Tuesday, September 27, 2016

KERAS HATI

Sunguh keras hati kamu. Keras juga hati suamimu.
>>> Satu keluarga semi bandar sedang menikmati makan malam di gerai terbuka. Pengunjung ramai dan situasi agak sibuk dan bingit dalam panas malam akhir September.
Suami, isteri dan dua anak menikmati set makanan hidangan Siam. Wangi tomyam dan harum ayam bungkus daun pandan sangat menggoda selera.
Anak-anak lingkungan usia tujuh dan tiga tahun sekejap makan, sekejap bermain dan sambung makan semula.
Di satu meja lain seorang wanita pertengahan usia bertubuh kecil, duduk sendirian makan mi goreng berteman air kosong. Tertib dalam kelaparan jam 9.30 malam.
Sekejap tunduk menyuap, menguyah dan sesekali memerhati budak dua orang tadi yang berulang-alik antara meja ibu bapanya ke meja wanita ini.
Pelik. Itulah yang tersimpan di mata saya tapi belum mahu keluarkan dalam bentuk kata-kata.
Sahabat, ya benar wanita itu orang gaji. Dia pembantu rumah, orang suruhan, membasuh pakaian, menjaga anak, mendobi, tukang bersih lantai, bancuh susu, besihkan muntah dan berak anak.
12 jam kamu tinggalkan anak-anak di rumah bersamanya. Untung nasib anak-anak dalam tangan dia. 12 jam dia tanpa tidur. Namun 12 jam anak-anak dengan kamu, termasuk enam jam tidur.
Waktu siang anak-anak berkepit dengannya hingga dia hendak bersolat pun payah. Apabila dia sakit kepala atau demam, anak-anak tetap kenyang dan nyenyak tidur siang.
Mana mungkin kamu boleh pisahkan mereka walau hanya satu jam untuk duduk berasingan meja makan malam. Sebenarnya, duduk makan sekali bukan satu dosa, tidak juga menjijikkan.
Berlembut, dia juga insan. Dan perempuan tudung selebeh itu akan lebih jatuh kasih kepada anak-anak kamu.
Dia adalah kebahagiaan kamu ketika kamu bebas daripada rengek anak-anak semasa sibuk bekerja.
* Perempuan pemerhati.
Menulis sambil sebak.

No comments: