Friday, October 8, 2004

BAJU KURUNG
SEWAKTU di Tehran, Iran beberapa tahun lalu, kami para wartawan wanita memakai baju kurung tatkala bersiar-siar di bandar berkenaan. Ini amat kontras dengan pakaian kebanyakan wanita Iran - mereka memakai cadur dengan warna utamanya warna hitam. Warna-warna pastel hanya dipakai oleh wanita-wanita muda sahaja. Bayangkan design baju kurung kita yang pelbagai warna-warna meriah dan pelbagai corak-corak kontemporari (hijau pucuk pisang, merah mawar, kuning kunyit, batik) sudah semestinya jadi tumpuan. Tak segan-segan mereka datang bertanya, dari mana? Wah, dengan bangganya kami pun ceritalah panjang lebar, siap keluarkan peta.

Di Malaysia, baju kurung memang `masuk' dalam banyak acara. Kita pun tak segan-segan berbaju kurung. Bagaimanapun sesekali kena jugaklah ikut majlis kala berpakaian. Ikutkan hati memang nak memakai baju kurung setiap hari. Saya hairan jugak dengan sesetengah wanita kita yang kekok berbaju kurung. Macam-macam alasan diberi. Antaranya; rimaslah, gedobohlah, macam makcik-makciklah, tak trendy, rasa macam pakai gebar dan macam-macam lagi alasan.

Sekarang pun mujur kain baju kurung dah berzip. Dulu-dulu puaslah digulung-gulung dengan jari, kemudian dikepit ke tepi pinggang dan baru dipakaikan tali pinggang. Silap-silap ikat, terbarai... Tapi bila difikir-fikir semula, orang Melayu masih lagi ramai yang kekal berbaju kurung. Tidak seperti kaum Cina dan India. Boleh dibilang mereka yang memakai Cheong Sam ataupun Sari!

No comments: