Thursday, September 30, 2004

MENGUNDANG MASALAH?
ADA dikalangan ibu bapa yang sudah menentukan hala tuju anak-anak sejak mereka masih kecil lagi. Ibu bapa telah mengatur strategi anak-anak dengan memasukkan mereka dalam kelas-kelas tertentu. Tujuannya hanya satu iaitu supaya hala tuju anak-anak akan lebih terarah. Ini termasuk juga dalam bidang akademik dan juga ko korikulum. Namun buat masa ini bagi saya dan suami, kami memberi kebebasan kepada anak-anak untuk memilih bidang yang mereka minat. Teorinya, mereka akan lebih berjaya dalam sesuatu bidang jika itu yang mereka lebih minat.

Jadi yang sulung memilih untuk menjadi Kadet Bomba & Penyelamat. Lengkaplah segalanya dengan uniform, baret, boot dan segala aneka. Latihan di Balai Bomba ialah dua kali seminggu. Manakala yang kedua memilih pasukan Pengakap. Pun sama, mesti lengkap beruniform dan memakai seragam ini ke sekolah pada setiap Rabu. Kos kedua-dua set uniform ini hampir RM500.

Kawan-kawan berkata, kenapa tak suruh yang perempuan itu masuk taekwando, judo, silat dan lain-lain lagi yang boleh mempertahankan dirinya jika diancam bahaya? Alasan saya, seperti di atas itulah. Tentang ancaman bahaya ni, susah kita nak tanggap. Beberapa kes rogol dan bunuh tetap berlaku juga walaupun si mangsa mempunyai tali pinggang hitam. Surat khabar hari ini juga melaporkan tentang kematian seorang pensyarah meskipun beliau mempunyai tali pinggang hitam. Tetapi ialah... ajal maut hanya Allah yang tahu. Yang penting kita jangan mencari masalah. Jangan terjebak. Mengundang masalah akan menjebak kita dalam bahaya.

Wednesday, September 29, 2004

HUJAN DI KL & SA
SUDAH awal pagi tetapi hujan masih belum berhenti. Kesejukan membuatkan rasa malas hendak bangkit dari katil semakin menebal. Tetapi demi tugas dipaksa juga bingkas bangun memulakan hari. Jalanraya basah, air naik, air bertakung, lopak-lopak pun penuh dengan air. Sepanjang Lebuhraya KESAS hujan masih turun mencurah. Kami pengguna jalanraya yang berkereta, menyabung nyawa dengan lori kontena, lori 12 tayar dan lori-lori besar yang dipandu laju, amat berbahaya dalam keadaan samar-samar jalan dek kabus tebal. Waktu transisi antara subuh dan terbit fajar memang membahayakan.

Dekat Hicom Shah Alam, saya perhatikan lubang yang dikorek oleh Jabatan Bekalan Air dan Saliran, Telekon dan TNB semalam untuk membesarkan jalan sudah rata, penuh dengan air. Itu bagi saya yang tahu, tetapi bagi driver yang tak tahu di situ ada lubang? Memang ada dua kereta yang terbolos di situ! Perjalanan memanglah seperti dalam perlumbaan powerboat peringkat amatur dengan air yang bertakung di mana-mana tempat yang rendah. Di sini saya nak minta maaf pada mat-mat motor yang terpercik air ke pakaian mereka. Saya tengok ada yang dah basah lencun. Macamanalah mereka di tempat kerja nanti?

Tuesday, September 28, 2004

RADIO
SAYA hanya mendengar radio ketika di dalam kereta sahaja. 45 minit pagi ketika ke pejabat dan 45 minit lagi waktu balik, atau kebetulan keluar pejabat waktu di antaranya, masa itulah saya mendengar radio. Ada banyak stesen pilihan, sesekali seronok juga mendengar celoteh Simon di Light & Easy. Atau mendengar lawak Halim & Khairil di Era dan juga tekan ke RMKL mendengar garau suara Haji Manan Selamat & Sahabat RMKLnya.

Memandangkan kebanyakan siaran berpusat di KL, kebanyakan panduan jalan raya yang diberikan tak releven dengan pemanduan saya yang menghala ke Shah Alam diwaktu pagi. Tetapi amat berguna jika saya keluar ke KL. Ada perbezaan ketara antara stesen-stesen ini. Ada yang banyak celoteh mengarut, ada yang celoteh bermanfaat dan ada yang asyik info saja, jadi matlamat kita untuk berhibur tak tercapai. Bagaimanapun kita diberi pilihan, tak suka sini, tukar sana. Tak berkenan sana, tukar sini.

Jalan basah malam tadi. Kami sekeluarga tersangkut dalam kesesakan jalan di Jalan Tun Razak, sebaik sahaja habis makan malam di Juara Tomyam, Kampung Baru. Ada lawak yang membuatkan kami satu kereta ketawa. Siaran berita di radio RMKL menyebut tentang sikap segelintir masyarakat di Kelantan yang suka membawa masuk ayam/laga/serama dari negara jiran.

Nak dijadikan cerita, polis menemui dua ekor ayam serama dalam tempat penyimpanan barang sebuah bas ekspres. Naib baik ayam tu tak mampus. Siapa punya ayam? Semua penumpang tidak mengaku. Ayam tinggal macam nyawa ikan dalam kotak barang tu.

Amie: Tanyalah ayam tu, siapa tuannya!
Anas: Ayam mana boleh cakap, lepaskan ayam suruh ayam tu pergi kat tuannya!
Anis: Ok, suruh ayam tu tunjuk siapa tuannya!
Amie: Nak tunjuk dengan apa? Muncung? Kaki? Sabungnya?

Abah dengan mama yang duduk di kerusi depan, tumpang ketawa!

Monday, September 27, 2004

LUKAH DI KUALA
SEORANG wartawan saya baru balik dari tugasan luar. Dia membawa satu berita yang dulunya suam-suam kuku, tetapi sekarang dah hot macam nescafe panas! Si pelaku dalam kes ini ialah antara pensyarah dan para pelajar mereka. Pelajarnya tak kira yang ada rupa ataupun yang mukanya biasa-biasa saja. Moral ceritanya, dalam keadaan dunia sekarang yang semakin mendesak untuk mahukan kedudukan yang lebih tinggi berbanding pelajar lain, ada pelajar yang pendek (panjang?) akal, sanggup lakukan apa sahaja untuk lulus periksa. Dan pensyarah yang suka mengambil kesempatan pula, seperti lukah yang menganga di kuala. Dalam bilik pensyarah agak privacy itu, segalanya berkemungkinan. Duhai pensyarah insaflah. Duhai pelajar, beringat-ingatlah...!

Sunday, September 26, 2004

MENTAFSIR PERISTIWA
KATA orang-orang tua jika mata kita terkedip-kedip, maknanya akan melihat orang jauh. Begitu juga sekiranya telinga kita terngiang-ngiang, itu maknanya akan menerima perkhabaran buruk. Seorang kawan saya pernah mengalami peristiwa gelas yang dipegang terjatuh daripada genggaman. Tidak lama kemudian, dia mendapat berita bahawa emaknya telah meninggal dunia. Oh ya, semalam kedua-dua belah tangan saya gatal, membuatkan saya tergaru-garu. Kata suami kalau tangan kanan yang gatal, maknanya nak dapat duit. Kalau tangan kiri pula yang gatal maknanya akan keluar duit. Tetapi saya kedua-dua belah tangan yang gatal... Sebenarnya kita umat Islam tidak digalakkan untuk mempercayai seratus peratus tafsiran ini. Kita dikhuatiri akan dianggap syirik. Wallahuaklam...

Saturday, September 25, 2004

CEMBURU
AKU adalah roh dalam jasadnya yang dibawa ke mana-mana
Betulkah dia pelindung jiwa dan peribadiku?
Dia membebaskan aku dengan segala kehendakku
Pandai-pandailah aku mengawal diri
Dia membebaskan aku dengan segala kesukaanku
Pandai-pandailah aku menjaga peribadi
Tetapi bukan itu yang kumahu
Kuperlukan cemburunya!

Friday, September 24, 2004

TENTANG MOYANG
LUPAKAN pasal isu nyanyuk semalam. Sebenarnya sebentar tadi apabila saya search ke yahoo melihat tentang topik nyanyuk, rasa seram sejuk juga dibuatnya. Sumpah, saya tak baca habis. Baca dua artikel saja dah cepat-cepat saya klik tutup! Bukan nak lari daripada kenyataan, tapi tunggulah... artikel tu akan saya baca bila rilek-rilek nanti.

Nenek saya, moyang anak-anak saya - dia yang saya ceritakan dalam entri semasa pilihanraya dulu telah tiga hari dimasukkan ke Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), di Jalan Ipoh kerana sakit tua. Selain dah tak boleh berjalan, dia juga ada masalah jantung. Semasa dia masih di rumah, anak-anak selalu buat tak kisah saja. Kadang-kadang orang tua itu minta ambilkan apa-apa, anak-anak macam buat malas, buat tak layan saja. Ambillah juga, tapi lambat... Mereka juga lalu lalang depan orang tua itu macam biasa. Tetapi apabila dia tiada di rumah, anak-anak sibuk bertanya itu ini; Moyang makan apa agaknya di hospital? Macamana moyang nak turun katil pergi bilik air? Macamana moyang nak sembahyang atas katil? Siapa nak ambilkan minyak angin moyang...

Memang betullah kata orang; kemesraan itu kadang-kadang tidak kita rasai, hanya apabila ia telah hilang barulah kita benar-benar terasa kehadirannya.

Thursday, September 23, 2004

NYANYUK?
HARI ini beberapa insiden berlaku membuatkan saya terfikir-fikir; mula-mula saya terlupa membawa beg duit, dompet. Saya fikir benda itu ada dalam handbag. Padahal malam tadi saya teluarkan dompet itu dari beg tangan dan keluar ke 7 Eleven dalam pukul 9 malam untuk membeli sebotol sos cili, tiga tin susu F&N, roti Gardenia sebuku dan gula pasir dua kampit. Balik dari kedai saya letakkan dompet itu di atas meja. Duit belanja sekolah anak memang pun sudah siap-siap isi dalam dompet mereka malam tadi. Dan pagi tadi saya terus saja capai kunci kereta dan menuju destinasi sehari-hari.

Setelah hantar anak ke seolah saya ke tempat mengisi minyak. Saya dah biasa dengan cashier dan hanya tunjuk angka 3 (RM30) dan angkat pam. Habis isi minyak baru ke kaunter membayar duit. Tapi barulah saya sedar saya tak bawa dompet. Maknanya tak bawa juga lesen memandu. So saya berhutang dengan stesen minyak itu. (Nasib baik boleh bincang... kalau tak kena sedut semula minyak yang dah diisi!) Saya pusing balik ke rumah, ambil dompet. Sampai rumah, rupanya saya tak tutup langsung lampu, kipas, air paip di kolah! Saya tepuk dahi sekali. Cukuplah! Jangan lalai lagi lepas ini.

Sampai di Tol Awan Besar saya masuk ke lorong SmartTag macam biasa. Sekali lagi terkena! Rupanya petang semalam saya sudah kirim pada seorang staf untuk reload touch & go! Saya mengundur dan angat tangan mohon maaf pada drebar kereta lain yang memang muka sempoi semuanya.

Di pejabat? Kerani minta fail akaun yang diberi semalam sebab saya berjanji nak sign claim semuanya malam tadi dan bawa fail itu hari ini. Tapi fail itu tertinggal di rumah...! Bahaya. Saya dah dapat sindrom nyanyukkah?

Wednesday, September 22, 2004

PROFESIONAL?
SAYA selalu menghadapi situasi dimana tetamu datang tanpa dirancang. Melaksanakan situasi ini merupakan practice yang wajib dikendalikan dengan profesional walaupun yang datang itu bukan dengan cara profesional. Kadang-kadang mahu sahaja berdalih mengatakan saya sibuk, saya di luar pejabat, tidak boleh berjumpa waktu itu atau suruh saja datang hari lain. Bagaimanapun kebolehan atau kecekapan mengurus amat penting dalam kerjaya ini. Kebolehan mengurus ini sedikit sebanyak didorong oleh pengalaman dan skil kita berbicara supaya situasi tidak janggal dan kita tidak dililhat dalam keadaan tertekan dengan himpitan tugas. Ditakdirkan sikap datang tanpa temujanji ini bertembung pula dengan kesibukan yang agak luar biasa pada hari atau pada waktu tertentu. Itu yang jadinya disoal lain, dijawab lain. Nasiblah Labi...

Tuesday, September 21, 2004

GOSIP
SAYA gembira apabila pihak polis membuat sisasatan segera terhadap penyebaran e-mel dan sms layang terhadap penyanyi Siti Nurhaliza. Tapi kalau boleh janganlah kes Siti saja disiasat segera, mentang-mentang dia popular. Hendaknya kes-kes penyanyi/pelakon lain pun mestilah juga disiasat segera. Saya perhati dengan serius reaksi tiga rakan yang hadir memberi keterangan - Ku Seman, Zieman dan Abie. Mereka betul-betul hendak membersihkan keadaan dan membersihkan nama setelah ketiga-tiga nama dikaitkan dalam isi kandungan e-mail berkenaan.

Jika dulu ramai yang tuduh wartawan sengaja menyebar gosip, suka buat fitnah, mengada-adakan cerita, menyiar bahan tanpa usul periksa dan pelbagai tanggapan negatif. Tetapi kini keadaan sebaliknya apabila orang ramai sudah ada peluang untuk membuat `laporan' eksklusif sendiri lalu mereka menyiar dan menerbitkan tanpa sempadan. Orang ramai pun makin ghairah nak tau...

Monday, September 20, 2004

TETAMU
OLEH kerana Jumaat saya bercuti, saya harus datang awal pada hari Isnin. Itu bukan law, tetapi sebagai rasa tanggungjawab. Biasanya banyak kerja awal pagi yang perlu dibereskan. Terutama pada hari pertama (Isnin). Biasanya hari Isnin saya datang lebih awal daripada hari-hari biasa. Banyak urusan menanti.

Kebiasaannya hari Isninlah yang selalu berlaku kesesakan jalan yang paling teruk. Kenapa? Ada teori mengatakan hari Isnin ramai pekerja bahagian sales (saleswomen/salesman/sales person) kena report duty, ada meeting, ada presentation dan sebagainya. Mereka inilah yang memenuhkan jalan, berbanding pada hari-hari lain. Betulkah teori ini?

Okey, berbalik pada hal saya - sedang YM dengan seseorang lebih kurang pukul 10 malam tadi, tiba-tiba terdengar orang memberi salam. Siapa? Anak-anak yang sudah bersiap-siap nak tidur terjaga. Pintu pun dibuka - Mak Andak & Pak Andak datang! Jerit anak-anak. Tetamu dari jauh masuk. Borak sikit-sikit. Sambil itu makanan apa yang ada, dihidang. Selepas itu menyusun tempat tidur di ruang tamu. Borak-borak lagi... saya melayan borak tapi dalam kepala terfikir-fikir hal Isnin pagi...

Sudah pasti saya tak boleh datang awal ke pejabat! Kena siapkan sarapan untuk tetamu dulu. Kena masakkan untuk makan tengahari juga. Kemudian tinggalkan terhidang atas meja. Rumah pun kena susun/kemas bersih dulu sebelum keluar - dapur, bilik tidur, bilik air - sambil itu kena uruskan hal mereka di KL pula.

Memang betul kata orang kampung, kalau nak pergi rumah orang bekerja kena telefon dulu, buat janji, tanya bila masa boleh datang. Ini bukan kerana tuan rumah menolak kedatangan tetamu tetapi tuan rumah kena susun semula jadual harian. Rasanya bukan saya saja begitu, ramai yang lain pun sama, melainkan hal-hal urgent. Oh... selfishkah saya?

Friday, September 17, 2004

MANATAP MATAMU
TERIMA kasih semua atas ucapan ulang tahun! Terima kasih kerana anda semualah blog ini masih lagi wujud. Dan kerana itu saya masih lagi mendisiplinkan diri mencatat di sini meski dalam kesibukan harian. Terima kasih kerana rasa prihatin, rasa ambil berat dan rasa kasih itu telah menjadikan kita semua semakin akrab, meski jauh di mata tetap dekat di hati. Ia samalah dengan makna haiku yang ditulis semalam. Saban ketika saya menatap blog anda semua walau di mana anda berada bagaikan saya menatap anak mata anda, merenung keikhlasan itu dan ia menusuk, menyerap ke sanubari. Hendaknya perasaan anda begitu juga terhadap saya.

Hari ini saya di rumah kerana mengambil cuti tahunan. Memandangkan cuti tahunan masih banyak berbaki rasanya eloklah saya bercuti hari ini. Kebetulan hampir kesemua majalah edisi Oktober sudah diperingkat percetakan malah ada yang sudah memasuki pasaran. Jadi saya tidaklah begitu tertekan dengan tugas pejabat. Kini Editor Majalah sedang menyiapkan Edisi Khas Syawal pula yang akan berada di pasaran pada Ramadan nanti.

Sebenarnya ia lebih didorong oleh kesempitan waktu untuk menambah beberapa lagi bab dalam novel terbaru. Saya terpaksa menyiapkan semuanya menjelang November ini memandangkan Pesta Buku KL 2005 ialah pada April (bukan Mei seperti tahun ini). Tahun depan saya ingin lagi berada di Pesta Buku, untuk berjumpa dengan semua peminat buku, yang lama, yang baru, duduk berbual, berbincang, bergambar kenangan dan menurunkan tandatangan pada novel. My GOD, harap-harap saya sempat melaksanakan semua itu.

Maaflah saya tak boleh nak bocorkan tentang si polan yang ditulis beberapa hari lalu. Ampunkan saya kerana membuatkan anda semua membuat spekulasi dan ada yang email mengatakan tak lena tidur... Okey, sebenarnya antara nama-nama yang anda catat itu, ada nama si polan. Betul. Tapi sebab tragedi, mengapa dan punca kejadian saya tak boleh ceritakan. Sadisnya saya kenal baik dengan women behind the scene. Itulah yang saya ralatkan.

Okey, cukup dulu. Saya nak menyambung menulis novel sekarang...

Thursday, September 16, 2004

ULANG TAHUN PERTAMA

membaca blogmu
rasa dekatnya kita
merenung mata

- Kuala Lumpur

Wednesday, September 15, 2004

ALAHAI...!
SEDIH! HAMPEH! (itulah kata-kata zaman sekarang) untuk menerangkan betapa saya sedih dengan berita terbaru yang diterima semalam. Berita yang dibawa oleh wartawan saya itu sahih. Sah. Betul. Tepat. Sebabnya si polan itu sudah mengaku sendiri. Si polan itu siap dengan menangis. Air matanya menitik. Huh! Dia hero saya. Dia juga hero kebanyakan anda semua. Dia ramai peminat. Dia seorang yang terkenal. Dia lelaki. Dia seorang suami. Dia seorang ayah kepada seorang cahayamata! Susahlah nak cerita. Anda semua bacalah dalam akhbar sehari dua nanti, atau seminggu dua nanti. Dengan wartawan saya dia dah buat pengakuan... tapi wartawan itu tak sampai hati nak siarkan (saya lebihlah lagi). Si polan pun kata tunggu dulu. Dia nak tenteramkan keadaan dulu. Bila dia bagi greenlight baru boleh siarkan.

Tuesday, September 14, 2004

Cinta Bersatu

ACARA Persandingan Diraja antara Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, 30 (rupanya seperti Halim Osman DJ Era) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, 17 (so cute, cantiknya dia!) mendapat liputan meluas.

Karangkraf tidak melepaskan kesempatan ini dan akan menyiarkan gambar-gambar menarik sekitar majlis berkenaan. Gambar dari AFP yang kami langgan akan disiarkan dalam Majalah Mingguan Wanita, Majalah Remaja, Bacaria dan Nona untuk tatapan pembaca Malaysia.

Khabarnya keseluruhan majlis bersejarah ini berlangsung 14 hari 14 malam! Wah meriahnya. Rasanya inilah Wedding of The Year 2004. Harap jodoh mereka berdua berkekalan. Ada sekeping dua gambar tu saya terpandang wajah Pengiran Bendahara (bekas suami Mazuin) yang diiringi Datin Hajah Faizah.

Monday, September 13, 2004

SALAM 27 REJAB 1425
PERISTIWA Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya. Mari kita mengimbas kembali sejarah Negeri Thaibah, Bukit Tursina dan Baitul-Laham.

Sunday, September 12, 2004

BERANI MATI
RAMAI
sungguh yang berani mati akhir-akhir ini. Di peringkat antarabangsa dengan beberapa rentetan tragedi ini:

2001 - 11 September, ranapnya menara berkembar WTC New York
2002 - 12 Oktober 2002 dua buah kelab malam di Bali dibom
2003 - 5 Ogos Hotel JW Marriott dibom
2004 - 10 September Pengeboman Kedutaan Austalia di Jakarta
2005 - ?

Berani mati dalam negara/rumah kita?
Belumlah sampai ke peringkat bom, baru asap-asap saja...

Saturday, September 11, 2004

CERIA HUJUNG MINGGU
"TIADA
apa yang kerajaan ambil, tetapi banyak yang kerajaan beri pada rakyat." Ini satu komen yang saya baca dalam akhbar hari ini mengenai bajet yang dibentangkan semalam. Banyak rumusan yang boleh dibuat dan rata-ratanya kepuasan tetap ditangan rakyat. Dari elaun pak imam, guru-guru, polis, pekerja gomen, cukai buku (naik RM700!) dan cukai insurans, semuanya melegakan. (Hanya duti eksasis bagi rokok dan minuman keras sahaja yang meningkat, itupun untuk memupuk gaya hidup sihat). Ok, semoga peruntukan itu betul-betul disalur dan semua pihak mendapat manfaat dalam usaha membawa Malaysia menuju negara kelas satu. Kakitangan kerajaan dah confirm dapat bonus. Happylah mereka. Yang swasta ni camana ya?

HARI ini akan berlangsung satu lagi acara kekeluargaan bagi pekerja di Kump. Karangkraf. Seperti tahun lalu, tahun ini sekali lagi acara Sukan Keluarga akan diadakan di Stadium Matsushita di Shah Alam. Lebih kurang 2,000 pekerja bersama ahli keluarga akan berhimpun menyertai pelbagai acara menarik. Ia lebih kepada sukan rakyat dan beberapa acara balapan untuk para atlit Karangkraf.

Saya sekeluarga ahli rumah merah! Ingat lagi pada arwah Zaaba yang kematiannya saya ceritakan pada 31 Ogos lalu? Nak buat camana, tahun ini nampaknya taiko tarik tali rumah merah dah tiada... Kekuatan kami sedikit tergugat. Namun insyaAllah ahli-ahli yang tinggal akan mencuba seberapa daya untuk meraih kejayaan. Begitu juga dengan acara perbarisan. Sudah tiga tahun berturut-turut rumah merah jadi juara. Tahun ini rumah merah mesti juara lagi!

Acara berlangsung dari 10 pagi dimulakan dengan keseronokan anak-anak di kolam renang. Upacara untuk dewasa seperti tarik tali, terompah gergasi dll sukan rakyat diadakan sebelah petang. Tiga set permainan belon gergasi juga turut disewa khas. Jika anda boring tidak tahu hendak ke mana-mana petang ini, jumpa saya di Stadium Matsushita di Seksyen 26 Shah Alam.

Friday, September 10, 2004

BAJET 2005
SATU
sejarah akan dibentangkan di Parlimen petang ini. Seperti spekulasi Bajet 2004 dari tangan Perdana Menteri yang akan bersara, Bajet 2005 ini juga dilihat dengan pelbagai reaksi di tangan Perdana Menteri yang baru. Persoalannya ialah apakah langkah-langkah terbaru yang harus dan akan diperkenalkan dalam bajet kali ini?

Saya rasa yang akan ditekankan lebih ialah tentang sektor pertanian. Bagi menarik minat pelabur tempatan dan asing, bidang paling berpotensi yang akan diberikan tumpuan ialah bidang bio-teknologi yang masih di peringkat awal perkembangan. Mungkin ada good news untuk kementerian berkenaan dan memberi kesan positif kepada peladang, petani, penternak, nelayan - Felda, Felcra, Fama, LKIM dan seangkatan dengannya.

Saya juga harapkan ada bajet lebih untuk Pendidikan dan Perubatan. Saya juga berharap kerajaan menjadikan ekonomi tempatan (K-ekonomi, Industri Kecil Sederhana dll) sebagai pemacu utama. Ini kerana ekonomi dunia masih belum pulih sepenuhnya.

Apa pula yang anda harapkan?
Editor dan wartawan saya sudah tentu mengharapkan kebenaran saya untuk mereka menonton pembentangan Bajet 2005 ini dari pejabat saja. Ok...boleh, silakan masuk ke Bilik Fathy petang nanti.

Thursday, September 9, 2004

RUTIN
BERJUMPA dengan artis adalah lumrah bagi kami di syarikat penerbitan. Begitu juga jika bertemu dengan ahli politik, ahli korporat, ahli perniagaan meski anak-anak raja sekalipun. Ini antara bidang tugas. Proses ini berlaku hampir setiap hari, setiap minggu, setiap bulan selagi menjadi wartawan atau editor.

Wartawan perlukan sumber berita: (Haji Hadi Awang, Pak Lah, Tok Det, Shahrizat Jalil, DSAI, Karpal Singh, Samy Vellu, Misbun Sidek, Dr. Hamid Arsat, Dr. Ismail Thambi, Tan Sri Vincent, Tun Dr. Siti Hasmah, Dr. Noraesah, Bernard Chandran, Halim Osman, Ustaz Daud Che Ngah, Wan Zaleha Radzi, Datuk Samad Said, Siti Nurhaliza, Erra, Misha Omar, Prof Hashim Yaacob, Tok Bomoh Muda dan lain-lain lagi, pelbagai kategori.)

Begitu juga sumber berita memerlukan: (tauke syarikat suratkhabar, editor, penolong editor, wartawan, jurufoto, perekaletak, pentadbiran bahagian production, bahagian pekerja prepress, mesin operator, pekerja pengedaran, vendor, agen, mamak surat khabar dan rangkaian lainnya hinggalah suratkhabar/majalah dapat ditatap dengan apa gaya sekalipun.)

Setakat ini segala urusan berjalan mudah. Ada yang perlukan surat, ada yang mahu email, ada yang mahu faks, ada yang cukup dengan appointment menerusi telefon malah boleh juga dengan sistem pesanan ringkas sahaja. Orang selamba, kita selamba. Orang nak protokol, kita pun ikut protokol.

Kata orang Zahid AF2 sombong berlagak. Betulkah?
Shahrizat hanya baik kerana ada udang di sebalik mi. Iyakah?
Tok Bomoh kata ilmunya hebat dari si polan. Boleh percayakah?
Doktor Ismail suka tunjuk alat lucah. Eh?
Misbun memang kepala angin? Sahihkah?
Wan Zaleha Radzi letak harga tinggi? Mungkinkah?

Anda jumpa mereka sendiri, baru anda tau!

Wednesday, September 8, 2004

POLIGAMI
SEJUMLAH 75 peratus isteri yang dipoligami di Perlis hadapi tekanan. Kajian pada 2002 oleh Pensyarah Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM), Prof Madya Dr Leha @ Zaleha Muhamat berkata, kekeliruan dalam pemahaman berpoligami menjadi antara puncanya. Ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Poligami: Kefahaman Menurut Fiqh Islam" pada Wacana Poligami Menurut Perspektif Islam peringkat negeri Perlis di Kangar Selasa, beliau berkata, poligami merbahaya kepada isteri dan anak-anak jika tidak sejajar kehendak Islam. Dr Leha berkata, kajiannya juga mendapati 53.3 peratus daripada suami yang berpoligami telah berlaku tidak adil dari segi melaksanakan giliran bermalam terhadap isteri-isteri mereka.

Hakim Rayuan Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Muhamad Asri Abdullah pula ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Prosedur poligami dan kesan terhadap pembangunan keluarga dan masyarakat Islam" berkata, Islam mengharuskan poligami dengan syarat. Januari 2003 hingga Julai tahun ini, Terengganu mencatat kadar poligami tertinggi (316 kes) manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kadar terendah (59 kes). Kelantan mencatat kadar poligami tanpa kebenaran mahkamah paling tinggi (222 kes) manakala poligami dengan kebenaran di negeri itu sebanyak 101 kes.

Ada pro dan kontra tentang poligami. Yang mengikut syariat, Alhamdulillah. Kalau tidak mengikut syariat, Nauzubillah. Ada lelaki seronok buat maksiat tapi tak mahu poligami. Ada juga lelaki yang seronok beristeri lebih tapi tak nak mengaku berpoligami. Malukah?

Monday, September 6, 2004

CERITA TELUR
- DULU rewang SEKARANG katering
- DULU makanan dihidang, SEKARANG ambil sendiri
- DULU dapat telur SEKARANG gula-gula/kek/buah/saputangan dll
- DULU kenduri kahwin di rumah SEKARANG di hotel (lebih canggih kat tepi pantai)
- DULU songket/broked SEKARANG lace
- DULU lain SEKARANG lain... macam-macam lagilah

Saya nak sentuh perkara ketiga itu - telur. Dulu bunga telur dibuat dari kertas berwarna, dibentuk dan jadi tampuk terung dan digandingkan dengan lidi. Atau diikat ponjot saja, kemudian dililit ke lidi dan dicucuk ke pulut kuning. Tidak pun ke batang pisang. Sekarang dek kerana Macam Macam Ada, rekaan untuk bunga telur dah berubah.

Saya mengembalikan ingatan terhadap zaman susah, zaman hidup setinggan, ketika kami masih kecil dulu. Waktu itu emak dan abah ke majlis kenduri kahwin menaiki motor, satu-satunya kenderaan yang kami ada. Mereka pergi berdua sahaja dan sesekali membawa bersama adik bongsu. (Kami tujuh beradik semuanya). Waktu emak dan abah balik, dari jauh lagi dah terdengar bunyi motornya. Kami adik beradik lain, meluru ke pintu. Bukan menyambut abah dan emak, tapi menyambut bunga telur yang dibawa balik. Mereka dapat seorang sebiji.

Selepas Asar abah bersila di tengah rumah. Kami bertujuh mengerumuninya. Perlahan-lahan dia mengupas dua biji telur yang diperolehi tadi. Kami menanti dengan sabar. Kemudian emak datang membawa selembar benang. Siap dikupas emak memegang benang di sebelah sini, abah di sebelah sana. Mereka memotong telur itu dengan benang dan membahagikan secebis seorang kepada kami adik beradik. Lebih satu itu abah potong dua lagi, sejoreng dia punya, sejoreng mak punya. Memang tak cukup!

Ah, saya sedih mengingatkan ini. Terutama mengenang situasi hari ini bilamana telur yang dibawa balik dari majlis kahwin terbiar berhari-hari atas meja dan akhirnya dibakulsampahkan...

Friday, September 3, 2004

SI POLAN KAHWIN
RUMAH
kami betul-betul di simpang tiga yang tiada traffic light. Sibuk. Terutama di waktu puncak - pergi kerja/balik kerja, begitu jugak time budak-budak pergi sekolah/balik sekolah kebangsaan/sekolah agama, bas pun lalu lalang, lori besar pun sama, lori kecik apalah lagi. Kalau kami baring-baring di ruang tamu, rasa betul-betul macam tidur tepi highway, bergegar rasa badan kalau bas/lori besar lalu.

Adatlah di simpang, terutama musim kenduri kahwin. Sign board penunjuk arah selalu jadi mangsa. Kalau hari minggu, bangun pagi saja wah macam-macam sign board dah terpacak. Kenduri rumah si polan di lorong sini. Rumah si polan di lorong sana. Macam-macam nama, macam-macam rupa design. Siap pulak tu dgn bunga manggar. Bukan sebatang dua lidi bunga manggarnya. Pernah sekali tu satu tampuk/jambak, lengkap dengan betik mudanya sekali.

Dan yang tak bestnya kenduri dah habis berbulan (dan mungkin pengantin perempuan dah pun hamil. Kot-kot bunting pelamin) tapi sign board yang bertindan-tindan tu tak dibuang langsung. Eh, kerja kami ke saban minggu kena bersihkan semua tu? Entahlah Labi...

Thursday, September 2, 2004

KANANG ANAK LANGKAU
PAHLAWAN
negara ini menerima dua pingat keberanian tertinggi negara, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Pingat Gagah Berani (PGB). Di mana beliau sekarang? Lama sungguh tidak membaca cerita mengenainya.

Saya terjumpa buku Kanang - Cerita Seorang Pahlawan (1991) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ketika sedang menyusun rak buku. Buku tulisan Mejar (B) Maznan Noordin ini dibeli semasa jualan gudang DBP dengan harga RM2. Bagi saya alangkah ironinya - RM2 terlalu murah jika hendak dibandingkan dengan tingginya nilai buku ini dan lebih tinggi nilainya dengan nyawa yang dipertaruhkan oleh pahlawan ini.

- Kanang masuk tentera secara kebetulan.
- Sewaktu dengan Pasukan 42 Komanto Tentera British, beliau pernah menyelamatkan pegawai pemerintahnya dariapda maut walaupun pengorbanan ini tidak mendapat
- Beliau hampir ditawan oleh tentera Siliwangi sewaktu zaman konfrantasi.
- Beliau dikerah menyertai satu operasi pada hari perkahwinannya.
- Setiap kali beliau terlibat dalam pertempuran dengan musuh beliau bermimpi didatangi oleh seorang pak haji.
- Dalam Gerakan Setia 8/79 pasukannya bertempur pada Hari Gawai, hari gembira bagi masyarakat Iban.
- Bagi mengelak terkena badi, beliau terpaksa memakan otak salah seorang pengganas yang dibunuhnya.
- Dalam Gerakan Khas Setia pada wal 1980, beliau telah mendapat kecederaan parah kerana keberaniannya merempuh pertahanan musuh bagi menyelamatkan rakan-rakannya.
- Akibat kecederaannya, selama seminggu beliau tidak sedarkan diri, sebulan pula berada dalam Unit Kawalan Rapi dan setahun di wad biasa.

Kata Kanang: "Si Kanang ini merasa sudah terlalu banyak disirami kemuliaan hingga sukar pula dia bernafas di alam nyata."

Catatan:
* SP: Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa - Allahyarham Jalil Ibrahim adalah satu-satunya orang awam yang pernah dianugerahkan pingat tertinggi negara SP. Sehingga kini hanya Kanang anak Langkau telah dianugerahkan kedua-dua pingat keberanian PGB (1980) dan SP (1981)- Dianugerakan oleh Agong waktu itu - Sultan Pahang Sekarang.

Wednesday, September 1, 2004

SUKA BERTEMU DUKA
BERSELANG
beberapa minit dengan laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! kerana sambutan Kemerdekaan Malaysia yang ke 47, kami warga Karangkraf menerima berita sedih. Seorang rakan sekerja kami telah meninggal dunia di Hospital Selayang. Allahyarham Zaaba sebelum itu telah koma, kerana platletnya jatuh ke paras paling rendah. Bleeding tak henti di hidung, mata, telinga dan mulut hinggalah ke akhir hayatnya. Allahyarham Zaaba bertugas sebagai eksekutif jualan iklan, seorang yang penyabar, pemurah dengan senyuman dan mudah bekerjasama. Paling hiba apabila diberitahu anak sulungnya akan menempuh peperiksaan UPSR minggu hadapan. Dia tak henti-henti mengaji dan membaca yassin di sisi jenazah ayahnya.... Semoga arwah Zaaba di tempatkan di kalangan mereka yang beriman.