Friday, November 23, 2007

"MACAM DIGIGIT SEMUT SAJA..."
AGAKNYA
mungkin kerana saya kasihankan dia, jadi keputusan untuk mengkhatan anak bongsu menjadi tertunda-tunda. Janji asalnya apabila usianya sembilan tahun. Namun kemudian ia bertukar, mungkin akan dikhatan apabila usianya sepuluh tahun. Namun niat tahun lalu itu tidak tertunai juga...

Bagaimanapun pada tahun ini kami tidak boleh bertanggung lagi. Si bongsu mesti dikhatankan tahun ini juga. Tahun ini dia sudah menjangkau sebelas tahun. Mustahil hendak menanti usia 12 tahun baru hendak dikhatankan!

Minggu lalu kami bersama-sama membawanya ke klinik tempat dia akan dikhatankan nanti. Niatnya supaya dia berkenal-kenal dulu dengan jururawat, menengok lokasi klinik, semoga dia membiasakan diri dengan persekitaran klinik. Jadi keputusan sudah dibuat. Tarikh sudah ditetapkan. Pada minggu hadapan dia akan mulai menginjak ke alam remaja di Klinik Nik Isahak, berhampiran dengan kediaman kami.

Kepada kawan-kawannya dia sudah memberitahu, dia akan berkhatan minggu depan. Rasa macam dia bangga pula... atau mungkin dia ingin memberitahu kawan-kawannya yang dia juga akan menjadi seperti mereka yang lain – sudah bersunat!

Saya memang kasihankan dia. Saya tidak tergamak melihat dia mengadu sakit. Jika saya begitu, suami pun sama. Si bongsu ini badannya agak besar, tidak seperti rakan-rakan sebayanya yang berbadan biasa-biasa sahaja.

Selalu dia berkata yang dia sudah cukup besar, sudah cukup bersedia. Namun saya selalu curi-curi memandang pada alat sulitnya... Ya, walau badannya besar, tetapi senjatanya tidak seperti saiz badannya. Itu yang saya risaukan. Saya dan suami pergi dari satu klinik ke satu klinik berusaha bertanya tentang kaedah khatan doktor-doktor berkenaan.

Maaflah saya kurang arif dengan istilah doktor jadi soalan saya mengikut kefahaman sendiri - Apakah doktor menggunakan cara `ring'? Ia seperti cincin yang disorong ke alalt sulit. Atau doktor menggunakan kaedah `kelongsong'? Ia seperti kelongsong aiskrim berbentuk kun? Sebabnya kedua-dua kaedah itu saya rasa tidak sesuai dengan fizikal anak bongsu saya jika dikira dari aspek saiznya itu.

Di klinik di Seksyen 19 Shah Alam itu akhirnya kami temui kaedah yang sesuai dengan situasi anak saya. Doktornya menggunakan kaedah seperti mana dulu-dulu, iaitu dengan memotong dan menjahitnya dengan benang dan dibiarkan kering begitu sahaja tanpa ada sokongan kun atau ring. Lama kelamaan benang itu akan pupus sendiri, kata doktor.

Sudah berkali-kali saya dengan kata-kata ini, "anak lelaki mesti kuat. Tidak sakit, rasa macam digigit semut saja...." kata suami. Si bongsu diam saja. Di mukanya tergambar rasa gelabah. Apabila suami berkata begitu saya teringat tentang satu kisah kelakar yang saya baca dalam blog seorang rakan.

Ceritanya begini: Si bapa menemani si anak berkatan. Sebelum anak masuk ke bilik doktor, si emak berkali-kali berpesan pada si anak dengan ahrapan pesanan itu akan mengurangkan rasa debar dan bimbang si anak. Katanya, "tak sakit... macam semut gigit sahaja." Lalu si emak pun melepaskan si anak ke dalam bilik doktor ditemani si bapa sahaja.

Apabila si anak keluar dari bilik doktor, siibu segera merapati dan memeluk cium si anak. ”"Macamana? Bukankah tak sakit... macam semut gigit sahaja..." kata si emak.

Si anak meraung dan menjerit, ”Uh! Rasa seperti berjuta-juta semut menggigit!" katanya.

Seperti ibu-ibu lain, saya turut merasa betapa risaunya kita hendak melepaskan anak-anak ke alam remaja. Semoga mereka membesar menjadi remaja yang tabah dan kental semangatnya. Semua itu bermula dengan dugaan kecil, bagaikan digigit semut sahaja. Tidak kiralah seekor atau berjuta semut yang menggigit...

* Seperti yang tersiar di Sinar Harian.

No comments: