Friday, October 31, 2003

(TANPA TAJUK) *

Hari ini, Jumaat 31hb Oktober 2003. Tarikh ini amat bermakna bagi saya. Ia menjadi lebih bermakna kerana ianya hari Jumaat dan dalam bulan Ramadan al-Mubarak. Hari ini merupakan hari terakhir Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengakhiri perkhidmatannya dalam kerajaan setelah 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Saya ingin merakamkan rasa terharu bercampur gembira. Terharu kerana hari ini berakhirnya satu pemerintahan seorang Perdana Menteri yang telah membawa Malaysia ke mercu jaya dan disegani dunia. Sama ada sebagai seorang Perdana Menteri atau sebagai Presiden Umno, budi dan jasanya tidak terbilang.

Saya jadi terharu pula kerana hari ini telah kita pulangkan seorang suami yang telah kita pinjam selama 22 tahun daripada isterinya. Hari ini juga telah kita pulangkan seorang daddy kepada anak-anaknya dan seorang Tok Det kepada cucu-cucunya setelah betahun-tahun kita meminjamnya.

Melihat Buletin Utama malam tadi tanpa sedar ada air jernih yang menitis dikelopak mata. Mata saya tak lepas-lepas memandangnya. Dia yang bersut biru gelap cuba tersenyum, tapi saya tahu senyumnya berbaur sedih. Matanya menceritakan pelbagai reaksi dan isi hatinya. Dia yang saya sedar amat sensitif sejak tahun-tahun kebelakangan cuba menyimpan dukanya.

Seperti selalu, dia bagaikan seorang wartawan. Buku nota kecilnya tetap tak lepas dari tangan*. Itulah yang selalu mengesankan saya. Dan hari ini, saya terlalu ingin melihat siaran langsung ditelevisyen yang akan memaparkan satu detik yang amat bersejarah bagi negara Malaysia. Dan satu detik yang terlalu sentimental bagi saya.

Atas segalanya, saya ingin merakamkan terima kasih kepada Che Det. Selamat bersara dan selamat menjalani masa rehat yang tenang.

* Dialah orang yang memperkenalkan ICT di negara ini tetapi mengapa dia tidak menggunakan pda? Rasanya itu soalan cepumas saya kepadanya kalaulah berpeluang menemuramahnya.

* Saya tak dapat memberikan tajuk atas tulisan ini...



Thursday, October 30, 2003

SELEBRITI MENDERMA RM1 RIBU & DUIT RAYA

MALAM tadi kami meraikan 70 orang anak-anak yatim dan miskin dari Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Kampung Sungai Pinang, Klang. Majlis ini dianjurkan oleh majalah RASA, Mingguan Wanita & Bacaria. Majlis diadakan di Novotel Century Hotel, di Jalan Bukit Bintang. Majlis meraikan anak yatim ini bukan yang pertama kali kami anjurkan. Setiap tahun lebih kurang dua atau tiga majlis diadakan.

Apabila tiba waktu berbuka seorang kanak-kanak melaungkan azan Maghrib. Kami menjamah hidangan ringan dan terus menunaikan solat. Selepas solat barulah menjamah makanan berat.

Melihat jernih mata anak-anak yatim dan miskin menimbulkan rasa haru dan insaf di hati kami. Melayan karenah mereka memilih juadah dan menyuap makanan bagaikan satu kepuasan di hati kami. MasyaAllah, maha suci Allah yang menjadikan segala kejadian...

Kumpulan nasyid Saujana turut memeriahkan acara dengan lagu-lagu nasyid. Sebagai membalas jemputan, pihak anak yatim juga mendendangkan lagu nasyid. Majlis diakhiri dengan sumbangan RM1 ribu daripada Kumpulan Karangkraf untuk pertubuhan berkenaan. Ini termasuk barangan buah tangan daripada pihak hotel dan Kumpulan Karangkraf untuk semua anak-anak.

Saya bagi pihak seorang hamba Allah turut menyampaikan sumbangan RM1ribu untuk rumah berkenaan dan RM5 untuk duit raya kepada setiap kanak-kanak. Hamba Allah ini seorang selebriti yang popular, seorang yang prihatin dan rajin menderma.

Yang seronoknya, hari Selasa Intan Zabidin (Editor Majalah Dara.com) memberitahu tentang niat kami meraikan anak-anak yatim, pagi Rabu duit yang ingin didermakan sudah sampai ke tangan kami (tunai). Alhamdulillah... semoga rezeki selebriti ini diberkati dan hidup baru yang ditempuhnya akan kekal bahagia hingga akhir hayat.



Wednesday, October 29, 2003

LUPA SKRIP, LUPA LOKASI...
JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI - SIRI 15
Baca siri 14 di http://mba2u,blogspot.com


HARI ini hari ke tiga Ramadan. Dua hari Ramadan berlalu dengan jayanya. Kami bangun pagi dengan ceria untuk bersahur. Sekurangnya tanggungjawabku ringan sedikit. Dia membantu setakat yang boleh. Tidaklah kupaksa dia memasak. Menolong mengemas meja pun dah memadai.

Namun hari ketiga Ramadan ini sebaliknya berlaku. Rupanya lakonannya hanya tiga hari. Wataknya sudah kembali ke asal. Dia sudah lupa skrip. Dia dah tak ingat akan kontinuiti. Malah lokasi pengambaran pun dia dah lupa…

Apa yang membuatkan dia letih sangat? Jika terawihnya 10 rakaat di masjid, aku pun buat setakat itu juga. Kami pergi dan pulang bersama dari masjid. Lepas itu dia terus sahaja di rumah. Tidak keluar lagi.

Ya… pc itu telah meletihkan dia hingga enggan bangun sahur! Dia tidur lewat. Dia mengadap dan mengulit pc itu bagaikan itu isterinya. Kataku jika tak mahu makan, jamah milo dan kurma sebiji pun dah cukup. Tetapi jenuhlah aku mengejutnya, dia sayang nak tinggalkan bantal dan tilam.

Puas mengejutnya kusuruh anak kami pula mengejut. Tetapi budak itu ditengkingnya. Itu pantang bagiku...!

Anak adalah hartaku. Kami sudah kompromi, kalau kesilapan bukan kerana anak-anak, jangan ditengking herdik mereka. Tapi nampaknya dia dah langgar janji.

Kebosanan mula meraja dalam hatiku. Pagi ini aku ke pejabat dengan dada yang sakit.


Tuesday, October 28, 2003

BILA MAH MENELEFON MAH

"Selepas 31 haribulan ini, saya tidak ada hak nak menentukan apa-apa pun. Saya akan berundur diri dan tidak akan kacau dalam pentadbiran negara."
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Saya ambil tulisan itu dari Bernama online. Saya tak ada banyak kenangan manis dengan Datuk Seri Dr Mahathir yang mesra dipanggil Che Det oleh ahli keluarga. Panggilan itu pun dah jadi mesra pada kita semua.

Tetapi kenangan manis bersama Datin Seri Dr. Siti Hasmah selalu membuat saya tersenyum. Pada suatu hari kami dari Pertama (Persatuan Wartawan Wanita M'sia) dijemput makan tengahari di kediaman Perdana Menteri. Waktu itu di Seri Perdana, Jalan Damansara. Turut sama ialah isteri menteri-menteri kabinet lain.

Kami berbual macam-macam hal. Makan-makan, dengar Datin Seri menyanyi karaoke, kami bernyanyi solo dan berduet... pendek kata enjoylah. Makanan lazat-lazat belaka. Ada sate, laksa dan kuih istimewa orang Kedah - seri muka. Lemak dan manis rasanya.

Datin Seri bercerita tentang insiden dia bertegang leher dengan isteri Ghafar Baba yang waktu itu Timbalan Perdana Menteri. Ada satu ketika Pak Ghafar diserang sakit jantung dan dimasukkan ke hospital. Isteri Pak Ghafar pun menelefon Datin Seri memberitahu hal berkenaan.

"Hallo, Mah..."
"Mah ni..."
"Hallo. Hallo. Mah!"
"Mahlah... siapa?"
"Mah!"
"Iyalah, Mah yang cakap ni."

Kami tergelak besar bila Datin Seri berhenti bercerita. Sebenarnya kekeliruan komunikasi telah berlaku di sini. Isteri Pak Ghafar pun Mah namanya!

Walaupun sudah meningkat usia, saya doakan semoga kedua-dua Mah ini tetap sihat.

Monday, October 27, 2003

SABAR... RAMADAN MENGUJI KITA

Hari ini adalah hari pertama puasa Ramadan di Malaysia. Waktu Subuh pukul 5.39, waktu imsak pukul 5.29, waktu syuruk 6.58 dan waktu berbuka puasa ialah pada pukul 6.58 petang.

Di pejabat saya, bos telah mengatur jadual bertugas khas untuk Ramadan. Jika kebiasaanya masuk pejabat pukul 8.30 pagi, kini telah diawalkan menjadi 8.15 pagi. Manakala kebiasaan waktu balik ofis pukul 6.00 petang telah diawalkan menjadi 5.00. Alhamdulillah, baik hati bos. Sebabnya waktu makan dah dipendekkan, 45 minit untuk zohor rasanya dah memadai. Sabtu tetap hari tak bekerja di Karangkraf.

Kerja? Nampaknya berlipat ganda daripada kebiasaan. Ini adalah persiapan awal untuk cuti hari raya nanti (kalau bos baik hati dia akan bagi cuti seminggu terus). Tapi walaupun bercuti, majalah dan akhbar tetap keluar juga. Jadi mulai sekarang kami kena buat advance issue. Yang majalah bulanan kena awal dua bulan daripada tarikh pasaran. Yang buat majalah mingguan kena awal tiga minggu daripada tarikh di pasaran.

Orang perempuan ni taklah nampak sangat letihnya sepanjang berpuasa. Sebab dah dibiasakan dengan puasa sunat Isnin Khamis. Tapi kita kasihan pulak tengok orang lelaki... macam ketagihan candu. Muka monyok je... tak dapat hisap rokok, tak dapat roti canai dan teh tarik!

Ramadan datang Ramadan pergi, dia makin jauh, kita makin dekat...
Kata-kata ini pernah saya baca, lupa pulak di mana. Salam Ramadan untuk semua pembaca blog ini.


DIAKAH PELAKON HARAPAN TERBAIK?

Jangan Ada Dusta Versi Lelaki - Siri 13
Baca siri 12 di http://mba2u.blogspot.com

KINI tiada lagi orang gaji di rumah kami. Sudah lima tahun kami 'bersarakan' dia. Di suatu malam, dia kami hantar ke Pelabuhan Melaka dan dia berangkat menaiki feri malam itu juga balik ke kampung halamannya di Pekan Baru. Alasannya mahu menikah. Ialah sejak lima tahun dia kami ambil, waktu itu usianya 25 tahun dan wajarlah alasannya mahu menikah apabila menginjak 30.

Kini akulah orang gaji di rumah ini. Siang malam aku 'dikerjain'. Siang dikerjakan di pejabat dengan bermacam tanggungjawab. Balik ke rumah dikerjakan dengan pelbagai rutin. Memasak, membasuh, melipat, menyapu, ah... bermacam lagi hingga pada tugas hakiki yang wajib kupenuhi pada waktu-waktu tertentu.

Akulah orang gaji yang ada degree, kelulusan bidang profesional dan pernah mendapat anugerah pelajar terbaik semasa di universiti. Anehnya bukanlah degree house keeping! Sedangkah itulah tugas terbesar aku sekarang.

Bagaimanapun dengan anak-anak yang sudah menginjak remaja rasanya tugas tidaklah terlalu teruk. Masing-masing sudah boleh berdikari. Berdikari? Ah, itu kata-kata klise bagi dia!

Jika tidak diambilkan air dia akan kehausan di sofa. Jika tidak dihidangkan makan, dia akan mati kelaparan mengadap pc. Jika tidak diangkat pakaian kotornya yang bersepah di lantai, dia akan dibelit dek tuala yang bertukar jadi ular... meminjam kata-kata emakku.

Namun pagi semalam sesuatu yang aneh telah terjadi. Aku dikejutkan untuk bangun bersahur bukan dengan dering jam loceng tapi dengan riuh bunyi sudip, sudu dan pinggan mangkuk (maaf tomohiko!).

"Eh sayang... sorry kalau I ganggu tidur you." Katanya, tersengih bila aku ke dapur.
"It's okay bang, apa mimpi ni?" Soalku, menggesek mata yang kelat.
"Sekarang semua dah siap. Mari duduk." Tangannya sudahpun menyenduk nasi dan menghidangkan dalam pingganku. Gulai ikan dicubitnya dan diletakkan dalam pingganku.
"Kita makan berdua dulu, sekejap lagi baru kejutkan anak-anak..." Katanya lagi.

Oh Tuhan... aku terus menadah tangan, membaca doa makan!
Semoga Ramadan tahun ini memberiku lebih kekuatan.

Sunday, October 26, 2003

RESIPI BERBUKA PUASA

Dear inaibak & tomohiko nun jauh di Jepun. Saya dapat rasakan rasa rindu you berdua pada kampung halaman. Bertahun di negara orang, bila tiba bab makan, memang tak boleh tinggalkan masakan tradisi.

Ikan pekasam? Saya nak share resipi saya membuat ikan pekasam dengan you all. Resipi ini saya dapat daripada mak mentua, maklumlah dia orang bendang. Manalah tahu boleh menjadi hidangan yang enak untuk berbuka puasa.

Ikan pekasam ni lebih sedap jika gunakan ikan sungai contohnya ikan lampam, talapia, sepat, haruan, puyu dan lain-lain. Tapi kalau di Jepun, tak tahulah saya ikan apa yang sesuai. Apa yang pentingnya tidak gunakan cuka. So, taklah bahaya pada perut.

Bahan-bahannya:
10 - 15 ekor ikan
200 gm beras (digoreng tanpa minyak dan tumbuk/kisar, jangan halus sangat)
2 sudu makan garam halus
dua genggam asam jawa

Caranya:
1. Bersihkan ikan (mesti betul-betul bersih, kalau tidak ikan cepat busuk).
2. Gaulkan beras, garam, beras dan asam jawa dengan 1/2 cawan air.
3. Di dalam bekas, susun selang seli antara garam campur asam tadi dengan ikan. Masukkan juga ramuan tu dalam perut ikan.
4. Jangan terus simpan dalam peti sejuk. Biarkan sekurangnya dua hari di luar kemudian baru simpan dlm peti sejuk.

Cara goreng:
Gunakan sedikit sahaja minyak. Goreng bawang kecil yang sudah dihiris dgn cili padi. Lagi banyak lagi sedap. Angkat. Kemudian baru goreng ikan pekasam dan campuran beras itu hingga garing. (Jangan basuh ikan tu!) Hidangkan dengan nasi panas. Wow, sedap!




RAMADAN AL-MUBARAK


Ramadan tiba

Asyiknya bulan ini

Siang puasa



- Sri Diah




BANJIR TERUK - HANYA NAMPAK BUMBUNG!

TIGA hari balik ke kampung suami di Alor Setar, Kedah kami anak beranak tidak melepaskan peluang melawat saudara mara. Inilah masanya anak-anak diajar mengingat semula yang itu Tok Da, yang ini Mak Ngah Miah, itu Tok Uda, ini Mak Lang Besah, itu Pak Ngah Awang, ini Pak Teh dan Mak Teh serta ramai lagi.

Kebetulan cuaca masih hujan dan banyak tempat masih lagi ditengelami air seperti di Kuala Muda, di Baling, di Tanah Merah dan beberapa tempat lain. Pacat merata-rata di tengah bendang di belakang rumah. Menjeritlah anak-anak bila ada yang singgah di betis. Katak lembik, keli dan haruan bermain-main di kaki.

Sarapan kami - pulut kukus dengan ikan pekasam. Minum pula kopi o kaw cap songkok. Lebih asyik ditemani bunyi titik-titik hujan pada zink rumah. Setiap petang sambil berkereta melawat ke tempat banjir, hati jadi kasihan melihat keadaan rumah yang hanya tinggal bumbung.

Ketiga-tiga anak menarik nafas... alamak, macamana kalau rumah kita jadi macam tu? Saya kata, tepuk dada tanyalah hati. Siapa yang sanggup? Tapi takdir, siapa dapat menolaknya... Semoga ada usaha membantu mereka dan diharapkan malapetaka ini jangan berulang lagi di masa akan datang.

TATKALA TANGANNYA KUSENTUH...
(Jangan Ada Dusta Versi Lelaki -Siri 11)
Baca siri 10 di mba2u.blogspot.com

BUKAN sengaja! Aku tak bermaksud membuat dia berdosa apabila dia gagal menunaikan Maghrib. Tapi melihat dia keletihan di katil, mendorong aku jatuh kasihan. Dia kepenatan. Agaknya dia terlalu sibuk di pejabat siang tadi. Jadi kubiarkan dia terlena seketika....

Pagi ini kulontarkan egoku jauh-jauh. Perlahan-lahan aku berdiri di belakangnya, mengikutnya bersembahyang subuh. Aku harap dia mengerti makna dehemku di belakangnya.

Di pagi nan bening, kucampak rasa kecewa ke luar dari dada. Harapnya dia begitu juga. Sempena Ramadan al mubarak yang bakal tiba aku harap kami sama-sama dapat menunaikan puasa di siang hari dan malamnya berjemaah terawikh di masjid. Semoga bulan berkat ini akan menyambung kembali tali kasih kami yang hampir reput.

Subuh itu, selepas mengaminkan doanya dan tatkala kami bersalaman, kutatap mata beningnya dan melihat bibirnya berkata perlahan, "abang mintak maaf..." dan tanpa sedar bibirku juga melafazkan, "saya juga bang..."

Dan pagi itu kami ke pasar bersama, seolah tiada duka yang singgah dalam hidup kami sebelum ini. Namun yang tak sedapnya, dia menyuruh aku memandu sementara dia di sebelah, asyik membaca akhbar!

Tuesday, October 21, 2003

KINI RAMADAN DI DEPAN MATA

SEBAGAI orang media, kami kerap dijemput ke sana ke sini dengan pelbagai tujuan, diminta hadir ke pelbagai majlis dan aneka aturcara. Jika kebetulan free, kebiasaannya saya tak lepaskan peluang. Tetapi jika sibuk... saya hanya call minta maaf sebab tak dapat pergi.

Oh ya, lunch tadi di Hotel Concorde Shah Alam - ya, makan free. Ini kerana diadakan promosi hidangan berbuka puasa. Wah, aneka juadah terhidang. Rambang mata memandang. Sampai tak tahu mana dulu nak diambil. Menurut PR hotel, jumlah semua hidangan lebih kurang 100 jenis dari makanan utama hingga ke hidangan pencuci mulut. Saya ke hulu ke hilir, membawa pinggan kosong. Tiba-tiba perut jadi kenyang pulak. Tak tahu nak makan apa. 100 jenis... harganya RM45 sekepala.

Macam tahun-tahun lalu, berbuka puasa di Malaysia dah jadi macam pesta. Mana-mana hotel atau restoran menawarkan harga yang aduhai... tapi realitinya banyak mana sangat yang kita boleh makan? Seharian berlapar dan dahaga bukan semestinya bila azan Maghrib sahaja, semua makanan boleh masuk ke mulut.

Rambang mata. Semua yang dilihat sedap ditekak! Padahal masuk air secawan dengan kurma sebiji, perut automatik dah rasa kenyang. Saya harap saya boleh kawal nafsu makan Ramadan ini!


JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI SIRI 9
Baca Siri 8 di http://mba2u.blogspot.com

APA ERTI KEMURUNGANNYA ITU?

Dia banyak tidur akhir-akhir ini. Ya, sejak dua tahun kebelakangan. Malah migrainenya makin menjadi-jadi. Tidak dinafikan dia seperti lebih tua daripada usia sebenarnya.

Banyak artikel telah kubaca mengenai lelaki. Hari ini fikiranku mula menerawang satu persatu mengingat kembali apa yang telah kubaca.... Faktor usia dan masalah banyak mendorong pada berlakunya kemurungan dikalangan lelaki. Ramai lelaki yang memasuki fasa usia sebegini akan menghadapi sindrom kemurungan.

Itu yang kuperolehi daripada Doktor Ismail Thambi. Beliau ialah Specialist Reproductive Human Research Center at the National Population and Family Development Board in Malaysia

Apakah suamiku sedang bermasalah? Apakah ini menunjukkan tahap androgen dan testosteronnya mulai menurun? Seperti suatu perkhabaran duka, kukaitkan segala yang terjadi ini dengan simptom di depan mata; dia mudah tersinggung, suka menyendiri, selalu gelisah dan sukar untuk tidur.

Ah... aku masih muda. Dia juga harus ikut sama muda seperti aku. Tetapi dia selalu mengelak bila diajak berjogging bersama. Dia tak suka aktiviti luar. Terutama waktu panas. Dia tak suka badminton, tennis apalagi golf. Sebaliknya pc itulah yang dihadapnya. Sampai tengah malam atau kalau hujung minggu hingga subuh. Kemudian bila keletihan dia akan tidur... itu sahaja rutinnya.

Siang berganti malam, dan malam berganti siang... masa berlalu dengan pantas. Dan aku tak mahu menanti atau menoleh ke belakang. Ternyata, hadiah harijadiku untuknya tak bermakna langsung. Aku kembali sibuk dengan urusan kerja. Dan dia juga makin sibuk dengan intipan-intipannya terhadap segala aktiviti seharianku. Aku tahu itu, sengaja kubuat tak tahu...




Monday, October 20, 2003

MAKNA SEBUAH DUKA

SIANG tadi saya bersama Editor Majalah Dewan Siswa, Editor Dewan Ekonomi dan Editor Minda, menziarahi jenazah Allhayarham Dr. Othman Puteh di kediamannya di Bangi, Selangor. Kepada yang kurang mengenali beliau, Allahyarham ialah penulis cerpen, penulis novel, pengkritik sastera, bekas pensyarah, pembentang kertas kerja yang prolifik dan seorang yang amat disegani dlm dunia penulisan tanahair

Ramai sahabat yg dtg menghantar rasa duka pada balu Allahyarham Puan Timah Baba dan keluarga mereka. Antara yang sempat saya temui ialah
Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Dr Anuar Ridhuan, penyair Marzuki Ali, A. Rahim Abdullah dll.

Sambil menanti jenazah dikapankan, mata saya mencari kelibat
seseorang... Saya teringatkan anak teruna Allahyarham iaitu Hizzairi Othman! Manalah tahu kalau beliau pulang menziarahi aruah bapanya.

Ini kerana kehilangan Hizzairi masih lagi menjadi misteri. Fail
siasatan tentang kehilangannya masih lagi dibuka. Jika dia masih hidup di
mana dia sekarang? Atau jika dia sudah meninggal dunia, di mana jasadnya?

Al Fatihah buat roh Dr Othman Puteh, moga Allah SWT menempatkanya di dalam Jannah, InsyaAllah.

Saturday, October 18, 2003

MENGOCAK MINDA

Mba, saya akan ke Kuala Klawang esok (19hb) bukan hari ini. (Kalau tidak kita tentu berselisih di lebuh raya). Doakan saya selamat pergi selamat balik. Terutama bila kat Bukit Putus tu. Saya drive sendiri... ditemani Editor Majalah Rasa, Ida Aziz. Kebetulan dia orang Kuala Klawang.

Tentang kisah bersiri Jangan Ada Dusta (Versi Lelaki), saya turut mendapat respon daripada pembaca blog saya dan blog mba juga. Bagus juga kan, kami berdua mengocak minda pembaca.

Tapi suka saya nak nyatakan juga bahawa Jangan Ada Dusta (Versi Lelaki) di blog kami berdua adalah amat jauh sama sekali dengan kandungan sebenar novel Jangan Ada Dusta karya saya seorang yg akan diterbitkan oleh Alaf 21 Sdn Bhd, tahun depan.

Soalan pembaca blog tetap sama; cerita betul atau rekaan? kalau rekaan berapa peratus rekaan, kalau betul berapa peratus betul? siapa mba? kenapa dia rapat dgn you? apa hubungan you dgn dia dan macam-macam soalan lain...

Saya sambut baik respon anda semua. Segala komen akan memberi ilham untuk saya terus berkarya. Kepada mba, teruslah aktifkan otak kanan. Sudahlah seharian sibuk bekerja menggunakan otak kiri...

Maaflah saya tak sempat nak sambung siri seterusnya.
Nak buat preparation untuk esok.


OH BUKIT TANGGA, BUKIT PUTUS

Ahad ini 19hb Oktober 2003 saya akan ke Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan. Di sana nanti akan diada bengkel penulisan kreatif dan kewartawanan. Kuala Klawang? Yang paling menggerunkan ialah liku-liku perjalanan di Bukit Putus. Kata Pak Latip ada 88 liku semuanya. Kalau ikut Bukit Tangga pun begitu juga.

Bengkel anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) ini bukan pertama kali saya hadiri. Dah banyak bengkel penulisan saya kendalikan, termasuk juga bengkel-bengkel penulisan di pejabat. Tetapi berapa keratkah yang boleh jadi wartawan sebenarnya?

Alamak Kak Sri, saya tak boleh staybacklah malam ni.
Nak tanya apa pada Rafidah Aziz tu? Takutlah saya. Dia kuat tengking.
Betulkah Samad Ismail pernah dipenjarakan kerana ISA?
Nanti kalau saya kena maki macamana?
Saya pakai tudung, tak kan Kak Sri suruh saya masuk disko?
Jumpa Siti Hasmah... alamak!
Saya baru saja balik dari Kelantan. Nak kena ke Melaka pulak?
Saya tak makan belut. Nanti chef tu paksa saya makan belut.

- ini adalah antara kerisauan, kegusaran yang melonjak-lonjak dalam dada wartawan muda.

- Semoga saya selamat sampai ke Kuala Klawang tanpa muntah-muntah atau pening-pening lalat.


SAYANG SAYANG BUAH KEPAYANG -sri diah
(JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI -SIRI 7)

"Eh, apa awak ni? Dah buang tebiat ya?"
Aku terperanjat. Tergamak dia kata aku dah buang tebiat! Apa maknaya bila dia kata sudah buang tebiat? Bukankah maknanya aku dah hendak mati? Dah nak mampuskah aku?

Hendaknya bila kusuapkan dia bingka ubi, alangkah gembiranya kalau dia kata begini sahaja... "eh, apa mimpi sayang ni? Teringat masa bulan madu dulu ke? Sayang mimpi apa malam tadi? Berjumpa putera raja dari kayangan ya? Sayang... sayang..."

Ah, suara kemanisan dan godaan asmara itu sudah tiada lagi. Itu belum lagi kupicit-picit kepalanya yang selalu migraine atau kuurut belikatnya yang selalu lenguh-lenguh. Kalau kulakukan itu, mesti dia yakin memang sah aku dah buat tebiat!

Sebenarnya telah kukotakan janjiku. Aku ambil cuti seminggu. Handphone kumatikan. Aku juga tidak memview blogku. Kumatikan talian faks di rumah. Kututup mataku daripada menyelak novel-novel kegemaranku. Ya, telah kulupakan Arenawati dan Samad Said. Kubuang ingatanku pada haiku, tanka, senyru dan rensaku. Kututup terus ingatanku pada damahum, pada tomohiko, cikgu hasimah, prof irwan, pak latip, madzaked, gravesdigger, nakhoda, effa dan semua rakan-rakan di komuniti esastera.

Sebenarnya itulah hadiah harijadi paling mahal untuknya.
Tetapi pengorbanan itu tidak bernilai di matanya.

Tiba-tiba ingatanku singgah pada Rudy... sihatkah si cahaya biru itu?
Ya. Aku terkenangkan Rudy. Paling akhir kami bertemu di Hotel Istana dalam majlis anjuran JICA. Dia yang suka ketawa. Ada satu e-mailnya yang belum kubalas.


LAGU ITU LAGU SENDU... mba
(JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI - SIRI 6)

Esok adalah hari yang paling bermakna bagiku. Tepat jam 12 malam ini, genaplah usiaku setengah abad. Syukur kepada Tuhan kerana memanjangkan usiaku dengan penuh kesejahteraan dan sihat walalafiat. Sesungguhnya aku terlalu jarang diserang sakit, selain daripada migren yang sekali-sekala menyerang. Rindu juga aku untuk bertemu doktor Daud yang menjadi doktor famili kami semenjak sekian lama. Bukan untuk mengambil ubat, tapi peluang bagiku berbual dan bertukar fikiran dengannya menganai PDA kami.

Aku terpacak di depan notebook ini menanti detik 12 malam bagaikan anak kecil menunggu kepulangan ibunya. Kejab-kejab menoleh ke sana, kejab lagi ke sini. Mungkin dia akan menyapa dan mengucapkan “selamat ulang tahun kelahiran yang ke ..” buatku. Bagiku biarlah dia orang yang pertama mengucapkannya. Namun penantian aku pada tahun ini adalah sama sahaja dengan tahun-tahun yang sebelumnya. Mungkin aku ini tidak ikhlas. Setiap kali aku memberikan hadiah pada ulangtahun kelahirannya, aku berharap dalam hati agar mendapat balasan sewajarnya pada hari kelahiranku pula. Namun hari yang bersejarah bagi hidupku ini tidak pernah diingati oleh keluarga sendiri. Oh… inilah balasannya sumbangan aku yang tidak ikhlas itu.

Sejam telah berlalu aku menyambut usia ke-50 dengan meriah sekali dengan segenap rakan-rakanku dari seluruh dunia. Ya, pada saat ini semua rakan-rakanku turut hadir secara maya untuk menyambut ulangtahun kelahiranku. Ingatan mengimbau ke Okinawa 10 tahun lalu, di mana sambutan secara besar-besaran diadakan untukku sempena ulangtahun kelahiranku yang pertama. Ya pertama! Kerana kata orang hidup lelaki bermula di usia empat puluh. Sebagai class leader, aku diraikan semahunya oleh semua ahli dan juga sensei. Namun aku bataskan supaya parti itu hanya dalam kelas sahaja dan tidak terbawa-bawa ke bilik hostel, shukudo atau club di sebelah malam nanti. Lebih baik berhati-hati sebelum terlanjur. Maklumlah di negara metahari terbit ini tiada pantang larangnya.
Di depan notebook ini, ucapan selamat ulangtahun kelahiran dan salam rindu bertalu-talu datangnya dari Lidia dari Chile, Adrian dari Argentina dan Jose dari Peru. Mereka sedang rehat makan tengahari di pejabat masing-masing rupa-rupanya. Si Yamamoto dari Tokyo, Julio dari Manila, Fang dari Beijing dan Opan dari Jakarta juga tidak ketinggalan. Seperti biasa aku jangka esok atau lusa sampailah kad ucapan dari Iqbal dari Pakistan dan Masele dari Tunisia yang masih tidak mempunyai hubungan Internet. Rakan-rakan dari Malaysia pula bertalu-talu mengucapkan selamat melalui SMS. Meriah juga begini dan masih ramai juga insan yang mengingati tarikh keramat ini, kecuali dari keluarga sendiri. Mungkin mereka sengaja ingin mendera aku begini. Alhamdulillah. Namun di tahun hadapan sekiranya masih ada umur, akan kuhadiahkan lagi sesuatu pada hari kelahirannya. Mungkin kali ini, apa yang kuharapkan hanyalah dia tidak lupa untuk menghadiahkan aku al-Fatihah setelah aku tiada lagi di dunia ini. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini aku selalu mengingati mati.


Besok pagi-pagi selepas subuh, akau akan terus memecut ke Melaka untuk proses temuduga pengambilan jawatan pegawai sistem maklumat. Kerja ini walaupun tidak dibayar sebarang imbuhan, namun ia membawa banyak faedahnya untuk perkembangan kerjaya skim ini. Walau bagaimanapun kata putus pengambilan adalah tertakluk kepada pengerusi yang merupakan ahli SPA. Untung juga tidak ke pejabat pada hari keramat ini, jika tidak sudah tentu pelbagai usikan yang menikam kalbu datang bertalu-talu dari anak buah di pejabat.

Entah berapa kali lagi aku berpeluang mendengar dan mendendangkan lagu sendu ini…..





Thursday, October 16, 2003

Antara Pelawat, Arni & Ferhad

Pagi tadi ada pelawat dari Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Lebih kurang 20 orang semuanya. Tugas sayalah tu, memberi penerangan serba sikit perjalanan syarikat. Production, publishing dan printing. Sejak kami berpindah ke Kompleks Karangkraf di Shah Alam ini, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja pelawat yang datang.

Tidak dinafikan, Kompleks Karangkraf amat cantik dan moden - kami lebih suka memanggilnya `kampus'. Warna-warna ceria di mana sahaja. Lain department, lain warna. Pohon-pohon menghijau menghiasi persekeliling. (Jika sesiapa yang mahir dengan lokasi di Shah Alam sebelum ini, kami mendiami bangunan Ericson - bos beli, bukan sewa!).

Bertemu Arni Nazira (isteri rockers Awie) di studio untuk sesi fotografi bersama majalah Media Hiburan membuatkan hati saya berbisik: Dia cantik. Tubuhnya menarik. Kata-katanya penuh berbudi bahasa. Santun. Sejuk hati mak mentua...

Habis giliran Arni, giliran penyanyi macho Ferhad pula beraksi di studio. Pun sama, agak friendly... eh bila nak timang anak? itulah soalan wajib untuknya. Tunggulah kak, belum ready jawabnya. bersalam dengannya, wangian `jantan' melekat di tangan. lupa pulak nak tanya minyak wanginya cap apa.

Oklah, cukup dulu untuk hari ini. Jumpa esok.


JANGAN NYANYIKAN LAGU ITU... sri diah
(JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI - SIRI 5)

ENTAHLAH apa silapnya malam tadi. Aku yang terlelap atau dia yang memang tak mengharap apa-apa daripadaku. Dia kata migraine. Tapi hairannya dia masih boleh duduk berjam-jam mengadap komputer.

Sampai aku masuk bilik tidur, aku lihat bilik kerja kami masih terang benderang. Alat hawa dingin masih terpasang. Entah ke hujung dunia mana dia rayau. Aku berani bertaruh. Dia mesti ke site negara matahari terbit itu. Dia mesti sedang berseronok-seronok dengan kawan-kawannya. Kala itu apakah aku masih berada dalam sanubarinya?

GENTING Highlands – Awal pagi tadi, aku menggesek mata. Kutoleh ke kanan. Dia sudah tiada. Malam tadi dia tidur agak lewat tapi pagi ini awal-awal lagi sudah hilang. Bukan dia tak tahu aku akan mendaki jalan berliku lebih 200km pagi ini. Dia sudah kuberitahu sejak tiga hari lepas. Sudahkah dia meninggalkan ciuman sayangnya ke pipiku?

Tatkala ingin mengenakan tudung, sekeping kertas A4 jatuh dari meja solek. Oh... kubaca talian hayatnya itu. Nampaknya dia masih lagi sarat dengan perasaan. Dia masih lagi membisikkan kata-kata pesimis. Ah, dia benar-benar sedang mengemis. Mengemis secebis hatiku. Tetapi sedarkan dia malam tadi akulah si pengemis yang kedinginan. Akulah si pengemis yang mengharapkan kunjungannya.

Kalau betullah dia cemburu pada kerjayaku. Atau dia jaki dengan kesibukanku... esok akan kuhantar borang cuti. Akan kumohon cuti seminggu.

Aku akan mengadap dia seorang. Aku akan hantar dia ke pejabat dan mengambil dia pulang. Aku akan suapkan makanan ke mulutnya. Aku akan mandikan dia. Aku akan picit dan urut kepalanya. Aku akan berkepit sahaja dengannya, terutama menemaninya menekan-nekan papan kekunci komputer, menerjah ke negara mana dia pergi berjumpa kawan-kawannya.

Meluat. Biar dia meluat. Dan semoga dia tahu, aku juga meluat hendak melakukan semua itu. Tetapi lagu itulah yang selalu dia dendangkan di telingaku....



JANGANLAH TIDUR SENDIRIAN - mba
(JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI - SIRI 4)

Sayangku,
Abang tahu yang sayang ialah anak seorang ustaz sedangkan abang ini dilahir dan dibesarkan dalam keluarga yang pincang dan serba kekurangan. Namun latarbelakang masa silam tidak usah kita ungkitkan. Jadi usahlah diungkitkan pasal arwah nenekku yang hobinya mencabut uban di tangga itu. Dia juga wanita berkerjaya sebenarfnya, seorang petani yang gigih menggunakan tulang empat keratnya untuk membesarkan orangtuaku.

Abang mahu biarlah kita sehidup semati dan sama-sama ke syurga nanti. Memang sayang adalah superwoman, memang abang sangat bertuah memiliki sayang. Namun dalam banyak hal, abang merasakan yang sayang lebih mementingkan kerjaya berbanding dari rumah tangga. Abang tidak perlu bersyarah panjang kerana migren abang ini sudah sampai ke puncaknya agaknya. Sebelum apa-apa terjadi kepada abang, abang hanya ingin mengingatkan sayang hanya dua buah hadis sahaja yang abang ingat-ingat lupa.

Pertama, tidak akan diampunkan dosa seseorang isteri yang membiarkan suaminya tidur dalam kemurkaannya sepanjang malam dan yang kedua adalah haram bagi seseorang Muslim memutuskan tali persaudaraan dengan saudaranya yang Muslim lebih daripada tiga hari. Cukuplah sekadar itu sayang. Semoga rasa amarah sayang tidak akan menakluki intelektual sayang yang tinggi itu.

Oh ya, sebelum abang terlena lagi, abang teringatkan satu lagi hadis. Jika si suami berhajatkan isterinya hatta ketika berada di belakang kuda sekalipun, maka adalah wajar bagi si isteri untuk memenuhinya. Abang bukan memerlukan sayang di kandang kuda!, Di sini sayang, ditepian tilam empuk ini. Abang Cuma mahukan sayang memicit kepala abang yang sakit dan hati abang yang bengkak ini. Selamat malam sayang. Abang tidur dulu dan semoga dapat berjumpa bidadari dalam mimpi yang boleh melegakan penyakit abang ini. Assalamualaikum.


Wednesday, October 15, 2003

AKU RELA TIDUR SENDIRI...
(Sambungan Jangan Ada Dusta versi lelaki)

Sudah banyak kali kami berkompromi. Aku bukanlah seorang isteri tipikal seperti zaman neneknya Aku bukan seperti kakak dia atau makcik dia. Aku juga bukan seperti emak saudaranya Pah Bedah, yang saban hari asyik mengulit huma. Dan waktu petangnya pula ajak ipar duai duduk di beranda. Berderet di tangga mencari kutu.

Aku wanita kerjaya. Aku ada tanggungjawab atas segala amanah yang dipertanggungajwabkan ke pundakku. Aku dibayar gaji tinggi untuk berkhidmat dengan cemerlang. Aku dituntut mengawasi kepentingan syarikat. Aku wajib mengenalpasti potensi diri staf bawahan. Setiap masa. Setiap ketika.

Siang sama ada di pejabat atau bertugas di luar pejabat ataupun bertugas di luar daerah, hatta ke luar negara, panggilan telefon untuknya tidak pernah kuabai. Sebelum itu kupastikan akan keluar dari rumah dengan segala keperluan dirinya dan anak-anak tidak terabai.

Atas dasar inilah dia mengahwiniku dulu. Sejak hari pertama berdating dan setahun kemudian kami mula tidur sekatil… dia sudah tahu aku bukan dikahwini untuk duduk di rumah sahaja, melayan suami, menjaga rumah dan membesarkan anak-anak. Dia akur…. Dia terima ketetapan itu. Noktah!

Jika dulu dia akur, kenapa sekarang mula rasa tak senang? Jika dulu dia boleh berdikari, kenapa sekarang tidak boleh berdikari lagi? Aku masih tidak berubah, aku tetap aku yang dulu. Dia yang berubah… dia yang mula mengira semuanya sehalus-halusnya. Kita kian berusia, sepatutnya kita makin memahami satu sama lain. Tapi rupanya dia semakin kurang memahami hati isterinya ini.

Jika dia ingin dimanja, aku pun ingin dimanja. Tetapi pernahkah dia memanjakan aku? Dia tak pernah tanya pening letihku. Dia tak pernah tanya pasal perkara-perkara asas keperluan rumah. Semua itu kuurus sendiri. Hinggakan kepala paip longgar pun aku yang betulkan. Jika lampu rosakpun, aku yang panjat tangga, tukarkan. Hinggakan menukar bola dalam tangki air pun aku yang kerjakan.

Memang dia sengaja mengambil kesempatan!
Ya, akulah superwomen. Dia harus rasa bertuah kerana memilih aku menjadi isterinya. Biarlah… biarlah seminggu dua ini kami make dono. Biar dia muhasabah dirinya… biar dia melayan migrainenya dan aku rela tidur sendirian… masuk malam ini sudah tiga hari aku tidur ditemani bantal peluk!


JANGAN ADA DUSTA VERSI LELAKI
(Hasil perahan idea mba)

Jika diteruskan perang, rasanya yang kalah jadi abu yang menang jadi arang. Lebih baik diadakan gencatan senjata saja.

Sebenarnya aku cukup juak untuk pulang ke rumah. Sikapnya sejak akhir-akhir ini membuatkan seolah-olah aku bukanlah CEO di rumah. Kepulangan aku ke rumah sepatutnya disambut dan dihormati sebagai seorang suami, seorang sahabat, seorang teman. Namun dia yang sudah lama bertindak sebagai CFO di rumah nampaknya lebih mengutamakan pejabat dan orang-orang pejabat berbanding dengan rumah dan orang-orang dalam rumah ini.

Sebagai isteri yang bekerja, suami tidaklah mengharapkan makanan terhidang-saji. Suami boleh mengaut sendiri dari periuk di dapur jika ianya sudah bermasak. Jika sesibuk ini di rumah hinggakan tidak mahulagi memasak, apalah gunanya dibeli beras dan dapur yang mahal jika sekadar untuk makan nasi bungkus.

Sesekali pulang dengan keletihan dan migren yang menyerang, perlukan belas ihsan. Jika kita minta dipicit dan diurut, bukanlah alasan sibuk, tidak pandai memicit, takut tangan kasar atau telan saja panadol yang mahu didengar suami. Ini menambahkan lagi sengsara yang ada.

Dah tahu kita berpenyakit darah tinggi, hendak dihidangkan pula dengan ikan masin?. Agaknya dia memang ingin sangat menyuruh aku pergi cepat. Sudah ada bakal bapa kepada anak-anakku kah?.

Suami sekarang tidak perlu dimanjakan hinggakan perlu dimadikan oleh isteri. Usahlah terpengaruh dengan filem Jepun atau Korea yang menjadi teman setiamu setiap petang hingga melupkan tugas sebenar di alam nyata.

Suamimu ini bukanlah robot bernyawa yang bisa kau programkan dengan menekan papan kekunci yang sering kau lakukan hingga menjelang subuh dengan alasan terlalu sibuk. Dan suami ini tidurlah sendirian saban malam bertemankan alasan isteri yang keletihan, sibuk, sakit perut, tiada mood dan tidak mahu membasahkan rambut.

Jadi wajarlah rasanya gencatan senjata kita ini dikuatkuasakan segera.



Membaca tulisan mba hari ini tentang `anak-anak bos' yang enjoy bila bos tak ada, saya ketawa kecil. bukan luar biasa. kebiasaannya itulah. kebiasaan itulah yang telah sebati dalam kebanyakan pekerja-pekerja kita.

saya kata `kebanyakan' - bukan semuanya. sebab saya percaya masih ada lagi pekerja yang gigih dan ketagih buat kerja. cuma bahayanya sifat ketagih dan gigih pekerja ini jika tidak dipertahan akan akan terdorong juga terikut-ikut menjadi lalai, cuai, alpa, buat tak endah, buat dono saja akhirnya...

di pejabat saya, telah saya tanamkan sifat bahawa saya tetap ada walaupun saya tak ada di pejabat. setiap kali sebelum keluar pejabat (jika sebelum waktu habis opis) saya akan ingatkan bahawa bila saya balik opis nanti saya nak kerja yang saya suruh dia buat tadi diletakkan atas meja saya.

jadi bila saya balik, kerja itu tak ada saya akan cari dia walau di mana dia berada. (kami tak boleh bertangguh kerja - spt selalu saya kata kerja hari ini mesti habis hari ini). atau jika saya tak balik semula kat pejabat, esok pagi-pagi make sure kerja tu dah siap.

lagi satu, kat opis saya ni ada banyak kamera tersembunyi terpasang. bagus juga tu. tapi ada juga tak bagusnya. bagusnya sbb kita boleh monitor pekerja - mereka ke mana, buat apa, senang nak cari mereka walau di mana mereka berada. yang tak bagusnya ialah tak ada privacy.... tapi di toilet dan bilik sembahyang tak adalah kamera tu!

bos-bos boleh request drp hrd mintak tengok camera tu jika ada musykil. senarai pekerja yang log in dan log out pun sentiasa tercatat dalam pc bos-bos. any time boleh dilihat hala tuju mereka sama ada ke kafe, ke library, ke studio dsbnya. (mereka kena swipe di setiap pintu)

soalannya - apakah kami ini robot?
jawapan saya tidak....
apa komen anda?

Saturday, October 11, 2003

PERANG dingin ini bilakah akan berakhir? Suami pergi kerja macam orang hilang akal. Dia balik ke rumah pun macam orang hilang akal!
"Saya penat. Saya letih...!"
"Bang, mari saya picitkan"
"Ah, tak payahlah. Awak picit kuat sangat, sakit-sakit badan saya...!"
"Habis tu, abang nak kopi"
"Ah, tak mahu, kopi awak pahit!"
Kalau kopi pahit... mintalah milo atau teh... Tapi kenapa tak mahu minta apa-apa?
"Abang nak makan? Saya siapkan..."
"Makan? tak payahlah. Saya belum nak makan."
"Saya goreng ikan masin, nak?"
"Ikan masin? Ikan masin awak masin!"
"Abang nak mandi? Saya siapkan air suam"
"Dah. Saya dah mandi!"
Oh Tuhan... ke manakan kemanisan yang selama ini menjadi milikku?

* Ini adalah antara sedutan dalam novel JANGAN ADA DUSTA. Masih dalam peringkat editing. Ramai bertanya kenapa saya membuat novel tentang orang perempuan sahaja?.... jawapannya, sebab saya perempuan :-)

Thursday, October 9, 2003

[ Thu Oct 09, 07:05:59 AM | sri diah | edit ]
mesti tidur awal malam ini.
kertas kerja untuk bengkel esok sudah siap!
oh syukur...


[ Thu Oct 09, 05:51:11 PM | sri diah | edit ]
Lagi sepuluh minit nak balik, tapi kerja masih banyak... ya, dihambat waktu dan kerja membuatkan kita rasa tertekan. saya tak mahu kalah, saya akan lawan rasa tertekan ini. esok pagi ada meeting.


[ Thu Oct 09, 03:21:14 PM | sri diah | edit ]
SUDAH hari Khamis.... Esok sudah Jumaat! Cepat sungguh masa berlalu. Saya selalu diburu waktu. Kebanyakan kerja sama menuntut keputusan yang segera. Tak boleh fikir sampai esok. Masalah hari ini mesti diselesaikan hari ini. Masalah printing, advertising, layout, server down, masalah staf... semuanya mesti dikendalikan dengan bijak.

Pagi tadi kena mengendalikan kursus untuk staf. Oktober ini sahaja sudah dua kali ditugaskan mengendalikan kelas. Kursus pula dibahagi dua sesi. Mula-mula teori dan kemudian diikuti dengan praktikal. Melatih wartawan menutut banyak kesabaran. Kenapa? Itu lain kalilah saya cerita...

Petang ini ada meeting lagi. Oleh kerana tak lama puasa dan kemudian raya, kerja jadi makin banyak. 17 majalah yang saya kendalikan dirrect memerlukan perhatian yang bukan sedikit. Tapi tak apa... saya yakin saya boleh handle. Insya Allah.

Sunday, October 5, 2003