MENTARI GARANG
MALAM tadi tidur agak lewat. Selepas menonton siaran langsung sambutan kemerdekaan, saya menyambung kerja yang tertunda berhari-hari. Hari ini bangun awal pagi dan melihat mentari bersinar garang di jendela. Alhamdulillah. Semoga negara terus aman dan berjaya menempa kejayaan di persada dunia. Semua ini bukan untuk siapa, tapi demi anak-anak kita dan masa depan mereka. Semoga mereka dapat memperkembangkan potensi diri dan menakluk kejayaan.
Malam tadi sambil menonton siaran langsung sambutan kemerdekaan dari bangunan KLCC, jenuhlah menjawab satu persatu pertanyaan si bongsu. Tahun ini sesuai dengan peningkatan usianya dia sudah cerdik sedikit berbanding tahun lalu. Paling kelakar bila dia bertanya;
- kenapa Amie tak boleh main bunga api tapi dia orang boleh main bunga api, besar-besar pulak tu! Meletup macam bom. Silap-silap KLCC tu runtuh...
- kenapa mesti tunggu 12 malam? Kenapa tak boleh buat awal? Orang dah mengantuk sesangat ni. Nasib baik esok cuti sekolah!
- mana Pak Lah? Dia mesti ada kat KLCC mlm ni. Kenapa Tok Det yang ada? Dia bukan PM lagi!
- mana Bob? (hehehe, tu soalan paling slumber! sebab si polan itulah yang ditunggunya sejak pukul lapan malam.)
75 peratus daripada kita adalah anak-anak selepas merdeka. Semoga dapatlah kita wariskan kecemerlangan dan keamanan dunia kepada anak cucu kita di masa mendatang. Demi mereka, haruslah kita berusaha sedaya upaya. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment