Wednesday, October 15, 2003

AKU RELA TIDUR SENDIRI...
(Sambungan Jangan Ada Dusta versi lelaki)

Sudah banyak kali kami berkompromi. Aku bukanlah seorang isteri tipikal seperti zaman neneknya Aku bukan seperti kakak dia atau makcik dia. Aku juga bukan seperti emak saudaranya Pah Bedah, yang saban hari asyik mengulit huma. Dan waktu petangnya pula ajak ipar duai duduk di beranda. Berderet di tangga mencari kutu.

Aku wanita kerjaya. Aku ada tanggungjawab atas segala amanah yang dipertanggungajwabkan ke pundakku. Aku dibayar gaji tinggi untuk berkhidmat dengan cemerlang. Aku dituntut mengawasi kepentingan syarikat. Aku wajib mengenalpasti potensi diri staf bawahan. Setiap masa. Setiap ketika.

Siang sama ada di pejabat atau bertugas di luar pejabat ataupun bertugas di luar daerah, hatta ke luar negara, panggilan telefon untuknya tidak pernah kuabai. Sebelum itu kupastikan akan keluar dari rumah dengan segala keperluan dirinya dan anak-anak tidak terabai.

Atas dasar inilah dia mengahwiniku dulu. Sejak hari pertama berdating dan setahun kemudian kami mula tidur sekatil… dia sudah tahu aku bukan dikahwini untuk duduk di rumah sahaja, melayan suami, menjaga rumah dan membesarkan anak-anak. Dia akur…. Dia terima ketetapan itu. Noktah!

Jika dulu dia akur, kenapa sekarang mula rasa tak senang? Jika dulu dia boleh berdikari, kenapa sekarang tidak boleh berdikari lagi? Aku masih tidak berubah, aku tetap aku yang dulu. Dia yang berubah… dia yang mula mengira semuanya sehalus-halusnya. Kita kian berusia, sepatutnya kita makin memahami satu sama lain. Tapi rupanya dia semakin kurang memahami hati isterinya ini.

Jika dia ingin dimanja, aku pun ingin dimanja. Tetapi pernahkah dia memanjakan aku? Dia tak pernah tanya pening letihku. Dia tak pernah tanya pasal perkara-perkara asas keperluan rumah. Semua itu kuurus sendiri. Hinggakan kepala paip longgar pun aku yang betulkan. Jika lampu rosakpun, aku yang panjat tangga, tukarkan. Hinggakan menukar bola dalam tangki air pun aku yang kerjakan.

Memang dia sengaja mengambil kesempatan!
Ya, akulah superwomen. Dia harus rasa bertuah kerana memilih aku menjadi isterinya. Biarlah… biarlah seminggu dua ini kami make dono. Biar dia muhasabah dirinya… biar dia melayan migrainenya dan aku rela tidur sendirian… masuk malam ini sudah tiga hari aku tidur ditemani bantal peluk!


JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI
(Hasil perahan idea mba)

Jika diteruskan perang, rasanya yang kalah jadi abu yang menang jadi arang. Lebih baik diadakan gencatan senjata saja.

Sebenarnya aku cukup juak untuk pulang ke rumah. Sikapnya sejak akhir-akhir ini membuatkan seolah-olah aku bukanlah CEO di rumah. Kepulangan aku ke rumah sepatutnya disambut dan dihormati sebagai seorang suami, seorang sahabat, seorang teman. Namun dia yang sudah lama bertindak sebagai CFO di rumah nampaknya lebih mengutamakan pejabat dan orang-orang pejabat berbanding dengan rumah dan orang-orang dalam rumah ini.

Sebagai isteri yang bekerja, suami tidaklah mengharapkan makanan terhidang-saji. Suami boleh mengaut sendiri dari periuk di dapur jika ianya sudah bermasak. Jika sesibuk ini di rumah hinggakan tidak mahulagi memasak, apalah gunanya dibeli beras dan dapur yang mahal jika sekadar untuk makan nasi bungkus.

Sesekali pulang dengan keletihan dan migren yang menyerang, perlukan belas ihsan. Jika kita minta dipicit dan diurut, bukanlah alasan sibuk, tidak pandai memicit, takut tangan kasar atau telan saja panadol yang mahu didengar suami. Ini menambahkan lagi sengsara yang ada.

Dah tahu kita berpenyakit darah tinggi, hendak dihidangkan pula dengan ikan masin?. Agaknya dia memang ingin sangat menyuruh aku pergi cepat. Sudah ada bakal bapa kepada anak-anakku kah?.

Suami sekarang tidak perlu dimanjakan hinggakan perlu dimadikan oleh isteri. Usahlah terpengaruh dengan filem Jepun atau Korea yang menjadi teman setiamu setiap petang hingga melupkan tugas sebenar di alam nyata.

Suamimu ini bukanlah robot bernyawa yang bisa kau programkan dengan menekan papan kekunci yang sering kau lakukan hingga menjelang subuh dengan alasan terlalu sibuk. Dan suami ini tidurlah sendirian saban malam bertemankan alasan isteri yang keletihan, sibuk, sakit perut, tiada mood dan tidak mahu membasahkan rambut.

Jadi wajarlah rasanya gencatan senjata kita ini dikuatkuasakan segera.



No comments: