang biasanya hanya 5 - 8 minit saja dah jadi 45 minit. Aik... apa dah jadi? Saya berniat nak masak sendiri untuk berbuka puasa tapi nampaknya memanglah tak sempat. Sebelum tu, telefon Kak Long suruh masak nasi saja dulu.

Dalam hangin tu mak telefon, suruh singgah rumah mak dulu sebelum balik rumah. Rezeki dua mangkuk... mak bagi bubur lambuk berperencah ayam dengan nasi goreng kampung! Eh, adik beradik saya yang duduk jauh dari KL, kalau baca entri ni jangan marah ya! (Selebihnya lauk tunjuk saja di bazar Ramadan).

Wednesday, October 5, 2005

RAMADAN ALMUBARAK
KINI Ramadan sudah berada betul-betul di hadapan mata dan terus masuk ke dalam jiwa. Hendaknya Ramadan yang dilalui akan sering mengingatkan kita pada Allah, pada ibadat yang berlipat-ganda pahalanya dan pada mereka yang kurang bernasib baik. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadat puasa kepada semua pembaca blog ini semoga amalan dan ibadat kita akan diterima Allah dan mendapat berkat daripadaNya. Kecanggihan teknologi kini membolehkan kita menerima ucapan dan doa menerusi sms, hingga jenuh membaca dan membalasnya. Terima kasih diucapkan kepada yang mengirim ucapan dan mana yang tidak sempat dijawab itu, haraplah dapat dimaafkan.

Saya sudah menulis pada sehelai kertas dan dilekat di dinding peti sejuk untuk perhatian Anis, Anas dan Amie. Selain perkara-perkara yang membatalkan puasa yang sudah mereka ketahui dalam pelajaran agama Islam di sekolah, saya tambah lagi beberapa perkara lain yang hukumnya akan mengurangkan pahala puasa. Tidak berbaloi dengan perut lapar, dahaga dan letih seharian.

Antaranya tidak boleh meninggikan suara dan bergaduh sesama adik beradik. Jangan buat sepah, nanti mama penat mengemas, membebel dan itu akan kurangkan pahala puasa. Tidak boleh tengok tv berlebihan, nanti melalaikan. Begitu juga tidak boleh main pc games melampau-lampau dan tidak boleh main ps2 sampai pedih mata. Anis tidak boleh tengok siri import yang seksi menyolok mata.

Habis nak buat apa? Itu tak boleh, ini tak boleh? Soal si bongsu.

Tuesday, October 4, 2005

SELAMATKAH?
SAYA sudah kembali bertugas di pejabat di Shah Alam, setelah tiga hari suntuk dan tiga malam nan suntuk di Kota Bharu, Kelantan. Kepala masih lagi `nenong-nenong' kerana insiden malam tadi. Sejak senja, Kota Bharu dilanda hujan lebat dengan kilat petir dan angin kuat. Flight malam tadi 9.40 dari KB (itupun dah terlewat dari jadual) penuh dengan insiden - kapalterbang terhoyong-hayang menempuh hujan, kilat dan gerombolan awan. Kejap ok kejap tak ok, budak-budak dah mula melalak, terjerit-jerit mengantuk campur takut. Pramugari pun sibuk ke hulu ke hilir, terhoyong-hayang, tersingkap-singkap skirt pendek tu...

Sampai KLIA memang dah lewat. Tunggu hampir 15 minit, bagasi semua penumpang tak muncul-muncul. Penumpang flight selepas itu dari Penang dan Kuching dah pun ambil barang masing-masing. Menguap, letih dan sakit hati ditenteramkan oleh Kak Habsah Hassan yang kebetulan sama flight.

Kesudahnya setelah hampir satu jam tunggu bagasi tak muncul-muncil pengumuman penting dibuat. Kami disuruh balik dulu, bagasi akan dihantar ke rumah, kemudian nanti. Ada insiden - bahan kimia berbahaya (entah siapa punya!) tumpah dalam kargo. Mak datuk... mungkin juga flight malam tadi meletup kat udara kalau bahan kimia berbahaya tu sungguh berkuasa! Bomba dah dipanggil untuk tentukan keadaan dan memang tak akan dapat bagasi malam itu juga.

Dalam perjalanan balik dok buat pelbagai andaian;
- kalau betul bahan kimia tu berkuasa, dah habis dah malam tadi.
- bagasi tu ada berbotol-botol budu kot?
- macamana nak gerenti bagasi saya tu selamat? Jangan-jangan sampai ke rumah orang lain. Sebabnya bagasi saya dua tapi hanya diberi satu tag?
- kalau dapat bagasi pun, jangan-jangan dah lencun kena air paip bomba.
- tak lencun kena air bomba/buih bomba, mungkin dah rosak sebab kena bahan kimia yang tumpah.
- ish... ish... ish...

Hari ni pulak terkejar-kejar sebab ada lawatan Deligasi Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Khaled Norden. Sampai entri ni ditulis, masih lagi terkenang-kenang buah pauh dalam bagasi di KLIA...

Friday, September 30, 2005

GEDEBAK GEDEBUK BELUM REDA...
SELESAI UPSR yang dilalui Anas, kini si sulung Anis pulak akan menghadapi PMR pada Isnin nanti. Gedebak-gedebuklah hati dia. Hati mak dia ni lagilah dup dab dup dab... Malam tadi ada solat hajat anjuran sekolahnya di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak. Ramai juga ibu bapa yang hadir. Sama banyak dengan pelajar-pelajar. Hari sebelum itu Anis senyum, tersengih apabila membaca statment Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Ahmad Sipon bahawa akan disediakan glosari masa exam nanti dan boleh memilih nak jawab dalam BM atau BI. Harap dia boleh jawab soalan-soalan tu... jangan dok terpandang muka si Rubi sudahlah!

Ok sekarang dah boleh upload gambar si Anas semasa majlis Mohon Restu hari tu. Anas yang pakai baju Melayu kuning. Yang menyuap pulut kuning dengan rendang tu guru kelasnya, Cikgu Yusliza.






Thursday, September 29, 2005

SEKEJAP JADI BANYAK KEJAP
SEPULUH hari tak update, ini bermakna saya telah kecewakan ramai pengunjung... kebetulan sempena Ramadan yang bakal tiba, saya nak tumpang mintak maaflah. Banyak yang hendak ditulis, tak tahu nak catat yang mana satu. Cepat saja masa datang dan pergi. Sedar-sedar dah tengahari, kemudian dah petang. Kejap lagi... kejap lagi jadi berhari-hari. Kesudahnya langsung tak tulis apa-apa. Kemudian esoknya datang lagi. Datang dan pergi macam bukan 24 jam.

Pencarian wajah Nur & Dara.com dah selesai. Pelancaran 3 buku resipi Alaf pun dah lepas. Tak lama lagi ulangtahun Majalah Remaja. Khabar gembira - Majalah RASA edisi Oktober dah masuk second print! Tak sangka, belum masuk Oktober majalah tu dah sold out. Kenapa? Ada banyak resipi buka puasa dan sahur kot...

Esok pengumuman Bajet 2006 di Parlimen. Esok juga ada pengumuman rombakan kabinet di KKSB. Kabinet bayangan? Wah, macam-macam teori timbul. Macam-macam spekulasi. Apa-apa pun tunggu tauke buat pengumuman pukul 9.00 pagi Jumaat. Just wait and see (and action!)

* Komen-komen kat isu Felisa Beauty Makeover tu nanti saya jawab pelan-pelan ya. Janganlah marah...

Wednesday, September 21, 2005

FELISA BEAUTY MAKEOVER

Tontonlah TV3 pukul 7 malam ini.
Wajah-wajah ini antara yang akan kelihatan di kaca tv anda.

Tuesday, September 20, 2005

SEDANG CARI KERJA?
SEKARANG sudah confirm saya dan 6 pegawai kanan dari KKSB akan ke Kota Bharu pada 1 - 3hb Oktober nanti. Sesi interview ini membabitkan hampir 50 orang calon untuk wartawan dan 30 orang calon untuk jabatan graphic artis. Adakah sesiapa pembaca blog ini termasuk dalam calon yang akan ditemuduga di KB nanti? Jika ada, sila respon. Menurut HRD juga ada hampir 5 jawatan kosong sebagai Editor di unit akhbar. Ada sesiapa yang berminat? Syarat utama untuk jawatan Editor, Wartawan dan Graphic Designer ialah memiliki Diploma/Ijazah dalam jurusan yang berkaitan. Hubungi segera KKSB di talian 03 - 51013888 sambungan ke Jabatan Sumber Manusia (keutamaan diberi kepada mereka yang menetap di Kelantan).

Sunday, September 18, 2005

ULANGTAHUN

mengira hari
seperti menghitung jari
kiraan berganti

kalau bukan dulu
sekarang entah ke mana
bahasa ini
dua tahun kini!

Friday, September 16, 2005

AHAD LEPAS...
BZ tu makanan rujilah kiranya. Kalau tak bz macam ada pulak yang tak kena... Tengahari ni ramai yang ajak keluar lunch tapi memang dah habit tak suka keluar lunch - panas, payah cari parking, makan tak enjoy, rasa macam tak berbaloi dengan masa dan yang pentingnya tak makan pun tak apa. So lebih baiklah saya duduk saja dalam bilik, buatlah apa yang patut. Ya... `buat apa yang patut' ni pun dah kira bz jugak.

Inilah antara gambar-gambar sepanjang majlis pertandingan memasak cucur dan nasi goreng anjuran kelab rekreasi dan sukan kksb yang disertai staf kksb & ulitmate print minggu lalu. Kalau ada sesiapa nak buat pertandingan memasak dengan kami pun boleh diatur. Untuk aktiviti Puspanita misalnya. Sorrylah gambar Anas disuap pulut kuning belum sempat diupload. Alasan: reader hilang, tak ingat letak kat mana, entah siapa pinjam, wayar nak connect ke komputer ni pun ntah letak kat mana. Jadi ikut mana sempat sajalah ya...


"Saya rasa nasi goreng, awak rasa cucur ya!" Abang hensem tu finalis Lelaki Maskulin.


"Masak sedap-sedap tau!" Shima, designer M. Wanita dan Anip dari Media Hiburan


Pengarah Urusan dan isteri turut hadir. Bersama Emma dari Impiana dan Miri dari Miri Sarawak daripada Majalah Keluarga.


Wartawan single bergabung dengan suami orang. Faiz, Fokus SPM & Rizal, Bacaria.


"Rasanya macam ada garam tumpah dalam cucur tadi..." - Komen juri penting hari itu.


Lepas bergambar ni terus balik sebab ada program lain pulak...

Wednesday, September 14, 2005

DIARI
SEMALAM saya ke TV3 di Bandar Utama dan hari ini ke Tingkat 5, Plaza Alam Sentral pula. Kenapa? Sebabnya ada rakaman untuk Felisa Beauty Makeover. Saya jadi juri bersama Alia HM Jally, sahabat masa di USM yang kini dah jadi Pengurus Corporate Comm. TV3 dan juga Encik Zul dari Felisa Kosmetik. Pemenang dah pun diketahui tadi, nak tau lebih jelas jangan lupa tengok TV3 pada 21hb Sept. pukul 7 petang ya!

Esok pulak akan menghantar anak saudara dari Alor Setar yang akan pergi rehearsal di UITM untuk konvo Ahad nanti. Kakak ipar dengan abang ipar pun turut sama. Lepas tu depa nak ke Seremban, pergi rumah anak satu lagi. Tengah dok fikir ni, nak pi hantar sampai ke Seremban ataupun nak hantar sampai stesen komuter saja...

Atas kesibukan akhir-akhir ini ada beberapa lunch date yang terpaksa dibatalkan. Sorry to Aida dan lain-lain. Maaf juga pada Ztt yang dah banyak kali panggilan telefon daripadanya terpaksa dipendekkan. Oh ya, saya akan ke Kota Bharu awal Oktober nanti. Ada sesi intervew bagi calon-calon wartawan untuk akhbar harian. Sesiapa di KB, nanti kita buat janji temu ya!

Dengan pemergian ke KB, saya sure tak dapat hadir majlis penyerahan kunci apartmen untuk Mawi di A Famosa Resort, Melaka. Majlis ni anjuran resort berkenaan dengan Kementerian Pelancongan dan Majalah Libur. Libur ada majlis khas selepas itu. Sorry to Kak Ros, setiausaha sulit Datuk Zahid! Nanti kita dating di hari lain ya! Ada sesiapa nak join majlis ni, silalah hubungi staf Majalah Libur, 03-51013888.

Monday, September 12, 2005

SIANG MALAM BERGANTI
TINGGAL beberapa hari sahaja Ramadan akan hadir. Kemudian Syawal. Syawal nanti opis akan tutup hampir sepuluh hari. Untuk menghadapi sepuluh hari yang bakal tiba, kesibukannya sudah dirasai sekarang. Begitu juga untuk menghadapi 2006, lagilah banyak projek yang mesti difikirkan. Tiga bulan menjelang Disember terasa amat singkat. Lepas satu, satu projek datang dan pergi. Ada juga projek yang datang tapi tak pergi, hanya akan terlaksana 2006 nanti.

Banyak jugak event yang berlangsung membabitkan syarikat dan orang luar. Pejabat ini sibuk dengan pelbagai aktiviti mengikut jabatan masing-masing. Walau ada 32 majalah tetapi saya bekerja untuk hampir 40 majalah/akhbar yang sedang dalam proses dan tambahan beberapa jabatan lain. Sebab itulah event bersama JICA dan Mek Jepun saya tak dapat hadir. Semalam juga ada pertandingan memasak dikalangan staf KKSB - pertandingan memasak cucur dan nasi goreng. Jenuh jugaklah pengadil ni nak merasa dan buat keputusan.

Ya, Anas sudah merdeka - "inilah erti merdeka abang yang sebenarnya," kata Anas. "Ya, merdeka sementara. Lepas ini PMR pulak..." tokok si Anis, kakaknya yang akan menduduki PMR pada Oktober ini. Memang dia pun tengah stres dan hangin. Problemnya? Cikgu jarang masuk kelas, sibuk dengan meeting, pergi jabatan, kursus dan sebagainya. Anak-anak murid kena belajar sendiri... macamana tu? Mujur dia ada rakan perbincangan. Tapi saya hangin jugak dengan si Anis ni sebab doklah dia menghadap siri luar negara pukul 2 petang kemudian sambung sampai pukul 3 hinggalah pukul empat petang tu!

Friday, September 2, 2005

DALAM SEDAR, AIR MATA MENITIK JUA
SEMALAM saya mohon pada bos untuk balik awal daripada waktu sepatutnya. Sampai di rumah, ambil Anas dan terus ke sekolahnya. Majlis bermakna ini mewajibkan ibu bapa turut serta untuk menyuntik semangat anak-anak dan memohon restu Allah swt semoga peperiksaan UPSR yang bermula pada Isnin depan dapat ditempuh dengan berkat.

Aturcara majlis:
- Pendaftaran ibu bapa
- Solat Maghrib berjemaah
- Bacaan Yassin
- Solat Isyak berjemaah
- Solat Hajat berjemaah (niat sujud akhir tu sendiri2 la...)
- Amanat Guru Besar
- Amanat YDP PIBG
- Amanat Guru Penyelaras UPSR
- Pelajar Memohon Restu
- Upacara simbolik

Dalam senarai acara ini saya tersentuh dengan slot Pelajar Memohon Restu. Sebak pula bila tengok Anas yang mewakili rakan-rakan lain memohon restu ibu dan bapa, serta guru-guru agar hajat mereka untuk mendapat kejayaan cemerlang (5A) akan tercapai.

Antara lain ucapan Anas, "... pada hari peperiksaan nanti, guru-guru, ibu dan bapa tidak dapat mengiringi kami dalam dewan peperiksaan, tetapi kami mohon, dampingilah kami dengan doa dan restu agar hati kami terang dan dipermudahkan untuk menjawab soalan-soalan..."

Satu lagi slot menarik ialah pada akhir majlis, pelajar beratur mengikut kelas masing-masing dan guru kelas akan menyuap pulut kuning dengan rendang daging ke mulut anak-anak. Memang simbolik, air tangan seorang guru yang saban hari mengajar mereka, kini mengalir dalam darah daging anak-anak.... terus menjadi bekal semangat untuk mereka menempuh peperiksaan nanti.

Malam tadi saya renung air muka Anas yang lena tidur. Apalagi yang mampu seorang emak harapkan pada anak-anak, melainkan kejayaan mengiringinya atas penat lelah dan usaha gigihnya selama ini...

Tuesday, August 30, 2005

SALAM MERDEKA BUAT SEMUA

GAMBAR lama yang masih segar nafasnya. Sekurangnya bendera ini digunakan dengan cara dan semangat yang betul membalut badan, tidaklah seperti gambar-gambar yang dipetik dari Majalah X itu.

Sunday, August 28, 2005

CERITA SABTU & AHAD
JUMAAT petang selalunya menjadi penghujung hari untuk Sabtu dan Ahad yang santai. Detik bersama keluarga apalagi di hujung minggu merupakan masa senggang yang amat bernilai. Tetapi itu hanya impian, kebiasaannya ada sahaja event membuatkan semua yang dirancang terpaksa bertukar saat akhir. Pengorbanan... harganya terlalu mahal!

KTM Shopping Hunt bersama Libur bermula awal pagi hingga petang di KL Sentral. Saya tak hadir ke majlis ini kerana berbahagi tugas ke Rumah Pena pula untuk Sayembara Baca Puisi Kemerdekaan Fokus SPM. Majlis dengan kerjasama PENA ini menemukan saya dengan rakan-rakan yang `gila puisi' satu masa dulu. Di masa yang sama berlangsung serentak bengkel Animasi/Digital anjuran Majalah Dewan Kosmik di UM.

Ahad pula saya tidak dapat hadir ke open source exhibition and national hacking competition yang turut membabitkan Majalah PC. Saya menunaikan permintaan untuk bersama siswa dan siswi UITM bercakap tentang dunia penulisan. Komersial dan seni, mana lebih utama? Ada Ahadiat Akashah, Eyman Haikal dan Anis Ayuni. Topik siapa Sri Diah dan siapa Salina Ibrahim, pada akhir sesi menjadi medan mempromote diri. Ha hahaha... Daripada mata siswa dan siswi yang naif saya percaya mereka datang ke dewan kuliah itu untuk memperkaya ilmu di dada. Soalan mereka tulus dan mahukan penjelasan jujur daripada kami berdua.

Oh ya, waktu entri ini ditaip anak-anak masih belum balik dari water park. Saya kirim anak-anak dengan sejumlah duit pada adik ipar. Bawalah mereka enjoy... sebab mamanya sibuk dan abahnya masih di Baling, Kedah.

Friday, August 26, 2005

BETAPA HEBATNYA MEREKA vs BETAPA SEKSANYA WARTAWAN
ALKISAHNYA malam tadi telah berlaku kejadian ini. Apabila dibaca, tak cukup sekali baca, kena berulang kali. Menarik! Seperti plot filem atau drama bersiri dan boleh juga "jadi idea" sebagai percubaan untuk menjadi seorang penulis...
* Inilah harga yang perlu dibayar apabila jadi orang popular. Tapi kenapa perlu berpayah kalau semuanya boleh dipermudahkan sahaja...

Wednesday, August 24, 2005

TAHNIAH UNTUK ZUL!

WARTAWAN Majalah LIBUR, Zulkarnain Mohamad berjaya memenangi Anugerah Pelancongan Malaysia 2004 dalam kategori Rencana Pelancongan Malaysia Terbaik menerusi artikelnya yang bertajuk `Mengintai Misteri Pulau Jerjak'. Artikel tersebut telah disiarkan di dalam majalah LIBUR keluaran September 2004. Majalah LIBUR yang diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd merupakan satu-satunya majalah percutian berbahasa Melayu di negara ini.

Pada malam penyampaian anugerah tersebut yang telah diadakan di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur, Zulkarnain Mohammad menerima sebuah trofi dan sijil penghargaan yang telah disampaikan oleh Y.B. Dato’ Dr. Leo Michael Toyad, Menteri Pelancongan. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Datuk Dr Victor Wee, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Datuk Kamaruddin Siaraf, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.

Anugerah paling berprestij dalam industri pelancongan negara tersebut telah diperkenalkan sejak tahun 1987 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan bagi menghargai individu serta organisasi yang memberikan sumbangan yang cemerlang ke arah pembangunan industri pelancongan negara.

Tuesday, August 23, 2005

... YANG SUAM-SUAM KUKU
KENYATAAN AKHBAR - MEDIA HIBURAN sebagai majalah yang berwibawa dan professional sentiasa mengamalkan creative journalism dalam menyediakan bahan dan sentiasa mematuhi etika kewartawanan dalam setiap laporan.

Oleh itu laporan kami dalam menerbitkan buku khas Mawi World adalah tepat dan diperolehi daripada sumber-sumber yang sahih. Ia tidak ditokok tambah. Dalam hal ini ibu dan bapa beliau sendiri telah memberikan keizinan. Malahan Mawi Fanclub di Kulai turut memberikan kerjasama mereka. Untuk mempertahankan dakwaan ini kami masih menyimpan bukti kukuh bahawa segala perbualan dirakam dan dicatat.

Dalam hal ini Mawi dan keluarga serta pihak-pihak tertentu seharusnya berasa bangga atas usaha kami kerana ia sedikit sebanyak telah menolong menambah populariti Mawi hinggalah dia menjuarai AF3. Tidak dinafikan poster kami telah ditampal di merata-rata tempat sehinggalah menjadi sepanduk menghiasi Stadium Malawati pada setiap minggu sebaik sahaja ianya diterbitkan.

Sama ada pemberian royalti diberi atau tidak diberi kepada Mawi adalah keputusan kami untuk menentukannya. Sekiranya kami memberikan royalti, orang yang berhak mendapatnya ialah Mawi sendiri.

Kami berharap tidak ada pihak-pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan dengan mempertikai kredibiliti serta memberi tanggapan negatif hingga mempersenda kesetiaan pembaca terhadap kami yang telah terbina betahun-tahun lamanya.

Bagi kami Mawi adalah hak semua dan menjadi sumber berita. Oleh itu kami sentiasa menampilkan kelainan untuk pembaca kami.

Intan Zabidin
Editor Media Hiburan


* Inilah kenyataan akhbar yang telah kami hantar pada semua penerbit seminggu selepas AF3 tamat. Hingga hari ini tidak semua yang keluarkan statment ini dan yang keluarkan statment pun tak keluar habis, ada yang keluar separuh dan ada yang keluar suku saja. Tapi yang tokok tambah banyak. Oh ya... budak yang dikata-kata ini nak datang opis esok!

Friday, August 19, 2005

10% YANG PAHIT, 70% YANG SUAM KUKU.
AKHIR-AKHIR ini terlalu banyak spekulasi yang timbul tentang kerja-kerja media. Hal ini biasanya terjadi sekiranya ada pihak yang rasa teraniaya, dianiaya, ditindas, dianaktiri, dikelentong, ditipu, dipermainkan, dilaga-lagakan, rasa jawatannya tergugat, rasa panas punggung, bila rasa dah tak mampu tanggung bini empat dengan rumah banglo serba satu. Ah banyak lagilah...

Tetapi media akan dipuji melambung-lambung kalau mereka berjaya, boleh naik pangkat, dapat gaji besar, disanjung orang, dapat nama baik, boleh dapat segala yang mereka hajatkan, boleh dapat tender, dapat permit, dipuji PM. Media juga akan dipuji-puji dan amat dihargai kalau ada yang berasa dengan peranan medialah dia memenangi sesuatu pertandingan (MCA? MIC? GERAKAN? UMNO?).

Ada juga masa media dihalang ke sesuatu perjumpaan - Media Tidak Diperlukan. Media Tidak Dibenar Membuat Liputan. Media Dilarang Masuk. Media Tidak Dijemput - Itulah antara tulisan yang terpapar di muka pintu atau ada pegawai yang awal-awal lagi sudah menelefon memberitahu hal larangan berkenaan. Kununnya media ada agenda tersendiri.

Situasi sebaliknya akan terjadi jika lagi sebulan majlis akan berlangsung, media dipujuk rayu untuk hadir membuat liputan. Siap dengan jemputan kad yang cantik, lengkap dengan in advance gift (media mintak gift?), pegawai media akan buat baik, telefon hari-hari tanya khabar, ajak lunch/dinner, bila makin hampir waktunya media akan diingatkan dengan faks, dengan sms, dengan messenger, dengan pesanan suara (sampai penuh!)dan segala yang muluk-muluk.

Apa yang saya paparkan di sini ialah 10% daripada daily duty sebagai orang media. Tetapi 10% inilah yang selalu orang pandang... media tidak profesional, media tidak peka, media tidak rasional, media kaut untung, media manipulasi berita...

Sebenarnya kalau rasa media ini tidak penting, jangan jemput sejak awal lagi (sejak majlis pecah tanah) hinggalah ke akhir majlis (bila rumah terbengkalai). Atau kalau dah sampai marah sangat, panas hati, dukacita bersangatan, susah-susah boikot saja (tapi lepas tu batallah boikot tu dalam diam-diam).

Thursday, August 18, 2005

WAJAH PETANG


mentari senyum
gelak basah di pantai
langit berbalam

Wednesday, August 17, 2005

KG. SALANG PUSAKA, TIOMAN



sepi berbaring
wangi disimbah embun
hamparan hijau


8-10 Julai 2005.

Monday, August 15, 2005

JEREBU DAH PERGI, SIBUK ADA LAGI...
Ada beberapa lawak jerebu:
- Kak Sri, jerebu teruknya kat dalam opis ni, susah nak bernafas...
+ Yalah Aida, tak sama macam jerebu masa kita kat UK dulu kan?
- Eh ni pejabat KKSB ke makmal forensik? (Bila dah diedarkan mask.)
+ Err... ni macam kilang buat komputerlah!
- Abang, I mungkin lewat sikit sampai rumah hari ni.
+ Kenapa? You ada dinner ke?
- Tak, jerebu teruk sangat kat luar tu, takut tak jumpa jalan balik rumah...

Nak Jawab Sapaan:
- Ya Ady, gambar dan artikel ada eddah embargo.
- Inai; anak dara tepi perigi, memang tengah busy.
- Ztt; muaahhhh saham ok lagi tu. Putera; nak masuk meminang ke?
- Vimmiyasmin; Hello... Hello.. hidup lagi ni. Cuma hilang dlm jerebu.
- Melor; heheheh, Melor dah jumpa jalan pulang!
- Noret; sila datang, masuklah... tuan rumah outstation.
- Ragil; salam kenal jugak.
- Seriadriani; meh... peluh cium jugak.
- Rosli; Muaz tu anak saudara akak. Ya dulu di SMART, sekarang dia di Kolej Persediaan Mara di Banting.
- Suhaiina; Novel baru? InsyaAllah, Alaf dah bagi greenlight.
- Khairul Hazman; Selamat tengahari cikgu!

Tuesday, August 2, 2005

KENANGAN BERSAMA TUN
GAMBAR lain belum habis edah embargo...



Monday, August 1, 2005

WEDDING PLANNER DAPAT CUTI..!
SELAMAT datang Ogos. Di bulan merdeka ini semoga kita dapat mengenang segala pengorbanan pejuang bangsa yang berjaya menghadiahkan kebebasan buat kita semua daripada dijajah bangsa asing. Kemerdekaan ini seharusnya juga memberi kita kebebasan minda daripada dibelenggu fikiran yang kotor, jumud, fanatik dan sebagainya.

Ya, Ogos ini juga menghadiahkan erti kebebasan kepada Firdaus bte. Haji Hussamuddin dan Emy Efeezam bin Ishak yang selamat menjadi suami isteri Jumaat lalu. Majlis tiga hari di rumah tauke KKSB itu juga sudah selamat dengan penuh berkatnya semalam. Kepada petugas penting, hari ini bos bagi cuti sehari. Thanks so much!

Rasanya esok baru saya sempat masukkan gambar-gambar sekitar lawatan Tun Dr. Mahathir. Saya juga akan cuba memasukkan gambar-gambar perkahwinan Firdaus yang doorgiftnya amat unik dan belum pernah dibuat di Malaysia sebelum ini. Uniknya begini - daripada kreativiti dan tenaga kerja jurugambar, setiap tetamu telah diberi kejutan iaitu sekeping gambar tetamu bersama pengantin dengan bingkai yang menarik! Gambar itu diambil sebelum tetamu makan dan sebaik sedang makan, gambar pun siap, boleh dibawa pulang dan terus diletak di meja hias!

Thursday, July 28, 2005

SENYUM BERBALAS SENYUM
TUN Dr. Mahathir Mohamad datang ke KKSB dengan segaknya semalam. Beliau diiringi isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali. Saya rasa amat terharu apabila diberi kesempatan untuk mengiringi pasangan suami isteri ini melawat jabatan-jabatan di peremis ini. Terasa amat bertuah. Banyak perkara yang diperkatakan dan disoal. Begitu juga dengan perjalanan majlis yang lain daripada lain yang telah kami susunkan untuk beliau berdua.

1. Enggan ulas isu AP.
2. Tun Mahathir Sedih Sambut B'day?
3. Tun Siti Hasmah bercita-cita nak jadi wartawan.

Saya akan masukkan entri dan gambar-gambar mengenai lawatan ini dari semasa ke semasa memandangkan kini saya sibuk pula sebagai `mak pengantin' yang akan bermula hari ini hingga hujung minggu.
Saya akan masukkan entri dan gambar-gambar mengenai lawatan ini dari semasa ke semasa memandangkan kini saya sibuk pula sebagai `mak pengantin' yang akan bermula hari ini hingga hujung minggu.

Tuesday, July 26, 2005

TUGASAN WARTAWAN CILIK
SEHINGGA siang tadi masih lagi confirm - Esok kami di KKSB akan meraikan kunjungan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri. Majlis anjuran Majalah Bintang Kecil (Untuk Kita-Kita Je...) ini amat istimewa apabila 30 orang wartawan muda (gadis genit pembaca Bintang Kecil yang berusia bawah 12 tahun) akan ditugaskan menyoalkan Tun dan isteri. Soalan yang disediakan banyak mengenai masa kecil Tun dan isteri serta apa harapan Tun terhadap tunas-tunas muda di Malaysia.

Sepanjang minggu ini saya masih lagi diburu kesibukan bermula 28 (Khamis) dan 29 (Jumaat) siang dan malam sehinggalah majlis selesai sepenuhnya pada 31hb Julai (Ahad). Kebetulan Hari Kantin Sekolah Kebangsaan Seri Tasik jatuh pada 30hb Julai (Sabtu). Menurut list yang diberi guru pada murid-murid, Anas kena bawa Nugget Ayam dan Amie pula setin minyak sapi. Oklah, saya mesti singgah sekejap ke sekolah anak-anak sebelum ke Kelana Jaya.

"Kalau tidak cikgu mesti kecik hati," kata Anas.
"Tapi kan mama dah derma RM untuk cikgu beli beras (cikgu nak masak nasi ayam!)tak payah datang pun tak apalah kot..." Kata saya.
Anas cepat menjawab, "tapi mama kena datang jugak tunjuk muka sebab muka agong tu tak sama dengan muka mama..." Ha ha ha... saya faham maksud dia!

Monday, July 25, 2005

TAK KERJA TAPI KERJA
SABTU, dengan diiringi anak-anak saya ke The Mall dan langsung ke PWTC. LRT tidak sesak hari itu, pergi balik dapat tempat duduk. Yang sesak ialah di The Mall dan paling teruk di PWTC. Seorang makcik mengeluh, buat haji pun tak macam ni... sendat. Nak berhenti membeli belah tak boleh, jadi kena ikut sahaja arus. Tertolak ke kiri dan ke kanan, ke depan dan ke belakang. Kalau kita berhenti, orang lain di belakang akan menolak kita ke depan... ada jugak yang hampir tersungkur.

Di dalam dewan nampak teratur, masing-masing selesa mendengar perjalanan persidangan. Di luar dewan, di ruang legar sesak menjadi-jadi. Skrin besar yang disediakan penuh dengan penontonnya. Ada yang booo ada yang tepuk tangan dan tak kurang juga yang angguk-angguk atau geleng-geleng.

Nasib baik anak-anak tak hilang dalam dalam kesibukan itu. Mujur masing-masing menggenggam telefon bimbit. Senang dihubungi. Suami? Dia dah berhari-hari tenggelam dalam kesibukan itu. Sampai tercakap gini, "ish, ish... nak tengok muka laki pun payah dah dalam seminggu ni..."

Dalam sibuk-sibuk di PWTC, tauke, rakan sepejabat dan saya saling bertelefon dan bersms - camana? apa respon? ada potensi tak? Masing-masing buat lintas langsung dari PWTC hinggalah ke KLCC, Stadium Paroi, Seremban dan Stadium Melawati, Shah Alam. Wah, sungguh World kami hari itu!

Sunday, July 24, 2005

SAJAK SEPARUH
Bulan itu terlalu tinggi untuk dia gapai
Bintang itu teramat jauh untuk dia rangkul
Mutiara itu tersangat dingin untuk dia selami
Permata itu terlalu mahal untuk dia genggam
.....

Wednesday, July 20, 2005

HARI DATANG DAN PERGI...
MEMANG sibuk banyak minggu ini. Tidak ada kesempatan untuk updated. Kalau ada sedikit masa pun dok melayan keletihan minda... Sejak Isnin beberapa perkara urgent yang perlukan perhatian menyesak rutin harian yang memang sedia sibuk. Anak-anak buah nak jumpa pun payah. Janji diatur pun terpaksa dibatal. Mujur ada messenger, tinggalkan offline messege. Ataupun berbalas email sahaja. Dalam ketika ini segala keputusan kalau tak dapat bertemu mata atau bertelefon akan dibuat melalui email dan messenger. Itu pun dah cukup bagus.

Satu majalah `baru' yang perlu siap dalam masa seminggu sudah selesai. Beres segalanya malam tadi. Terima kasih pada team Media Hiburan dan team grafiknya. Satu lagi majalah `baru' pun dah siap semalam petang dan sudah pun dalam tangan tauke untuk diserah kepada pihak berwajib. Kalau dua projek ini berjaya, wah senyum lebar kami semua. Ini bukan kepuasan peribadi tetapi kepuasan semua dalam team. Itu lagilah besar maknanya.

Saya akan terus sibuk menjelang 29, 30 dan 31 Julai ini kerana amanah sebagai `mak pengantin' pula mengisi rutin disamping terus menjalankan tanggungajawab/urusan harian di pejabat. Banyak checklist yang kena diperinci, majlis akad nikah, penyambut tetamu, majlis bersanding, hal caterer, hiburan/artis, tetamu vip, ex staff, gift/hadiah dan macam-macam lagi. Semoga saya dan team berjaya menjalankan segalanya. InsyaAllah. Ya, senyum-senyum selalu. Itulah ubat kepenatan.

Friday, July 15, 2005

BADAN SIHAT, OTAK CERGAS, HATI PUAS
HASIL pemeriksaan kesihatan baru-baru ini membuatkan saya termenung sekejap. Kata nurse, "ada sedikit gula dalam urine..." Alamak... saya harapkan saya sihat selama ini tetapi news terbaru itu membuatkan saya tak lena tidur. Bahayalah kalau badan saya gagal memproses gula menjadi protein (tapi malam sebelum pemeriksaan tu saya makan durian, itu jugak menyumbang agaknya?)

Pagi tadi ketika memandu dalam perjalanan ke pejabat terdengar di radio mengenai istilah warga emas yang mesti digunapakai menggantikan istilah warga tua. Istilah warga emas ini telah diluluskan kabinet. Ya... selalu diingat pada diri, dalam menghampiri usia emas saya mesti sihat demi diri sendiri, demi keluarga dan anak-anak.

Seorang kawan yang memang menghidap kencing manis ada lawaknya yang tersendiri. Katanya pada adik beradiknya yang lain (yang juga diabetis), "korang tau tak, mak bapak kita meninggal dunia dengan mewariskan kilang gula untuk kita adik beradik..."

* Info : Walaupun otak hanya merangkumi 2 peratus daripada jumlah berat badan, ia menggunakan sehingga 20 peratus oksigen di dalam tubuh!

Wednesday, July 13, 2005

TERIMA KASIH UNTUK SEMUA
KAMI sekeluarga dan rombongan Libur kembali ke KL dari Tioman pada malam Isnin dengan selamatnya. Esoknya terus bekerja, ada meeting dan segala rutin harian pun bermula. Minta maaf banyak-banyak kerana tidak sempat menyahut sapaan anda. Ucapan terima kasih tidak terhingga atas segala wish pada birthday lalu. Thanks atas ingatan, segalanya tetap disemat dalam hati. Memang usia hanya angka tapi teori itu sebenarnya hanya untuk menyedapkan hati. Yang nyata lagi panjang usia, lagi dekat kita pada hari mati. Semoga hari akan datang makin mematangkan segala tindakan dan keputusan saya.

Tak sempat nak upload gambar-gambar, insyaAllah akan dipost juga dalam waktu terdekat. Paling best semasa berada di dunia lain - snorkling. Itulah kebesaran Tuhan, antara indahnya mentari naik dan mentari tenggelam berkesinambungan pula dengan indahnya dunia dalam air. Tak terkata apa hanya oh my God... alangkah hebat dan agungnya ciptaanMu Yang Maha Esa.

Thursday, July 7, 2005

KITA SERUPA

- Gambar Utusan.


BERKONGSI tarikh hari lahir - cuma tahun sahaja berbeza. Dia sudah 80 tahun pada tarikh ini. Saya 4*. Sama seperti dia yang akan berangkat ke luar negara jauh ke seberang laut, sambutan hari lahir untuknya diadakan lebih awal. Saya pun serupa, telah diadakan lebih awal oleh blogger pada pertemuan anjuran Alaf 21 lalu. Saya pun tidak dapat menyambutnya di KL bersama kawan-kawan kerana akan berangkat malam ini ke seberang laut juga, nun ke sebuah pulau bersama rombongan 40 orang peserta sempena ulangtahun ke 3 Majalah Libur.

Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan di rumah pekerja Kilang Atlas Ice di Jalan Sungai Besi seperti yang saya ceritakan tahun lalu kini terus menongkah arus. Dilahirkan dalam usia enam bulan dan tiga bulan terpaksa ditempatkan dalam inkubator bukan alasan untuk saya mengalah. Terima kasih atas ucapan dan sokongan semua. Allah sahaja yang akan membalas segala jasa baik anda semua.

Tuesday, July 5, 2005

1995 - 2005
SAYA sedang mengulang baca - menyunting/menyemak ejaan/membetulkan fakta/mengubah/membetulkan setting sebuah novel saya yang diterbitkan pada awal tahun 1996. Sungguh lama, hampir sepuluh tahun (termasuk kerja-kerja awal menaipnya pada 1995). Semestinya banyak fakta yang berubah. Walau bagaimanapun inti cerita tidak banyak yang ditukar, masih mengekalkan topik yang serupa.

Novel ini mahu diulang cetak. Masuk kali ini sudah cetakan ke lapan. Bangga? Sudah semestinya. Tetapi kebanggaan saya itu sebenarnya saya pulangkan semula kepada para pembaca novel berkenaan, yang menyokong terbitan novel-novel berbahasa Melayu. Saya cuma ingin berkongsi cerita. Senario yang bermula pada tahun berkenaan, terus bersinambung hingga akhir-akhir ini apabila banyak novel-novel (terbitan Alaf 21 umpamnya) diulang cetak, ada yang sudah 10 kali ulang cetak.

Seperti kata tauke saya kepada tetamu-tetamu di pertemuan anjuran Alaf 21 baru-baru ini, kami sudah membukakan pintu, daripada tak minat membaca orang menjadi minat membaca. Kemudian perlahan-lahan kita akan serapkan apa yang sebaiknya untuk para pembaca.

* Maafkan diriku Saadiah, masih membuat editing lantaran kerja yang bertindan-tindan. Janji bulan madukah ini?

Saturday, July 2, 2005

JANGAN PADAMKAN LILIN ITU...
TAK sangka akan diraikan lebih awal di Garden Cafe KKSB pada jam 5.30 petang sempena pertemuan bloggers, peminat dan pengulas novel serta novelis Alaf 21 Sdn Bhd.

Terima kasih kepada Mely & Zetty dan lain-lain kerana buat kejutan lebih awal. Bagi pihak syarikat, terima kasih tidak terhingga diucapkan atas kesudian anda semua melawat KKSB. Di sini cuma sempat tersebut beberapa nama, antaranya Wkdin, Tok Rimau, Basri, Nett, Cik Daun, Azhan Kamal, Atok dan Lilicarnation... yang tidak tersebut janganlah marah... tetap ingat di hati. Maafkan saya kerana tidak dapat memberi tumpuan seratus peratus pada pertemuan hari itu kerana di masa yang sama terpaksa melayan kunjungan Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) seramai 20 orang. Mereka diraikan oleh Persatuan Wartawan Malaysia.

Di kedua-dua majlis ini banyak perkara yang diperkatakan. Dari Indonesia semestinya tentang bisnes kerana yang datang hari itu bukan calang-calang orang - antaranya pemilik surat khabar dan majalah, pengendali stesen televisyen, pemilik beberapa majalah hiburan dan wartawan vateran serta ajk PWI. Dan di majlis Alaf 21 semestinya tentang perkembangan novel sebelum dan selepas ini.

Thursday, June 30, 2005

SOALAN CEPUMAS
SEMALAM,
Alifin iaitu pengendali laman web Alaf 21 mengirimkan salinan email untuk saya yang dihantar melalui alamat email Alaf 21. Email berkenaan daripada Puteri Balkis, Ampang, Selangor. Sebelum ini pun Alaf 21 memang kerap forwardkan apa sahaja email mengenai penulis-penulis kepada tuan punya diri. Saya amat terharu membaca email Puteri Balkis dan email mereka yang lain yang prihatin dengan semangat saya berkarya. Sebabnya menulis novel adalah minat saya semata berbanding dengan kerja seharian yang wajib saya lakukan.

Soalan Puteri Balkis sama seperti yang kerap saya terima sebelum ini iaitu bilakah karya terbaru saya akan diterbitkan? Ini adalah soalan cepumas untuk saya akhir-akhir ini. Menurut mereka jika 2003 ada Kuala Lumpur Di Mana Suamiku, 2004 Jangan Ada Dusta, jadi apakah untuk 2005 memandangkan Jangan Ada Dusta terbit Februari 2004. Sekarang sudah Julai 2005.

Sebenarnya manuskrip berkenaan sudahpun diserahkan ke pihak Alaf 21. Sama seperti orang lain saya juga harus menanti giliran yang ditentukan oleh pihak Alaf 21. Oleh itu saya tidak mempunyai jawapan pada soalan berkenaan (harap-harap Editor Alaf 21 membaca keluhan ini dan segera menerbitkan novel saya...)

Oh ya, esok ada pertemuan peminat dan penulis novel. Majlis bermakna anjuran Alaf 21 ini akan dihadiri kira-kira 30 orang tetamu. Sesiapa yang sudah berjanji hendak datang, harap dapat datang. Rasanya ada banyak perkara yang boleh dibincangkan untuk manfaat bersama. Jadi jumpa esok ya....!

Wednesday, June 29, 2005

FORUM ASTORA JABAT vs DR. MOHD. ASRI
- Gerakan Tajdid Satu Perbincangan

Tarikh: Sabtu, 9 Jamadiul Akhir 1426 - 16 Julai 2005
Masa: 8.30 pagi - 1.00 tengah hari
Tempat: Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP, Kuala Lumpur
Bayaran: RM30.00
Anjuran bersama: Dewan Bahasa & Pustaka, Kumpulan Karangkraf dan Barakat Al-Aziziyyah

* Seminar-seminar yang telah anjurkan sebelum ini, antaranya Seminar Pertelingkahan Sahabah (2003), Seminar Penyelewengan Tarikat (2004), dan Seminar Bahaya Islam Liberal (Mei 2005). Semuanya padat dengan ilmu, dan panas dengan reaksi peserta dan penceramah. Kali ini dua orang penceramah untuk berdebat mengenai berbagai-bagai isu agama terkini:

Astora Jabat: Editor Majalah Al-Islam, juga kolumnis ruangan agama di akhbar Mingguan Malaysia. Tulisan dan pandangan beliau mengenai isu-isu dan hukum-hakam Islam, selalu dianggap kontroversi dan bercanggah dengan pandangan umum. Beliau menyuarakan pendapat tanpa selindung dan sedia menerima kritikan dari orang ramai.

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin: Pakar ilmu hadis, dan kini menjadi pensyarah kanan Bahagian Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia (USM). Sering memberi ceramah mengenai isu-isu agama semasa, dan membentang kertas kerja pada seminar dalam dan luar negara. Menghurai dan sanggup berhujah mengenai sesuatu perkara berdasarkan al-Quran dan sunnah.

Matlamat Program: Mendapatkan penjelasan mengenai berbagai-bagai isu terkini agama. Kedua penceramah akan mengemukakan hujah berdasarkan fakta-fakta ilmiah, juga berpandukan sumber-sumber yang diperuntukkan oleh hukum-hakam agama Islam.

Mengelakkan buruk sangka di kalangan sesama Islam, menerusi penyebaran maklumat yang tepat. Mencari kejernihan dari kekeruhan yang berpunca dari kelemahan dan kurang pengetahuan mengenai sesuatu perkara. Membuka peluang kepada peserta untuk bertanya perkara-perkara yang menimbulkan keraguan, juga sama-sama berhujah dan memberi pendapat berhubung satu-satu isu agama.

HUBUNGI: 03-51013888 - Ahmad Yani ext 856/Ahmad Baei ext 881/Saharom ext 876/Nurol Shafie Anuar ext 724/Mazni/Warda ext 311 jika berminat.

Monday, June 27, 2005

JIWA KENTAL DI KEM LAMBAIAN DANAU
ADA pelbagi aksi berani mati GEJU di Kem Lambaian Danau yang dimuatkan dalam Majalah REMAJA 1 Julai ini (minggu ni dah ada di pasaran). Ada aksi pak we dan mak we berdua-duaan di atas titi. Ada juga aksi bapak orang dengan bangganya dapat melarikan dua anak dara naik rakit... ada juga aksi 6 jejaka macho di pasaran sedang berjuang untuk bernafas paling panjang. Ok, ahli GJ boleh dapatkan naskhah ini di pasaran, belilah lebih sikit, sedekah pada kawan-kawan... supaya jualan REMAJA terus booom! Masa yang sama bisnes Kak G pun makin maju. KLD pun makin glamor!

* Webmaster majalah ini sedang bertungkus-lumus memasukkan bahan, mungkin sekejap lagi anda boleh tengok online. Sorry, webmaster kata tunggulah majalah beredar di pasaran dan belilah senaskhah...

Thursday, June 23, 2005

ADA 65 RIBU JAWATAN KOSONG!
APABILA kerajaan menarik balik perakuan terhadap universiti di Ukraine, siapa yang pening kepala? Kursus dah lama berjalan. Ramai pelajar yang telah dan sedang menuntut di sana. Tiba-tiba perakuan, biasiswa dan segalanya ditarik balik. Apa nak jadi dengan pelajar dan masa depan mereka, keluarga mereka dan negara? Kenapa tak fikir isu berkenaan sebelum ini?

Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini mengumumkan terdapat 65 ribu jawatan kosong terutama dalam sektor pembuatan, perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan awam. Ini juga termasuk dalam bidang 3D iaitu bidang berbahaya, kotor dan sukar. Nawaitu kementerian - dengan menceburi bidang ini kerajaan berharap dapat mengatasi masalah pergantungan pada pekerja asing.

Menterinya Datuk Dr. Fong Chan Onn berkata kerajaan mahu membantu siswazah mendapat kerja dan menukar persepsi terhadap sektor 3D dan juga bidang pekerjaan tradisional seperti buruh, penyelia kilang, pekerja sektor pertanian, guru tuisyen, pemandu pelancong dan pekerja perkhidmatan. Saya pun galakkan juga hal ini. Ok, bagi yang ada ijazah anggap ini sebagai batu loncatan. Kerja dulu sebelum mendapat pekerjaan lain yang lebih sesuai.

Sekarang hari-hari nak guna duit. Ke toilet pun dikenakan bayaran. Air putih kosong/suam pun ada harga. Nak bagi mak bapak duit, nak bantu adik-adik, nak belanja awek, nak simpan duit untuk kahwin dan banyak lagi. Semuanya perlukan RM. Sekarang bukan lagi masa untuk memilih kerja...

* Kalau ada kredit phone, jangan habiskan untuk sms/undi :-)

Tuesday, June 21, 2005

HARI ini hari istimewa untuk orang yang sungguh teristimewa dalam
16 tahun kehidupan bersamanya.

One tree can start a forest
One smile can start a friendship
One touch can show you care
.. and one hubby like you can make life worth living.


Happy birthday to my hubby!

Saturday, June 18, 2005

MY ABAH, MY HERO
DIA Haji Shaharuddin Sulaiman, anak paling bongsu daripada sebelas beradik kesemuanya lelaki. Dia dilahirkan kembar. Bagaimanapun kembarnya, seorang perempuan meninggal ketika kecil. Saya hanya kenal enam sahaja saudara sebelah bapa kerana lima daripadanya meninggal ketika kecil. Mereka ialah Pak Teh Bakar (arwah), Pak Andak Ibrahim (arwah), Pak Lang (arwah), Pak Noh (arwah), Pak Uda Mansor dan Pakcik Shahar (arwah). Kini mereka tinggal berdua - Abah dan Pak Uda Mansor. Semasa mudanya abah ialah Jurutera Mesin, di Syarikat Atlas Ice di Sungai Besi.

Di hari istimewa ini saya mengenang dirinya sebagai lelaki yang santun, banyak senyum, lemah lembut orangnya, yang tidak pernah meninggikan suara, yang tidak pernah dilihat yang dia sedang marah, yang tidak pernah memukul sekalipun tidak pernah menjentik kami adik beradik. Dengan emak pun dia tidak pernah berkasar. Begitulah juga sikapnya dengan jiran-jiran dan saudara mara. Di mata saya tiada yang buruk tentang dirinya.

Malah apabila kami bermasalah dan memeningkan kepalanya, dia selalu menangani dengan tenang. Ketika saya dalam dilema remaja dengan pak we yang bersilih ganti, ketika kakak dan adik dengan masalah mereka, ketika abang juga bermasalah, abah tetap cool. Semua selesai cara baik. Satu yang best - jubah, ketayap dan serbannya dia basuh sendiri. Dia juga tidak cerewet makan. Lauk dan nasi diambil sendiri dari periuk. Kalau setakat telur dadar atau buat cucur bawang, dia memang terror. Cucu mintak saja, dia mesti ke dapur.

Ketika di sekolah rendah, dia sendiri mengajar kami adik beradik membaca mukadam dan al quraan hingga khatam. Ketika mengajar, ada rotan di bawah paha dia bersila, tapi tak pernah langsung dia gunakan. Sampai hari ini tugasnya di surau ialah sebagai imam, memberi syarahan agama, selalu menjadi tempat rujuk ahli madrasah hinggalah memandikan jenazah. Paling menyentuh hati - kami adik beradik perempuan dinikahnya sendiri, tidak berwakilkan wali.

Satu yang istimewa - kami lapan beradik lahir berselang bunga (tahu kan? lelaki/perempuan berselang seli) semuanya sudah selamat berkahwin. Kini Tok Din menjadi datuk kepada 19 orang cucu. Cucu-cucunya juga lahir berselang bunga!

Sebagai hadiah hari bapa untuknya tahun ini, saya sedang mengaturkan satu pertemuan dialong dengan seorang penulis yang selalu dia baca dan kumpul tulisannya - Astora Jabat! Baru-baru ini abah tanya saya apa dia nak buat dengan tulisan-tulisan penulis berkenaan yang sudah dia kumpul hampir sejengkal tingginya. Oh, sudah tentu saya akan menyusun cutting paper itu dan akan menghantar binding untuk abah!

Rak bukunya sudah penuh dengan buku dan kitab kerana hadiah saya setiap bulan untuknya ialah buku-buku agama yang mencabar mindanya. Kalau murah saya beli dua atau tiga naskah. Kalau mahal satu naskah cukup asalkan dia dapat meneruskan minatnya membaca. Buku paling akhir saya beli untuknya ialah Bahaya Islam Liberal, bulan lalu.

Tiada lelaki lain yang paling saya hormati di dunia ini melainkan dia.
Untuk abah, semoga sihat dan panjang umur!

Friday, June 17, 2005

HIDUP LAGIKAH?
MENGUMPUL lebih enam orang saksi untuk satu kes saman yang dikemukakan pada 2000 kini mula mengisi tugasan harian saya. Kes akan disebut semula dalam waktu terdekat ini. Daya ingatan kepala otak kini sedang diperah untuk recall pada kejadian lima tahun silam...

* Di mana kuletakkan kismis kuat ingatan tu?

Wednesday, June 15, 2005



ENAM puluh pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Labang, di Pensiangan, Sabah mempertaruhkan nyawa hampir setiap hari apabila terpaksa melalui jambatan gantung usang melintasi Sungai Salaput, di Kampung Labang, untuk ke sekolah. Gambar Berita Harian

adik-adikku
kamu bukan melangkah dengan azam belajar
melangkah kamu dengan nganga buaya
nganga buaya itulah yang kau hadap saban hari
saban hari membayangkan maut untukmu
dan kau terus bergayut, menyusun langkah
pastikah itu langkah ke sekolah?
atau itulah langkahmu
ke negara abadi

adik-adikku
kamu belajar apa hari ini?
esok lusa
mintalah ustazahmu
mengajar padamu
doa panjang umur pula!

- Kakakmu di kota kurang ajar;
Kuala Lumpur.

Tuesday, June 14, 2005

ARGHHH...!
TANPA masalah hidup rasa mendatar dan tidak berkembang. Setiap kali bila kita berjaya menyelesaikan masalah, potensi diri terasa meningkat. Dalam masa sama, pengalaman juga terasa bertambah, sekaligus keyakinan pada diri akan lebih menonjol.

Masalah adalah normal dalam kehidupan. Sebenarnya orang yang tak ada masalah sebenarnya dia mempunyai masalah. Setiap kali kita ditimpa masalah ingatlah; hari ini berjuta orang lain juga ditimpa masalah dan kita adalah salah seorang daripadanya, jadi apa masalahnya?

Monday, June 13, 2005

MAJLIS PELANCARAN DANA PENDIDIKAN KARANGKRAF
Oleh YB. Dato' Dr. Shafie Mohd. Salleh
Menteri Pengajian Tinggi Malaysia
3 Petang - Lobi utama KKSB


* Dana ini diwujudkan dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan menghargai seluruh warga kerja. Dana ini bertujuan untuk pembiayaan pendidikan kepada pekerja dan juga anak-anak pekerja. Ia terbuka kepada seluruh warga kerja Kumpulan Karangkraf yang memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan.

Adalah diharapkan dana pendidikan ini dapat meningkatkan kemahiran, pembangunan diri, daya saing, menjanakan professionalism, taraf akademik dan mutu kerja warga Karangkraf khususnya dan kepada syarikat amnya. Warga kerja amat digalakkan untuk memohon dana ini.

Tahap pendidikan yang ditawarkan merangkumi berbagai tahap dan bidang pengajian termasuklah sijil,diploma, sarjana muda, sarjana dan kedoktoran. Pengajian tahap sijil dan diploma ditanggung penuh oleh syarikat. Manakala bagi tahap sarjana muda, sarjana dan kedoktoran, pemohon hanya perlu membayar `separuh daripada yuran pengajian pemeriksa luar' sahaja atau 25 peratus daripada yuran pengajian dan bergantung kepada bidang pengajian serta kadar tukaran wang asing.

Friday, June 10, 2005

SOAL JAWAB vs SOAL TAK BERJAWAPAN
HARI ini 8 orang peserta dari Malaysian Top Host TV3 membuat lawatan ke KKSB. Mereka terpilih ke rancangan realiti itu daripada beribu-ribu penyertaan dan diberi tugasan yang mencabar antaranya ke lorong belakang mati, ke rumah orang tua, ke lokasi crime, kilang haram dan lain-lain lag i. Setelah soal siasat, kesemua mereka bukan mengambil bidang broadcasting, malahan seorang daripadanya adalah doktor.

Berikut secebis soal jawab bersama salah seorang mereka:

Peserta: Kak, dah berapa tahun bekerja di sini?
Saya : Eh, baru je 20 tahun.

Peserta: Kak, kenapa pekerja sini muda-muda belaka?
Saya: Sebab mereka belum lagi tua.

Peserta: Saya nampak ramai perempuan, tak ramai pekerja lelaki?
Saya : Pekerja lelaki ada, tapi you tak nampak.

Peserta : Kak, photoshop tu boleh buang jerawat, tahi lalat?
Saya : Iya, kalau nak tambah mata jadi tiga biji pun boleh...

Peserta : Kak dahlah tak nak tanya, akak loyar buruk
Saya : Hehehe oklah, sebab awak loyar baru.

Hahahah... Ini cerita orang publishing dengan orang broadcasting. Yang datang tadi 8 orang, maknanya dalam siaran minggu ini seorang peserta telah terkeluar. Siapa? Saya dah tau dah... Good Luck untuk semua yang tinggal. Khabarnya sampai masa hanya tinggal 3 orang sahaja. Minggu ni si Donald Trump tu pun nak buang lagi peserta. Saya sendiri harap pompuan mulut laser yang dah tua tu keluar!