Friday, November 16, 2007

KENCING MANIS, KECEMASE…
EMAK
saya penghidap kencing manis, kini dia menjalani dialisis di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selang sepuluh hari sekali. Manakala kakak dan abang saya juga ada simptom yang sama. Jadi Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada Rabu lalu, menjadi iltizam pada diri saya bahawa saya tidak mahu mewarisi penyakit berkenaan walaupun sejarah penyakit itu sudah ada dalam keluarga saya.

Saya katakan pada diri dan keluarga bahawa makanan manis yang sedap itu adalah racun yang boleh menggugat riwayat kita. Hari emak saya dibawa ke wad kecemasan apabila badannya menjadi betul-betul lemah, tetap menjadi ingatan pahit saya dan keluarga. Dia jadi lesu, tubuhnya kurus sangat. Waktu saya sampai dia sudah terbaring di wad dengan wayar berselirat dari perutnya kekantung air sebesar plastik beras lima kilo di sisi katilnya.

Hari ini lebih 240 juta orang di seluruh dunia menghidap diabetes. Dengan kesan serius itu diabetes kini diiktiraf sebagai penyakit kronik yang melemahkan tubuh dan banyak menyebabkan kerugian. Tema Hari Diabetes Sedunia julung kali diadakan pada tahun ini ialah `Diabetes pada Kanak-kanak dan Dewasa’.

Diabetes merupakan antara penyakit paling kronik di usia kanak-kanak dan boleh berlaku pada kanak-kanak di mana-mana peringkat umur, termasuk kanak-kanak pra-sekolah dan sehinggakan kanak-kanak yang bertatih-tatih. Dan di pelbagai pelusuk dunia, insulin, satu-satunya ubat penyelamat nyawa, tidak boleh didapati ada kalanya kerana faktor-faktor membabitkan ekonomi, geografi ataupun kekurangan bekalan.

Saya membaca satu berita dalam talian semalam menyatakan ramai kanak-kanak mati kerana diabetes, khasnya di negara-negara dengan pendapatan rendah atau sederhana.

"Yang paling rapat dengan kanak-kanak, tidak kira keluarga, penjaga atau guru sekolah mungkin tidak menyedari tanda-tanda penyakit itu," kata K.S. Maniam Penolong Setiausaha Am, Persatuan Diabetes Malaysia.

Maniam berkata diabetes Type 1, yang sebelum ini dikenali sebagai diabetes juvana, meningkat sebanyak 3 peratus pada kanak-kanak setiap tahun dan di kalangan kanak-kanak pra-sekolah angkanya lebih tinggi iaitu sebanyak 5 peratus. Dalam diabetes Type 1, badan tidak dapat menghasilkan insulin dan mereka dengan diabetes ini memerlukan rawatan insulin untuk meneruskan dengan hidup.

Diabetes Type 2 merupakan diabetes jenis lazim. Dalam diabetes Type 2, sama ada tubuh tidak dapat menghasilkan insulin yang cukup ataupun sel-sel mengabaikan insulin, satu situasi yang ada kalanya dikenali sebagai rentan insulin. Diabetes Type 2 lazimnya berlaku di kalangan dewasa, lazimnya usia 45 tahun dan lebih. Diabetes bentuk ini dikawal melalui pengurangan berat badan, senaman atau ubat yang diambil melalui mulut.

Kini dianggarkan di seluruh dunia 70,000 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun menghidap diabetes Type 1 setiap tahun dan daripada 440,000 kes diabetes Type 1 di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia, lebih satu perempat berada di Asia Tenggara dan lebih daripada satu perlima di Eropah.

Diabetes Type 2 dahulunya dianggap sebagai penyakit orang dewasa. Tetapi hari ini ia meningkat pada kadar yang menakutkan di kalangan kanak-kanak dan remaja. Sejak 20 tahun yang lepas, diabetes Type 2 telah berganda di kalangan kanak-kanak di Jepun dan ia kini lebih lazim berbanding Type 1.

Bagaimana dengan anak-anak kita? Anak-anak saya memang gemarkan minuman manis. Jika makan di luar selalu dipesan pada pelayan di kedai supaya kurangkan manis. Selalunya saya menghirup dulu minuman yang tiba, jika manis disuruh tambah air kosong sedikit. Anak cepat saja memuncungkan bibir.

Kata suami, "you nak kurangkan manis minuman anak... tapi you yang banyak minum minuman manis itu. Kalau tiga anak, maknanya tiga sedutan you itu minuman manis belaka... nanti awak yang masuk wad kecemase..." Oh ya tak ya!

* Persatuan Diabetes Malaysia boleh dihubungi melalui 03-79574062 atau menerusi lamannya di www.diabetes.org.my.

No comments: