Wednesday, February 25, 2004

CERITA ANAK & EMAK

INGAT
lagi tak pada anak kedua saya Anas Iqbal yang saya ceritakan dalam entri dulu? Hari Minggu lalu dia mengajak (memaksa) saya membawanya ke Stadium Putra Bukit Jalil untuk menyaksikan Kejohanan X-Games Asia. "Jomlah... free!" Antara paksa dan rela, saya ikutkan minat dia. Si Kak Long tak mahu ikut, dia tak minat... jadi lepas lunch saya, Anas dan si bongsu pun naiklah LRT dari stesen Bandar Tun Razak ke Bukit Jalil.

Halangan pertama, seperti yang dijangka - LRT penuh sesak. Sampai di Kompleks Sukan Bukit Jalil, mak datuk... melautnya manusia. Kebetulan ada macam-macam pesta di sana. Ada pameran hartanah dan automobil (beli tanah/rumah dapat kereta?) dan macam-macam lagi. Stadium Putra memang sesak dengan anak-anak muda yang minat sukan lasak tu.

Gaya mereka - ada yang bersubang di kening, bertindik di bibir. Gaya hip hop, dengan jeans dan t.shirt. Tapi ada juga yang sopan, yang cool. Yang datang dengan santun dan menonton games dengan relax dan enjoy... taklah terkinja-kinja macam sesetengah anak muda yang memang sakit mata saya memandangnya.

Di luar, si Anas enjoy dengan motor-cross. Motor terbang dan landing dengan aksi si penunggang yang bermacam gaya. Kata si bongsu, "mama tengok tu dia up!" Saya dah mula pening kepala dengan bingit dan aksi lasak. Up lah... nanti tersungkur padan muka! Si Anas pun satu semua dia nak try. Nak cuba rock-climbing, nak try skateboard, nak tatoo X-Games (free) di pipi, di dahi, di lengan (tatoo ni macam pelekat, boleh tenyeh padam) dan macam-macam games lain.

Penat dan panas di luar. Kami beralih ke dalam stadium pula. Ramai, penuh. Kami dapat tempat yang strategik dan dapat tengok semua show. Dalam stadium diadakan acara skateboard park di satu gelanggang, kemudian ada roller-blade di gelanggang satu lagi dan acara basikal stunt flatland di gelanggang satu lagi. Ada skrin besar, kepada sesiapa yang tak dapat lokasi yang bagus. Bingit dengan muzik dan jerit sorak penonton memberi semangat, tambah membuatkan kepala saya pening.

Sedar-sedar saja si bongsu menggerakkan saya, "mama, jom balik... dah habis," katanya. Saya terjaga terpisat-pisat. Saya tengok jam dah pukul empat setengah petang. Laa... saya tertidur rupanya dalam bingit-bingit tu!

No comments: