Saturday, July 10, 2004

DETIK KELAHIRAN
PAGI
tadi batuk emak semakin menjadi-jadi. Dia tak berani makan ubat batuk. Dia pun dah tak larat untuk bangun mengemas rumah. Dia dah tak larat memasak. Dia dah tak larat hendak menyiram bunga. Dia cuma ke hulu ke hilir berjalan-jalan dalam rumah. Dia menahan-nahan dada yang perit dan pinggang yang sakit. Perutnya memulas-mulas selang sepuluh minit.

Abah tiada di rumah ketika kemuncak batuk emak melantun dari kerongkongnya. Seperti selalu perlahan-lahan emak ke longkang batu di beranda rumah. Setelah puas berdiri, dia duduk mencangkung pula sambil terus melayan batuk-batuk kasarnya. Hampir lima minit dia begitu. Kemudian kata mak, tiba-tiba dia terasa ada sesuatu keluar di celah kelengkangnya. Tiba-tiba kain batiknya basah dengan darah. MasyaAllah, mak terberanak di tepi longkang di beranda!

Dan yang lahir itu adalah SAYA!
Ya, hari ini adalah hari lahir saya.

* Di sini saya nak meminta berbanyak maaf pada semua yang membaca entri saya dalam dua hari ini. Maafkan Saya... Sebenarnya saya cuba melontarkan imbasan atas apa yang emak ceritakan pada saya mengenai detik-detik kelahiran saya. Ya, saya dilahirkan di tepi longkang di kuaters pekerja kilang air batu (Atlas Ice Limited) di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur. Selang dua puluh minit kemudian ambulan datang dan membawa kami ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

Saya lahir tak cukup bulan. Saya bayi prematur. Usia saya dalam kandungan mak hanyalah 26 minggu. Mungkin sebab emak menghidap batuk yang teruk, rahimnya mudah ke bawah dan membuatkan dia bersalin lebih awal. Selama 3 bulan saya berada dalam inkubator dan diberi rawatan secukupnya. Begitulah ceritanya. Cuma hari, bulan dan tahunnya saja yang berbeza. Waktunya lebih kurang beginilah...

Kepada Ros, Angah, EP, Sis Yan, Semut, Lan, Mely, Wawa, Nadahas, Rajiah, Iansuryani dan Dr. Shah, maafkan saya kerana mempengaruhi anda semua memberi komen. Jauh di sudut hati sifat prihatin anda semua amat saya hargai. Thanks juga kepada semua pembaca.

No comments: