(TANPA TAJUK) *
Hari ini, Jumaat 31hb Oktober 2003. Tarikh ini amat bermakna bagi saya. Ia menjadi lebih bermakna kerana ianya hari Jumaat dan dalam bulan Ramadan al-Mubarak. Hari ini merupakan hari terakhir Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengakhiri perkhidmatannya dalam kerajaan setelah 22 tahun menjadi Perdana Menteri.
Saya ingin merakamkan rasa terharu bercampur gembira. Terharu kerana hari ini berakhirnya satu pemerintahan seorang Perdana Menteri yang telah membawa Malaysia ke mercu jaya dan disegani dunia. Sama ada sebagai seorang Perdana Menteri atau sebagai Presiden Umno, budi dan jasanya tidak terbilang.
Saya jadi terharu pula kerana hari ini telah kita pulangkan seorang suami yang telah kita pinjam selama 22 tahun daripada isterinya. Hari ini juga telah kita pulangkan seorang daddy kepada anak-anaknya dan seorang Tok Det kepada cucu-cucunya setelah betahun-tahun kita meminjamnya.
Melihat Buletin Utama malam tadi tanpa sedar ada air jernih yang menitis dikelopak mata. Mata saya tak lepas-lepas memandangnya. Dia yang bersut biru gelap cuba tersenyum, tapi saya tahu senyumnya berbaur sedih. Matanya menceritakan pelbagai reaksi dan isi hatinya. Dia yang saya sedar amat sensitif sejak tahun-tahun kebelakangan cuba menyimpan dukanya.
Seperti selalu, dia bagaikan seorang wartawan. Buku nota kecilnya tetap tak lepas dari tangan*. Itulah yang selalu mengesankan saya. Dan hari ini, saya terlalu ingin melihat siaran langsung ditelevisyen yang akan memaparkan satu detik yang amat bersejarah bagi negara Malaysia. Dan satu detik yang terlalu sentimental bagi saya.
Atas segalanya, saya ingin merakamkan terima kasih kepada Che Det. Selamat bersara dan selamat menjalani masa rehat yang tenang.
* Dialah orang yang memperkenalkan ICT di negara ini tetapi mengapa dia tidak menggunakan pda? Rasanya itu soalan cepumas saya kepadanya kalaulah berpeluang menemuramahnya.
* Saya tak dapat memberikan tajuk atas tulisan ini...
No comments:
Post a Comment