Friday, November 7, 2003

BAK BERJUANG DENGAN MAUT

SEMENJAK Kumpulan Karangkraf berpindah ke Shah Alam saya merupakan pengguna tetap lebuh raya KESAS. Hampir setiap pagi dan petang saya menggunakan laluan ini untuk ke pejabat dan balik ke rumah.

Lebuhraya luas, jalan bagus dan selesa. Berbaloilah membayar tol RM1.50 di Plaza Tol Awan Besar (Seri Petaling) dan satu lagi di Plaza Tol Sunway. Juga RM1.50. Ini bermakna untuk pergi dan balik kerja, saya membayar RM6.00 sehari hanya untuk tol.

Saya enjoy memerhatikan karenah pengguna lebuh raya. Lelaki dan perempuan sama saja. Ada yang kaki pecut, ada yang memandu macam jalan itu bapak dia punya dan ada yang macam tak ada mood nak bawa kenderaan, terhegeh-hegeh. Saya?

Perjalanan balik kerja siang tadi amat mencabar. Jarak penglihatan tidak begitu jelas. Kereta berderet-deret, bagaikan nak mencium bontot kereta. Suasana sekeliling gelap pekat dengan hujan lebat. Kilat sabung menyabung. Padahal jam baru pukul lima petang. Alhamdulillah, saya berjaya sampai ke rumah dengan selamatnya.

Kawan saya yang baru dapat lesen memandu ada falsafahnya tersendiri; macam berjuang dengan maut! Simbol P di cermin keretanya membuatkan dia semakin dibuli. Kesian dia. Minggu pertama bawa kereta di Kuala Lumpur, dia ditimpa demam panas setelah terbabit kemalangan. Keretanya disondol. Si kawan menelefon suami mengatakan dia kemalangan. Dia fikir suami akan mententeramkannya.

Tetapi soalan pertama suami bukan begini... "habis awak macamana? ada luka-luka? Kepala ada kena stereng tak? Ada rasa pening atau nak muntah tak?"

Sebaliknya suami tanya begini... "kereta ok? banyak ke kena ketuk? cermin pecah tak? bumper senget ke jatuh? lampu signal pecah sebelah ke dua-dua sekali?" Si kawan tak menjawab pun. Dia terus mematikan talian telefon.

No comments: