Monday, February 9, 2004

BICARA TENTANG KHALISAH

INI adalah wajah salah seorang sahabat saya, Khalisah Ismail yang telah pergi menemui PenciptaNya lebih awal daripada kita. Saya mulai mengenali Allahyarham pada tahun 1994 iaitu apabila beliau yang yang menjadi ahli sebuah persatuan wanita, lantang menyuarakan haknya. Sekiranya anda biasa membaca ruangan ruangan wanita di akhbar pasti akan mengenali Allahyarham.

Kelantangannya di media cetak ialah demi menuntut hak anak-anaknya. Beliau juga pernah mendapat bantuan daripada orang ramai, ngo dan kerajaan untuk menjalani pembedahan di luar negara kerana penyakit jantung berlubang di samping hipertensi paru-paru yang kritikal (Atrial Septal Defect With Pulmonary Hypertension).

Kematiannya saya tak tahu langsung... begini ceritanya; pada suatu pagi, seorang wartawan baru di pejabat saya (wartawan di Mingguan Wanita) menelefon memberitahu bahawa beliau kematian mentuanya. Kami dengan menaiki tiga kereta terus menuju ke rumahnya seperti alamat yang diberi. Dan alangkah terkejutnya saya apabila melihat jenazah yang terbujur kaku di ruang tamu ialah jenazah sahabat saya, Khalisah.

"Ajee, hantar mama ke hospital. Mama bingung." Permintaan Khalisah untuk ke Institut Jantung Negara (IJN) malam Isnin, 11 Januari 2004 lalu dipenuhi juga oleh anak-anak. Sungguhpun jam menunjukkan pukul 11.45 malam, Khalisah, ibu tunggal beranak empat ini tidak betah lagi menunggu hingga esok hari. Walaupun kebiasaannya arwah amat kasihkan anak-anak, takut sekiranya mereka mengantuk untuk ke sekolah dan ke pejabat, namun tidak kali ini. Arwah kerap menyatakan dirinya rungsing dan tetap mahu ke hospital.

Barang-barang keperluannya di hospital disediakan Sharzana; anak bongsu arwah yang akan menduduki peperiksaan SPM. Sementara Anshirazi; anak kedua dan Sharfiza; anak ketiga menemankan mama mereka ke hospital dan menunggu sehingga pukul 2 pagi sebelum kembali ke rumah untuk meneruskan rutin hidup esok hari.

Begitulah keadaan Khalisah dan anak-anak dari tahun 1994 lagi. Keluar masuk hospital dah jadi rencah hidupnya sejak disahkan menghidap penyakit jantung berlubang di samping hipertensi paru-paru yang kritikal (Atrial Septal Defect With Pulmonary Hypertension). Hospital bagaikan rumah kedua mereka anak beranak.

"Banyak sungguh dugaan." Itulah ayat terakhir mama sebelum matanya terpejam rapat, kata Ayie. Kata-kata itu diungkap perlahan sambil matanya menerawang ke siling hospital. Air mata siapa pun pasti menitis, kerana tatkala nyawanya hampir habis arwah masih sempat mengenangkan segala jerih payahnya membesarkan empat orang anak bersendirian, kata Ajee, sedih.

Doktor dan jururawat dipanggil untuk memberikan bantuan oksigen namun segala usaha sia-sia apabila arwah Khalisah akhirnya pergi buat selama-lamanya. Derita yang terpikul berakhir jua apabila Khalisah Ismail menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 10: 45 malam, 12 Januari 2004 di katil bernombor 16, Wad Dahlia, IJN, Kuala Lumpur.

Perjuangan Allahyarham Khalisah masih belum tamat. Sejak hari pertama diceraikan lebih 10 tahun lalu dia tidak mendapat harta sepencariannya dan anak-anak tidak mendapat bantuan kewangan daripada ayah mereka. Di hari kematiannya, mata saya memerhati satu persatu wajah yang datang. Akhirnya saya bertanya pada Delly (wartawan saya tu), "bapa mentua awak ada datang?" Delly menggelengkan kepalanya.

* Mulanya saya tak mahu menulis entri tentang ini, tetapi apa yang terjadi pada Allahyarham Inda Sako menggerak hati saya untuk menulis tentang kematian ini.


No comments: