JANGAN NYANYIKAN LAGU ITU... sri diah
(JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI - SIRI 5)
ENTAHLAH apa silapnya malam tadi. Aku yang terlelap atau dia yang memang tak mengharap apa-apa daripadaku. Dia kata migraine. Tapi hairannya dia masih boleh duduk berjam-jam mengadap komputer.
Sampai aku masuk bilik tidur, aku lihat bilik kerja kami masih terang benderang. Alat hawa dingin masih terpasang. Entah ke hujung dunia mana dia rayau. Aku berani bertaruh. Dia mesti ke site negara matahari terbit itu. Dia mesti sedang berseronok-seronok dengan kawan-kawannya. Kala itu apakah aku masih berada dalam sanubarinya?
GENTING Highlands – Awal pagi tadi, aku menggesek mata. Kutoleh ke kanan. Dia sudah tiada. Malam tadi dia tidur agak lewat tapi pagi ini awal-awal lagi sudah hilang. Bukan dia tak tahu aku akan mendaki jalan berliku lebih 200km pagi ini. Dia sudah kuberitahu sejak tiga hari lepas. Sudahkah dia meninggalkan ciuman sayangnya ke pipiku?
Tatkala ingin mengenakan tudung, sekeping kertas A4 jatuh dari meja solek. Oh... kubaca talian hayatnya itu. Nampaknya dia masih lagi sarat dengan perasaan. Dia masih lagi membisikkan kata-kata pesimis. Ah, dia benar-benar sedang mengemis. Mengemis secebis hatiku. Tetapi sedarkan dia malam tadi akulah si pengemis yang kedinginan. Akulah si pengemis yang mengharapkan kunjungannya.
Kalau betullah dia cemburu pada kerjayaku. Atau dia jaki dengan kesibukanku... esok akan kuhantar borang cuti. Akan kumohon cuti seminggu.
Aku akan mengadap dia seorang. Aku akan hantar dia ke pejabat dan mengambil dia pulang. Aku akan suapkan makanan ke mulutnya. Aku akan mandikan dia. Aku akan picit dan urut kepalanya. Aku akan berkepit sahaja dengannya, terutama menemaninya menekan-nekan papan kekunci komputer, menerjah ke negara mana dia pergi berjumpa kawan-kawannya.
Meluat. Biar dia meluat. Dan semoga dia tahu, aku juga meluat hendak melakukan semua itu. Tetapi lagu itulah yang selalu dia dendangkan di telingaku....
JANGANLAH TIDUR SENDIRIAN - mba
(JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI - SIRI 4)
Sayangku,
Abang tahu yang sayang ialah anak seorang ustaz sedangkan abang ini dilahir dan dibesarkan dalam keluarga yang pincang dan serba kekurangan. Namun latarbelakang masa silam tidak usah kita ungkitkan. Jadi usahlah diungkitkan pasal arwah nenekku yang hobinya mencabut uban di tangga itu. Dia juga wanita berkerjaya sebenarfnya, seorang petani yang gigih menggunakan tulang empat keratnya untuk membesarkan orangtuaku.
Abang mahu biarlah kita sehidup semati dan sama-sama ke syurga nanti. Memang sayang adalah superwoman, memang abang sangat bertuah memiliki sayang. Namun dalam banyak hal, abang merasakan yang sayang lebih mementingkan kerjaya berbanding dari rumah tangga. Abang tidak perlu bersyarah panjang kerana migren abang ini sudah sampai ke puncaknya agaknya. Sebelum apa-apa terjadi kepada abang, abang hanya ingin mengingatkan sayang hanya dua buah hadis sahaja yang abang ingat-ingat lupa.
Pertama, tidak akan diampunkan dosa seseorang isteri yang membiarkan suaminya tidur dalam kemurkaannya sepanjang malam dan yang kedua adalah haram bagi seseorang Muslim memutuskan tali persaudaraan dengan saudaranya yang Muslim lebih daripada tiga hari. Cukuplah sekadar itu sayang. Semoga rasa amarah sayang tidak akan menakluki intelektual sayang yang tinggi itu.
Oh ya, sebelum abang terlena lagi, abang teringatkan satu lagi hadis. Jika si suami berhajatkan isterinya hatta ketika berada di belakang kuda sekalipun, maka adalah wajar bagi si isteri untuk memenuhinya. Abang bukan memerlukan sayang di kandang kuda!, Di sini sayang, ditepian tilam empuk ini. Abang Cuma mahukan sayang memicit kepala abang yang sakit dan hati abang yang bengkak ini. Selamat malam sayang. Abang tidur dulu dan semoga dapat berjumpa bidadari dalam mimpi yang boleh melegakan penyakit abang ini. Assalamualaikum.
No comments:
Post a Comment