Wednesday, June 9, 2004

NALURI

MAHA SUCI ALLAH,
saya berkali-kali mengucap panjang ketika ini. Waktu sekarang hampir 1.40 dinihari, mata saya sudah mahu lena. Namun hati saya kuat mengatakan jangan tidur dulu, ada sesuatu akan berlaku...

Lalu setelah selesai membuat tambahan plot untuk novel terbaru (Hitam Putih Cinta - Judul Sementara) saya kembali melihat blog ini. Dan apa yang saya jangka terjadi... Khatijah Shukor, kawan semasa kami berusia 17 tahun muncul di tagboard! (Kami bertemu semula di Langkawi masa musim cuti lalu. Dulu kami solo dan kini masing-masing sudah beranak tiga).

Yes. Inilah antara telepati yang pernah saya tulis pada blog Pak Wattan dan saya berhutang topik ini dengan beliau, baru kali ini ditunaikan (harap-harap Pak Wattan selamat bertemu supervisor di Belgium).

Bukan kali ini saja. Sudah banyak kali seusia hidup saya perkara sebegini terjadi. Contohnya kalau saya kehilangan barang seperti kerongsang, beg duit, subang, jam tangan, kunci kereta dan sebagainya, saya jarang menggelabah tak tentu hala kerana naluri saya mengatakan barang tu ada, nanti akan jumpa juga akhirnya. Dan tak lama selepas itu saya dapat semula barang yang hilang itu.

Atau jika dijalanraya, sambil memandu hati saya berbisik sendiri seperti ada yang tak kena. Lalu saya memperlahankan kenderaan, masuk ke laluan perlahan dan tup tup di depan sana ada road block! Contoh kejadian lain; bila suami outstation saya jarang menelefon, cukup sekadar menyebut perlahan nama dia dan tak lama selepas itu dia mesti menelefon saya.

Berbalik pada kisah Khatijah, semasa menurunkan barang-barang dari kereta sewa di airport saya dan suami membahagi tugas. Saya menghantar kereta ke tempat kereta sewa dan dia menguruskan bagasi. Tetapi hati saya tergerak untuk bertukar tugas kerana mula terasa sesuatu bakal berlaku. Kami kompromi semula, biar saya yang bereskan urusan tiket dan bagasi, dia yang menghantar kereta sewa. Dan tatkala urusan bagasi itulah saya bertemu semula dengan Khatijah!

Saya berterima kasih dengan naluri yang ALLAH beri ini dan saya sama sekali tak menyalah-gunakannya. Ramai rakan yang tahu `kelebihan' telepati saya dan banyak kali mahu menggunakan `khidmat ini' tapi sebenarnya ia tak boleh dipaksa, tak boleh disuruh-suruh. Dalam apa jua keadaan ia akan hadir dengan sendiri.

Rasanya bukan saya seorang mendapat anugerah ini. Saya tahu ramai lagi yang lain, marilah kita kongsi pengalaman menarik ini.

No comments: