ENGLISH PASS A MUST IN SPM? TIMBALAN Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata sasterawan ulung Inggeris, William Shakespeare pernah berkata: "To be or not to be, that is the questions."
Muhyiddin dalam hal ini masih berkira-kira untuk menetapkan sama ada Bahasa Inggeris sebagai `wajib lulus' untuk mendapat sijil SPM. Katanya kalau ditetapkan, ini bermakna ramai pelajar akan gagal dalam SPM angkara tidak fasih berbahasa Inggeris.
Beliau masih keliru - ada sesiapa boleh bantu bagi idea?
BERCUTI, HARUSKAH KE MANA-MANA? DI RUMAH SAJALAH... SYUKUR Alhamdulillah, saya sudah jenuh menatap manuskrip yang tak langsai-langsai. Dan minggu ini setelah dipaksa-paksa habis sepenuhnya segala proses editing. Memang betullah kata arwah Pak Samad Ismail, orang kretif jika dilantik menjadi orang pentadbiran, memang kreativitinya `mampus'... Batul. saya hampir `mampus' setengah jalan, dan hendak meneruskan semula kerja kreatif amatlah payah setelah lama berhenti.
Saya juga dah ada FB. Alahai bukannya aktif sangat. Sebab orang lain ada FB saya pun nak ada juga. Memang hidup ini peniruan. Tapi tidaklah sampai orang sebelah tukar sofa baru, rumah saya pun kena bersofa baru.
Minggu ini juga minggu pertama cuti sekolah. Anak-anak tidak pula sibuk hendak ke mana-mana. Agaknya mereka lebih selesa di rumah, dengan notebook masing-masing di ruang tamu, di dapur, di bilik mereka dengan wifi yang baru dipasang.
Saya dan suami pula yang sibuk mahu bercuti. Entahlah mahu ke mana...
SINAR HARIAN RAIH ANUGERAH KALUNG PERPADUAN 2009 PUCHONG – Akhbar Sinar Harian diiktiraf sebagai media yang memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat apabila menerima Anugerah Kalung Perpaduan 2009 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Turut menerima anugerah ialah Kelab Sukan SportUnite (kategori sukan), Datuk Thiagarajan K R Arumugam @ David Arumugam (seni), Zubedy (M) Sdn Bhd (Korporat) dan Dr Harun Pudin, Mathavan Sangaran serta Toh Eng Leong masing-masing menerima anugerah bagi kategori komuniti. Kesemua penerima anugerah menerima kalung perpaduan, sijil penghargaan dan wang tunai RM5,000.
Akhbar Sinar Harian diwakili Pengarang Kumpulan, Sri Diah Shaharuddin. Pengiktirafan tersebut disampaikan pada majlis pelancaran Majlis Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan yang diadakan di IOI Mall, di sini, semalam.
Berkonsepkan ‘Suara Cakna Komuniti Anda’, Sinar Harian yang memaparkan berita-berita berbentuk komuniti, politik dan isu-isu semasa berjaya mendapat tempat di hati pembaca dengan jumlah edaran mencecah 150,000 naskhah sehari.
Penerbitan Sinar Harian bermula dengan edisi Kelantan/Terengganu pada tahun 2006 seterusnya berkembang ke Pahang, Selangor, edisi Melaka/Negeri Sembilan, Perak dan edisi Utara (Pulau Pinang, Kedah, Perlis). Sinar Harian juga bakal melebarkan penerbitan bagi edisi Johor tidak lama lagi.
RINDU MAK... HARI Ibu sudah beberapa hari berlalu. Sepanjang minggu, ingatan terhadap arwah emak tidak berjaya saya hapus. Kata orang; kasih saudara masa berada, kasih ibu membawa ke syurga. Kata saya; teringat emak setiap masa, bukan pada Hari Ibu sahaja...
Dulu semasa arwah masih ada saya selalu menelefonnya memberitahu tentang apa yang tersiar di televisyen. Satu hari tu saya menelefon memberitahu Ahmad Jais sedang menyanyi dengan Datin Rafeah Buang (yang kedua-dua penyanyi ini amat diminatinya).
Begitu juga kalau kebetulan saya tertengok tv dan siaran Medik sedang ditayang. Kebetulan hari itu tentang sakit sendi tempurung, perlukan suntikan pada sendi.
"Mak, pasal sakit lutut mak tu kat tv sekarang... TV3 tau mak!" "Ok mak tekan punat TV3 ni" Jawab mak.
Beberapa hari lalu saya tertonton Malaysia Hari Ini dan anak saudara saya, penyanyi Roy yang popular dengan lagu patriotik diundang ke studio mempromosi album dan restorannya - Dapur Mas Roy di TTDI. Arwah mak memang minat dengan suara Roy yang garau tu. Dulu dia suka tengok Roy menyanyi lepas Berita RTM pukul lapan malam.
Saya bingkas mencapai telefon dan mendail nombor telefon rumah mak... Saya tersentak. Saya nak cakap dengan siapa? Mak dah tak ada! Dan telefon pun perlahan-lahan saya letakkan...
SORRY, NO U TURN SALAM kepada semua - Mohon berbanyak maaf kerana terlalu lama membiarkan blog ini tidak dikemaskini. Bagaimanapun jutaan terima kasih kepada yang kerap datang, atau yang menghantar emel bertanya khabar dan meninggalkan pesanan-pesanan yang amat bermakna di YM off line.
Harap gambar-gambar di bawah dapat menceritakan sedikit mengenai kehilangan sementara saya.
Sydney - Wildlife Zoo
Sydney - Three Sisters Rock
Bintang kecil di langit yang tinggi Amat indah menghias angkasa Aku ingin terbang dan melayang Jauh tinggi di tempatMu berada…
Dan lirik lagu yang disertakan ini akan tercatat dalam novel terbaru. Mari kita menyanyikannya bersama-sama, mengenang masa kecil yang manis, yang tidak akan berulang kembali...
JIKA ADA SUMUR DI LADANG BOLEH KITA MENUMPANG MANDI JIKA ADA UMUR PANJANG INSYAALLAH KITA BERJUMPA LAGI
SALAM 165: Saya mohon mengundur diri buat seketika daripada mencoret sesuatu pada laman kesayangan ini atas beberapa urusan yang amat menuntut komitment.
Beberapa perkara antaranya; - Masih letih minda dengan ESQ 165 - Level 1, 2 dan 3. (Saya sudah level MCB - Hijau - dan bergabung dengan lebih 600,000 Alumni ESQ seluruh dunia. Alhamdulillah) - Urusan Penerbitan Sinar Harian di Perak (Mac) - Urusan Penerbitan Sinar Harian di Johor - Menunai janji menyiapkan novel untuk Alaf 21 - Sikit saja lagi. (Harap dapat target Pesta Buku 2009) - Training untuk Skuad seluruh Malaysia - dan lain-lain...
Insya Allah apabila segala urusan sudah beres saya akan kembali ke sini dan menjelang detik itu percayalah... saya amat merindui anda semua.
PAGI Ahad, emak sempat menyiapkan sarapan untuk abah sebelum abah keluar rumah untuk memandikan jenazah seorang lelaki di kawasan perumahan berhampiran. Selesai urusan, jenazah lelaki berkenaan di bawa balik ke kampung halamannya di Melaka. Lima belas minit kemudian abah balik ke rumah dan melihat emak tiada di sofa yang selalu dia duduk sambil menonton televisyen.
Rupanya emak kembali berbaring dalam bilik. Abah memanggil emak tetapi suara emak perlahan sangat, sukar didengar. Abah dapati emak letih sangat-sangat dan emak meminta air. Setelah dua sudu air putih abah suapkan emak tidak bermaya langsung dan tiga adik beradik saya yang tinggal berhampiran rumah emak segera abah hubungi menerusi telefon.
Mereka tiba sepuluh minit kemudian dan masih bercakap-cakap dengan emak. Abah memangku kepala emak di atas pahanya sambil mengajarnya mengucap, mengingat Tuhan. Tidak sampai dua minit kemudian emak telah menghembuskan nafas akhirnya...
Kata abah pada adik-adik saya ketika itu; "Tak sangka... baru saja tak sampai setengah jam abah tengok jenazah, sekarang abah tatap jenazah emak kamu pula..."
Saat menerima panggilan telefon dari rumah emak, saya terkedu, terperanjat. Tidak lama kemudian bingkas bersiap, balik ke rumah emak di Bandar Tun Razak. Jiran-jiran juga terkejut kerana hari sebelumnya mereka berbual-bual dengan emak di pasar dan petang sebelumnya emak masih sempat menanam tiga pokok anak betik di depan rumah.
* Gambar akhir Disember 2008. Arwah mak dan Kak Long ketika kami ke Morocco Pavillion di Taman Botani, Putrajaya.
SAYA ralat tidak sempat menatap emak pada saat akhir hayatnya. Namun malam sebelumnya (Jumaat) saya puas berbual pelbagai perkara dengannya menerusi telefon terutama tentang jadual dialisisnya.
Setahun kebelakangan ini Klinik Dialisis di Taman Midah Cheras menjadi rutin kunjungannya selang sehari (Isnin - Rabu - Jumaat). Hari Jumaat terakhir itu arwah gagal mencuci buah pinggangnya apabila ada darah beku di laluan biasa di lengannya dan doktor klinik berkenaan merujuknya ke Hospital Gleaneagals di Jalan Ampang.
Esoknya (Sabtu) adik bongsu membawanya ke hospital berkenaan. Malangnya doktor tidak berani melakukan pembedahan membuang ketulan darah itu dan membuat surat rujukan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)pada Isnin kerana emak memang regular patient di HUKM.
Namun Ahad, jam 10.45 pagi emak menghembus nafas terakhirnya... Innalillahhi wainnalila hirajiun. Saya redha kerana semua yang hidup ini hanya Allah pinjamkan sahaja kepada kita. Sampai saatnya tanpa berlengah sesaat pun, Allah akan mengambil semula hakNya. Tiada suatu pun yang kekal abadi melainkan Allah Maha Esa.
* Saya bersama arwah mak dan Kak Long di hadapan Morocco Pavillion.
SELEPAS ini saya tidak fikirkan apa-apa tentang adik beradik lain kerana masing-masing sudah ada kehidupan sendiri. Yang saya fikirkan ialah tentang abah setelah ketiadaan emak... Mereka berdua rapat, ke mana-mana bersama menaiki motor berjalan melihat tiga anak-anak dan cucu-cucunya yang tinggal berhampiran rumah mereka.
Abah menjadi imam di surau depan rumah. Setiap waktu dia bersolat jemaah di surau itu. Sebab itulah payah sangat hendak mengajaknya berjalan ke rumah saya di Shah Alam, atau rumah kakak di Putrajaya. Atau ke rumah abang di Kota Tinggi, Johor dan rumah seorang lagi adik di Sungai Dua, Pulau Pinang.
Selepas kematian nenek kami dalam tidurnya ketika arwah berusia 100 tahun pada 13 Mei 2008 lalu, hanya mak dan abah berdua sahaja di rumah itu. Macam pengantin baru. Semenjak dulu, kami adik beradik sepakat - jangan bagi mak bela walau seorang pun cucu. Biar mereka buat amal ibadat sahaja, senang hendak ke mana-mana berdua-duaan. Sehingga mak meninggal, privacy itu tidak pernah kami langgar.
Kini dalam usianya 75 tahun, tinggal abah sendirian di rumah itu... Saya tak dapat bayangkan bagaimana abah akan lalui hari-hari seterusnya... Jika anda baca entri sebelum ini, telah saya jelaskan yang abah sudah tidak ada sesiapa adik beradik, dia anak bongsu dan semua abang-abangnya sudah tiada. Dan kini emak pula tiada...
Saya tidak risau makan, minum dan pakainya sebab sebelum ini semua itu abah urus sendiri. Dia boleh memasak, malah cucur bawangnya selalu dipuji cucu-cucu. Lembut dan sedap.
Abah seorang yang kuat semangatnya. Pada hari kematian emak, abah tidak menangis. Ketika kunjungan rakan-rakan dan saudara mara serta teman-teman pejabat semua, dia biasa sahaja. Begitu juga ketika mengimamkan solat jenazah dan ketika membacakan talkin serta berdoa untuk kesejahteraan roh arwah emak di kubur, sedikitpun dia tidak menangis.
Tapi saya tahu hatinya pedih. Saya tahu abah akan sepi tinggal sendirian selepas ini...
* Tinggal kenangan - Arwah mak ketika hayatnya, berkelah bersama anak-anak dan cucu-cucu.
* Terima kasih kepada MBA atas entri sebelum ini. Kepada yang datang menziarah atau berkirim Al Fatihah saya bagi pihak abah dan keluarga merakamkan jutaan terima kasih semoga roh arwah emak sentiasa dalam peliharaan Allah.
GEMULAH HAJI SHAHAR BIN SULAIMAN SEMALAM dalam sisipan MEGA Utusan Malaysia ada dipaparkan mengenai kisah hidup salah seorang bapa saudara saya Arwah Haji Shahar bin Sulaiman iaitu abang kepada bapa saya, Haji Shaharuddin bin Sulaiman. Arwah anak keenam dan bapa saya anak ketujuh (bongsu). Adik beradik mereka, tujuh orang kesemuanya lelaki. Sekarang enam daripada mereka telah meninggal dunia, tinggal bapa saya seorang yang masih hidup.
Saya sebak membaca kisah hidup beliau. Dia seorang bapa saudara yang amat warak. Semasa kecil saya selalu mengikut abah dan emak mendengar ceramah-ceramah agama arwah yang amat menarik. Istimewanya, setiap kali berceramah arwah mesti menyampaikan diselang-seli dengan bacaan syair.
Tulisan dalam akhbar berkenaan adalah hasil kajian dan penulisan anak-anak beliau sendiri, iaitu Ustaz Ahmad Fauzi dan Ustaz Abd. Muhaimin dengan kerjasama para pensyarah KUIS, iaitu Ustaz Isma Addi Jumbri, Ustaz Kheril Anuar Darus dan Ustaz Syarul Azman Shahrudin.
Saya mohon, jika anda kelapangan bacalah tulisan mengenai arwah HAJI SHAHAR BIN SULAIMAN (KLIK SINI) dan menghadiahkan Al Fatihah untuk arwah. Semoga rohnya di tempatkan dalam Jannah. Terima kasih.
ESQ 165 TRAINING Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi
Demi matahari dan cahayanya di pagi hari. Demi bulan apabila mengiringi, Demi siang apabila menampakkan dirinya, Demi malam apabila menutupinya, Demi langit serta pembinaannya, Demi bumi dan hamparannya, Demi jiwa serta penyempurnaannya.
Maka Alah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya. - Asy Syams 1-10
Alhamdulillah, saya sedang mengikuti ESQ 165 Training - Siri 26, Kuala Lumpur. Sepanjang training ini saya langsung tidak pernah sedikit pun merasa rugi mencungkil kewujudan saya, langsung tidak saya berasa rugi mencari Allah dan Muhammad saw. Saya juga asyik melayan spiritual yang selama ini saya meremehkan kewujudannya.
Siapa antara blogger yang menjadi Alumni ESQ? Saya sudah jumpa seorang...(DI SINI). Tetapi saya tidak boleh `salam semut' dengan beliau.
Saya mengharapkan puan sekeluarga dan seluruh warga Malaysia berada dalam sihat sejahtera selalu. Semoga negara puan juga dalam keadaan aman sentiasa dan semua rakyatnya dapat mengecap nikmat hidup tanpa gangguan sengketa peperangan seperti yang sedang negara saya alami sekarang angkara Israel Laknatullah.
Jangan tanya dari mana saya kirim emel ini. Jangan juga bertanya mengapa saya akhirnya mengirim emel setelah berkali-kali permintaan puan supaya kita berjumpa selalu saya batalkan pada saat-saat akhir hingga membuatkan puan kecewa teramat. Jawapannya tidak dapat saya beri sekarang. Dan mungkin juga ia tidak ada jawapan langsung sampai bila-bila.
Puan, saya masih ingat pada Jun 2008 lalu apabila satu perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel berjaya ditandatangani. Kami bersorak gembira ketika itu. Kami berasa memang keamanan yang kami cari sudah berada depan mata dan kami boleh bebas menikmati hidup dan anak-anak ke sekolah dengan gembiranya.
Namun gencatan senjata anjuran Mesir itu telah dimungkiri oleh Israel dengan mengadakan sekatan semula di pintu masuk dari Israel ke Semenanjung Gaza. Saudara mara kami di Tebing Barat sebelah sana tidak mendapat bekalan makanan dan fasiliti seperti gas, bekalan makanan, air dan ubat. Dan kami yang sebelah sini terputus hubungan dengan mereka di sebelah sana.
Puan yang dihormati;
Israel telah menyorong dan menarik hidup kami. Israel telah memisahkan hubungan keluarga antara kami. Israel juga dengan sengaja telah memisah isteri dan suami serta anak-anak. Hidup kami selepas itu hanyalah pada belas ihsan semata. Bagaimana kami hendak meneruskan hidup?
Israel menjadikan hal ini sebagai sorong-tarik dalam krisisnya dengan Hamas yang didakwa puak militan Islam. Fatah yang menjadi sanjungan mereka terus naik tocang. Pada 13 Disember 2008, Israel mengumumkan akan memanjangkan gencatan senjata hanya jika Hamas patuh kepada syarat-syarat lama dan syarat terbarunya.
Puan, memang patut Hamas menyalahkan Israel kerana menamatkan gencatan senjata sebelum ini dengan membuat sekatan di pintu masuk dan rakyat Palestin terpaksa membina terowong-terowong untuk ke seberang tembok sempadan.
Kemuncak air mata meletus apabila satu serangan udara meledak di bumi kami. Ia amat mengejutkan. Saudara mara kami bertempiaran lari dengan anak-anak menangis, meratap ketakutan. Kejadian pada 27 Disember 2008 bersamaan hari petama Tahun Hijrah itu memang tidak mudah dilupakan. Dengan serangan udara yang dinamakan Operation Cast Lead oleh pasukan Pertahanan Israel telah melenyapkan hasrat untuk perdamaian sementara!
Kejadian 11.30 pagi itu tepat selepas enam bulan perjanjian di Semenanjung Gaza dan paling buruk sejak Hamas mendapat kejayaan politik pada awal 2006. Namun kemenangan Hamas itu telah dinafikan! Serangan yang dimulakan dengan bedilan roket masih berterusan hingga hari ini (bersamaan 10 Muharam) dan mengorbankan beratus-ratus umat Palestin yang beragama Islam.
Mengapa tentera Israel menyerang sekolah? Tentera Hamas tidak ada di situ. Mengapa mereka menyerang sekolah, masjid dan rumah orang kampung? Yang pasti itu adalah penghapusan bangsa! Memang patutlah kelmarin Venenzuela mengusir Duta Israel keluar dari negara itu.
Puan yang dikasihi;
Saya mula menangisi kembali kematian Yasser Arafat yang meninggal dunia pada 11 November 2004... Air mata saya menitis tanpa sedar, namun hati sayalah yang paling tercalar setelah kematian ibu saudara dan anak saudara saya yang masih kecil dan tidak berdosa.
Tidak kiralah dia penyokong Fatah dan pernah mencium pipi Setiausaha Negara AS Madeline Albright. Namun saya percaya dia lakukan itu demi keamanan bumi Palestin dengan misi Palestin Liberation Organisation (PLO) yang perlahan-lahan terkubur dek perjalanan masa dan kuasa Amerika dan negara sekutunya.
Puan, tiba-tiba juga kelibat Saddam Hussein terlintas di mata dengan wajah garangnya. Namun dia akhirnya tersungkur di lubang tikus yang dibinanya sendiri. Lalu Iraq yang tunduk pada Amerika dan telah menggantung kepala Saddam pada subuh 30 Disember 2006.
Nyatalah Islam telah dilemahkan oleh kuasa besar. Sungguhlah Islam ini hanya sekelumit kuman di mata mereka dengan kematian seorang demi seorang singa-singa Islam yang ada. Dan hati saya bertanya selepas ini siapa pula?
Puan, bapa saya berkata; Islam ini kuat tetapi umatnya tidak bersatu. Israel itu hanya sekangkang kera sahaja. Jika semua umat Islam ini kencing ke arah Isreael, dalam masa beberapa hari sahaja bumi Israel itu akan hapus, akan tenggelam dek air kencing umat Islam. Saya berharap harapan bapa saya ini akan jadi kenyataan suatu hari nanti.
Puan, saya akhiri emel ini dengan ucapan assalamualaikum – salam sejahtera untuk seluruh warga Malaysia . Semoga negara anda akan terus berdiri menjadi sebuah negara yang dihormati dan berjaya menyedarkan kafir harbi bahawa Islam menitikberatkan persaudaraan dan menentang kekejaman.
Sekian, salam perjuangan daripada saya. - Jamellah Suha.
* Emansipasi saya terhadap kekejaman Israel di bumi Palestin seperti tersiar dalam akhbar Sinar Harian Edisi Jumaat, 9 Disember 2008.
TANGISAN PALESTIN PEMBUNUHAN ganas yang dilakukan oleh Yahudi Israel di Gaza, Palestin amat memilukan. Ia bukan sahaja mencabar perasaan persaudaraan Islam atau ukhuwwah islamiyyah kita, bahkan ia mencemar nilai kemanusiaan sejagat.
TERKINI: * Jet-jet pejuang Israel awal pagi ini menyerang Masjid Ibrahim Al-Maqadna, Gaza mengorbankan 13 orang termasuk dua kanak-kanak ketila lebih 200 jemaah sedang solat. Lebih 60 cedera dalam serangan itu.
* Beberapa serangan lain dilakukan di sekolah, lapangan terbang dan pelabuhan mengakibatkan empat terbunuh termasuk dua komander Hamas.
Ketika artikel ini ditulis sudah hampir 400 rakyat Gaza yang dibunuh kejam. Di mana Amerika yang kononnya berjuang memerangi pengganas? Hakikatnya setiap kali Israel melakukan keganasan, dialah yang akan mempertahankannya. Malah Bush mengistiharkan HAMAS itulah pengganas.
Firman Allah: (maksudnya)
“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (pelampau). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah”. (Surah al-Nisa, ayat 75-76).
Saya bersetuju dengan artikel bertajuk BOIKOT CARA TERANCANG (Klik Sini) dan semoga kita berjaya menyata sokongan terhadap Palestin, kalau tidak banyak, sedikit pun cukup dengan cara kita.
ALHAMDULILLAH SYUKUR RAHMAT ALLAH SEMPENA kedatangan tahun baru Hijrah 1430 dan Masihi 2009 ini kami sekeluarga mengucap syukur ke hadrat Illahi kerana telah dikurniakan kesihatan yang baik, kejayaan dalam kerjaya serta dipelihara daripada sebarang musibah. Begitu juga terhadap adik beradik yang lain, seluruh keluarga kami. InsyaAllah hari-hari mendatang, akan diberi lebih kekuatan untuk terus menempuh kehidupan yang masih berbaki.
Antara yang manis untuk sehari dua ini apabila si bongsu berjaya ditukarkan dari sekolah Menengah di Seksyen 2 (lebih kurang 5km dari rumah dan kena naik bas) ke Sekolah Mengengah Seksyen 7 (berjalan kaki sahaja dari rumah). Dia Tingkatan 1 pada 2009 nanti.
Yang kedua, kejayaan anak sulung menjadi siswi di Universiti Industi Selangor (UNISEL) - cuma sepelaung sahaja dari rumah. Tidak perlu berulang-alik Kuala Lumpur - Kuala Terengganu lagi. Oleh kerana dekat dengan rumah, dia tidak mahu duduk di asrama. Maknanya akan ulang-alik dari rumah ke kampus dengan keretanya sendiri - lebih kurang lima minit saja perjalanan (saya kata jalan kaki pun boleh, untuk cepat kuruskan badan.)
Semalam pula anak kedua, Anas Iqbal berjaya mendapat 8A dalam ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi kesemua subjek yang dia ambil. Dia yang dulu menangis tidak mahu tinggal di asrama apabila mendapat 5A dalam UPSR, membuktikan dia boleh berjaya walaupun tidak duduk asrama (itu janji dia). Begitu juga anak abang dan anak kakak, result PMR mereka juga bagus.
Saya dan suami berhasrat mahu Anas tinggal di asrama untuk persediaan SPM. Tapi sekali lagi dia menolak. Alasan dia serupa. Entahlah... kalau boleh kami mahu memohon dia ke Maktab Rendah Sains Mara.
Ada sesiapa boleh bagi cadangan? Suami sudah buat survey khabarnya result SPM di MRSM Jasin bagus. Siapa pernah ada pengalaman di MRSM tolonglah kongsi idea.
Ya Allah Ya Tuhanku, di bulan Muharam yang berkat ini, muliakanlah dan sayangilah saudaraku yang sedang membaca entri ini. Bahagiakan keluarganya, sihatkan tubuh badannya, berkati rezekinya, kuatkan imannya dan berikan kenikmatan beribadah serta jauhkan fitnah ke atas dirinya. Suburkanlah benih kejujurannya dengan penuh rasa kasih sayang selamanya...
DOA AKHIR TAHUN
"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekelian sahabatnya. Ya, Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku banyak melakukan larangan Engkau, tetapi aku belum bertaubat, sedangkan Engkau tidak redha dan melupai perkara itu. Engkau menangguhkan azab Engkau sudah ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan aku supaya bertaubat daripada kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku bertaubat dan memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Apa aku lakukan pada tahun ini Engkau redhai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohon daripada Engkau, ya Allah, ya Karim, ya Zaljala liwal ikram, terimalah permohonan ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku, wahai Tuhan Maha Mulia. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekelian sahabatnya. Segala puji bagi Allah memelihara dan mentadbir sekelian alam."
DOA AWAL TAHUN
"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekelian para sahabatnya. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi, demi kelebihan Engkau yang Maha Agung dan kemurahan Engkau yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon kepada engkau perlindungan daripada syaitan, konconya, tenteranya dan penolongnya. Dan aku memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara tidak berfaedah daripada mendekati diri kepada Engkau. Wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. Wahai Tuhan yang lebih penyayang daripada segala yang penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekelian para sahabatnya. Segala puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekelian alam."
Maal Hijrah atau Awal Muharram Ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan berlaku penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Lebih lanjut tentang Awal Muharam ( * Klik Sini)
Sempena kedatangan tahun baru Hijrah ini diharap akan membawa sinar baru yang gemilang untuk semua, dikurniakan kesihatan yang berkekalan dan dalam keimanan berpanjangan.
AL FATIHAH TAKZIAH atas kemangkatan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.
INI BUKAN SURATAN, INI BUKAN KEBETULAN EKONOMI di Amerika, Jepun dan Hong Kong makin merudum. Di Singapura juga. Kini di Malaysia, bahang itu kian terasa terutama bagi syarikat yang berpangkalan di luar negara.
Gergasi perbankan Lehman Brothers yang berusia beratus-ratus tahun itu pun sudah tumbang. Citibank juga sudah memberhentikan 18,000 pekerja. Dalam bidang pemotoran, Toyota telah menyatakan bahawa lebih ramai pekerjanya akan diberhentikan.
Pelbagai kaedah dicadangkan bagi mengelak pemberhentian pekerja. Antaranya seperti menghadkan kerja lebih masa, mengurangkan waktu kerja harian dan hari-hari bekerja di dalam seminggu.
Teori last come, first go ada kalanya jadi terbalik. Meski pemberhentian pekerja hanyalah langkah terakhir yang terpaksa diambil majikan, tetapi dalam keadaan nazak serba kemungkinan terpaksa dilakukan sekalipun menutup terus operasi syarikat.
Apa reaksi anda apabila datang ke pejabat pada 2 January 2009 nanti dan bos memberi surat penting yang isi kandungnya antara lain bermaksud syarikat sudah gawat dan anda antara yang terpaksa diberhentikan...
Menurut Kementerian Sumber Manusia, sehingga Nov tahun ini sebanyak 28,000 pekerja pelbagai sektor di Malaysia diberhentikan atas pelbagai sebab. Bagaimana dengan masa depan lebih 300,000 pekerja Malaysia di Singapura yang kini dilanda kemelesetan ekonomi? Adakah peluang pekerjaan untuk mereka di Malaysia?
Selain menghadkan kemasukan pekerja asing supaya peluang pekerjaan diberikan kepada rakyat tempatan, apalagi cadangan anda?
"KASUT BERSAIZ 10" SEORANG wartawan Iraq melemparkan kasut kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush ketika sidang media bersama Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki, bagaimanapun balingan itu tidak menepati sasaran. -fotoAP
BAGHDAD: Kunjungan Presiden George W. Bush semalam sepatutnya menjadi lawatan terakhir ke Iraq sebelum meninggalkan White House bulan depan.
Beliau tidak menerima `cenderamata penghargaan' daripada rakyat Iraq, sebaliknya menerima balingan kasut ketika mengadakan sidang media bersama Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki.
Seorang wartawan Iraq melemparkan dua kasut terhadap Bush tetapi tidak menepati sasaran kerana beliau sempat mengelak balingan. Kasut itu kemudian mengenai dinding belakang. Nouri bagaimanapun cuba menyelamatkan Bush walapun balingan itu tidak mengena.
"Ini ciuman perpisahan untuk anda, anda anjing!" jerit wartawan berkenaan dalam bahasa Arab.
Dia kemudian dikenali sebagai Muntadar al-Zeidi iaitu koresponden bagi saluran televisyen Iraq, Al-Baghdadia yang berpangkalan di Kaherah, Mesir.
Kemudian Bush bergurau: "Ia (kasut) bersaiz 10." Kunjungan itu diadakan 37 hari sebelum Bush meninggalkan White House. Bush akan digantikan Barack Obama pada 20 Januari ini.
Bush menggerakkan tindakan ketenteraan ke atas Iraq pada 2003 dalam usaha menggulingkan Saddam Hussein.
Ketika Saddam digulingkan, pentadbiran Bush disanjung tinggi. "Perang belum berakhir lagi," kata Bush sambil menambah, perang itu akan mencapai kemenangan kelak.
Selepas itu Bush berlepas ke Afghanistan yang turut diserang Amerika Syarikat atas nama peperangan ke atas pengganas pada tahun 2001.
* Jika anda wartawan dan menghadiri majlis sidang akhbar bersama Bush, anda hendak baling apa? Nak soal apa?
Jam 3 pagi
dipeluk dingin subuh dan sunyi
di saat mentari mencelah...
pendakian mendatangkan lelah
langkah makin perlahan
dan akhirnya terhenti,
berpatahku mencari
jalan pulang...
- MyJICA Trip.
3hb Ogos 06