BISKUT `TUNJUK-TUNJUK'
SAYA mempunyai ruangan khas di dalam akhbar Sinar Harian. Ruangan ini dinamakan Secebis Bicara - kisahnya apa sahaja yang terdetik di hati untuk tatapan pembaca akhbar ini di Kelantan dan Terengganu. Berikut ini adalah tulisan saya untuk akhbar edisi esok. Oleh kerana ceritanya tentang hari raya, rasanya elok juga saya paparkan di sini untuk tatapan orang luar dari Kelantan dan Terengganu
BAGI saya yang amat sibuk kebelakangan ini, keinginan untuk membuat biskut raya seperti dulu-dulu, selalu sahaja terhalang. Bukan tak mahu membuat biskut dahlia, biskut samperit, atau membakar biskut mama caries ataupun membuat biskut yang sedang hangat diperkatakan, biskut my heart... yang diadaptasi daripada filem muda-mudi itu.
Kadang-kadang teringin juga merasa air tangan sendiri menguli tepung gandum untuk membuat kuih gunting atau kuih lidah buaya... hendak lebih pedas tambahkan sahaja cili, atau nak lebih manis, tambahkan gula. Tapi apakah saya boleh membuat semuanya sendiri? Siang atau malam? Atau memasaknya di hujung minggu? Ah, lupakan saja...
Kesibukan sekarang dan tuntutan hidup di bandar besar membuatkan saya terpaksa membuat keputusan untuk membeli `biskut tunjuk' sahaja! Tunjuk balang biskut dahlia, dapatlah biskutnya. Tunjuk balang biskut samperit, dapatlah biskutnya. Tunjuk balang batang buruk, dapatlah batang buruknya. Lepas itu hulurkan sahaja duitnya.
Ya hidup semakin mudah apabila ada duit. Duit telah membuatkan kita terpaksa menghakis rasa tanggungjawab memasak sendiri makanan untuk seisi keluarga. Duit juga membuatkan kita lupa pentingnya mengajar anak-anak memasak.
Jika dulu semasa kecil, emak mesti memanggil saya dekat dengannya apabila dia hendak memasak. Sambil duduk bersila, dia akan mengajar saya bagaimana mengupas bawang supaya tidak memedihkan mata sampai menangis bengkak mata.
Dia juga akan mengajar saya bagaimana cara betul memerah santan supaya santanya tidak memancut di celah-celah jari, hingga tumpah ke lantai. Bukankah itu merugikan? Dia juga akan mengajar saya bagaimana hendak memotong sayur bendi supaya tidak berlendir.
Semua itu adalah pengalaman yang amat mahal. Ia juga satu kenangan manis hingga hari ini. Buktinya saya masih lagi ingat semua petua-petua itu. Dan akan mempraktikan jika ada masa terluang di hujung minggu - memasak untuk keluarga kami.
Hari ini, lemang dan ketupat boleh dibeli sahaja daripada mana-mana pasaraya. Hatta di pasar pagi atau di pasar malam pun ada berlambak. Semuanya dalam dalam paket segera. Murah pula harganya. Ada macam-macam jenama, ada banyak bentuk dan coraknya. Malah ada juga pelbagai rasa apabila sudah banyak jenis beras digunakan. Kaedahnya senang sahaja. Beli, basuh sekali lalu dan rebus sahaja.
Kemudian apabila sudah masak dan disejukkan, siap untuk dihidang. Begitu juga untuk memasak rendang ayam atau rendang daging. Basuh ayam atau daging dan masukkan ke dalam belanga. Selepas itu curahkan sahaja dengan paket ramuan rendang yang sudah sedia siap diproses. Tak perlu pedih-pedih mata membersihkan cili padi dan bawang.
Malah kerisik pun tidak perlu bersusah payah hendak membuatnya, hingga berterabur ruang dapur dengan parutan kelapa yang disangai kemudian perlu ditumbuk untuk menghaluskannya hingga menerbitkan minyak. Sekarang, bawa saja duit ke kedai, beli sahaja kerisik yang sudah siap dipeketkan.
Apakah ini yang kita mahu warisi pada anak-anak? Mereka sudah senang, malah semakin senang sekarang. Bayangkan apabila tiba waktu susah, atau ada kepayahan menimpa, bolehkah mereka hidup sendiri? Saya tak dapat bayangkan bagaimana hidangan pagi raya nanti jika saya mogok memasak... bolehlah anak dara saya siapkan semua hidangan?
Menjelang detik itu, salam Ramadan dan Salam Aidilfitiri untuk semua.
No comments:
Post a Comment