BAGAIKAN KAPAL GARAM TERBALIK...!
JANGAN ADA DENDAM - Siri 17
Sila baca siri 16 di http://mba2u.blogspot.com
DENDAM? Sahlah dia masih dendam pada rasa kasih anak-anak yang agak berlebih padaku berbanding pada dia. Dengan wajah serius dan peribadinya yang agak tidak banyak bercakap, suka menyendiri mengadap pc atau palm, anak-anak jadi jaki padanya.
"Mak, malam ni mak bangkitlah masak sahur. Lauk abah tak sedap..." Kata anak sulung.
"Saya makan sikit saja. Esoknya mesti perut lapar berkeroncong!" Tokok anak kedua.
"Syhhh, nanti abah kamu dengar. Mesti dia kecik hati," kataku perlahan, meletakkan jari telunjuk ke bibir.
"Mak, ini realiti. Perut ni tak boleh terima, masin! Sayur kangkung lembik..." sambung anak ketiga, wajahnya masam.
"Dia lupa agaknya, dia ada darah tinggi..."
"Mak, abah sabotaj kita tak?" Sahut anak keempat pula.
Aku tersenyum. Bukan anak-anak, aku juga banyak berlakon di meja makan. Walaupun lauknya masin seolah-olah kapal garam terbalik ke dalam periuk aku buat-buat makan dengan penuh selera. Sedangkan dia sendiri kulihat terkulat-kulat nak menghabiskan kari ikan temenung yang dimasaknya itu.
Budak-budak memang tak pandai menipu. Apa yang ingin dikata, akan dilafazkan tanpa memikirkan perasaan orang lain. Demi anak-anak aku rela ke dapur semula masa sahur malam nanti. Tak sampai hati rasanya melihat dia terpisat-pisat memasak. Lebih tak sampai hati... melihat anak-anak terkelip-kelip memandang hidangan di meja makan.
Tiba-tiba terkenang pada mentuaku, apakah dia sihat sekarang? Selama berpuasa ini sekalipun kami belum menjenguknya sedangkan dia sudah dua kali menelefon, mengajak berterawih di surau. Jika di kampung, tradisi bertukar-tukar juadah masih diamalkan. Kita buat cekodok pisang sahaja... tapi bila menjelang azan kuih bertambah... ada lepat ubi, ada karipap, ada talam ubi kayu! Gulai ayam masak lemak cili padi kita pun dah ada kawan... ada gulai rebung, ada rendang tok...
Tapi suamiku selalu tak betah di kampung. Paling lama sehari. Lepas itu dia sibuk nak balik KL semula!
No comments:
Post a Comment