TANGAN DIHULUR, MAAF DIPOHON
ESOK adalah hari akhir bekerja. Kebanyakannya sudah pun mula berkemas. Di pejabat, berkemas meja dan save semua artikel dan juga imej dalam CD dan disimpan di tempat selamat. Di rumah, mana yang hendak pulang ke kampung halaman tentu sudah berkemas barang yang ingin di bawa balik kampung.
Hati masing-masing sudahpun sampai ke kampung walaupun jasad masih lagi di tempat kerja. Biasanya mood bekerja pun agak berkurangan ketika ini. Di atas meja sudah terlonggok beraneka balang kuih muih yang akan dibawa balik. Memang suasana bekerja sudah berganti dengan seronoknya akan berhari raya.
Di sini ramai yang sudahpun menghulurkan tangan memohon ampun dan maaf jika ada salah silap. Ini dilakukan lebih awal kerana ada yang tidak akan masuk ke pejabat esok kerana kebetulan ada assignment last minute, ada temujanji dengan client ataupun sejak dua hari kelmarin bertugas outstation.
Di saat ini hati selalu tersentuh. Hiba dan sayu. Kami akan bermaafan, berpelukan, memohon diampunkan salah silap selama ini jika ada. Lengkaplah dengan pesan memesan, berkirim salam pada sanak saudara di kampung dan tak lupa kepada emak dan bapa masing-masing. Hubungan akrab ini sudah terjalin lama. Ada yang sudah bekerja bersama-sama sejak 20 tahun lalu, malah saya sendiri pun sudah bekerja di sini lebih 18 tahun.
Antara kami saling kenal mengenal. Mereka kenal mak saya dan adik beradik saya, begitu juga saya kenal emak bapa mereka dan adik beradik mereka. Tentulah perasaan kekeluargaan itu amat erat, sakit pening semua tahu. Suka duka, semua merasai bersama.
Big bos pula akan datang ke setiap meja menghulur tangan. Inilah yang paling saya hargai. Sungguhpun dia majikan, dia tauke, dia yang membayar gaji kami, tapi bila bab begini jurang itu seperti tiada langsung. Tangannya dihulur kepada semua orang dari satu meja ke satu meja. Tak kiralah dia itu kerani, makcik tukang bersihkan pejabat, wartawan, editor, jurugambar, designer, pekerja di bahagian operasi percetakan, pemandu - semuanya!
Sikap inilah juga yang membuatkan saya kekal di sini sampai hari ini. Tidak hairanlah, pada hari raya petama, kebiasannya kediamannya akan penuh dengan staf, datang berhari raya. Bagi yang lebih muda dia umpama abang. Dia juga umpama bapa kepapda mereka yang sudah tidak mempunyai bapa.
Terima kasih Haji Hishamuddin, Haji Fickry, Encik Nasir serta seisi warga Karangkraf.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.
No comments:
Post a Comment