KEMATIAN 11
TAHUN ini sahaja saya sudah kehilangan lima orang kenalan rapat. Lumrahnya kematian orang lain selalu mengingatkan kita pada hari mati kita pula. Tak tahu bila tapi detiknya pasti tiba. Macam daun yang gugur dari pohon, tunggu sahajalah giliran kita. Mungkin cepat, mungkin lambat lagi.
Bapa saya seorang tukang mandi jenazah. Di rumah keluarga selalu ada dua set kain kapan yang lengkap dengan segala aneka keperluan (kapur barus, air mawar, sabun dll) dan diikat ponjot. Abah menyimpannya bawah katil. Selalunya tak kira siang atau malam, bila saja ada berita kematian dia akan terus membawa keperluan itu ke rumah si mati. Kemudian esoknya dia akan ganti semula set yang dia dah guna itu dengan set yang baru. Jadi set itu selalunya sentiasa ada dua. Dia juga selalunya tak sampai hati menghadiri majlis kenduri kematian. Dia selalu mengelak, ada sahaja alasannya. Apalagi jika yang meninggal itu pangkat bapa dan ada ramai anak yang ditinggalkan. Katanya buat apalah buat kenduri bagi orang makan, simpan saja duit tu buat belanja anak-anak si mati...
Saya ingin tahu - kebiasaannya apabila membuka buku alamat dan nombor telefon lalu terjumpa nama mereka yang telah tiada, apa yang anda lakukan?
- potong/liquid nama dan no. telefon itu
- buat tanda merah di hujung atau pangkalnya
- tulis "dah meninggal" "kembali ke rahmatullah" "innalillah..."
- bulatkan nama dan no. telefon itu
- tulis - dah arwah
- biarkan saja terus tercatat sebagai kenangan
No comments:
Post a Comment