Friday, September 2, 2005

DALAM SEDAR, AIR MATA MENITIK JUA
SEMALAM saya mohon pada bos untuk balik awal daripada waktu sepatutnya. Sampai di rumah, ambil Anas dan terus ke sekolahnya. Majlis bermakna ini mewajibkan ibu bapa turut serta untuk menyuntik semangat anak-anak dan memohon restu Allah swt semoga peperiksaan UPSR yang bermula pada Isnin depan dapat ditempuh dengan berkat.

Aturcara majlis:
- Pendaftaran ibu bapa
- Solat Maghrib berjemaah
- Bacaan Yassin
- Solat Isyak berjemaah
- Solat Hajat berjemaah (niat sujud akhir tu sendiri2 la...)
- Amanat Guru Besar
- Amanat YDP PIBG
- Amanat Guru Penyelaras UPSR
- Pelajar Memohon Restu
- Upacara simbolik

Dalam senarai acara ini saya tersentuh dengan slot Pelajar Memohon Restu. Sebak pula bila tengok Anas yang mewakili rakan-rakan lain memohon restu ibu dan bapa, serta guru-guru agar hajat mereka untuk mendapat kejayaan cemerlang (5A) akan tercapai.

Antara lain ucapan Anas, "... pada hari peperiksaan nanti, guru-guru, ibu dan bapa tidak dapat mengiringi kami dalam dewan peperiksaan, tetapi kami mohon, dampingilah kami dengan doa dan restu agar hati kami terang dan dipermudahkan untuk menjawab soalan-soalan..."

Satu lagi slot menarik ialah pada akhir majlis, pelajar beratur mengikut kelas masing-masing dan guru kelas akan menyuap pulut kuning dengan rendang daging ke mulut anak-anak. Memang simbolik, air tangan seorang guru yang saban hari mengajar mereka, kini mengalir dalam darah daging anak-anak.... terus menjadi bekal semangat untuk mereka menempuh peperiksaan nanti.

Malam tadi saya renung air muka Anas yang lena tidur. Apalagi yang mampu seorang emak harapkan pada anak-anak, melainkan kejayaan mengiringinya atas penat lelah dan usaha gigihnya selama ini...

No comments: