SEDONDON DI AIDILFITRI
SAYA dan suami bercuti sehari semalam. Kami mengambil kesempatan itu membawa anak-anak membeli belah keperluan mereka untuk menyambut Aidilfitri. Saya sengaja memilih hari Isnin dengan teori bahawa hari Isnin agak lengang, orang ramai tidak berasak-asak dan mudahlah mencari pakaian dan kasut untuk anak saya bertiga itu. Teori itu betul. Kami bershopping dengan selesanya...
Ikutkan pilihan anak-anak semuanya nak yang berjenama, nak BUM, NIKE, KIKO dan entah apa-apa lagi. Fikir punya fikir kesian pulak kalau tak ikutkan. Sebab bila tiba bahagian raya ini, anak-anaklah yang meriahnya. Jadi, ambillah sehelai dua yang berjenama. Selebihnya yang tak berjenama. Kata saya, janji ada baju baru. Ingat sikit pada kawan-kawan yang malang, yang tak ada mak bapa, yang miskin.
Teringat semasa kami adik beradik masih kecil dulu, untuk anak-anak perempuan emak akan membeli satu jenis saja rekaan kain (kain kapas). Semua adik beradik perempuan akan pakai baju kurung dengan corak yang sama. Yang lelakipun dengan jenis kain dan warna yang serupa. Sedondon. Beraraklah kami seluruh kampung dengan baju raya itu.
Sekarang ini pun saya masih kekalkan tradisi itu. Contohnya saya dan anak perempuan bercorak bunga warna biru, yang lelaki akan berbaju Melayu warna biru kosong. Sudah beberapa kali raya, saya, suami dan anak-anak berpakaian sedondon di Aidilfitri. Mujur mereka semua sporting. Seronok bila banyak mata memadang dan ada kelainan jika berjalan-jalan ke rumah saudara mara. Paling bangga bila saya kata baju-baju itu saya jahit sendiri!
Ada yang teringin mencuba?
No comments:
Post a Comment