Tuesday, June 16, 2015

Tanda Kematian

Baru-baru ini saya terbaca mengenai kisah Imam Ghazali Rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda kematiannya sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara sendirian.
 
Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut.

Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulama adalah benar dan wjuud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini.

Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.

Tulisan ini merujuk kepada beberapa kematian yang berlaku dalam kalangan sahabat-sahabat terdekat, jiran-jiran dan kenalan jauh yang tidak pernah bersua rupa namun kita kenal melalui perkhabaran-perkhabaran tentang kebaikan mereka, kemurnian hati dan baik budi pekerti mereka.

Padahal mereka itu baru sahaja kita jumpa. Baru sahaja bertanya khabar. Kita rasa akan ada lagi peluang untuk bertemu, namun tahu-tahu sahaja kita mendapat perkhabaran si polan dan si polan telah pergi dulu. 

Kematian memisahkan kita. Perpisahan abadi itu membuatkan kita terkejut. Alangkah besarnya kuasa Tuhan. Benarlah hebatnya ujian dunia.

Ramai yang percaya kepada beberapa tanda kematian, ada juga yang menyebut `buang tebiat’ apabila sedar dengan tanda-tanda itu. Biasanya oarnag yang akan pergi dulu tidak merasainya tetapi orang keliling tahu. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT.

Kami adik beradik memang biasa dengan kematian kerana bapa saya menjalankan tanggungjawab sebagai tukang mandi jenazah dialam kariahnya. Pintu rumah kami selalu diketuk tidak kira subuh, pagi, tengahari, petang atau malam. Malahan sebagai orang lama bapa saya seperti dapat menghidu jika akan berlaku sesuatu kematian.


Dia tidak akan meninggalkan rumah. Dia payah diajak tidur di rumah anak-anak yang jauh. Dia akan memberi pelbagai alasan padahal isu kematian itulah yang mulai dia rasai tetapi tidak diberitahu kepada sesiapa.

Kami membesar dalam dunia kapur barus, sintok, air mawar, kain kapan dan segala keperluan menguruskan jenazah dan pantang bagi bapa saya – jangan bertanya tentang jenazah yang dia sudah uruskan. Dia sama sekali tidak akan menceritakan aib jenazah.

Sehari dua ini apabila menerima berita kematian sahabat kita tersentak, alangkah mudahnya mereka pergi. Sahabat say Datin Amelia meninggal dalam tidur. Begitu juga bagi penulis terkenal Liana Afiera Malik, juga pergi tiba-tiba. Sebelum itu Dr Lo’ Lo pergi dengan tenangnya.  Seorang rakan saya meninggal dunia sebaik selesai solat Subuh, sedar-sedar sahaja sudah  tiada nyawa.


Sesungguhnya janji Tuhan tidak mengira masa. Sedikit pun tidak tercepat atau terlewat. Kata orang, seratus hari sebelum kematian hanya  akan disedari oleh mereka yang dikehendaki-Nya. 

Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja.Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil.

Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Bbagi mereka yang sedar akan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.

Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk menggunakan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Namun bagi saya, tidak kira seratus hari atau empat puluh hari sebelum kematian, hendaklah kita sentiasa bersedia. Bertaubatlah setiap hari. Bermaafanlah setiap ketika. Berlapang dada, ikhlaskan hati dengan sesiapa sahaja. Lagi bertambah usia kita, lagi dekat tarikh kematian kita. 

Salam Ramadan buat semua dan selalu ingat apakah ada Ramadan lagi untuk kita pada tahun hadapn... lalu atas kesempatan ini saya mohon maaf zahir dan batin, insyaAllah.

No comments: