BILA WAJAHMU AKU BAYANGKAN
Terasa pilu
Terasa rindu....
LIRIK di atas adalah sebahagian daripada lagu yang penah dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman. Semalam genap 12 tahun Allahyarham meninggalkan kita. Semalam juga telah diadakan majlis tahlil di rumah keluarganya. Sampai hari ini saya masih lagi menyimpan surah Yassin yang disedekahkan oleh keluarga Allahyarham, berkulit tebal berwarna kuning kunyit sempena majlis tahlil beberapa tahun lalu.
Saya masih lagi terbayang seronoknya bekerja dengan arwah semasa arwah menjadi residen writer di Kumpulan Karangkraf pada awal tahun 90-an. Tugasnya setiap hari ialah menulis dan melukis untuk majalah-majalah terbitan Karangkraf waktu itu seperti Bacaria, Nona, Media Hiburan, Mingguan Kanak-kanak dan Remaja. Idea itu adalah ideanya sendiri, lukisannya sendiri.
Waktu itu saya bertugas sebagai Editor Bacaria. Sahabat saya Intan yang menjadi wartawan Media Hiburan waktu itu telah diarahkan menjadi pembantu arwah dan berpindahlah dia dari tingkat satu ke tingkat dua, duduk di luar bilik arwah. Bila dia perlukan Intan dia akan melaung memanggil "oh Kintan... Kintan mari kejap" ataupun "intan oh intan payung, mari sini kejap." Tidak berapa lama kemudian apabila arwah telah tiada, bilik itu menjadi bilik saya pula.
Arwah tak pernah masuk waktu pagi. Waktu dia datang pejabat ialah pada pukul empat petang. Apabila dia datang dia akan menjinjit tiga atau lima bungkus nasi lemak dengan teh ais. Nasi lemak itu akan dibahagi-bahagikan kepada sesiapa yang ada. Apabila ditanya bahan (artikel) untuk hari itu dia akan kata, " nanti kejap, lepas ni abang buat." Memang betul, habis makan nasi lemak dan minum teh ais, dia pun mula menulis dan melukis. Sekejap saja dah siap.
Bertahun bekerja bersamanya banyak perkara yang kami nikmati bagaikan adik beradik. Dia seorang yang periang, pantang melihat orang lain bersedih. Mulutnya riuh macam murai, dia suka berjenaka. Dia suka ambil berat hal kami. Kalau Intan disuruh ke mana-mana dia akan pastikan Intan pergi dan balik dengan selamat. Dia akan panggilkan teksi untuk Intan, dia akan telefon ke tempat itu bertanya sama ada Intan dah sampai atau belum dan dia akan tunggu Intan balik semula ke pejabat dengan selamat.
Sebelum Nathan diambil bertugas menjadi pemandunya, dia ke mana-mana menaiki teksi. Selepas Nathan, dia mengupah pula Kumar menjadi pemandunya. Saya pun tak tahu apa dah jadi dengan anak angkat berbangsa India yang pernah dibelanya...
Banyak suka duka kami bersama Allahyarham Sudir. Semua ini tak akan habis dengan kata-kata, ia tersemat jauh di sudut di hati...
No comments:
Post a Comment