Tuesday, February 3, 2004

SELAMAT SUDAH AIDILADHA 1424

AIDILADHA
sudah berlalu. Kami sekeluarga sudah sampai semula di Kuala Lumpur malam tadi setelah menempuh perjalanan yang panjang dan membosankan kerana kesesakan jalan raya. Kata anak-anak guna smart tag pun tak smart perjalanan. Jalan sesak bermula dari Sungai Bakap, Pulau Pinang, hingga ke Bukit Merah Lake Town dan sampailah ke Rawang.

Dalam kesabaran suami selama ini, akhirnya malam tadi dia pun jadi tak sabar (syyhhhh) akhirnya dia terpaksa juga masuk lorong kecemasan! Laju memang laju, tapi bila nampak kereta peronda polis di depan sana, cepat-cepat masuk semula barisan Q lagi.... Letih dan lapar membuatkan kami dinner di A & W di Restoran Jejantas Sungai Buloh.

Sepanjang perjalanan bertalu-talu dua sms diterima; satu dari anak-anak saudara yang dah tak sabar menanti... bila Mak Lang nak sampai ni? Sebabnya mereka dah nak balik ke Kuantan dan satu keluarga lagi dah nak balik ke Johor Bharu. Ikut jadual kalau bertolak pukul sembilan pagi dari Alor Setar, pukul 4 petang bolehlah sampai KL dan sempatlah nak bermanja-manja dengan mereka...

Satu lagi ialah sms kelakar tentang pesanan Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng mengenai virus selesema burung yang dah dijadikan bahan lawak. Macam-macam versi diterima, semuanya membuatkan kita tersenyum dan tergelak panjang. Tapi seperti kata mba dalam entrinya, pengendali khidmat sms yang kaut untung.

Suasana korban di kampung terbayang-bayang di mata. Sudahlah malam tu tak lena tidur sampai ke pagi sebab lembu yang nak dikorbankan keesokan hari dok hook hoooooook di bawah rumah. Baru nak lena sekejap hook hooook lagi. Anak-anak tanya lembu tu sedih atau gembira sebab nak kena sembelih?

Siangnya pula istiadat korban dan kenduri membabitkan semua orang kampung. Wah... macam kenduri kahwin. Tiga khemah dipasang. Anak-anak muda jadi `bentara' (penanggah). Lauk pula menggunakan semuanya isi kandung lembu tu. Menu kami ialah;

1. Nasi putih
2. Kerabu perut (kerabu kerisik) cicah air asam
3. Sup tulang selangka, tulang kaki (gear box)
4. Kari daging batang pinang
5. Hati, limpa dan paru masak tokyu

Sibuk berkenduri anak saya `hilang'. Rupanya doklah mereka main wau di bendang yang dah kering dan penuh dengan jerami padi yang baru sudah dibakar. Hitam legam kaki... malamnya mengadoi sebab luka-luka kecil dan miang jerami!

Di rumah hari ini, semuanya dah tak lalu nak makan daging. Saya goreng ikan pekasam sepat yang dibeli di Pekan Rabu dan goreng kubis sahaja. Daging korban dari kampung disimpan bersendat-sendat dengan daging korban di Kuala Lumpur dalam peti sejuk. Tak boleh makan daging banyak - takut pening kepala!


* Salam takziah kepada Perdana Menteri kerana kembalinya ke Rahmatullah bonda yang dikasihi. Semoga roh beliau ditempatkan di dalam Jannah. Al Fatihah...


No comments: