Tuesday, October 28, 2003

BILA MAH MENELEFON MAH

"Selepas 31 haribulan ini, saya tidak ada hak nak menentukan apa-apa pun. Saya akan berundur diri dan tidak akan kacau dalam pentadbiran negara."
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Saya ambil tulisan itu dari Bernama online. Saya tak ada banyak kenangan manis dengan Datuk Seri Dr Mahathir yang mesra dipanggil Che Det oleh ahli keluarga. Panggilan itu pun dah jadi mesra pada kita semua.

Tetapi kenangan manis bersama Datin Seri Dr. Siti Hasmah selalu membuat saya tersenyum. Pada suatu hari kami dari Pertama (Persatuan Wartawan Wanita M'sia) dijemput makan tengahari di kediaman Perdana Menteri. Waktu itu di Seri Perdana, Jalan Damansara. Turut sama ialah isteri menteri-menteri kabinet lain.

Kami berbual macam-macam hal. Makan-makan, dengar Datin Seri menyanyi karaoke, kami bernyanyi solo dan berduet... pendek kata enjoylah. Makanan lazat-lazat belaka. Ada sate, laksa dan kuih istimewa orang Kedah - seri muka. Lemak dan manis rasanya.

Datin Seri bercerita tentang insiden dia bertegang leher dengan isteri Ghafar Baba yang waktu itu Timbalan Perdana Menteri. Ada satu ketika Pak Ghafar diserang sakit jantung dan dimasukkan ke hospital. Isteri Pak Ghafar pun menelefon Datin Seri memberitahu hal berkenaan.

"Hallo, Mah..."
"Mah ni..."
"Hallo. Hallo. Mah!"
"Mahlah... siapa?"
"Mah!"
"Iyalah, Mah yang cakap ni."

Kami tergelak besar bila Datin Seri berhenti bercerita. Sebenarnya kekeliruan komunikasi telah berlaku di sini. Isteri Pak Ghafar pun Mah namanya!

Walaupun sudah meningkat usia, saya doakan semoga kedua-dua Mah ini tetap sihat.

No comments: