Tuesday, August 2, 2011

REZEKI RAMADAN & SYAWAL
MENJELANG Ramadan dan Syawal, bukan hanya tukang jahit atau pengusaha kuih-muih tidak menang tangan memenuhi tempahan, tetapi juga permintaan untuk buku mengenai agama dan kuih-muih serta lauk-pauk juga turut meningkat.

Pengurus Besar Penerbitan, Grup Buku Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin, mengakui bahawa meskipun sesetengah buku adalah kompilasi resipi kuih-muih tradisional yang sudah dikenali sejak zaman berzaman, tetapi ia masih mendapat sambutan.

“Walaupun umumnya resipi itu masih sama, tetapi permintaan terhadap buku berkenaan masih ada. Biasanya menjelang Ramadan kami akan bekerja keras memenuhi permintaan terhadap resipi biskut dan kuih muih tradisional, selain buku resipi kek dan biskut moden. Namun menjelang dua minggu sebelum Aidilfitri, pembaca akan cari buku hidangan lauk-pauk untuk rumah terbuka,” katanya.


Trend yang sama turut dipamerkan buku agama yang meskipun relevan sepanjang tahun, namun apabila menjelang Ramadan permintaan terhadapnya meningkat berkali ganda dan tidak terhad kepada isu puasa saja, sebaliknya persoalan seperti zakat dan motivasi juga meningkat jualannya.

“Sebenarnya Karangkraf sudah lama menerbitkan buku agama dan umum atas jenama Karya Bistari, namun jualannya tidak memberangsangkan. Hanya kebelakangan ini Karya Bistari adalah antara jenama dalam kumpulan media Karangkraf yang menyumbang 70 peratus keuntungan,” katanya.

Antaranya berpunca daripada penstrukturan semula jenama berkenaan, selain mengundang penulis yang bertepatan dengan konsep Karya Bistari dan disokong dengan minat membaca yang semakin meningkat di kalangan penduduk Malaysia.

“Senario ini rasanya bukan hanya berlaku di Karangkraf, sebaliknya hampir semua penerbit di Malaysia pun menyedari trend begini. Biasanya apabila menjelang Rejab, kami sudah tidak menang tangan memenuhi permintaan pembekal,” katanya.

Sri Diah turut mengakui bahawa bukan buku saja menerima tempias rezeki Ramadan, sebaliknya majalah terbitan Karangkraf juga demikian dan paling ketara ialah majalah berkaitan resipi, misalnya Rasa yang sejak Julai hingga September diterbitkan sebagai isu berganda.

“Mengendalikan majalah dan buku banyak bezanya. Majalah apabila sudah siap perlu merancang isu berikutnya, tetapi buku memiliki jangka hayat yang lama kerana buku orang simpan. Justeru pengisiannya perlu relevan sepanjang zaman,” katanya.

1 comment:

muhd.live@yahoo.com said...

Teruskan menulis dengan menyalurkan dakwah kepada masyarakat kini dilanda wabak sosial yang meruncing.