Saturday, October 16, 2004

DULU LAIN SEKARANG LAIN
PUASA hari pertama sudahpun selamat dilalui. Hari ini hari kedua berpuasa untuk tahun 1425. Ada 28 hari lagi yang akan ditempuhi. Sebenarnya sedar tak sedar yang selebihnya ini akan diharungi sekejap sahaja, tahu-tahu sahaja hari raya sudah menjelma. Begitulah perubahan masa. Bak kata suami, "tera tu tera ni dah pukui tujuh!" (Orang utara fahamlah ni kot...)

Ketika Ramadan ini saya selalu mengimbas indahnya malam-malam di bulan Ramadan semasa saya dialam kanak-kanak. Lampu panjut, obor dari daun kelapa kering, jadi hantu pocong, hantar menghantar kuih ke rumah jiran, sembahyang terawih, main bunga api, mercun, bakar meriam buluh dan macam-macam lagi. Semua itu tak dapat dirasai oleh anak-anak kini.

Macamana nak cakap ya... malam tadi team dari Majalah NUR meraikan anak-anak yatim dari Yayasan Anak Yatim Sungai Ujung, Lenggeng Negeri Sembilan dan anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Nurul Izzah, Kajang. Majlis diadakan di Hotel Radius (dulunya Park Inn Hotel) di Jalan Changkat Bukit Bintang. Dimulakan dengan sembahyang Maghrib, kemudian menikmati hidangan mewah, show artis dan persembahan badut. Diakhir majlis masing-masing mendapat sumbangan RM daripada tauke KKSB.

Ok, berbalik pada zaman saya dulu yang makanan ala kadar sahaja, yang pakaian pun biasa saja, yang hiburannya hanyalah alam sekeliling... hidup anak-anak yatim sekarang lebih mewah daripada apa yang saya rasai dulu. Dulu saya tak merasa nak makan ayam goreng selalu, makan aiskrim ataupun sate. Saya tak merasa nak pakai pakaian cantik selalu, apalagi pergi ke hotel, merasa dingin aircond, berjumpa artis secara dekat, dilayan bagai anak VIP dan dapat RM pula.

Untuk pujuk hati sendiri saya berkata - Oh ya, dulu saya miskin kebendaan tapi mewah kasih sayang emak dan bapa. Mereka anak yatim di hadapan saya malam tadi mewah kebendaan tapi miskin kasih sayang ayah dan ibu...

No comments: