Friday, May 21, 2004

8 JAM DALAM PERANG

HARI
ini saya ingin menulis sedikit tentang minat dan tanggungjawab. Analogi paling ringkas begini; saya minat menulis tapi saya ada tanggungjawab kerja. Macamlah seorang tukang masak, dia minat memasak tapi dia diberi tanggungjawab mengira jumlah kalori setiap masakan dengan detail. Ataupun seorang tukang cat yang minat mengecat tetapi dia hanya dibolehkan mengecat hanya satu kerusi saja sehari. Padahal kalau diikutkan dia boleh mengecat 50 kerusi sehari.

Apa yang saya alami kini samalah dengan apa yang telah dilalui oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said lebih 12 tahun lalu apabila diarahkan menjadi seorang pentadbir di NST. Awal-awal lagi beliau sedar tanggungjawabnya sehariannya itu nanti akan mematikan minatnya pada sastera. Lalu beliau nekad resign. Beliau enggan jadi pentadbir. Beliau tidak mahu masanya dihabiskan dengan kerja-kerja rutin - meeting, deadline, printing, promotions, circulations, advertising, karenah staf, karenah bos, soal out-station, headline, caption, blurb, cover, fokus magazine, konsep foto dan sebagainya.

Keputusan meletak jawatan adalah kekuatan luar biasa Pak Samad. Setahun selepas itu, kami berjumpa. Saya tanya soalan yang dijawabnya dengan ketawa panjang. "Tak mengapalah Sri, saya sudah terlalu tua untuk kerja pejabat. Saya rindukan bas mini, driver teksi, Pasar Seni, Petaling Street, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan masa senggang membaca puisi di DBP."

Ya, saya juga selalu rindukan HITAM PUTIH CINTA (judul sementara) apabila setiap masa diburu kesibukan pejabat. Uuuhhh...!

No comments: