Monday, September 6, 2004

CERITA TELUR
- DULU rewang SEKARANG katering
- DULU makanan dihidang, SEKARANG ambil sendiri
- DULU dapat telur SEKARANG gula-gula/kek/buah/saputangan dll
- DULU kenduri kahwin di rumah SEKARANG di hotel (lebih canggih kat tepi pantai)
- DULU songket/broked SEKARANG lace
- DULU lain SEKARANG lain... macam-macam lagilah

Saya nak sentuh perkara ketiga itu - telur. Dulu bunga telur dibuat dari kertas berwarna, dibentuk dan jadi tampuk terung dan digandingkan dengan lidi. Atau diikat ponjot saja, kemudian dililit ke lidi dan dicucuk ke pulut kuning. Tidak pun ke batang pisang. Sekarang dek kerana Macam Macam Ada, rekaan untuk bunga telur dah berubah.

Saya mengembalikan ingatan terhadap zaman susah, zaman hidup setinggan, ketika kami masih kecil dulu. Waktu itu emak dan abah ke majlis kenduri kahwin menaiki motor, satu-satunya kenderaan yang kami ada. Mereka pergi berdua sahaja dan sesekali membawa bersama adik bongsu. (Kami tujuh beradik semuanya). Waktu emak dan abah balik, dari jauh lagi dah terdengar bunyi motornya. Kami adik beradik lain, meluru ke pintu. Bukan menyambut abah dan emak, tapi menyambut bunga telur yang dibawa balik. Mereka dapat seorang sebiji.

Selepas Asar abah bersila di tengah rumah. Kami bertujuh mengerumuninya. Perlahan-lahan dia mengupas dua biji telur yang diperolehi tadi. Kami menanti dengan sabar. Kemudian emak datang membawa selembar benang. Siap dikupas emak memegang benang di sebelah sini, abah di sebelah sana. Mereka memotong telur itu dengan benang dan membahagikan secebis seorang kepada kami adik beradik. Lebih satu itu abah potong dua lagi, sejoreng dia punya, sejoreng mak punya. Memang tak cukup!

Ah, saya sedih mengingatkan ini. Terutama mengenang situasi hari ini bilamana telur yang dibawa balik dari majlis kahwin terbiar berhari-hari atas meja dan akhirnya dibakulsampahkan...

No comments: