Friday, January 30, 2004

SUCINYA SEBUAH PENGORBANAN

KETIKA ini berjuta-juta umat Islam sedang berkumpul di kota suci Mekah untuk menjalankan Rukun Islam kelima. Selain itu salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. Umat Islam diharamkan berpuasa pada hari-hari Tasyrik ini, malah digalakkan berzikir, bertakbir dan bertahmid.

Malam ini kami sekeluarga akan bertolak ke Alor Setar untuk merayakan Aidiladha di kampung suami. Adik beradik suami di kampung telah menempah seekor lembu untuk dikorbankan selepas sembahyang sunat 2 rakaat di Aidiladha nanti. Daging itu juga akan digunakan untuk membuat kenduri arwah emak dan bapa mentua yang telah ke rahmatullah.

Di masa yang sama di rumah emak sendiri di Kuala Lumpur, tahun ini sekali lagi kami adik beradik turut mengorbankan seekor lembu dengan bahagian masing-masing. Dan istimewanya nanti lembu itu akan disembelih oleh bapa saya sendiri. Di pejabat juga, Pengarah Urusan telah bersedekah dua ekor lembu untuk dikorbankan. Semua urusan penyembelihan, melapah, memasak dan mengagih kepada pekerja dan anak-anak yatim dilakukan oleh Biro Kebajikan syarikat ini.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya. Zulhijjah, bulan terakhir pada kalendar Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya Aidiladha, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat, biasanya agak awal sedikit berbanding Hari Raya Aidilfitri. Kita dianjurkan agar bertakbir dari awal subuh hingga sebelum matahari tenggelam pada hari 13 Zulhijjah.

Firman Allah yang bermaksud: "Darah yang mengalir dari binatang yang dikorbankan juga daging yang diperoleh dari binatang itu, sekali-kali tidak sampai kepada Allah, akan tetapi yang sampai kepada Allah adalah ketentuan dalam diri kamu. "

Disunatkan mereka yang menjalankan ibadat korban agar mengambil sepertiga daripada daging itu untuk keluarga sendiri manakala selebihnya diberikan kepada orang miskin atau orang yang meminta. Malah, lebih baik jika keseluruhan daging diberikan kepada fakir miskin.

Menurut bapa saya mereka yang akan menjalankan ibadat korban disunatkan agar menyembelih binatang korban itu sendiri. Jika tidak mampu, maka saksikanlah upacara korban itu sendiri. Menyaksikan sendiri ibadat korban mempunyai hikmah tersendiri kerana apabila darah pertama mula mengalir ke bumi, ketika itulah Allah mengampuni dosa-dosa yang lalu daripada orang yang melakukan korban itu.

Rasulullah menyuruh puterinya Fatimah menyaksikan ibadat korban yang dijalankan atas namanya. Sabda baginda, yang bermaksud: "Bangunlah dan pergilah menyaksikan ibadat korban kamu kerana sesungguhnya pada titisan pertama darah yang mengalir, akan diampunkan dosa-dosa kamu yang lalu."

Malah, ketika menyaksikan ibadat korban itu, kita disunatkan memohon kepada Allah, dengan membaca doa: "Ya Allah! Ini daripada Engkau dan untuk Engkau, maka terimalah daripada kami."

Selamat menyambut Aidiladha daripada saya sekeluarga. Semoga bergembira di hari raya dan ingat-ingatlah mereka yang tiada. Maksudnya yang dah tiada di dunia ini dan misikn (tiada).

No comments: