Thursday, July 15, 2004

DALAM PROSES
AGAK
payah untuk menerangkan kepada Kak Zati tentang sikap emak sejak akhir-akhir ini. Walaupun Kak Zati turut berasa kecewa dengan sikap emak, namun aku terlebih lagi berasa duka kerana segala kecurangan emak berlaku dihadapan mataku.

Ini kerana yang melihat emak bergaya muda ialah mataku sendiri. Yang menghidu bau minyak wangi emak ialah hidung aku sendiri. Yang mengambilkan majalah-majalah fesyen dan pop pesanan emak ialah tanganku sendiri.

Selain daripada itu, yang kerap menerima panggilan telefon dari entah mana-mana lelaki adalah telingaku sendiri. Dan yang kerap mengemaskan meja sarapan emak adalah aku sendiri bila dia selalu tak punya waktu nak mengemas rumah, hatta bilik tidurnya sendiri!

Akulah yang paling derita sekali.
Ini yang Kak Zati tak tahu.
Ini juga yang Abang Zainol dan Adik Amri tak tahu.

Kami masih menanti kepulangan emak. Sehingga jam besar yang tersangkut di dinding ruang tamu berdenting tiga kali, emak belum juga balik. Memandangkan jarak antara Melaka dengan Kuala Lumpur bukanlah jauh sangat, kami menjangkakan tentu emak akan kembali ke rumah menjelang pagi itu.

Tetapi sehingga ke pagi, emak tidak juga muncul-muncul. Dan dia juga langsung tidak menelefon ke rumah memberitahu sama ada akan balik ke Kuala Lumpur ataupun tidak. Kami berasa bosan menunggu. Kak Zati sudah lebih sepuluh kali menguap. Aku pun sudah sakit-sakit kepala menanti kepulangan emak.

* Fragmen novel baru... belum ada judul.

No comments: