Wednesday, December 7, 2011

APABILA TUKANG MASAK BERENTAP
SEHINGGA  minggu ini sudah masuk siri entah ke berapa puluh… namun yang pastinya sudah lebih 40 siri. Ternyata program ini membuatkan ramai wanita termasuk juga lelaki dari usia anak-anak hingga ke umur senja, mengambil masa hampir satu jam melekap duduk di hadapan televisyen.

 Sebelum ini kita hanya menonton rancangan sebegini diadakan di USA, Australia, New Zealand, Croatia, Greece, India dan lain-lain sahaja. “Tengok betul-betul. Nanti bolehlah awak masak macam tukang masak itu.” Kata seorang isteri kepada suaminya yang leka menghadap televisyen, menonton siri pertandingan memasak itu.

Ketika itu edisi cabaran selebriti sedang disiarkan. Memanglah kata-kata itu seperti kata perli sahaja tetapi semua itu tidak mustahil. Bukankah ramai dalam kalangan chef terdiri daripada golongan lelaki?
 Ternyata siri MasterChef Malaysia ini juga menghantui saya. Bahkan siri ini telah menjadi inspirasi saya mencuba aneka masakan, pelbagai gaya dan cara. Ada gaya campak-campak saja apa-apa bahan yang ada dan sesuai dari dalam peti sejuk. Ada juga cara yang selama ini tidak pernah dibuat, saya cuba. Contohnya memasak menggunakan labu sebagai sos untuk spagheti.

Walaupun peserta terdiri daripada doktor, artis mahupun penoreh getah, hakikatnya mereka adalah orang biasa yang perlu bersaing dalam menyediakan masakan menarik dan menyelerakan. Apa yang penting berjaya memuaskan hati juri.
 Sebenarnya ramai tertekan menonton siri ini. Bukan sahaja peserta, kita yang menonton juga boleh stres. Arahan dan teguran chef membuatkan peserta pencarian tukang masak terhebat berpeluh-peluh dibuatnya. Ada yang panik, putus asa; terutama apabila tempoh yang singkat diberikan tetapi diwajibkan memasak dengan betul, tepat mengikut resipi dan yang penting mesti sedap.

Berbeza dengan siri pencarian tukang masak muda negara luar, perasaan tertekan itu agak kurang dirasai. Tukang masak yang mengadili seberapa boleh cuba bermain psikologi. Tidak terlalu menekan perasaan peserta. Mereka tidak membuatkan peserta terkejut-kejut dengan tengkingan.

Jika marah pun masih lagi dalam nada terkawal. i negara luar, peserta muda belasan tahun yang menyertai siri ini juga tidaklah terlalu mengikut perasaan dan tidak menunjuk-nunjuk untuk menangis. Mereka berjaya mengawal emosi.
Setakat mencebik, itu biasa kerana ia adalah perasaan masing-masing, sesuai dengan umur mereka. Berbeza dengan peserta kita yang lelaki pun jelas-jelas menitiskan air mata jantan mereka. Nampak sangat seperti ada drama pula.


Bagaimanapun saya memang berminat untuk terus menonton siri ini kerana banyak ilmu baru dunia masakan diperoleh. Paling menarik, slot Peti Sajian Misteri. Rasanya seperti penonton lain juga, saya tidak sabar-sabar hendak tahu apakah isi kandung peti misteri itu. Ada belut kah? Ada itik? Gamat ataupun siput sedut? Jangan-jangan ada otak lembu... hendak masak apa? Bolehkah siap dalam tempoh 45 minit dan gerenti sedap.



Fokus program ini semestinya memberikan inspirasi dan peluang kepada chef baru mencungkil bakat mereka dalam bidang masakan dan dilatih oleh mereka yang berpengalaman dalam industri masakan. Semestinya rancangan ini akan membuka ruang kepada chef-chef ini untuk mengubah kerjaya, impian dan aspirasi kehidupan mereka ke suatu tahap boleh dibanggakan.



Jika dilihat pada episod awal ia disiarkan, peserta yang terdiri daripada 40 orang diasak cabaran getir apabila mereka perlu bersaing memasak makanan mengikut apa yang diminta dalam tempoh tertentu. Bukan itu sahaja, jika masakan mahupun persembahan makanan tidak mencapai tahap diinginkan juri-juri akan mengkritik.


Apa yang pasti selain gemar memasak, saya menonton siri berkenaan kerana salah seorang peserta yang masih bertahan dalam perjuangannya ialah sahabat saya, novelis Shahriah Abdullah. Beliau novelis yang sudah menghasilkan tujuh judul novel bersama Grup Buku Karangkraf.



Saya memang tahu beliau mahir memasak, suka mencuba pelbagai resipi baru dan pandai mereka-reka resipi. Hidangan tradisional, pencuci mulut, kek dan biskut serta hidangan barat memang kemahiran beliau. Saya gembira beliau masih lagi bertahan dalam perjuangannya.

Seperkara lagi ialah kehadiran chef jemputan, Chef Norman juga penulis buku resipi bersama Grup Buku Karangkraf. Buku Hidangan Timur dan Barat tulisan beliau baru sahaja berada di pasaran. Beliau ada restoran di Manchester United dan merupakan chef profesional untuk Team F1 2010.

Akhir sekali, saya benar-benar terkesan dengan siri masakan ini apabila salah seorang pesertanya mengakui dia benar-benar memerlukan kemenangan. Sebabnya, dia amat memerlukan duit untuk mengubati penyakit ibunya. Alangkah sucinya hati penoreh getah berkenaan. Insya-ALLAH!

>>>>>> (Tulisan dalam Sianr Harian 9 Disember 2011)

1 comment:

Laili said...

salam kak Sri Diah. dah lama sungguh saya tidak ke blog akak ni. Moga akak sihat selalu ye :)

Laili (blog lama laili.diaryland.com) skrg dah tukar jadi ciklaili.com