Wanita yang selalu yakin, ada sifat mudah berjenaka, penampilan menarik dan tidak bergantung kepada lelaki adalah antara ciri wanita yang digemari lelaki. Pasangan lawan jenis itu akan selalu mencari-cari sifat begini pada teman wanita mereka, pada isteri dan rakan sepejabat atau teman luar pejabat.
Dalam empat ciri ini apakah ada salah satunya dimiliki oleh pasangan kita? Jika keempat-empat sifat ini ada pada pasangan, anda sudah dikira beruntung. Wanita yang mempunyai keyakinan yang tinggi, bijak dan pantas bertindak akan memudahkan banyak urusan.
Merupakan satu bonus sekiranya kita mendapat teman wanita yang ada sifat suka berjenaka, tidak lokek senyuman dan ada fikiran luar biasa untuk menarik orang lain lebih rapat kepadanya. Ironinya di sini, ramai lelaki pula tidak sukakan wanita yang selalu mendesak.
Tiada siapa menggemari wanita yang lembik, yang tidak ada keyakinan diri, tidak ada sifat suka mencuba dan lebih buruk lagi wanita yang suka bergantung kepada orang lain. Namun awas, jangan terlalu yakin kerana akan menjengkelkan lelaki pula.
Ramai lelaki tidak suka dengan air mata wanita. Itu adalah senjata paling tajam, kadang-kadang payah untuk dikendalikan. Air mata wanita ialah bahasa yang sukar untuk diterjemahkan. Ada pro dan kontra, ada negatif dan positif. Namun sebenarnya ramai yang berpendapat, itu lebih merujuk kepada sikap ego.
Cuba perhatikan sedikit penemuan tentang seorang wanita; kata–kata pertama ialah - Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menongkat dunia; namun, harus cukup lembut untuk memberikan rasa nyaman.
Kedua, Aku memberikan dia kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan yang sering kali datang daripada anak-anaknya.
Ketiga, Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap teguh ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan serta kelelahan tanpa mengeluh.
Keempat, Aku memberinya kepekaan untuk mencintai anak-anaknya dalam setiap keadaan, bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya.
Kelima, Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya.
Keenam, Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahawa seorang suami yang baik takkan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang-kala menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada di sisi suaminya tanpa ragu.
Kecantikan seorang wanita bukanlah daripada pakaian yang dikenakannya, susuk yang dia tampilkan, atau bagaimana dia menyisir rambutnya. Kecantikan seorang wanita harus dilihat daripada matanya, karena itulah pintu hatinya - tempat di mana cinta itu ada.
Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan. Ini adalah khusus miliknya untuk digunakan walaupun kadangkala dia tidak memerlukannya.
Perempuan mempunyai sembilan emosi dan satu akal. Emosi yang terkumpul banyak ini, membentuk peribadi seseorang wanita yang ketara kelembutannya, kasih, bertimbang rasa dan menghargai orang di sekelilingnya. Semua ini dengan dibekalkan sedikit air sakti itu.
Pakar klinikal menyatakan daya tumpuan akal seseorang wanita banyak dipengaruhi oleh emosi sama ada ia memberi kesan baik ataupun buruk. Emosilah yang membentuk keperibadian seorang gadis, wanita dan ibu.
Seperti emak kita yang pernah menangis, adalah dikatakan tangisan gembira seorang ibu itu boleh memadamkan api neraka kelak. Bagaimana pun jika tangisan itu adalah tangisan kecewa seorang ibu?
Dalam suka atau duka, selalulah ingat ayat ini; Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur. (Surah Al-Nahl : 78).
Kata ustaz, selalulah kita berdoa… Ampunilah dan kasihanilah ibu hamba Ya Allah, isteri, anak-anak perempuan, saudara-saudara perempuan dan wanita-wanita Mukminat yang masih hidup mahupun tiada. Amin.