DUGAAN ANAK-ANAK
HUJUNG tahun begini ramai kawan-kawan sudah mengatur jadual cuti masing-masing. ADa yang sudah sampai seru ke Mekah. Ada yang sempat membooking Air Asia ke merata tempat, berholiday. Ke mana saya? Nampak gayanya dengan kesibukan sekarang saya berani kerat jari - tak dapat ke mana-mana walupun cuti tahunan saya masih berbaki 20 hari!
Kak Long menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula hari ini. Paper dia akan tamat pada 5hb Disember. Saya tawakal dengan apa sahaja keputusan Kak Long setelah puas dia berusaha untuk mendapat kedudukan terbaik. Pagi tadi semasa menghantarnya ke sekolah saya katakan, sebagai anak sulung dia kena tunjuk tauladan terbaik pada adik-adik. Seorang lagi anak saudara, Hakimi di Kota Tinggi pun sama-sama bersaing menduduki SPM hari ini.
Dalam waktu itu juga si bongsu lelaki saya, akan `tuuut'. Sudahpun kami daftarkan namanya di klinik. Menurut doktor proses bersunat akan bermula 20hb Nov ini. Giliran dia kali ini, anak yang akhir saya rasa saya lebih teliti pula berbanding dengan masa anak kedua, Anas dulu. (Pakai sarung macam cincin? Atau pakai kelongsong? Atau doktor jahit saja dan lama kelamaan pupus begitu saja? Guna laser atau potong biasa?) Maklumlah yang ini si bongsu... Dia pula manja semacam. Dia minta doktor bagi dia ubat tidur masa `tuuut' nanti.
Baru-baru ini bos panggil, memberi arahan baru. Kesimpulan perbincangan itu, kini tanggungjawab saya di pejabat semakin menambah. Dua jenis suratkhabar dengan empat edisi negeri serta 29 majalah sudah di bahu saya seratus peratus.
Terima kasih kepada yang sudi datang beraya ke rumah. Saya tak buat open house sebab rumah sentiasa terbuka. Telefon saja jika mahu datang. Dah habis Syawal pun tak mengapa, masih boleh berkunjung.
No comments:
Post a Comment