Monday, July 5, 2004


bola ditendang
sorak bergema lagi
kenangan manis

LEMPENG KELAPA & SAMBAL SARDIN
SEWAKTU
entri ini ditulis, perlawanan akhir Portugal - Greece untuk menentukan juara bola sepak Euro 2004 belum lagi bermula. Di televisyen tengah hangat dengan iklan dan tayangan semula gol-gol yang disumbat dan yang tak tersumbat sepanjang Euro 2004 ini di Lisbon (teringat sejarah Pelabuhan Lisbon dalam subjek Sejarah). Sorry, agaknya memang betullah saya tak berapa minat bola, sikit pun tak hairan dengan keghairahan cik abang, mengadaplah dia depan televisyen sendirian.

Bagaimanapun untuk bekal cik abang menonton bola saya sudah siapkan lima keping lempeng kelapa (lemak-lemak masin dan garing tepinya) dan juga sambal sardin untuk pencicahnya. Ada air kopi dalam flask. Ada air kosong satu botol. Ada jam loceng tepi tilam.

Sebenarnya first date saya dengan cik abang ialah di Stadium Merdeka iaitu ketika final Piala Malaysia sekitar tahun 1988 lalu. Waktu itu perlawanan antara Kedah dan Kuala Lumpur (jangan lupa, saya orang Kuala Lumpur!). Punyalah nak jaga hati dia, saya ikut dia tengok bola. Kami pergi bercouple 5 pasang. Antaranya Intan Zabidin (kini Editor Dara.com), Huzz (wartawan Hiburan di Utusan Malaysia), Emma Hussin (kini di Berita Publishing, Azmi (kini di Beijing, China). Jadi semuanya sepuluh orang. Untuk memastikan sokongan pada Kedah padu, cik abang siap belanja tiket untuk kami semua supaya sokong Kedah.

Okey, sebab kena belanja kami pun duduk di kawasan penyokong Kedah. Siap dengan topi, mafla dan bendera Kedah, hijau kuning. Huzz dan Azmi (kedua-duanya orang Kedah) menjerit "Mat Sobri! Mat Sobri! Hang gelecek baguih...!" (penjaga gol Kedah). Saya tergoda juga nak menjerit "Rashid Hasan! Rashid Hassan!" Tapi sebab nak jaga hati cik abang, saya cool saja. Tetapi apabila Kuala Lumpur mendahului Kedah 1 - 0 dan game Kedah pun tak tentu arah, kami mula belot. Habis semua sokong Kuala Lumpur. Cik abang masam memoncong - malam tu Kedah kalah. Kuala Lumpur menang 2 - 1.

No comments: