Saturday, June 18, 2005

MY ABAH, MY HERO
DIA Haji Shaharuddin Sulaiman, anak paling bongsu daripada sebelas beradik kesemuanya lelaki. Dia dilahirkan kembar. Bagaimanapun kembarnya, seorang perempuan meninggal ketika kecil. Saya hanya kenal enam sahaja saudara sebelah bapa kerana lima daripadanya meninggal ketika kecil. Mereka ialah Pak Teh Bakar (arwah), Pak Andak Ibrahim (arwah), Pak Lang (arwah), Pak Noh (arwah), Pak Uda Mansor dan Pakcik Shahar (arwah). Kini mereka tinggal berdua - Abah dan Pak Uda Mansor. Semasa mudanya abah ialah Jurutera Mesin, di Syarikat Atlas Ice di Sungai Besi.

Di hari istimewa ini saya mengenang dirinya sebagai lelaki yang santun, banyak senyum, lemah lembut orangnya, yang tidak pernah meninggikan suara, yang tidak pernah dilihat yang dia sedang marah, yang tidak pernah memukul sekalipun tidak pernah menjentik kami adik beradik. Dengan emak pun dia tidak pernah berkasar. Begitulah juga sikapnya dengan jiran-jiran dan saudara mara. Di mata saya tiada yang buruk tentang dirinya.

Malah apabila kami bermasalah dan memeningkan kepalanya, dia selalu menangani dengan tenang. Ketika saya dalam dilema remaja dengan pak we yang bersilih ganti, ketika kakak dan adik dengan masalah mereka, ketika abang juga bermasalah, abah tetap cool. Semua selesai cara baik. Satu yang best - jubah, ketayap dan serbannya dia basuh sendiri. Dia juga tidak cerewet makan. Lauk dan nasi diambil sendiri dari periuk. Kalau setakat telur dadar atau buat cucur bawang, dia memang terror. Cucu mintak saja, dia mesti ke dapur.

Ketika di sekolah rendah, dia sendiri mengajar kami adik beradik membaca mukadam dan al quraan hingga khatam. Ketika mengajar, ada rotan di bawah paha dia bersila, tapi tak pernah langsung dia gunakan. Sampai hari ini tugasnya di surau ialah sebagai imam, memberi syarahan agama, selalu menjadi tempat rujuk ahli madrasah hinggalah memandikan jenazah. Paling menyentuh hati - kami adik beradik perempuan dinikahnya sendiri, tidak berwakilkan wali.

Satu yang istimewa - kami lapan beradik lahir berselang bunga (tahu kan? lelaki/perempuan berselang seli) semuanya sudah selamat berkahwin. Kini Tok Din menjadi datuk kepada 19 orang cucu. Cucu-cucunya juga lahir berselang bunga!

Sebagai hadiah hari bapa untuknya tahun ini, saya sedang mengaturkan satu pertemuan dialong dengan seorang penulis yang selalu dia baca dan kumpul tulisannya - Astora Jabat! Baru-baru ini abah tanya saya apa dia nak buat dengan tulisan-tulisan penulis berkenaan yang sudah dia kumpul hampir sejengkal tingginya. Oh, sudah tentu saya akan menyusun cutting paper itu dan akan menghantar binding untuk abah!

Rak bukunya sudah penuh dengan buku dan kitab kerana hadiah saya setiap bulan untuknya ialah buku-buku agama yang mencabar mindanya. Kalau murah saya beli dua atau tiga naskah. Kalau mahal satu naskah cukup asalkan dia dapat meneruskan minatnya membaca. Buku paling akhir saya beli untuknya ialah Bahaya Islam Liberal, bulan lalu.

Tiada lelaki lain yang paling saya hormati di dunia ini melainkan dia.
Untuk abah, semoga sihat dan panjang umur!

No comments: