CERITA SERA, CILLC & RUDY
(Edit) SAYA gagal untuk lena. Online di YM sebentar tadi menemukan kembali saya dengan Honey Biru. Adik Sera yang masih muda tetapi menyimpan macam-macam cerita. Dah lama dia menulis blog rupanya iaitu sejak tahun 1999 (empat tahun lebih awal mendahului saya). Kami terputus hubungan, tak sangka akhirnya berjumpa semula di malam Jumaat yang mulia ini. Membaca blog Sera saya dapat menyelami betapa sakitnya dia dengan masalah kejiwaan yang menimpa. Sera cuba untuk mengawal perasaan-perasaan jahat yang menggodanya untuk melakukan perkara-perkara negatif hingga kepada perasaan ingin membunuh diri...
Selain Sera saya juga mulai mengenali Cillc melalui blognya yang saya selalu kunjungi. Seperti Sera, Cillc juga dalam keadaan serius. Kini dia berjuang bersungguh-sungguh menangani penyakit barah otaknya. Menurutnya dia cuba untuk menepis semua rasa rendah diri tetapi dia gagal untuk membohongi diri bahawa dia sememangnya tengah menderita sebagai pesakit barah yang kronik.
Selain mereka berdua saya juga menyelami perasaan Rudy yang turut mengalami pelbagai dugaan-dugaan fizikal dan mental. Ada suara-suara asing yang selalu merasuk dirinya tidak kira siang atau malam. Hingga dia muntah-muntah darah dan pelbagai barangan yang tak masuk akal dikeluarkan daripada tubuh badannya.
Kini saya ada cerita tiga orang adik yang terlalu ingin menggenggam bahagia dan melayan damai dalam hati. Kepada mereka bertiga apa yang mampu kita lakukan sebagai orang luar selain terus memberikan motivasi agar mereka terus tabah. Berjuang dan terus berjuang kerana kita ada alKhaliq yang akan menentukan dosa pahala; syurga dan neraka.
InsyaAllah. Kuatkan semangat kalian. Jangan menyerah kalah sebelum waktunya!
No comments:
Post a Comment