Thursday, November 29, 2007

SAAT SENGGANG
KADANG-KADANG
kita berasa sudah selesa hidup berdua sahaja suami isteri apabila anak-anak semua sudah besar dan boleh bergerak sendiri. Teringat ketika anak-anak masih kecil, ke sana ke mari mesti bawa `beg tangan'. Mata juga tidak boleh terlepas pandang, terutama apabila mereka sudah pandai bertatih, berjalan dan berlari.

Namun sekarang tak mungkin saya akan ada anak kecil lagi... suami kata `buang tebiat ke?. Saya kata, kalau ada pun anak kecil dalam rumah ni tunggu bila Kak Long dah sampai jodoh nanti. Waktu itu kita dah jadi Datuk dan Nenek.

Jadi apa lagi yang boleh dilakukan untuk mengisi kekosongan? Amal ibadat, meneruskan hobi saya menulis dan suami pula dengan minatnya, atau menonton tv atau berkebun... terasa ada lagi yang kosong dalam hidup ini.

Lalu sejak setahun yang lalu kami mula mengambil anak-anak angkat (klik sini) ini. Mari sama-sama kongsikan blog yang dibuat oleh Kak Long untuk adik-adik kesayangannya. Jadi sekarang inilah hobi baru kami.

Jika dulu saya minat memelihara ikan emas (hampir 40 ekor sebesar gengaman tangan) tapi sekarang apabila mendapat hobi baru ini, kepuasannya berbeza. Terutama dalam usaha mengindar stres dengan kerja-kerja pejabat.

Monday, November 26, 2007

MENGHAYATI HAIKU
SAYA
memang meminati haiku (puisi pendek Jepun) sejak dari bangku sekolahl menengah. Mulanya saya tertarik dengan bait-bait haiku yang ditulis oleh Puan Azah Aziz dalam akhbar Berita Minggu sekitar tahun 80-an. Waktu itu beliau menulis haiku mengenai rumah persinggahan mereka di Morib. Tentang laut, tentang harapan, tentang matahari terbit di ufuk timur pada setiap pagi termasuk tentang Ungku Aziz yang gemar berjoging di Pantai Morib pada hujung minggu.

Kemudian melalui minat itu juga saya mengenali MBA dan juga Lelahiro. Semenjak itu saya mula menimba ilmu mengenai haiku yang sebenar terutama teknik dan syarat menulis haiku (5 - 7 - 5).



Kini buku mengenai haiku akhirnya berjaya dihasilkan oleh Halela dan rakan-rakan setelah melalui pelbagai onak dan duri. Tahniah untuk mereka atas semangat dan kecekalan. Semoga kita boleh mendalami satu lagi cabang seni penulisan, dengan tidak meninggalkan penulisan puisi, sajak, cerpen dan novel gaya Malaysia.

* Untuk temapahan, sila klik pada blog Lelahiro.

Friday, November 23, 2007

"MACAM DIGIGIT SEMUT SAJA..."
AGAKNYA
mungkin kerana saya kasihankan dia, jadi keputusan untuk mengkhatan anak bongsu menjadi tertunda-tunda. Janji asalnya apabila usianya sembilan tahun. Namun kemudian ia bertukar, mungkin akan dikhatan apabila usianya sepuluh tahun. Namun niat tahun lalu itu tidak tertunai juga...

Bagaimanapun pada tahun ini kami tidak boleh bertanggung lagi. Si bongsu mesti dikhatankan tahun ini juga. Tahun ini dia sudah menjangkau sebelas tahun. Mustahil hendak menanti usia 12 tahun baru hendak dikhatankan!

Minggu lalu kami bersama-sama membawanya ke klinik tempat dia akan dikhatankan nanti. Niatnya supaya dia berkenal-kenal dulu dengan jururawat, menengok lokasi klinik, semoga dia membiasakan diri dengan persekitaran klinik. Jadi keputusan sudah dibuat. Tarikh sudah ditetapkan. Pada minggu hadapan dia akan mulai menginjak ke alam remaja di Klinik Nik Isahak, berhampiran dengan kediaman kami.

Kepada kawan-kawannya dia sudah memberitahu, dia akan berkhatan minggu depan. Rasa macam dia bangga pula... atau mungkin dia ingin memberitahu kawan-kawannya yang dia juga akan menjadi seperti mereka yang lain – sudah bersunat!

Saya memang kasihankan dia. Saya tidak tergamak melihat dia mengadu sakit. Jika saya begitu, suami pun sama. Si bongsu ini badannya agak besar, tidak seperti rakan-rakan sebayanya yang berbadan biasa-biasa sahaja.

Selalu dia berkata yang dia sudah cukup besar, sudah cukup bersedia. Namun saya selalu curi-curi memandang pada alat sulitnya... Ya, walau badannya besar, tetapi senjatanya tidak seperti saiz badannya. Itu yang saya risaukan. Saya dan suami pergi dari satu klinik ke satu klinik berusaha bertanya tentang kaedah khatan doktor-doktor berkenaan.

Maaflah saya kurang arif dengan istilah doktor jadi soalan saya mengikut kefahaman sendiri - Apakah doktor menggunakan cara `ring'? Ia seperti cincin yang disorong ke alalt sulit. Atau doktor menggunakan kaedah `kelongsong'? Ia seperti kelongsong aiskrim berbentuk kun? Sebabnya kedua-dua kaedah itu saya rasa tidak sesuai dengan fizikal anak bongsu saya jika dikira dari aspek saiznya itu.

Di klinik di Seksyen 19 Shah Alam itu akhirnya kami temui kaedah yang sesuai dengan situasi anak saya. Doktornya menggunakan kaedah seperti mana dulu-dulu, iaitu dengan memotong dan menjahitnya dengan benang dan dibiarkan kering begitu sahaja tanpa ada sokongan kun atau ring. Lama kelamaan benang itu akan pupus sendiri, kata doktor.

Sudah berkali-kali saya dengan kata-kata ini, "anak lelaki mesti kuat. Tidak sakit, rasa macam digigit semut saja...." kata suami. Si bongsu diam saja. Di mukanya tergambar rasa gelabah. Apabila suami berkata begitu saya teringat tentang satu kisah kelakar yang saya baca dalam blog seorang rakan.

Ceritanya begini: Si bapa menemani si anak berkatan. Sebelum anak masuk ke bilik doktor, si emak berkali-kali berpesan pada si anak dengan ahrapan pesanan itu akan mengurangkan rasa debar dan bimbang si anak. Katanya, "tak sakit... macam semut gigit sahaja." Lalu si emak pun melepaskan si anak ke dalam bilik doktor ditemani si bapa sahaja.

Apabila si anak keluar dari bilik doktor, siibu segera merapati dan memeluk cium si anak. ”"Macamana? Bukankah tak sakit... macam semut gigit sahaja..." kata si emak.

Si anak meraung dan menjerit, ”Uh! Rasa seperti berjuta-juta semut menggigit!" katanya.

Seperti ibu-ibu lain, saya turut merasa betapa risaunya kita hendak melepaskan anak-anak ke alam remaja. Semoga mereka membesar menjadi remaja yang tabah dan kental semangatnya. Semua itu bermula dengan dugaan kecil, bagaikan digigit semut sahaja. Tidak kiralah seekor atau berjuta semut yang menggigit...

* Seperti yang tersiar di Sinar Harian.

Friday, November 16, 2007

KENCING MANIS, KECEMASE…
EMAK
saya penghidap kencing manis, kini dia menjalani dialisis di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selang sepuluh hari sekali. Manakala kakak dan abang saya juga ada simptom yang sama. Jadi Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada Rabu lalu, menjadi iltizam pada diri saya bahawa saya tidak mahu mewarisi penyakit berkenaan walaupun sejarah penyakit itu sudah ada dalam keluarga saya.

Saya katakan pada diri dan keluarga bahawa makanan manis yang sedap itu adalah racun yang boleh menggugat riwayat kita. Hari emak saya dibawa ke wad kecemasan apabila badannya menjadi betul-betul lemah, tetap menjadi ingatan pahit saya dan keluarga. Dia jadi lesu, tubuhnya kurus sangat. Waktu saya sampai dia sudah terbaring di wad dengan wayar berselirat dari perutnya kekantung air sebesar plastik beras lima kilo di sisi katilnya.

Hari ini lebih 240 juta orang di seluruh dunia menghidap diabetes. Dengan kesan serius itu diabetes kini diiktiraf sebagai penyakit kronik yang melemahkan tubuh dan banyak menyebabkan kerugian. Tema Hari Diabetes Sedunia julung kali diadakan pada tahun ini ialah `Diabetes pada Kanak-kanak dan Dewasa’.

Diabetes merupakan antara penyakit paling kronik di usia kanak-kanak dan boleh berlaku pada kanak-kanak di mana-mana peringkat umur, termasuk kanak-kanak pra-sekolah dan sehinggakan kanak-kanak yang bertatih-tatih. Dan di pelbagai pelusuk dunia, insulin, satu-satunya ubat penyelamat nyawa, tidak boleh didapati ada kalanya kerana faktor-faktor membabitkan ekonomi, geografi ataupun kekurangan bekalan.

Saya membaca satu berita dalam talian semalam menyatakan ramai kanak-kanak mati kerana diabetes, khasnya di negara-negara dengan pendapatan rendah atau sederhana.

"Yang paling rapat dengan kanak-kanak, tidak kira keluarga, penjaga atau guru sekolah mungkin tidak menyedari tanda-tanda penyakit itu," kata K.S. Maniam Penolong Setiausaha Am, Persatuan Diabetes Malaysia.

Maniam berkata diabetes Type 1, yang sebelum ini dikenali sebagai diabetes juvana, meningkat sebanyak 3 peratus pada kanak-kanak setiap tahun dan di kalangan kanak-kanak pra-sekolah angkanya lebih tinggi iaitu sebanyak 5 peratus. Dalam diabetes Type 1, badan tidak dapat menghasilkan insulin dan mereka dengan diabetes ini memerlukan rawatan insulin untuk meneruskan dengan hidup.

Diabetes Type 2 merupakan diabetes jenis lazim. Dalam diabetes Type 2, sama ada tubuh tidak dapat menghasilkan insulin yang cukup ataupun sel-sel mengabaikan insulin, satu situasi yang ada kalanya dikenali sebagai rentan insulin. Diabetes Type 2 lazimnya berlaku di kalangan dewasa, lazimnya usia 45 tahun dan lebih. Diabetes bentuk ini dikawal melalui pengurangan berat badan, senaman atau ubat yang diambil melalui mulut.

Kini dianggarkan di seluruh dunia 70,000 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun menghidap diabetes Type 1 setiap tahun dan daripada 440,000 kes diabetes Type 1 di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia, lebih satu perempat berada di Asia Tenggara dan lebih daripada satu perlima di Eropah.

Diabetes Type 2 dahulunya dianggap sebagai penyakit orang dewasa. Tetapi hari ini ia meningkat pada kadar yang menakutkan di kalangan kanak-kanak dan remaja. Sejak 20 tahun yang lepas, diabetes Type 2 telah berganda di kalangan kanak-kanak di Jepun dan ia kini lebih lazim berbanding Type 1.

Bagaimana dengan anak-anak kita? Anak-anak saya memang gemarkan minuman manis. Jika makan di luar selalu dipesan pada pelayan di kedai supaya kurangkan manis. Selalunya saya menghirup dulu minuman yang tiba, jika manis disuruh tambah air kosong sedikit. Anak cepat saja memuncungkan bibir.

Kata suami, "you nak kurangkan manis minuman anak... tapi you yang banyak minum minuman manis itu. Kalau tiga anak, maknanya tiga sedutan you itu minuman manis belaka... nanti awak yang masuk wad kecemase..." Oh ya tak ya!

* Persatuan Diabetes Malaysia boleh dihubungi melalui 03-79574062 atau menerusi lamannya di www.diabetes.org.my.

Wednesday, November 14, 2007

BANTU KAWAN KITA BISNES
UNTUK wanita sedang berpantang bersalin, Dr. Faridah Abd. Rashid telah membuka satu laman penting untuk anda. Baiboo telah mengkaji amalan berpantang di kalangan orang Melayu. Meski zaman moden kini, namun yang tradisi tetap dicari orang. Sesiapa berminat boleh menjengah ke blog ini.

SAHABAT jauh di mata, Lynn di Kobe bersama rakan-rakan bisnesnya telah mencipta anak patung muslimah. Sungguh comel dan harganya amat murah termasuk kos pos. Jika berminat klik ke sini Muslimah Dolls

Monday, November 12, 2007

DUGAAN ANAK-ANAK
HUJUNG
tahun begini ramai kawan-kawan sudah mengatur jadual cuti masing-masing. ADa yang sudah sampai seru ke Mekah. Ada yang sempat membooking Air Asia ke merata tempat, berholiday. Ke mana saya? Nampak gayanya dengan kesibukan sekarang saya berani kerat jari - tak dapat ke mana-mana walupun cuti tahunan saya masih berbaki 20 hari!

Kak Long menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula hari ini. Paper dia akan tamat pada 5hb Disember. Saya tawakal dengan apa sahaja keputusan Kak Long setelah puas dia berusaha untuk mendapat kedudukan terbaik. Pagi tadi semasa menghantarnya ke sekolah saya katakan, sebagai anak sulung dia kena tunjuk tauladan terbaik pada adik-adik. Seorang lagi anak saudara, Hakimi di Kota Tinggi pun sama-sama bersaing menduduki SPM hari ini.

Dalam waktu itu juga si bongsu lelaki saya, akan `tuuut'. Sudahpun kami daftarkan namanya di klinik. Menurut doktor proses bersunat akan bermula 20hb Nov ini. Giliran dia kali ini, anak yang akhir saya rasa saya lebih teliti pula berbanding dengan masa anak kedua, Anas dulu. (Pakai sarung macam cincin? Atau pakai kelongsong? Atau doktor jahit saja dan lama kelamaan pupus begitu saja? Guna laser atau potong biasa?) Maklumlah yang ini si bongsu... Dia pula manja semacam. Dia minta doktor bagi dia ubat tidur masa `tuuut' nanti.

Baru-baru ini bos panggil, memberi arahan baru. Kesimpulan perbincangan itu, kini tanggungjawab saya di pejabat semakin menambah. Dua jenis suratkhabar dengan empat edisi negeri serta 29 majalah sudah di bahu saya seratus peratus.

Terima kasih kepada yang sudi datang beraya ke rumah. Saya tak buat open house sebab rumah sentiasa terbuka. Telefon saja jika mahu datang. Dah habis Syawal pun tak mengapa, masih boleh berkunjung.