SELEBRITI MENDERMA RM1 RIBU & DUIT RAYA
MALAM tadi kami meraikan 70 orang anak-anak yatim dan miskin dari Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Kampung Sungai Pinang, Klang. Majlis ini dianjurkan oleh majalah RASA, Mingguan Wanita & Bacaria. Majlis diadakan di Novotel Century Hotel, di Jalan Bukit Bintang. Majlis meraikan anak yatim ini bukan yang pertama kali kami anjurkan. Setiap tahun lebih kurang dua atau tiga majlis diadakan.
Apabila tiba waktu berbuka seorang kanak-kanak melaungkan azan Maghrib. Kami menjamah hidangan ringan dan terus menunaikan solat. Selepas solat barulah menjamah makanan berat.
Melihat jernih mata anak-anak yatim dan miskin menimbulkan rasa haru dan insaf di hati kami. Melayan karenah mereka memilih juadah dan menyuap makanan bagaikan satu kepuasan di hati kami. MasyaAllah, maha suci Allah yang menjadikan segala kejadian...
Kumpulan nasyid Saujana turut memeriahkan acara dengan lagu-lagu nasyid. Sebagai membalas jemputan, pihak anak yatim juga mendendangkan lagu nasyid. Majlis diakhiri dengan sumbangan RM1 ribu daripada Kumpulan Karangkraf untuk pertubuhan berkenaan. Ini termasuk barangan buah tangan daripada pihak hotel dan Kumpulan Karangkraf untuk semua anak-anak.
Saya bagi pihak seorang hamba Allah turut menyampaikan sumbangan RM1ribu untuk rumah berkenaan dan RM5 untuk duit raya kepada setiap kanak-kanak. Hamba Allah ini seorang selebriti yang popular, seorang yang prihatin dan rajin menderma.
Yang seronoknya, hari Selasa Intan Zabidin (Editor Majalah Dara.com) memberitahu tentang niat kami meraikan anak-anak yatim, pagi Rabu duit yang ingin didermakan sudah sampai ke tangan kami (tunai). Alhamdulillah... semoga rezeki selebriti ini diberkati dan hidup baru yang ditempuhnya akan kekal bahagia hingga akhir hayat.
No comments:
Post a Comment