Wednesday, November 5, 2003

MISTERI SURAYA
JANGAN ADA DENDAM - SIRI 19
Baca siri 18 di http://www.mba2u.blogspot.com

DEMI suami dan anak-anak aku lupakan segala bengkak di hati. Kebiasannya beginilah. Bengkak-bengkak yang sudah membengkak sekian lama ini kudiamkan, akhirnya akan surut sendiri. Begitulah yang terjadi sejak bertahun-tahun lalu.

Tetapi terfikir juga apakah balasan atas segala kebaikanku selama ini... aku yang kerap memaafkan orang, aku yang dengan mudah boleh melupakan silap orang lain, aku yang sesenangnya memekakkan telinga pada sindiran suami dan aku yang boleh membutakan mata pada segala perlakuan yang menyakitkan hati...

Mungkin balasannya tak dapat dari segi lahirah agaknya. Alhamdulillah jika ada juga pahala untukku akhirnya.

Semasa Sutiah masih bersama kami, (bukan Saerah - nama orang gaji sendiri pun dia lupa!) dia pernah hulurkan sepucuk surat untuk suamiku kiriman dari luar negara. Kuperhatikan cop setemnya. Leeds! Aku tak akan membukanya. Itu pantang suamiku. Sebegitu juga pantang padaku jika surat-suratku dibuka terlebih dahulu oleh orang lain.

Bermula sejak suamiku balik kerja dan diperhatinya ada surat untuknya di atas meja di ruang tamu, mataku tak beralih arah. Kuperhatikan sahaja ke mana dia meletakkan surat itu setelah membacanya. Dan akhirnya apa yang ingin kuketahui, semuanya berada di hadapan mata apabila dia masuk ke bilik air. Dadaku berdebar. Surat kiriman dari Leed itu begitu peribadi isinya.

Kukutip segala nostalgia. Kuulang semula segala memori tentang Leeds, tentang bumi UK seluruhnya. Waktu itu kami berdikari. Awal pagi kami sudah keluar rumah. Suami pula meredah kesejukan pagi ke Tesco menghayun mop dan penyapu selama dua jam. Kemudian dia bergegas pula ke kampus Beckett Park untuk menyambung lagi tugas sebagai `floor manager'. Sebelum jam 9am dia mesti sampai semula ke rumah di Harehills untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

Sementara menanti petang dia menghabiskan masa di kedai al-halal Mahboob untuk menolongn membersih dan menjual ayam Atau jika ada pelajar yang meminta untuk membaiki pc dia mengambil upah. Petang tiada apa yang dia lakukan dan malamnya pula dia bergegas ke Burton untuk bertugas hinggalah jam 9 malam.

Waktu itu aku terfikir apakah antara masa senggang itu dia berbuat sesuatu hingga datangnya surat dari Leeds itu sekembalinya kami ke Kuala Lumpur semula? Okey, itu dulu. Sudahpun kulupakan meski tiada jawapan yang kuperolehi.

Tetapi kini episod itu berulang lagi. Sepucuk lagi surat dia terima tiga bulan lalu. Dan kuulangi tektik serupa. Membaca surat itu tatkala dia dibilik mandi. Dari orang yang sama dan dari isi kandungannya seolah mereka saling berbalas surat. Rindu. Sepi. Dua kata-kata ini mengisi hampir lima puluh peratus isi kandungannya.

Kenapa surat? Kenapa tidak e-mail? Itu juga menjadi persoalanku. Sejak itu hingga hari ini seluruh tumpuanku pada dia mula goyah. Suraya - nama itu berkali-kali kuulang. Siapa Suraya?


No comments: