Thursday, October 20, 2005

TAKZIAH DARI HATI
Sampaikan Takziah Untuk PM



SAYA tidak pernah menjangka pertemuan pada 24 April 2004 di kediaman rasmi Perdana Menteri telah arwah simpan dalam fikirannya dan apabila bertemu lagi dua kali selepas itu arwah masih mengenali saya. Mungkin juga kerana Puan Leela Ali, daripada Yayasan Budi Penyayang yang juga merangkap pembantu peribadinya membisik perlahan ke telinga arwah tentang pertemuan-pertemuan sebelum ini. Atau memang arwah pengingat orangnya.

Takdirnya hari ini arwah telah kembali menghadap penciptanya. Janji mereka sudah sampai ke titik akhir dan tiada apa yang boleh dilakukan lagi bagi melewatkan segala janji Allah.

Hujan renyai bumi Kuala Lumpur mengiringi kesedihan seluruh rakyat Malaysia. Hujan air mata juga tumpah perlahan-lahan, basah di mata, basah di hati. Alunan merdu ayat suci Al-Quran menyinggah ke telinga dari semua stesen radio dan televisyen, sungguh meruntun hati saya... sungguh!

"Kak Endon tak sihat, bolehlah bergerak sikit-sikit. Tak boleh aktif. Pak Lah selalu cakap, kalau tak larat buat cara tak larat. Pasal negara biar dia uruskan. Jangan risau. Dia suruh Kak Endon jaga kesihatan..." Itulah antara perbualan kami di meja makan petang hari itu di Seri Perdana.

Kemudian di majlis anjuran Majalah Seri Dewi dan Keluarga sempena Sambutan Hari IBu 2005 di Hotel Nikko, kami duduk semeja lagi. Petang itu saya amat malu nak menjamah makanan yang lazat-lazat di atas meja termasuklah nak meneguk minuman. Di saat pelayan menghidangkan makanan di piring kami, Kak Endon menolak pelawaan itu dengan sopan.

Kemudian arwah segera mengeluarkan dari beg tangannya satu kampit kecil plastik yang berisi hampir 15 pil/kapsul ubat, bermacam saiz dan warna. Ubat itu dicurahkan di atas piring kuih, piring yang sama seperti piring kami yang sudah diisi roti jala, puff dan murtabak. Dia hanya meminta air suam daripada pelayan. Kemudian satu demi satu pil/kapsul berkenaan masuk ke mulutnya. Oh My God... Saya menarik nafas panjang. Sudu dan garfu segera saya letakkan semula!

Banyak yang ingin saya tulis tentang arwah, tapi cukuplah setakat ini dulu. Sesungguhnya kematian itu pedih. Ianya amat sakit bagi yang merasainya. Ianya amat sedih bagi yang kehilangannya. Salam Takziah untuk Pak Lah, ahli keluarganya dan seluruh rakyat Malaysia yang pagi ini telah kehilangan wanita pertama negara.

Setulus AlFatihah untuk Allahyarhamah Datin Seri Endon bte Mariam.
- Kemoterapi Abraxene
- Endon, 64
- Ingin Ramadan & Syawal di Malaysia

No comments: