ANAK-ANAK KEMBALI KE SEKOLAH
CUACA cerah hari ini. Baru pukul 6.00 pagi tetapi di luar rumah sudah riuh dengan suara anak-anak jiran dan emak bapa masing-masing menanti bas untuk ke sekolah. Hari ini adalah hari pertama persekolahan di Malaysia setelah bercuti panjang hampir dua bulan. Memandangkan rumah saya menghadap jalan besar, maka riuhnya bergandalah lagi. Dari dalam rumah lagi saya dapat saksikan bas sekolah yang lalu lalang sama sibuk dengan bunyi hon, kereta motor dan di masa yang sama ada yang berjalan kaki pula untuk ke sekolah agama di belakang rumah saya.
Alhamdulillah anak-anak saya pun senang dikejutkan pagi ini. Agaknya terlalu excited untuk ke sekolah semula. Mungkin juga kerana mereka `dipaksa' tidur awal malam tadi supaya mudah terjaga pagi ini. Tepat pukul 6.45 pagi, kami tinggalkan rumah untuk urusan sekolah pula. Ketiga-tiga anak, saya hantar sehingga masuk kelas dengan bekal duit yuran dalam tangan masing-masing. Mereka sudah boleh bayar sendiri. Semasa si bongsu masuk darjah satu dulu pun saya latih dia begitu. Jadi hantar mereka ke kelas pada hari pertama persekolahan pagi ini hanya sebagai syarat saja... sekurangnya untuk memberi semangat dan tanda yang maknya ini caring jugak orangnya...
Sabtu lalu saya ke Kedai Buku Popular di Leisure Mall Cheras. Sambil pilih buku dan peralatan anak-anak saya mencapai juga empat buat novel baru untuk rujukan. Ya, saya dapat semua novel yang saya inginkan di situ. Tinjau jugak novel-novel saya, kot-kot masih ada berbaki. Alhamdulillah, kelima-lima judul tu dah habis terjual semuanya. Gembiranya saya. Ini yang membuatkan saya semakin bersemangat hendak menulis novel baru. Sekarang pun dah 30% siap dan masih berusaha untuk menyiapkannya menjelang Mei 2004. InsyaALLAH.
Semalam diadakan Pertandingan Memasak Sharp - Nona - Rasa di Berjaya Times Square. Fulamak, besarnya gedung baru ini. Pilarnya sahaja besar, teguh, peramah. Lengkap dengan hotel bertaraf 6 bintang dan theme park. Bersama Ezzah Aziz Fawzy dari TV3, saya dan editor RASA, kami menjadi pengadil pertandingan. Hadiahnya lumayan; wang tunai, peti sejuk, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro, penyedut hampagas dan macam-macam lagi. Majlis berjalan dengan jayanya dan disertai sama oleh penyanyi Misha Omar dan Ezlynn.
Esok saya mula bekerja setelah bercuti panjang. Esok juga adalah tarikh penting di mana rahsia tentang rombakan struktur organisasi Jabatan Editorial Karangkraf 2004 yang saya simpan hampir seminggu akan diumumkan oleh Pengarah Urusan. Perubahan ini penting untuk memantapkan struktur jabatan editorial ke arah menjadikan Kumpulan Krangkraf sebagai sebuah syarikat penerbitan yang berwibawa dan sukses. Nasihat saya kepada semua editor agar melaksanakan amanah yang diberi dengan jujur dan ikhlas, kuat semangat dan sentiasa berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik.
Dan esok juga saya akan berjumpa dengan seseorang.
Siapa orangnya? Tunggulah esok saya umumkan ya...
No comments:
Post a Comment