Sunday, October 4, 2015

MENULIS PELBAGAI PENERBIT

BOLEHKAH MENULIS DENGAN PELBAGAI PENERBIT?

1. Bagaimana jika kita ada karya novel dgn Karangkraf dan kita adaptasi sendiri kepada bentuk lain seperti teater dan filem pendek. Perlukan keizinan daripada penerbitkah?


Jawapan saya:
Apabila seseorang telah menyerahkan karyanya kepada penerbit untuk dijadikan novel, hak terbit karya itu adalah hak penerbit. Dalam hal ini, penulis masih ada haknya iaitu hak kepunyaan terhadap karya itu.

Jika telah tanda tangani surat perjanjian, dalam surat itu dinyatakan bahawa penerbit mempunyai hak ke atas karya itu dalam bentuk cetak, adaptasi ke drama, filem dan teater.

Dalam hal ini, penulis boleh membuat adaptasi sendiri ke atas karyanya tetapi mesti memaklumkan hal itu kepada penerbit asal. Tiada bayaran perlu dikeluarkan. Hanya mohon izin supaya kes ini di bawah pengetahuan penerbit.

2. Sekiranya ingin luaskan karya ke luar negara untuk dialih bahasa bagaimana caranya?


Jawapan saya:
Ya boleh. Amat digalakkan. Prosedurnya masih kena rujuk dengan penerbit untuk dokumentasi, urusan peguam, rekod surat menyurat, kos terjemahan dan sebagainya.

3. Sekiranya kita sudah ada karya dengan Karangkraf bolehlah kita terbitkan karya lain dengan penerbit lain? Bolehkah jika kita gunakan nama pena yang lain atau boleh kekal dengan nama yang sama?

Jawapan saya:
Karangkrat tidak menggalakkan situasi ini. Alasannya Karangkraf telah membina jenama penulis itu dan banyak menggunakan modal untuk mempromosi nama itu hingga popular.

Mediumnya iklan di semua laman web syarikat, dalam majalah, akhbar, di fb, twitter, instagram syarikat, membawa ke kedai buku, anjurkan pameran, bawa ke pesta dan lain-lain promosi. Semua itu ada kos berbayar. Jika menulis genre yang sama (novel) ini tentunya mengganggu perancangan promosi.

Contohnya - Karangkraf mempromosikan penulis itu secara total di semua rangkaian sosial media syarikat, membuat iklan dalam akhbar dan majalah - Manakala penerbit satu lagi tidak melakukannya. Namun dalam kes ini penerbit satu lagi turut mendapat untungnya. Membawa nama yang sama juga tidak digalakkan. Alasannya sama - silang promosi akan merugikan Karangkraf.

* Sila ke fanpage facebook saya untuk banyak lagi info penulisan:
>>> Sri Diah | Novelis

AMUKAN HATI



Bagaikan masa terhenti tiba-tiba
seluruh jiwa bingkas bangkit memberontak
Dan nanar terbakar
meranap tembok amal dan iman


Kumpulan Puisi AMUKAN HATI
Terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)
Mengandungi 45 judul puisi . RM18.00



Alhamdulillah. Anak terbaharu saya, Kumpulan Puisi Amukan Hati sudah terbit. Berbanyak terima kasih kepada Karyawan ITBM dan semua yang terlibat atas kelahiran ini.

Terima kasih kepada semua Karyawan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) atas usaha ini.
Ucapan khusus juga buat Editor Kumpulan Puisi Amukan Hati, Cik Khadijah Aminah Md Yusoff

PESAN KEPADA PENULIS




>>> PESAN KEPADA PENULIS <<<

Hari ini tidak banyak yang ingin saya pesan.Melainkan tiga perkara ini:

1. Jangan berhenti menulis SELAGI karya belum terbit
2. Jangan berhenti menulis SETELAH karya berjaya terbit
3. Jangan berhenti menulis WALAUPUN karya sudah berderet-deret terbit

* Kepada penulis yang sudah lama menjalani episod suam-suam kuku, sekarang cubit paha kanan anda tiga kali!

MELONTAR JAMRAH


MEMORI: MELONTAR DOSA DI TIGA JAMRAH 2010

Malam itu kami bermalam beratapkan langit terbuka di Muzdalifah. Tiada hujan. langit cerah. Saya berbaring atas pasir beralas tikar getah, memandang angkasa yang luas. Mengira bintang dan merenung bulan. 

Saya terlelap sebaik habis solat sunat. Saya asyik dengan mimpi semua cerita. saya pergi jauh ke masa silam. Ada cerita keluarga, cerita kawan-kawan dan cerita zaman kanak-kanak.

Terjaga dari lena saya berasa sangat puas dapat tidur dan bermimpi, mungkin setengah jam lamanya. Namun... sahabat jemaah kata saya tidak tidur! Saya hanya terlena dan terdiam dalam masa dua minit sahaja! Ya dua minit yang sangat cukup. Saya bingkas berwuduk kerana di padang ini, harus diisi dengan 80 peratus amal ibadat.

Selepas solat Subuh, sepanjang dalam bas yang panas dan bergerak sangat perlahan ke Mina saya genggam dalam uncang, 70 biji batu kecil yang telah saya pilih daripada billion batu kecil di padang malam tadi.




Bermalam dalam khemah sempit di Mina juga saya tidak lepaskan uncang 70 biji batu itu. Saya tidak mahu kehilangannya. Itu adalah senjata saya membuang kembali segala siap dan dosa yang terpalit pada tubuh, di ketiga-tiga Jamrah - Jamrah Sughra, kemudian Wusta dan Qubra (Aqabah).

Saya mahu lontar segala dosa dan khilaf, saya mahu campak semua yang jahat dalam diri. Saya mahu baling sekuat hati semua yang negatif ke tengah jamrah!


Balik ke Makkah dan menyempurnakan Tawaf Haji, Saie, bertahalul dan menanggalkan rukun ihram merupakan kemuncak segalanya... saya tahu saya telah bebas daripada segala rukun haji tamatuk ketika ini tetapi itu juga merupakan satu permulaan sebuah ujian lebih besar.

Ujian mempertahankan iman! Kini setiap hari, saat saya merasa kalah, saat saya merasa sakit hati, saat saya merasa ingin balas dendam, peristiwa Madinah - Makkah - Arafah - Mina sangat membantu saya menjadi lebih manusia...

Harapan saya buat semua jemaah yang telah pernah dipilih Allah menjadi tetamuNya, sentiasa ingat kepayahan dan keinsafan yang telah kita lalui. Alhamdulillah kita kuat.

Ya Allah Ya Rahman, Ya Rahim, segeralah sampaikan pula giliran kepada rakan-rakan yang lain untuk bersolat di rumahMU yang tenang, damai, sejuk dan wangi, untuk melalui ujian-ujian getir Arafah dan Mina dan nikmat mencampak dan membaling segala dosa ke Jamrah. Amin.

Friday, October 2, 2015

PENULIS MENJADI PENERBIT



BOLEHKAH PENULIS MENJADI PENERBIT?

Jawapan saya – BOLEH! 
Sesiapa sahaja boleh menjadi penerbit. Apalagi dalam situasi hari ini apabila ada percetakan digital, dicetak atas permintaan (Print on demand), maka ramai penulis memilih mahu terbit sendiri dan penulis jual sendiri. Segala urusan promosi dan pemasaran penulis yang uruskan. 

Perhatikan pusingan ini:
Penulis menulis > Penulis terbit > Penulis jual > Penulis promosi > Penulis ke pejabat pos > Penulis ke kedai melihat jualan > Penulis kira stok > Penulis hantar stok > dan lain-lain urusan berkaitan.

Soalan saya:

• Masih ada masakah PENULIS mahu MENULIS?

Padahal selama ini penulisan penulis itu sangat digilai oleh pembacanya. Namun penulis sudah tidak ada masa mahu menulis kerana masa mengarang telah diambil dengan urusan bukunya. Kualiti penulisannya menurun kerana sudah hilang fokus.

Saya menyatakan hal ini bagi penulis yang one man/women show. Namun jika penulis ada rakan atau petugas yang menguruskan hal pentadbiran, itu hal lain.

Realiti hari ini, bakat menulis bukan salah satu prasyarat kejayaan sebagai penerbit. Bakat menulis adalah seni. Manaka bisnes adalah bisnes – ada bakat bisnes, ada ilmu bisnes, mahir selok-belok bisnes.

Thursday, October 1, 2015

INSIDE



There is no agony
like having
an untold story
still inside you

Rome, Italy
April 2015

* Foto by Stefano Romano

Wednesday, September 30, 2015

TERBIT KARYA

PROSES TERBIT KARYA | Suatu yang retorik apabila ada yang mengatakan susah mahu mellihat karya sendiri terbit. Susah mahu menjadi novelis. Susah mahu menjadi cerpenis.

Benarkah tambah susah kalau mahu melihat hasil penulisan terbit dan diiktiraf (tidak kira online apalagi offline ?


Jika terbukti berbakat, komited dan patuh disiplin, ikut sifir saya ini:
1. Berjinak dalam dunia penulisan. Ikuti kursus.
2. Berkawan dengan mereka yang sama minat.
3. Berbaik dengan Editor dan penerbit. Ketahui arah tuju atau fokus mereka.
4. Untuk permulaan jangan impi sangat mahu terbit buku secara individu.
5. Bergabung bersama penulis lain, sebaiknya tiga atau empat penulis lain.
6. Dengan Penerbit X, terbit secara kompilasi itu, bantu membantu rakan kompilasi.
7. Lama kelamaan nama anda akan menonjol. Ini sukses tahap satu.
8. Bawa buku kompilasi itu jumpa Penerbit Z yang tarafnya tinggi sedikit berbanding Penerbit X.
9. Yakinkan Penerbit Z dengan pelan (rancangan) kejayaan anda.
10. (.... sila sambung sendiri)

* Mahu sifir penulisan lagi? Jika saya dapat lebih 10 Like dan komen MAHU di ruang komen, nanti saya sambung lagi segala tip penulisan.

* Saya terangkan hal ini sekali lagi kerana ramai yang inbox, kurang faham status yang lalu.

Saturday, September 26, 2015

GAMBAR ATAU CERITA?


Terdapat beberapa jenis buku untuk kanak-kanak. Penulis dan pelukis buku kanak-kanak harus faham betul-betul hal ini. Ada buku kad, buku bermuzik, buku berstiker, buku kolaj, buku poster dan sebagainya.


Saya sentuh dua hal ini dulu:
1. Buku Bergambar untuk Kanak-kanak
2. Buku Bercerita untuk Kanak-kanak



Sangat MUDAH menulis buku kanak-kanak. Ayat pendek.
Cepat siap dan permintaan tinggi tapi ada PERATURAN KETAT.


Buku Bergambar - mengandungi banyak gambar-gambar menarik, berwarna-warni dan kurang tulisan. Kadang-kadang satu muka surat penuh dengan gambar sahaja. Hanya sebaris sahaja t ulisan.



Buku Bercerita - mengandungi banyak teks, kurang gambar. Teksnya pula sesuai dengan usia kanak-kanak. Tidak ada perkataan imbuhan, tidak ada tulisan yang berdialog panjang.

Jika ada soalan, nyatakan di ruang komen ya.

* Gambar ini sebahagian contoh buku untuk kanak-kanak dari seluruh dunia. Saya snap ketika menghadiri Bologna Childrens Book Fair, April 2015, Bologna, Itali.

ANTOLOGI


Meletakkan nama kita pada kulit buku di rak bukan satu kerja mudah. Apalagi saban hari banyak buku baru muncul dengan pelbagai nama penulis..
Jikalau kita belum mampu menghasilkan buku sendiri atas nama sendiri, saya nasihatkan supaya bergabung dahulu dengan orang lain (penulis bersama/antologi).
* Apa yang penting nama kita sudah ada di rak. 
* Popularkan dulu nama kita dengan dua tiga buku.
* Kemudian baru fokus untuk buku atas nama sendiri.

Friday, September 25, 2015

CERPEN YANG BAGUS

Antara kriteria cerpen yang bagus ialah:

1. Bahasa yang baik.
2. Plot (jalan cerita) yang mantap
3. Watak dan perwatakan yang kukuh
4. Dialog yang `melawan'
5. Penutup yang luar jangkaan

Terkini saya sedang membaca dan membuat penilaian beratus manuskrip cerpen untuk pertandingan cerpen anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan. Pelajar yang menyertainya ialah dari Tingkatan 4 dan 5 seluruh negeri Selangor.

Tidak memeranjatkan! Mereka boleh menghasilkan cerpen yang baik dan mengandungi ciri-ciri sebuah cerpen yang mantap. Walaupun temanya klise mengenai kemiskinan namun ada yang tampil dengan idea yang luar biasa.

Meskipun kebanyakannya mempunyai masalah naratif yang panjang dan dialog yang `tidak melawan' namun saya seronok membacanya.
Ingat, mereka baru berusia 16 dan 17 tahun!

* Jika ada kemusykilan mengenai cerpen, tulis di ruang komen.

Tuesday, September 15, 2015

BOOK2U

Satu inovasi dalam pengedaran dan promosi buku-buku terbitan Grup Buku Karangkraf akan bermula dengan siapnya sebuah lori bergerak yang dinamakan BOOK2U.
InsyaAllah selepas ini akan ada beberapa buah lagi lori sebegini yang sedang dalam peringkat pengubahsuaian.


 BOOK2U akan sampai ke sekolah-sekolah, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, pameran buku, di pejabat, kilang, ke premis anda - ke mana sahaja kami dijemput.


Apa komen... Anda suka?
* Model hari ini menggayakan pakaian yang dinamakan Baju Kurung moden berlukisan batik Terengganu daripada kain crepe



Projek Alternatif


Daripada facebook Cik Puan Rahmah, saya kongsi teks dan gambar ini.
Semalam ada sesi bincang santai di foodcourt.
Rezeki, saya mewakili Nuun Creative Books ke sini.


Pertama kali bersua dengan rakan-rakan seangkatan yang selalunya hanya ditemui dalam FB.
Cerita hal-hal penerbitan alternatif dan belajar etika penerbitan secara tidak langsung dengan Puan Sri Diah Shaharuddin.
Salam perkenalan, Tuan Azlan Ismail dan team!




Buku Kedua



Izman Pauzi bertanya: Berapa lamakah tempoh untuk seorang penulis menghantar manuskrip baharu setelah karya pertamanya diterbitkan bagi syarikat penerbitan yang sama?

Jawapan saya:
1. Apabila penulis sudah menghantar manuskrip pertama kepada Editor dan pihak penerbit sudah setuju untuk terbitkan, penulis sudah boleh meneruskan menyambung manuskrip kedua - yang selama ini ditinggal sementara untuk memberi fokus kepada manuskrip pertama.

2. Apabila manuskrip pertama SUDAH TERBIT - ambil tempoh sekurangnya enam bulan sebelum menghantar manuskrip baru.

3. Ini kerana pihak editor dan penerbit sedang memberi fokus promosi dan pemasaran. Penerbit juga sedang melaksanakan kempen jualan terhadap buku pertama itu.

Jika tempoh buku pertama dan kedua sangat rapat, ia akan memberi kesan buruk terhadap buku pertama. Maksudnya buku pertama tidak luas lagi jualannya, sudah terbit buku kedua.

* Melainkan buku pertama dan buku kedua mesti dikeluarkan dalam waktu dekat kerana sekuelnya - ini kes lain.

Sri Diah (Edt)


Pekerjaan sebagai Editor adalah satu bidang tugas profesional. Ia sama seperti tugas doktor yang ada gelaran (Dr) pada pangkal nama atau Insinyur (Ir).
Terbaharu: Persatuan Editor Malaysia (PEM) telah menyelesaikan pembangunan latihan Editorial Tahap 1 hingga Tahap 5 (tahap 4 sedang dikaji). Perkara ini perlu dilihat serius kerana kebanyakan editor tidak mendapat pendidikan formal bidang editorial sebelum menjawat tugas editor di organisasi penerbitan.
Setakat ini belum ada latihan untuk profesion editor di Malaysia dengan melalui proses pensijilan profesional yang teratur.
Piihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah diputuskan sebagai pusat akademi mengendalikan latihan dan memberi pentauliahan kepada Editor. Pentauliahan ini akan melayakkan Editor menerima gelaran (mungkin Edt) di hujung nama.
Contohnya: Sri Diah Shahaharuddin (Edt) - cadangan.

Monday, September 14, 2015

Hakcipta Penulis

Saya ingin menjawab soalan mengenai hakcipta:
Thanusya bertanya:
Salam sejahtera. Boleh akak jelaskan mengenai hak cipta? Khususnya, mengenai karya edisi terhad. Adakah Edisi terhad bermakna tiada cetakan lagi?
Kalau sebuah buku itu dicetak dan pada bahagian hak cipta tertulis cetakan pertama, adakah buku itu akan dicetak lagi?
Kalau penulis buku tak terima surat atau kontrak penerbitan tetapi hanya telah menandatangani surat pengesahan penerbitan, macam mana?

Jawapan saya:
Setiap penerbit berbeza dengan penerbit yang lain. Bukan sahaja berbeza daripada hal inhouse editorial, berbeza juga dalam sistem pentadbiran dan berbeza juga hala tuju syarikat masing-masing.
Namun secara umumnya hakcipta masih tertakluk kepada undang-undang hakcipta dan semua pihak (penulis, penerbit dan pencetak) dilindungi. (Sila rujuk buku tulisan Puan Nisah Haron: Penulis dan Undang-Undang Hakcipta)
Mengenai karya edisi terhad - ia tetap tertakluk kepada akta hakcipta penuils. Penulis asal tetap mempunyai hak penuh terhadap karyanya itu.
Edisi terhad kemungkinan akan diterbitkan lagi dan lagi jika buku berkenaan sudah habis dan semakin ada permintaan. Penerbit akan mencetak lagi dan lagi.
Fungsi edisi terhad ada ketikanya untuk menguji pasaran. Atau diterbitkan 100 naskhah dahulu untuk keperluan masa itu tetapi akan diterbitkan lagi jika ada permintaan.
Kontrak penerbitan - perjanjian penerbitan mesti ditandatangani oleh penulis sebelum karya diterbitkan.

Sunday, September 13, 2015

Novel Cinta?

Hari ini saya menjawab pertanyaan ini:
Siti Zulaihah Abd Karim bertanya:
nak tanya kak sri diah... trend skrg kan semua suka novel cinta.. adakah bermakna penulis perlu masukkan juga unsur cinta untuk menarik pembaca? kadang2 terfikir, kalau tak letak unsur cinta mungkin buku tak laku
* Paling utama saya nak tegur ialah gaya tulisan Siti Zulaihah. Saya nasihatkan supaya menulis dengan ejaan yang betul. Perhatikan penggunaan tanda dan simbol yang digunakan. Banyak yang salah. Menulis dengan ejaan dan tanda yang betul sebenarnya melatih kita menghasilkan tulisan yang bagus.



Jawapan saya:
Memang trend sekarang kebanyakan pembaca suka membaca novel cinta namun tidak bermakna genre lain tidak laris. Penulis boleh menulis genre cinta tetapi mestilah kisah cinta yang ada maruah. Cinta yang jujur bertangungjawab dan tidak memperlekeh orang lain. Pendek kata, cinta yang tidak klise atau murahan.
Genre cinta tidak semestinya disampaikan dalam bahasa slanga atau menggunakan bahasa orang muda dan campur aduk bahasa Melayu dan Inggeris.
Penulis boleh masukkan adengan cinta dalam novel tetapi ia bukan 70 peratus daripada keseluruhan isi cerita. Jadikan kisah cinta sebagai pencetus untuk plot berkembang dan watak-watak menjadi terinspirasi untuk menggerakkan cerita.
Untuk buku menjadi laris, ada banyak resipinya. Paling penting ialah isi yang bagus, promosi yang aktif, hubungan baik penulis dan pembaca dan banyak lagi perkara lain.

Saturday, September 12, 2015

Edit Manuskrip

NASIHAT |
Apabila Tim Editorial meminta manuskrip dibaiki, bukan bermakna karya itu ditolak. Editor meminta tulisan diibaiki dengan beberapa alasan munasabah. Mungkin:
- Manuskrip itu hebat dan tidak sesuai dengan rumah penerbitan itu.
- Manuskrip itu biasa-biasa saja. Mohon dibaiki. Diberi nilai tambah. Mantapkan mana isi penting yang longgar. Teliti semula fokus penulisan. Sasarkan arah tuju penerbitan itu. Fikirkan strategi jangka masa panjang ke atas karya itu.
- Manuskrip itu tidak mahu diterbitkan kerana bimbang akan memberi kesan buruk kepada penerbit, pencetak, pengedar dan pembeli. Penerbit tidak mahu terbabit dengan impak negatif dan kontroversi.
- Manuskrip itu memang tidak layak diterbitkan kerana akan membawa rugi kepada penerbit. Mungkin juga tidak berkualiti.
* Saya perhatikan ramai yang meroyan dengan status yang macam-macam apabila Editor tidak menerima karya mereka. Padahal yang sebenarnya ialah - Editor suruh baiki. Ketatkan mana yang longgar. Tambah lagi beberapa point penting dan lain-lain lagi
.

Mengenai sebahagian tugas editor di sini :

Friday, September 11, 2015

Emosi dan Nafsu



heart emoticon Emosi mengatakan buku yang kita baca itu bagus atas dasar ilmunya yang mantap, watak yang berakhlak, bahasa yang baik, plot yang cerdik dan kesudahan yang cukup sempurna.

heart emoticon Nafsu mengatakan perempuan itu cantik atas dasar rupanya. 
heart emoticon Akal mengatakan perempuan itu cantik atas dasar ilmu dan kepintarannya.
heart emoticon Hati mengatakan perempuan itu cantik atas dasar akhlaknya.

* Gambar cantik karya jurufoto Indonesia, Genta Gunadi. Mantap!

Panduan Menulis


PANDUAN | Segalanya bermula dengan suka membaca terutama karya pengarang hebat. Saya kenyang jika pembacaan saya sempurna dan boleh lena tidur jika puas dengan hasil bacaan smile emoticon

- Saya meletak garisan merah pada setiap ayat yang saya suka.
- Saya menanda bulatan merah pada setiap kata kunci (point penting) untuk sambungan ayat seterusnya.

Point itu penting sebagai satu loncatan ke mana dan bagaimana ayat seterusnya mesti disambung. Perkara ini selalu ditemui dalam karya pengarang besar.

Contohnya apabila penulis menulis:

Dua mata hitam adalah matahati yang biru
dua mata hitam sangat kenal bahasa *rindu.

* Rindu bukanlah milik perempuan melulu
dan keduanya sama tahu, dan keduanya tanpa malu.

>>> Kata kunci di sini ialah RINDU (rindu baris kedua itu menjadi ayat baru bagi paragraph baru. Perkataan *rindu diulang lagi)

- Ayat di atas adalah petikan puisi karya: Sutardji Calzoum Bachr

AMARAN KERAS:
Jangan tiru bulat-bulat! Oleh kerana kesedapan ayat dan pilihan kata-kata, ramai yang terpengaruh dan menyalinnya dalam karya sendiri. Itu namanya meniru. Ini silap besar!

Boleh ambil idea yang saya sarankan, tetapi mestilah menggunakan ayat sendiri.

Puisi Kontot

Ini adalah lakaran sebuah cerpen yang tersiar di Majalah Mingguan Wanita. 
Bagi sesebuah karya fiksyen (cerpen terutamanya) lakaran ini banyak membantu pembaca menghayati cerpen yang dibaca.
Lakaran ini biasanya dibuat oleh in-house artis. Konsepnya ialah potret (bukan karikatur). Imej sebegitu amat sesuai, apalagi untuk majalah yang khusus untuk orang perempuan membacanya.
Heheh... cuba perhatikan lakaran illustrasinya wanita yang bertudung itu mirip muka siapa?
* Cerpen yang tersiar di Majalah Mingguan Wanita minggu ini ialah hasil karya Asmah Hashim.
Saya mengindahkan gambar ini dengan serangkap puitot (puisi kontot) saya yang terzahir sepontan. Salam hujung minggu buat semua.


Monday, September 7, 2015

Melipat Jarak - Sapardi


Usai membaca Novel Hujan Bulan Juni
Kini menanti Sepilihan Sajak Melipat Jarak
- Karya terbaharu Sapardi Djoko Damono (baru terbit)

Terima kasih Bos Hasri Hassan dari Kota Buku
Bawa pulang dari Pesta Buku Indonesia

Semenjak awal penulisan lebih 30 tahun lalu, saya memang sangat terbiasa malah terpengaruh dengan karya dari Indonesia. Satu-satunya kedai yang menjual banyak buku Indonesia di KL ialah di Pustaka Antara, Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Saya pesan di kaunter. Mereka order melalui pos. Memakan masa yang lama waktu itu - hampir sebulan baru saya dapat buku yang saya mahu. Minat saya waktu itu antaranya karya Pipiet Senja, Marga T, Mira W, La Rose, Motinggo Busye dll

Sunday, September 6, 2015

Karya Salvador Dali

Saya menghadiri pemukiman dua hari satu malam di Pullman Bangsar, KL untuk sesi bersama Majlis Pentadbir Malaysia Press Institute (MPI) yang membincangakan mengenai katergori hadiah-hadiah kewartawanan termasauk Anugerah Kajai dan penajaan Petronas untuk tahun-tahun akan datang.

Dan tidak menyangkan di Level 6, Pullman Bangsar itu saya temui karya pelukis satira dan berani, Salvador Dali yang terkenal seluruh dunia itu. Cuba anda t afsir yang beliau fikirkan ketika menghasilkan karya ini..

Apakah kita selalu terperangkap antara pandangan mata kasar dan mata batin? 
Mungkin apa yang dipandang belum tentu itu rupa sebenar... 


Malam ini ada mata yang memandang
Dan jiwaku terbang!

Abd Latip Talib Penulis Buku Sejarah Islam

Jadi kenangan sungguh gambar ini - saya bersama Penulis Prolifik Abdul Latip Talilb yang menulis genre sejarah dan pahlawan Islam. Gambar ini ketika kami hadir dalam satu majlis anjuran Kedai Buku Popular. Komen-komen pada gambar ini sangat mengusik nostalgiia.

Kami berkenalan sejak tahun 1984 rasanya. Seingat saya waktu itu beliau belum lagi menulis buku-buku sejarah tentang ketokohan pahlawan Islam. Ketika itu beliau banyak menulis cerpen dan novel dan baru berjinak-jinak menulis novel sejarah.

Beliau mahu menerbitkan buku-buku sejarahnya bersama Karangkraf namun ketika itu Karangkraf belum lagi membuka genre buku sejarah. Lalu saya cadangkan beliau menghantar manuskrip itu keapda pihak PTS. Ya, pihak berkenaan menerimanya!

Semenjak itulah beliau terus menulis bersama PTS dan karyanya kini sudah sangat terkenal ke seluruh dunia kerana ada antara judul karnya beliau sudah diterjemah kepada bahasa asing. Tahniah !



* Tetapi sekarang Pak Latip sudah ramai kekasih baru 

Thursday, September 3, 2015

Provokasi



Berhenti provokasi hal orang lain. Berhenti bercakap buruk orang lain. Jangan jebak orang lain dalam idea dan fikiran kita yang mungkin betul pada kita tetapi tidak diterima orang lain. 

Reset dan perbaiki diri sendiri. Tambah ilmu. Cabar id, ego dan super ego kita supaya sentiasa menjadi gelas yang tidak penuh-penuh.

* Rumah Almarhum Buya Hamka dan pemandangan indah Tasik Maninjau, tetap manis dalam kenangan! AlFatihah untuk rohmu semoga damai sejahtera di negara abadi.

Monday, August 31, 2015

Salam Merdeka Malaysiaku



Minda saya sempena sambutan kemerdekaan yang ke - 58 ini 
- Ya kuasa dalam tangan kita tetapi untuk mencipta kacau bilau bukanlah jalan terbaik. 
Saya tak mahu Kuala Lumpur menjadi Dataran Tel Aviv pada 31 Ogos. 
Opss... politik sikit!

Thursday, August 27, 2015

Rukun Persahabatan

Saya selalu percaya seseorang penulis itu tidak boleh hidup sendiri-sendiri dengan karyanya. Dia harus keluar. Dia harus berkongsi masa dan rasa dengan orang lain (penulis lain).

Seseorang penulis itu harus keluar daripada kepompongnya. Penulsi harus bersama dengan masyarakat. Harus hidup dalam denyut nadi masyarakat dan itulah harta kekayaan baginya yang ditafsirkan kemudiannya nanti dalam bentuk kata-katanya.


* Bersahabat dengan Bonda Nor, 
penulis buku Pujuklah Hati, 
saya mendapat ilmu yang lain. 
Antaranya ialah - Rukun persahabatan! 

Wednesday, August 26, 2015

Jenis Ketakutan



Ada beberapa jenis ketakutan yang selalu melanda perasaan seseorang penulis. Lelaki, perempuan, tua atau muda sama saja!

1. Bagi penulis baru - Takut kerana kita biasa-biasa saja
2. Bagi penulis sudah berkarya - Takut kerana ada penulis lain yang hebat
3. Bagi penulis yang sedia hebat - Takut kehebatan kita tidak sehebat mana kerana agak payah untuk mengekalkan status kehebatan kita
Jangan selalu berprasangka karya kita tidak bagus. Anggap setiap kali berkarya itu sebagai satu eksperimen dan akan sentiasa membaiki tulisan hari demi hari hingga menjadi sangat bagus!
Ayuh pelihara ehsan kita - Atib dan Ratib - ialah wartawan sepanjang masa di sisi kita dalam jaga dan lena.

Monday, August 24, 2015

Lily Itu Aku

Untuk hari ini... ada sedikti rasa yang rengsa!

Thursday, August 20, 2015

Tiada Kaki dan Tiada Tangan Kiri!

Saya bermasalah sedikit hendak menyarung kasut ketika keluar dari rumah.  Nak sarung kasut yang mana? Kasut tumit tinggi? Kasut tumit rendah? Melihat foto ini, saya gigit bibir! Ada insan yang langsung tidak ada kaki untuk menyarung kasut!


* Semasa kecil dulu, abah belikan kasut sekolah kami dengan menjengkal tapak kaki untuk tahu saiz kasut.. Kemudian upgrade sikit, guna tali rafia. Abah-abah sekarang macamana?

Kredit foto dan teks: Tuan Tuah Johari Atan
Walau pun dia seorang kanak kanak
cacat anggota tapi dia masih
mampu memberikan senyuman
penuh bertenaga!
Allah itu Maha Mendengar
lagi Maha Mengetahui
Subhanallah

Baiklah saya mahu menulis mengenai sahabat saya Tuan Tuah Johari Atan. Beliau adealah seorang insan kurang upaya (OKU). Beliau tidak mempunyai kedua belah kaki. Dan tangan kirinya hanya ada separas siku sahaja!

Namun beliau bukan sembarangan dan tidak pernah menjadikan kekurangannya itu sebagai halangan untuk dia terus sukses dalam kerjayanya. Beliau adalah seorang PEGUAM lulusan Universiti Malaya. Kini beliau diberi tanggungjawab oleh kerajaan menganggotai satu agensi bagi membantu golongan kurang upaya. Hebat!


Pertemuan bersejarah bersama Tuan Tuah Johari Atan, seorang peguam hebat dan pejuang kepentingan OKU. Semoga semangat dan kecekalan beliau akan menyerap ke dalam diri insan kurang bernasib baik yang lain. Saya bersama dalam sesi motivasi di sebuah sekolah di Melaka..

tuan Tuah bersama suami saya, Ahmad Saabun.


Gajet Sosial

Zaman awal saya aktif berblog pada tahun 80-an, waktu itu facebook dan lalin-lain media sosial belum wujud. handphone pun hanya yang manual sahaja. tidak ada handphone canggih. Ketika itu sangat aktif menulis novel demi novel.

Kini dengan ledakan dunia internet, gajet sosial yang pelbagai dan genre penulisan yang pelbagai bentuk, masa saya sudah tidak fokus.

Sekejap mahu tengok FACEBOOK PERIBADI
Kemudian mahu tengok FACEBOOK PAGE pembaca/peminat
Selepas itu mahu berkomunikasi di INSTAGRAM
Sesekali mahu tengok TWITTER - memilih untuk tidak aktif
Kemudian mahu menulis sesuatu di BLOG
Mahu SMS juga dan mahu WHATSUP juga

Lihat. Masa saya (masa kita juga) sudah menjadi semakin sikit.
Kerja pula semakin banyak. Kerja pejabat dan kerja kreatif juga.

Okay.... sudah OGOS. Dan saya masih berhutang janji dengan penerbit (ITBM) Aduhhh...!


Tuesday, August 18, 2015

Saya Terharu!



Daripada penulis Haiza Najwa:: What's in the eyes normally reflect our inner beauty [if we have any, kui kui] But I tell you, this photo is the testimony of her steadfast youth and yes, it somewhat belies her age. 

Love has a great impact on a person, and beautiful marriage has a lot to contribute in developing a great mind. A remedy and tips to keep us forever young hi hi like emoticon Wish to rejuvenate? Ask the person in the photo



Usia bukan pembohongan pada mata
ia adalah pecahan sedar
dan gerak bibir yang bergetar
cerita yang menyimpan rahasia
~ Sri Diah
16 Ogos 2014



 wink emoticon