Tuesday, October 31, 2006


Keterangan dari kanan; Syed Munawar, Zamzarina, saya, Salina Ibrahim dan Ahadiat Akashah semasa di slot Resensi, Sabtu lalu dalam program Selamat Pagi Malaysia, RTM1.

Saturday, October 28, 2006

SELAMAT PAGI MALAYSIA TV1
Jam; 8.15 - 10 Pagi
Tetamu: Saya, Salina Ibrahim dan Ahadiat.
Topik: Resensi Novel & Borak Aidilfitri.
Pengacara: Sayed Munawar dan Zamzarina.

* Hadiah novel kepada pemanggil bertuah.

Thursday, October 26, 2006

ISNIN - ESOK HARI RAYA
SEPERTI
tahun-tahun sebelumnya semenjak tujuh belas tahun yang lalu, kami suami isteri tidak perlu `osom' untuk menyambut 1 Syawal. Destinasi tetap ialah balik ke kampung suami. Alhamdulillah perjalanan selepas sahur selamat tiba ke destinasi tepat pukul 11 pagi di Kampung 30, Tokai, Alor Star. Mujur perjalanan bergerak lancar, tiada kesesakan.

SELASA - BERKAMPUNG DI GRAND CONT.
MALAMNYA
tidur agak lewat, hampir jam tiga pagi. Sebabnya dari balkoni, pesta malam hari raya betul-betul nampak seronok dan riuh. Tanpa berlengah masing-masing bersiap. Sekejapan saja kami sudah masuk dalam kemeriahan itu. Walau hujan gerimis, pesta Pekan Rabu tetap meriah.

1 SYAWAL
MENINGGALKAN
Grand Cont. Bersiap awal pagi menuju kampung untuk bersembahyang raya. Seharian dihabiskan dengan mengunjungi sanak saudara, dari Alor Star sampai ke Arau, Perlis. Rumah ketiga-tiga beradik suami penuh dengan anak-cucu-cicit saya. Alor Star hujan tiap petang. Ada tempat yang banjir. Bendang penuh air. Rabu pula ke Kg. Aceh, Yan. En. Abang ada majlis hari raya dengan kawan-kawan lama.

KHAMIS - RINDU KL
SUDAH
tak sabar untuk kembali ke rumah sendiri. Sebelum bertolak, bertemu dengan Ilhami dan isteri serta dua anak comel, mengambil titipan daripada Nina Suria. Thanks Nina! Perjalanan amat dahsyat, sesak. Hujan sekejap, berhenti sekejap dan hujan semula sampailah ke KL. Berlaku tiga tragedi di tiga lokasi berbeza - kemalangan tiga kereta - kereta terbakar - kereta terbabas ke longkang besar. Alhamdulilah kami selamat sampai ke rumah lewat petang.

Friday, October 20, 2006


Diiringi doa semoga segala ibadah kita diterima-NYA dan kursus selama sebulan yang kita jalani sepanjang Ramadan ini seperti mengamalkan sifat-sifat positif, sabar, pemurah, tidak suka membazir, memiliki perasaan belas kasihan sesama insan dan sebagainya memberi kesan mendalam dan berpanjangan kepada kita. Semoga ia tidak berakhir dengan lenyapnya bulan mulia ini.

Untuk yang berbangsa India, Salam Deepavali daripada kami sekeluarga.

Wednesday, October 18, 2006

BISKUT `TUNJUK-TUNJUK'
SAYA
mempunyai ruangan khas di dalam akhbar Sinar Harian. Ruangan ini dinamakan Secebis Bicara - kisahnya apa sahaja yang terdetik di hati untuk tatapan pembaca akhbar ini di Kelantan dan Terengganu. Berikut ini adalah tulisan saya untuk akhbar edisi esok. Oleh kerana ceritanya tentang hari raya, rasanya elok juga saya paparkan di sini untuk tatapan orang luar dari Kelantan dan Terengganu

BAGI saya yang amat sibuk kebelakangan ini, keinginan untuk membuat biskut raya seperti dulu-dulu, selalu sahaja terhalang. Bukan tak mahu membuat biskut dahlia, biskut samperit, atau membakar biskut mama caries ataupun membuat biskut yang sedang hangat diperkatakan, biskut my heart... yang diadaptasi daripada filem muda-mudi itu.

Kadang-kadang teringin juga merasa air tangan sendiri menguli tepung gandum untuk membuat kuih gunting atau kuih lidah buaya... hendak lebih pedas tambahkan sahaja cili, atau nak lebih manis, tambahkan gula. Tapi apakah saya boleh membuat semuanya sendiri? Siang atau malam? Atau memasaknya di hujung minggu? Ah, lupakan saja...

Kesibukan sekarang dan tuntutan hidup di bandar besar membuatkan saya terpaksa membuat keputusan untuk membeli `biskut tunjuk' sahaja! Tunjuk balang biskut dahlia, dapatlah biskutnya. Tunjuk balang biskut samperit, dapatlah biskutnya. Tunjuk balang batang buruk, dapatlah batang buruknya. Lepas itu hulurkan sahaja duitnya.

Ya hidup semakin mudah apabila ada duit. Duit telah membuatkan kita terpaksa menghakis rasa tanggungjawab memasak sendiri makanan untuk seisi keluarga. Duit juga membuatkan kita lupa pentingnya mengajar anak-anak memasak.

Jika dulu semasa kecil, emak mesti memanggil saya dekat dengannya apabila dia hendak memasak. Sambil duduk bersila, dia akan mengajar saya bagaimana mengupas bawang supaya tidak memedihkan mata sampai menangis bengkak mata.

Dia juga akan mengajar saya bagaimana cara betul memerah santan supaya santanya tidak memancut di celah-celah jari, hingga tumpah ke lantai. Bukankah itu merugikan? Dia juga akan mengajar saya bagaimana hendak memotong sayur bendi supaya tidak berlendir.

Semua itu adalah pengalaman yang amat mahal. Ia juga satu kenangan manis hingga hari ini. Buktinya saya masih lagi ingat semua petua-petua itu. Dan akan mempraktikan jika ada masa terluang di hujung minggu - memasak untuk keluarga kami.

Hari ini, lemang dan ketupat boleh dibeli sahaja daripada mana-mana pasaraya. Hatta di pasar pagi atau di pasar malam pun ada berlambak. Semuanya dalam dalam paket segera. Murah pula harganya. Ada macam-macam jenama, ada banyak bentuk dan coraknya. Malah ada juga pelbagai rasa apabila sudah banyak jenis beras digunakan. Kaedahnya senang sahaja. Beli, basuh sekali lalu dan rebus sahaja.

Kemudian apabila sudah masak dan disejukkan, siap untuk dihidang. Begitu juga untuk memasak rendang ayam atau rendang daging. Basuh ayam atau daging dan masukkan ke dalam belanga. Selepas itu curahkan sahaja dengan paket ramuan rendang yang sudah sedia siap diproses. Tak perlu pedih-pedih mata membersihkan cili padi dan bawang.

Malah kerisik pun tidak perlu bersusah payah hendak membuatnya, hingga berterabur ruang dapur dengan parutan kelapa yang disangai kemudian perlu ditumbuk untuk menghaluskannya hingga menerbitkan minyak. Sekarang, bawa saja duit ke kedai, beli sahaja kerisik yang sudah siap dipeketkan.

Apakah ini yang kita mahu warisi pada anak-anak? Mereka sudah senang, malah semakin senang sekarang. Bayangkan apabila tiba waktu susah, atau ada kepayahan menimpa, bolehkah mereka hidup sendiri? Saya tak dapat bayangkan bagaimana hidangan pagi raya nanti jika saya mogok memasak... bolehlah anak dara saya siapkan semua hidangan?

Menjelang detik itu, salam Ramadan dan Salam Aidilfitiri untuk semua.

Monday, October 16, 2006

DULU LAIN, SEKARANG LAGI LAIN...
MINGGU-MINGGU
akhir Ramadan ini anak-anak sudah sibuk menuntut pakaian raya. "Iyalah mama kata baju-baju beli last minute, sekarang kami tuntutlah janji..." Bukan apa, saya tak mahu beli awal, takut nanti menjelang raya dah sendat. (Ah alasan, mama sibuk sebenarnya!).

Saya menyelongkar almari dan beberapa helai baju Melayu En.Abg masih elok lagi, tidak luntur warnanya, masih up to date juga design fabriknya. Saya suruh Anas sarung... wah muat-muat sahaja. Bayangkan, tubuh Anas sekarang sudah sebesar badan En.Abg dulu-dulu. Okey dah selamat baju Melayu untuk Anas. Dia dapat dua pasang!.

Kemudian selongkar pula almari saya dan terjumpa beberapa helai baju kurung yang masih elok, tidak luntur coraknya dan masih in designnya. Saya suruh Kak Long sarung. Tapi... alamak tak muat! Mencuka saja rupa Kak Long. Yalah dulu tubuh mama besar jugak, tapi taklah sebesar badan Kak Long hari ini!

Pejam celik, pejam celik, bertahun berlalu, kini anak-anak sudah membesar. Terasa cepat sungguh masa berlalu... Jika dulu saya padan saja menggayakan kebaya songket berbunga tanjung kepunyaan mak di zaman mak muda-muda. Tapi sekarang anak-anak, lain macam besarnya. Itulah penangan burger, hot dog, spagheti, ayam goreng dan segala aneka yang segera. Kata si bongsu hari raya biasa saja sebab sekarang pun boleh makan lemang, ketupat, rendang dan lontong. Alahai...

Sunday, October 15, 2006

SALAM AWAL MINGGU
SALAM
Ramadan dan Salam Aidilfitri yang bakal menjelang kepada semua. Kata emak saya semasa kami adik beradik masih kanak-kanak dulu - jangan dikira sudah berapa hari kita berpuasa (banyak kiraannya) jadi kiralah lagi berapa hari kita kena berpuasa (jumlahnya makin sedikit). Betul. Ya, waktu itu sama seperti hari ini, ketika itu kami adik beradik sudah boleh membilang dengan jari tangan tak perlu masuk kiraan jari kaki. Kelakar!

Maaflah atas kesibukan. Maklum hampir hujung tahun dan perancangan 2007 sudahpun bermula kini. Di masa yang sama sambutan terhadap surat khabar Sinar Harian memungkinkan kami untuk terbitkan 7 x seminggu berbanding sekarang 5 x seminggu. Selepas itu akhbar ini akan mengambil tempat di beberapa negeri terpilih pula. Nampaknya saya semakin kerap outstation.

Semalam berbuka puasa bersama ahli besar Karangkraf. Dan bertemu Nash yang duda, membawa lapan anak-anak Aceh mangsa tsunami menerbitkan air mata apabila mereka bernasyid. Nada suara anak-anak yang kehilangan ayah, ibu, ahli keluarga terdengar hiba. Saya bayangkan kalaulah tragedi tsunami itu muncul lagi...

Sehari sebelum itu berbuka puasa bersama Menteri Wanita, Kak Ijat dan ahli media lain di KL Hilton mengisi diari hari. Tentunya peluang berjumpa sahabat media dari penerbitan lain amat besar maknanya. Banyak perkara yang dibualkan, sampai lupa hidangan tersedia. Dan terima kasih atas layanan staf kementerian yang baik budi.

Saya sudah memulakan novel baru. InsyaAllah, harap-harap mencapai target.

Sunday, October 8, 2006

SEDIH BERSANGATAN
EMAK
saya sedang tidak sihat. Sepanjang Ramadan ini hanya beberapa hari sahaja dia terdaya hendak berpuasa, itupun setengah hari sahaja. Kami adik beradik pun tidak galakkan dia berpuasa, nanti bila dah sihat nanti gantilah semula.

Saya runtun hiba juga menjengah blog Kak Teh Sentral Station, London dan blog Mak Aji. Berbanding kedua-duanya, saya Alhamdulillah masih ada mak dan abah. Masih boleh ditatap matanya, masih boleh dipeluk tubuhnya. Memandangkan saya kini jauh daripada mereka, hanya hujung minggu sahaja kami dapat berjumpa. Minggu lepas kami anak beranak dapat berbuka puasa bersama mak dan abah dan alhamdulillah sekarang inipun baru balik dari rumah mereka.

Kak long di Kuantan, abang ngah di Kota Tinggi dan seorang adik di Kota Bharu juga bergilir menjenguk di hujung minggu. Tiga adik saya yang berada di sekitar rumah mak juga tak lepas pandang. kerap melawat mak dan abah. Memang kami belum mahu kehilangan mereka...

Hiba saya bersangatan apabila sudah berbulan-bulan melihat mak mencucuk sendiri jarum berisi insulin ke perutnya... sampai bila mak nak lalui semua itu?

Saturday, October 7, 2006

YA, INILAH CERITA SEDIH!
SUDAH
ada lima kes dalam tangan. Hukumnya ialah dosa. Sama ada Ajai atau Norman, mereka lelaki suami. Sama ada Abby atau Nurul, mereka perempuan isteri. Dan anak tetaplah anak. Jika ada angin, di sebalik lalang akan ternampak dosa itu. Kita bukan saudara tetapi kita bersaudara. Memeluk Nurul, dulu sudah diberitahu. Jangan berpura berselindung. Dan pada suatu hari esoknya beriya-iya ke pejabat mahu mendapatkan Kuala Lumpur di Mana Suamiku....
Nah, sekarang baru dia faham!

Friday, October 6, 2006

INI BUKAN CERITA SEDIH
HARI
ini janganlah jadi seperti semalam. Biarpun semalam sama seperti hari kelmarin. Sebenarnya bukanlah susah sangat hendak berkata `tidak', tetapi orang keliling seperti menjeling apabila saya mahu berkata `tidak'. Jadi saya angguk sahaja kepala walau di mulut langsung tidak terkeluar kata `iya'.

"Terima kasih. Terima kasih..." Katanya.
Saya terpinga. Muka tersimbah minyak panas rasanya...!

Wednesday, October 4, 2006

CERITA HARI KE SEBELAS
DI SINI jerebu. Ia datang bersama jin jahat melintasi Laut China Selatan, terang-terang di siang hari. Ia menguasai mata. Lemas dada. Semalam juga serupa. Dan cerita hari ke 10 tidak akan khatam.

Teorinya perempuan itu seperti selalu, tetap menggosok-gosok hidung resdungnya. Dia juga suka membesarkan matanya apabila berkata-kata. Ya tidak lama lagi virus dari hidungnya akan merebak ke daerah itu juga!

Dan nanarlah sekelian lelaki. Seperti nanarnya wanita-wanita berjilbab itu melihat kacaknya Nabi Yusuf. Selepas ini jangan mengira hari lagi. Sama ada esok 12 atau 13 dan lusanya 14, hari tetap datang dan berlari pergi. Masih adakah jerebu?

Tuesday, October 3, 2006

CERITA HARI KE SEPULUH
RAMAI orang suka dipuji. Pujilah yang dia itu bagus, profesional, mempunyai pemikiran yang tinggi dan relevan pada setiap yang dibicarakan. Sebaliknya tidak ada orang yang suka dirinya dikeji. Jangan kata dia pemalas. Jangan kata dia tidak panjang akal, jangan kata dia low class dan jangan kata pemikirannya tidak kritis.

Orang yang panjang akal memang akan selalunya selamat. Tetapi bagi yang pendek akal, mendengar sehala sahaja apa yang dikemukakan bukan sahaja akan dijual orang bahkan dia akan tenggelam selamanya. Memang, menuju matlamat dengan selamat tidak ada jalan pintas.

Antara dua kriteria ini di mana diri kita sebenarnya? Dan hari ke 10 Ramadan ini kenapa saya tak pasal-pasal menyentuh hal ini?