Saturday, December 3, 2011


PENULIS DITAWAR TERBIT KARYA
SHAH ALAM – Fiesta Buku Karangkraf selama tiga hari bermula hari ini, menyediakan platform kepada bakal penulis dan novelis menjual bakat penulisan mereka untuk diketengahkan menjadi karya. 

Pengurus Besar Editorial Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin berkata, selain menampilkan pelbagai buku dan novel dengan harga menarik, fiesta buku ini akan menjadi medan pertemuan antara editor dan mereka yang berminat menceburi bidang penulisan.

Menurutnya, fiesta ini juga diharap dapat melahirkan lebih ramai penulis baru di samping mencungkil bakat dan minat penulisan berbentuk novel dan buku seperti umum, kanak-kanak dan agama.

“Ini peluang baik untuk calon atau bakal penulis berjumpa editor Grup Buku Karangkraf bagi mengetahui prosedur diperlukan untuk mengetengahkan karya dihasilkan.

“Mereka boleh membawa manuskrip yang sudah siap atau bentuk buku yang ingin dihasilkan selain bertukar-tukar fikiran dengan editor yang ada di fiesta,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Peminat tegar buku dan novel keluaran Alaf 21, Buku Prima dan Karya Bestari juga berpeluang bertemu penulis terkenal seperti Ramlee Awang Murshid, Hezzy Azra, Eyman Hykal dan Hani Fazuha.

Antara novel baru terdapat di Fiesta Buku Karangkraf adalah Aku Pilih Dia nukilan Hezzy Azra, Hati Kala Cinta nukilan Hani Fazuha, Tak Mungkin Dia nukilan Rania Firdaus dan Detik Debar nukilan Eyman Haikal. Selain itu, peminat novel Ombak Rindu juga boleh mendapatkan karya Fauziah Ashari itu dengan tawaran harga menarik.


Peminat buku resipi boleh mendapatkan harga pakej RM20 untuk lima buku dan bagi penggemar novel, tambahan diskaun 10 peratus akan diberikan untuk pembelian sesetengah lima judul novel.

Setiap buku dan novel keluaran Grup Buku Karangkraf ditawarkan dengan diskaun 25 peratus sehingga 80 peratus semasa Fiesta Buku Karangkraf yang diadakan hingga 4 Disember 2011 di pekarangan kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, di sini.

Fiesta Buku Karangkraf akan bermula seawal 9 pagi sehingga 6 petang dengan menampilkan pelbagai koleksi buku dan novel baru serta lama untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa.


Untuk artikel asal (Klik di Sini)

No comments: